Sabtu, 8 November 2008

Warna-warni kehidupan Barack Obama

BARACK Obama (kanan) bersama ibunya, Ann Dunham dan bapa dari Indonesia, Lolo Soetoro dan juga adiknya, Maya Soetoro (didukung) di Jakarta, Indonesia pada 1970. - Gambar AP

SEJARAH telah mencatatkan kehebatan seseorang pemimpin itu bukan berdasarkan warna kulit atau keturunan tetapi berlandaskan kebolehan dan keupayaan mereka dalam memimpin dan merencana perubahan yang ingin dilakukan.

Sesungguhnya itulah yang telah berlaku kali ini dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) apabila Barack Obama dari parti Demokrat dipilih oleh rakyat negara itu sebagai pemimpin mereka, sekali gus menjadi Presiden pertama daripada golongan kulit hitam. Momentum, idealisme dan karisma yang ditunjukkan Obama sepanjang kempen pilihan raya itu berlangsung telah menyebabkan rakyat negara ini terpaku dan beralih arah memberi sokongan besar kepada beliau.

Kemenangan besar bakal Presiden AS dalam pilihan raya kali ke-56 ini turut mencerna harapan baru kepada pemimpin dan penduduk dunia tentang harapan dan perubahan yang bakal dibawa beliau sebagai pemimpin negara kuasa besar dunia. Negara ini yang sering mencanangkan kewibawaan mereka sebagai pendukung hak asasi dan contoh pengamal demokrasi tulen di seluruh dunia akhirnya menerima hakikat Presiden mereka kali ini merupakan seorang warga kulit hitam yang dipilih rakyat.

Beliau yang akan mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 20 Januari depan pastinya akan turut berhadapan dengan tugas dan bebanan sukar memandangkan negara ini kini terpalit dengan rekod buruk polisi luar serta kemelesetan ekonomi yang paling buruk sejak 1930-an.
Ini semua kelangsungan dari kebobrokan pemerintahan Presiden George W. Bush yang gagal mentadbir negara kuasa besar dunia ini dengan baik sekali gus menjadi punca kekalahan teruk parti Republikan dalam pilihan raya kali ini.

Bagaimanapun selain beban dan masalah yang bakal diwarisi beliau dari bahu Bush, dunia kini sedang memerhati siapa sebenarnya manusia yang dilahirkan dengan nama Barack Hussein Obama II ini.

Latar belakang

Bakal Presiden AS yang ke-44 ini mengakui beliau sememangnya melalui detik yang sukar ketika zaman kanak-kanak berikutan episod perpisahan keluarga dan perpindahan yang kerap serta melalui zaman remaja yang agak liar. Obama dilahirkan di Pusat Perubatan Wanita dan Kanak-kanak Kapi’olani di Honolulu, Hawaii pada 4 Ogos 1961.

Bapanya Barack Hussein Obama Sr. berasal dari pekan Nyang’oma Kogela dalam wilayah Nyanza, Kenya dan berketurunan Luo, manakala ibunya Ann Dunham merupakan seorang wanita kulit putih berasal dari Wichita, Kansas. Kedua-dua mereka bertemu ketika sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Hawaii di Manoa pada 1960 dan kemudiannya berkahwin pada 2 Februari 1961.

Bagaimanapun kedua-dua mereka berpisah pada 1964. Bapanya kemudiannya pulang ke Kenya dan hanya sempat berjumpa dengan Obama sekali sebelum meninggal dunia pada 1982 dalam satu kemalangan jalan raya. Selepas berpisah, ibunya kemudiannya berkahwin dengan seorang lelaki Indonesia, Lolo Soetoro dan berpindah ke Indonesia pada 1967. Bapa tirinya bekerja sebagai pegawai di pejabat Geografi dan Topografi Angkatan Darat, Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Obama kemudian mendapat pendidikan awal di beberapa sekolah di tengah-tengah bandar Jakarta. Sekolah pertama beliau ialah St. Francis Assisi Catholic dan Obama didaftarkan dengan nama Barry Soetoro. Obama mendaftar di sekolah ini di kelas 1B pada 1 Januari 1968 sehingga darjah tiga. Malah berdasarkan dokumen pendaftaran, beliau telah didaftarkan sebagai seorang penganut Islam dan merupakan warganegara Indonesia.

Pada 1970, beliau berpindah ke Sekolah Rendah Percobaan Besuki, Menteng, Jakarta serta menetap di sebuah rumah sederhana di Jalan Dempo, Matraman, Jakarta. Kenalan di sekolahnya mengenali Obama dengan nama Barry dan beliau sememangnya dikenali sebagai seorang yang peramah dan bijak.

Pengalaman beliau ketika menetap di Indonesia digunakan oleh sekutunya dalam pilihan raya ini, John McCain untuk mengaitkan Obama sebagai seorang penganut agama Islam dan merupakan pengamal setia ajarannya. Obama menafikannya. Namun berikutan aura dan ketokohan beliau yang terlalu hebat segala taktik kotor yang digunakan oleh McCain gagal mencalarkan rekod dan kepercayaan orang ramai terhadap beliau.

Kembali ke Hawaii

Obama kemudian kembali ke Hawaii pada usia 10 tahun dan menetap bersama datuk dan neneknya. Beliau menyambung pelajarannya di Sekolah Punahou dari 1971 hingga menamatkan sekolah tingginya pada 1979, manakala ibunya kembali ke Indonesia untuk menyiapkan tesis kedoktoran pada 1972. Sebagai seorang remaja beliau mengakui pernah terjebak dalam kegiatan penagihan dadah seperti marijuana dan kokain ketika di sekolah tinggi serta turut terpengaruh dengan alkohol.

Namun Obama tanpa segan silu mengakui penglibatan beliau pada ketika itu merupakan kesilapan moral terbesar yang pernah dilakukan sepanjang hidupnya. Selepas menamatkan sekolah tinggi, Obama berpindah ke Los Angeles untuk melanjutkan pengajian di Kolej Occidental selama dua tahun. Beliau kemudiannya dipindahkan ke Universiti Columbia di New York untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains politik dengan pengkhususan hubungan antarabangsa pada 1983.

Beliau kemudian meraih pengalaman bekerja di beberapa syarikat antaranya di Business International Corporation dan New York Public Interest Research Group. Selepas empat tahun di sini, beliau kemudian berpindah ke Chicago dimana beliau dilantik sebagai pengarah projek pembangunan masyarakat di sebuah organisasi gereja di Greater Roseland pada 1985 hingga 1988.

Beliau berjaya menonjolkan kebolehannya membangunkan projek ini dari hanya seorang pekerja pada awalnya kepada 13 orang dengan bajet tahunannya meningkat dari AS$70,000 (RM224,000) kepada AS$400,000 (RM1.28 juta) serta pelbagai penambahbaikan lain antaranya program tuisyen dan latihan pekerja. Pada 1988, Obama buat pertama kali mengembara ke Eropah selama tiga minggu sebelum pulang ke kampung halaman bapanya di Kenya selama lima minggu untuk berjumpa sanak-saudara dan ahli keluarganya di sana.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Undang-Undang di Universiti Harvard pada 1988 dan pada penghujung tahun pertama beliau dipilih sebagai editor di makalah Harvard Law Review berdasarkan markah dan penulisan beliau yang cemerlang. Obama kemudiannya dipilih sebagai Presiden makalah tersebut pada tahun kedua pengajiannya, satu jawatan sepenuh masa sebagai ketua Pengarang serta bertindak memantau 80 orang editor lain di makalah tersebut.

Beliau juga mencipta sejarah sebagai presiden pertama makalah tersebut dari golongan kulit hitam. Obama berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang di universiti itu pada 1991.
Publisiti yang beliau terima sebagai presiden pertama di Harvard Law Review telah memberi kelebihan dalam perkembangan awal karier politik beliau dan pengiktirafan ini jugalah yang membuatkan beliau lebih dikenali di kalangan penduduk kulit hitam.

Dengan taraf pendidikan yang tinggi mengakibatkan beliau dilihat sangat berbeza dengan ahli politik keturunan kulit hitam sekitar tahun 1960-an yang memulakan karier mereka melalui pergerakan hak asasi manusia. Ditambah dengan pengalaman dan kisah hidup ketika zaman kanak-kanak serta dengan sejarah keluarganya yang melangkaui sempadan benua menjadikan episod hidup Obama sebagai sesuatu yang sangat unik dan berbeza dengan pemimpin golongan kulit hitam lain.

Kehidupan berkeluarga

Obama bertemu isterinya Michelle Robinson pada Jun 1989 ketika bekerja di firma guaman Sidley Austin di Chicago. Pada peringkat awal, Michelle yang bertugas sebagai penasihatnya di firma tersebut enggan keluar bertemu janji dan Obama hanya berjaya mengadakan temu janji yang pertama setahun kemudian. Pada 1991, pasangan bahagia ini mengikat taki pertunangan sebelum akhirnya mereka berkahwin pada 3 Oktober 1992.

Mereka dikurniakan dengan dua anak perempuan iaitu Malia Ann yang kini berusia 10 tahun dan Natasha yang dilahirkan pada 2001. Keunikan keluarga dan keturunan Obama sememangnya sesuatu yang sangat menarik untuk diperkatakan bilamana beliau menyifatkan ahli keluarganya sebagai “Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mini”. Ini kerana beliau mempunyai sepupu yang kelihatan seperti pelakon Bernie Mac di sebelah bapanya dan dan makcik yang seiras dengan bekas Perdana Menteri Britain, Margeret Thatcher di sebelah ibunya.

Beliau mempunyai tujuh sepupu di Kenya dari sebelah bapanya dan seorang adik tiri, Maya Soetoro-Ng, yang dilahirkan hasil perkahwinan ibunya dengan bapa tirinya dari Indonesia.
Obama mengakui dirinya sebagai seorang penganut Kristian sejati hanya selepas beliau mencecah usia dewasa. Obama menggambarkan beliau membesar dalam keluarga yang tidak mengamalkan fahaman agama dan menyatakan ibunya tidak mengamalkan mana-mana ajaran Kristian.

Bapanya pula telah dibesarkan sebagai seorang Muslim namun bertukar sebagai seorang “atheist” ketika kedua ibu bapanya bertemu, manakala bapa tirinya pula pula berpandangan agama sebagai sesuatu yang tidak penting. Bagaimanapun ketika beliau bekerja di organisasi gereja pada usia sekitar 20-an, barulah beliau mengenal dengan lebih mendalam tentang pengaruh agama dalam perubahan sosial masyarakat kulit hitam dan hanya dibaptiskan pada 1988.

Beliau sememangnya dikenali dengan minat yang mendalam dalam sukan bola keranjang dan pernah menyertai pasukan sekolah tingginya. Obama turut meluangkan masanya bermain sukan tersebut ketika melawat anggota tentera AS yang berkhidmat di Djibauti pada 2006.
Beliau juga mengakui merupakan seorang perokok tegar namun sebelum melakukan pengumuman sebagai calon Presiden bagi partinya, beliau telah mengumumkan kepada umum tentang usahanya untuk berhenti merokok.

Sebelum berkecimpung dalam politik beliau pernah menjadi pensyarah undang-undang di Universiti Chicago selama beberapa tahun. Obama juga merupakan seorang yang aktif dalam pelbagai pertubuhan kemasyarakatan dan pernah menganggotai dan menubuhkan pelbagai pertubuhan dan yayasan. Antaranya ialah The Joyce Foundation pada 1994 hingga 2002, Chicago Annenberg Challenge dari 1995 hingga 2002, Lugenia Burns Hope, Center for Neighbourhood Technology dan Chicago Lawyers Committee for Civil Right Under Law.

Kerjaya

Beliau juga menulis beberapa buku dan jurnal dan kekayaan yang beliau miliki sebelum ini kebanyakannya diperoleh dari hasil penjualan bukunya seperti “Dreams from my father” dan “The audacity of hope”. Beliau dikatakan memperoleh pendapatan sebanyak AS$ 4.2 juta (RM13.4 juta) pada tahun 2007 yang kebanyakannya hasil daripada penjualan buku.
Kerjaya politik Obama bermula setelah dilantik sebagai anggota Senat Illinois mewakili daerah ke-13 pada 1996 dan dilantik semula pada 1998 dan 2002.

Beliau pernah dilantik menjadi pengerusi Senat Illinois bagi Jawatan kuasa Kesihatan dan Khidmat Kemanusiaan pada 2003. Obama kemudiannya mengumumkan akan bertanding bagi jawatan Senator bagi negeri Illinois dan akhirnya beliau menang dengan majoriti 70 peratus pada pilihan raya 2004 dengan menewaskan calon Republikan Alan Keyes.

Sebaik mengangkat sumpah jawatan tersebut pada 4 Januari 2005, Obama mencatat sejarah sebagai orang kulit hitam kelima dipilih memegang jawatan Senator di AS. Bagaimanapun cita-cita Obama tidak terhenti setakat itu apabila beliau mengumumkan akan bertanding bagi jawatan Presiden dari Demokrat pada 2007 dan antara calon-calon lain ketika itu termasuklah bekas wanita pertama AS, Hillary Clinton.

Setelah melalui pertarungan sengit Obama akhirnya dipilih oleh anggota Demokrat pada 3 Jun sebagai calon parti itu untuk pilihan raya Presiden dengan majoriti besar. Dalam Konvensyen Demokrat pada 25 hingga 28 Ogos 2008 Obama memilih Senator berpengalaman dari Delaware, Joe Biden sebagai calon Naib Presiden.

Sepanjang berkempen Obama sentiasa mendahului McCain dalam pelbagai perkara sama ada dari segi populariti, jumlah dana yang diperoleh malah tidak pernah sekalipun McCain mendahului Obama dalam tinjauan pendapat yang dilakukan. Akhirnya takdir menyebelahi Obama, calon yang dilihat sebagai sangat berkarisma dan mampu membantu menyelesaikan kemelut yang melanda negara ini apabila beliau diisytiharkan sebagai pemenang pilihan raya Presiden AS dengan membolot 349 undi Badan Perwakilan Pemilih berbanding McCain yang hanya memperoleh 163 undi.

Dengan kos perbelanjaan untuk pilihan raya ini yang mencecah lebih AS$1 bilion, jumlah paling besar dalam sejarah pilihan raya, calon pilihan ramai ini berjaya memperoleh kemenangan seperti yang dijangka. Ini sekali gus mencatat sejarah bahawa warna kulit dan keturunan tidak pernah menjadi halangan untuk melayakkan seseorang itu untuk menjadi antara pemimpin yang hebat seperti yang pernah berlaku dalam lipatan sejarah dunia sebelum ini.

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor