Rabu, 5 November 2008

Perjuangan Politik

UMNO lahir atas kesedaran dan kehendak para perwakilan yang menghadiri Kongres Melayu Se-Malaya yang pertama pada 1 – 4 Mac 1946.

Selepas Kerajaan Jepun menyerah kalah pada 14 Ogos 1945, kerajaan British telah menghantar bala tenteranya untuk menguasai semula Semenanjung Tanah Melayu, dan serentak membawa perubahan redikal terhadap pemerintahan negeri-negeri Melayu. Melalui tipu hela, Raja-raja Melayu telah dipengaruhi supaya menandatangani perjanjian dengan Harold MacMicheal bagi menyerahkan kuasa pemerintahan serta kedaulatan kepada Kerajaan British. Negeri-negeri Melayu bersama Melaka dan Pulau Pinang disatukan di bawah Kesatuan Malaya atau Malayan Union dan ditadbirkan sebagai jajahan takluk British.

Apabila cara pemerintahan baru di Semenanjung Tanah Melayu diumumkan di Parlimen British pada 10 Oktober 1945, maka orang-orang Melayu dari Perlis ke Singapura, melalui persatuan masing-masing, berkumpul dan bersuara membantah penubuhan Malayan Union. Satu perhimpunan besar-besaran yang pertama telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946.

Ketetapan yang telah dipersetujui di Kongres tersebut adalah:

1. Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO
2. Membantah Penubuhan Malayan Union
3. Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu

Suatu Jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menyediakan Piagam atau Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) atau UMNO, dan Perlembagaan itu telah diterima oleh perhimpunan yang bersidang di Johor Bahru pada 11 Mei 1946 dan pada tarikh tersebut UMNO selamat dilahirkan dengan rasminya.

Perjuangan UMNO yang pertama adalah membangkang penubuhan Malayan Union. Melalui akhbar-akhbar seperti Utusan Melayu dan Majlis, suara orang Melayu menentang Malayan Union dapat diketahui. Pemimpin UMNO berjaya menasihatkan Sultan-sultan melayu supaya tidak menghadiri upacara perlantikan Gabenor Malayan Union yang pertama, Edward Gent, dan secara simbolik memanifestasikan kemarahan dan bangkangan orang-orang Melayu terhadap Malayan Union.

Dua bulan selepas wujudnya Malayan Union, Kerajaan British telah mengubah pendirian dan bersedia mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil UMNO dan Sultan-sultan bagi mewujudkan satu kerajaan persekutuan baru. Rundingan ini berlangsung hingga 21 Januari 1948 apabila Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani oleh Raja-raja Melayu dengan wakil kerajaan British yang mengembalikan semula kuasa-kuasa dan kedaulatan Sultan-sultan. Secara rasmi Persekutuan Tanah Melayu dilahirkan pada 1 Februari 1948.

Kerajaan Persekutuan Tanah Malayu ditadbir oleh Pesuruhjaya Tinggi dan dibantu oleh beberapa ahli Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan termasuk Yang Di Pertua UMNO, Dato Onn bin Jaafar yang telah diberi tanggunjawab sebagai Ahli (Member) Hal Ehwal Dalam Negeri. Semasa memegang jawatan itu, Dato Onn telah menubuhkan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan atau Rural and Industrial Development Authority (RIDA) yang bertujuan membantu orang-orang Melayu mencebur dalam bidang perusahaan. Pemerintahan di peringkat Negeri pula adalah di bawah kuasa Menteri Besar dibantu oleh Penasihat British.

Pada bulan Jun 1948 pengganas dari parti Komunis Malaya telah melakukan pembunuhan liar dan pembinasaan terhadap harta awam dan persendirian menyebabkan Kerajaan Persekutuan mengisytihar Darurat pada 16 Jun 1948. Bagi menghadapi ancaman komunis ini, UMNO telah menggembelingkan tenaga orang Melayu lelaki dan perempuan supaya menyertai pasukan bersenjata termasuk polis khas dan pengawal kampong.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu mengandungi peruntukan berkenaan pilihanraya umum bagi membolehkan rakyat memilih wakil-wakil mereka ke Dewan Perundangan dan seterusnya memerintah sendiri sebagai negara merdeka.

Langkah pertama yang dilakukan oleh UMNO adalah berkerjasama dengan Persatuan Cina Malaya (MCA) bagi merebut kerusi pilihanraya majlis tempatan, iaitu Majlis Munisipal Kuala Lumpur pada tahun 1951. Kerjasama ini telah membawa kejayaan cermerlang dan dengan sokongan yang diberi kemudian oleh Kongres India Malaya (MIC) maka satu gabungan parti yang diberi nama Perikatan (Alliance) telah ditubuh bagi menghadapi pilihanraya umum yang pertama pada 27 Julai 1955 yang berkesudahan dengan Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi bagi Majlis Perundangan Persekutuan. Yang diPertua UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra telah dilantik menjadi Ketua Menteri dan Menterinya terdiri dari wakil rakyat yang dipilih dan juga pegawai pentadbir British yang dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi.

Dengan kejayaan cermerlang yang dicapai oleh Parti Perikatan, dalam pilihanraya 1955, UMNO terus berazam untuk mendapatkan kemerdekaan penuh. Rundingan demi rundingan telah diadakan di London di antara wakil-wakil Perikatan yang diketuai oleh Yang DiPertua UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra, wakil-wakil Raja-raja Melayu dan wakil-wakil Kerajaan British dan akhirnya persetujuan telah tercapai bagi kemerdekaan Tanah Melayu sebagai Negara yang merdeka dan berdaulat mulai pada 31 Ogos 1957.

Pada 27 Mei 1961 Tunku telah mencadangkan supaya ditubuhkan Melayu Raya dengan merangkumi, Borneo Utara (Sabah), Brunei, Sarawak dan Singapura dan konsep ini diterima baik oleh hampir semua pihak. Suruhanjaya peninjau (Cobbold Commission) dan penyiasat dari Bangsa-bangsa Bersatu telah membuat laporan positif dan setelah diadakan rundingan dengan pihak-pihak yang terlibat, maka Negara Malaysia yang terdiri dari Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura wujud dengan rasminya pada 16 September 1963. Singapura keluar dari Malaysia hamper dua tahun kemudian dan menjadi sebuah Rupublik pada 9 Ogos 1965.Sebagai Negara merdeka dan berdaulat, UMNO menjadi tulang belakang dalam Kerajaan Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional, dan tidak putus-putus bergerak untuk mengisi makna kemerdekaan.

Usaha membangunkan negara dalam semua bidang dimulakan dengan wujudnya Rancangan Pembangunan Jangkapanjang dan Rancangan pembangunan bagi tiap-tiap lima tahun bermula dengan Rancangan Malaya Pertama (1956-60) hinggalah Rancangan Malaysia Ke-7 bagi 1996-2000.

Tujuan utama Rancangan pembangunan negara adalah, di antara lain, meningkatkan taraf politik dan sosio-ekonomi rakyat, menentukan kesalamatan rakyat dari ancaman musuh baik dari dalam atau luar negari, memperkembangkan ekonomi negara dan menyediakan prasarana yang berkesan.

Pilihanraya umum bagi memilih wakil rakyat untuk Dewan Perundangan Persekutuan telah diadakan pada tahun 1955 dan untuk Dewan Rakyat pada tahun 1959, 1964, 1969, 1974, 1978, 1982, 1986, 1990 dan 1995.

Pilihanraya juga diadakan bagi memilih ahli untuk Dewan-dewan Undangan Negeri.
Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional telah menang dengan cemerlang setiap kali diadakan pilihanraya Persekutuan dan berjaya memegang teraju pemerintahan berturut-turut semenjak 195Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional telah menang dengan cermerlang setiap kali diadakan pilihanraya Persekutuan dan berjaya memegang teraju pemerintahan berturut-turut semenjak 1955. Kejayaan ini adalah disebabkan oleh keazaman pimpinan dan anggota UMNO dan sokongan rakyat jelata umumnya terhadap dasar dan program yang disediakan oleh UMNO dan rakan-rakannya.

Ahli-ahli UMNO sebagai pengamal dan penyokong demokrasi, memilih pemimpin mereka di peringkat Cawangan, Bahagian dan Majlis Tertinggi dan persidangan perhimpunan agong juga diadakan tiap-tiap tahun bagi membolehkan ahli-ahli mengetahui perjalanan parti, menentukan dasar-dasar dan mengesan pembangunan negara.

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor