Rabu, 28 Mac 2012

Kompleks Sukan PKNS Kelana Jaya: MB serah pengurusan PKNS tentukan pembangunan!


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menyerahkan kepada pihak pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berhubung pembangunan di kawasan Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kelana Jaya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menghalang untuk PNKS untuk melaksanakan apa juga projek pembangunan di lokasi berkenaan dengan nilai yang sesuai.

Sungguhpun begitu katanya, beliau tidak membenarkan PKNS menjual tanah tersebut selain meminta agar anak syarikat kerajaan negeri itu melakukan sendiri kerja-kerja pembangunan di tanah berkenaan bukannya kepada syarikat lain.

"Kita (kerajaan negeri) tidak halang pegawai PKNS bagaimana untuk melaksanakan pembangunan hartanah berkenaan (Kompleks Sukan PKNS di Kelana Jaya).

"Tetapi PKNS tidak boleh buat amalan mengambil 30 peratus daripada hasil projek manakala 70 peratus kepada syarikat lain menerusi konsep usaha sama.

"Sebaliknya PKNS harus melaksanakan sendiri sebarang projek pembangunan di kawasan berkenaan yang mana 70 peratus hasil diperolehi oleh PKNS manakala 30 peratus diberikan kepada syarikat usahasama yang berperanan sebagai pelabur," katanya.

Abdul Khalid (PKR-Ijok) berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ismail Sani (BN-Dusun Tua) mengenai PKNS yang dikatakan akan menjual tanah di Kompleks Sukan PKNS Kelana Jaya untuk tujuan komersial.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perkara itu, Abdul Khalid turut meminta agar pengurusan PKNS perlu membuat perbincangan dengan masyarakat tempatan sebelum melaksanakan apa-apa pembangunan di kawasan berkenaan.

Malah katanya, hasil daripada projek projek pembangunan itu, PKNS boleh menyalurkan untuk membina projek-projek lain melibatkan rumah mampu milik di negeri ini.

"Namun, semua pembangunan harus dilakukan secara profesional," ujarnya.

Warna-warni politik
Torashah

Jumaat, 23 Mac 2012

Mat Sabu tidak jelas kontroversi rakaman!

Meskipun kontroversi rakaman perbualan berbaur lucah yang mengaitkan Mohamad Sabu dengan seorang wanita boleh memburukkan imej Pas tetapi beliau tidak menggunakan ceramah beliau di Stadium Mini Jitra di sini malam tadi untuk menjelaskan isu berkenaan.

Malahan Timbalan Presiden Pas itu juga tidak menggunakan pentas ceramah tersebut untuk menjelaskan spekulasi yang mengatakan bahawa krisis dalaman pentadbiran Pas Kedah antaranya berpunca daripada usaha terdesak pihak tertentu untuk membawa beliau bertanding di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Sebaliknya beliau menggunakan sebahagian besar ceramahnya selama kira-kira 45 minit itu untuk memburuk-burukkan pemimpin dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) serta mendakwa kerajaan negeri di bawah pembangkang lebih bijak mentadbir.

Beliau turut mengecam Utusan Malaysia dengan mendakwa akhbar itu memainkan isu perkauman di Pulau Pinang.

Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu memberi penjelasan berhubung dakwaan yang mengaitkan beliau dalam rakaman perbualan berbaur lucah dengan seorang wanita.

Desakan itu dibuat kerana isu berkenaan dianggap cukup serius dan jika benar, ia boleh memburukkan lagi imej Pas apatah lagi Mat Sabu merupakan orang nombor dua dalam parti itu.

Sementara itu, Mat Sabu mendakwa beliau telah lama mengadakan rundingan dengan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang meletak jawatan sebagai ahli UMNO baru-baru ini. Beliau juga mendakwa sedang berunding dengan ramai lagi pemimpin UMNO berhubung perkara yang sama.











Warna-warni politik
Torashah..

Selasa, 20 Mac 2012

BUKTI ... Ronnile Liu MENGAKU SELEWENG Tender & Kontrak Sampah SELANGOR ?



Bukti penyelewengan pemberian kontrak sampah kepada kroni Pakatan Rakyat di Selangor!

Mengapa kerajaan negeri PKR wajib dikatakan melakukan penyelewengan dalam pemberian tender dan kontrak sampah di Selangor?

Untuk berita selanjutnya, sila lihat di sini.



Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 15 Mac 2012

Wawancara - MB Selangor usah main wayang isu pasir!


Isu curi pasir kembali menghangatkan politik dan pentadbiran negeri Selangor yang diterajui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Isu itu dibangkitkan oleh pengendali laman blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda, Suhaimi Shafie bersama ADun Batu Caves, Amiruddin Shaari didakwa terlibat dengan skandal pasir.

Isu penyelewengan pasir ini bukan baru kerana pernah dibangkitkan Ahli Parlimen Kapar dari PKR, S Manikavasagam, dua tahun lalu atas dakwaan yang sama melinatkkan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB).

Selasa lalu, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa pihaknya mempunyai dokumen serta bukti kukuh bagi membuktikan kegiatan penyelewengan pasir itu sememangnya berlaku. Menurut beliau, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan segala bukti dan dokumen tersebut apabila tiba masanya nanti.

Pada sidang media, Abdul Khalid mahu Noh memberikan maklumat mengenai dakwaan itu kepada Transparency International (TI) dan KSSB. Pada masa yang sama, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menegaskan pendirian tidak akan menerima cadangan Abdul Khalid itu dan menuntut Kerajaan Negeri mengadakan perbicaraan terbuka. Ikuti penjelelasan Noh mengenai isu tersebut.

Kerajaan Negeri mahu tubuhkan panel penyiasat untuk menyiasat penyelewengan pasir di negeri ini tetapi kenapa Datuk Seri mahu perbicaraan secara terbuka?

NOH: Isu penyelewengan pasir bukan isu baru yang sengaja ditimbulkan. Sebelum Raja Petra, seorang wakil rakyat dari PKR, S Manikavasagam pernah membangkitkan isu yang sama yang membabitkan penyelewengan anak syarikat kerajaan negeri, KSSB.

Malah Jawatankuasa Pilihan Khas Me­ngenai Keupayaan, Ke­ber­tang­gung­jawaban dan Ketel­usan Selangor (Sel­­cat) juga pernah menjalankan per­bicaraan berhubung isu pasir ini. Eko­ran dakwaan tersebut, kerajaan negeri mengadakan sesi pendengaran awam Selcat pada tahun 2010. Tetapi saya difahamkan, sudah satu tahun lebih isu berkenaan masih lagi tergantung dan tidak ada sebarang kata putus.

Jadi, kita pertikaikan mengapa keadaan ini berlaku. Kerajaan Negeri tubuhkan Selcat kononnya atas dasar ketelusan. Tetapi kenapa pendengaran awam mengenai dakwaan penye­lewengan pasir dua tahun lalu masih tergantung, senyap begitu sahaja. Jika begini keadaannya, Kerajaan Negeri seolah-olah mewujudkan Selcat itu hanya untuk menutup kelemahan mereka, untuk tujuan politik.

Kemungkinan tindakan menangguhkan Selcat itu adalah untuk menyekat Adun Barisan Nasional (BN) membangkitkan isu perlombongan pasir pada Sidang Dun. Selcat digunakan untuk menutup kelemahan Kerajaan Negeri. Contohnya, mana-mana kes termasuklah dakwaan penyele­wengan pasir yang sedang dibicarakan oleh Selcat tidak boleh dibahas dan dibangkitkan dalam Dun.

Kalau perkara berkenaan tidak boleh dibangkitkan dalam Dun, di mana lagi tempat Adun-Adun nak bangkitkan? Sebab itu, saya lihat Selcat seolah-olah hanya untuk kepentingan politik sahaja. Kerajaan Negeri kemudiannya mahu tubuh panel penyiasat di bawah TI dan mahu saya kemukakan bukti. Kenapa saya perlu tampil dan kemuka bukti kepada TI sedangkan Kerajaan Negeri sendiri tidak meyakinkan rak­yat bahawa ada tindakan selepas penyiasatan dilakukan.

Kerana itu saya cabar Kerajaan Negeri adakan ‘perbicaraan rakyat’ secara terbuka kerana isu berkenaan melibatkan kepentingan rakyat di negeri ini. Saya bersedia untuk menghadiri perbicaraan itu dengan membawa segala bukti dan dokumen serta akuan bersumpah orang-orang terlibat. Pada saya, Kerajaan Negeri tidak jujur dan tidak telus kerana sehingga hari ini siasatan Selcat dibuat secara tertutup tidak pernah diumumkan keputusannya malah, berhenti separuh jalan!

Mengapa Datuk Seri enggan menyerahkan dokumen berkaitan kepada panel penyiasat?

NOH: Buat apa saya nak berikan maklumat yang saya ada kepada TI dan KSSB, siapa mereka ini? Kalau beri maklumat kepada orang yang didakwa, ia bukan satu tindakan yang bi­jak. Saya tunggu mahkamah rak­yat se­kiranya Abdul Khalid berani untuk sahut cabaran saya. Tetapi saya mahu Abdul Khalid memberikan jaminan bahawa tindakan akan diambil sekiranya saya berjaya membuktikan berlakunya rasuah dan penyeleweng­an dalam operasi perlombongan pasir yang dijalankan KSSB.

Jika gagal membuktikan dakwaan itu, saya juga sedia mematuhi syarat yang dikemukakan Kerajaan Negeri. Persoalannya, apakah menteri besar berani letak jawatan atau pecat exco dan Adun yang terlibat atau tutup KKSB jika terbukti melakukan penyelewengan. Saya mahu perjanjian ini dibuat lebih awal. Terpulang kepada Kerajaan Negeri untuk menyatakan persetujuan dalam masa terdekat. Lagi cepat lagi bagus bagi memperjelaskan isu pasir ini kepada rakyat. Jangan cuba untuk menipu rakyat dengan ayat-ayat retorik sahaja kerana segala penyelewengan itu akan didedahkan.

Datuk Seri juga mendakwa menteri besar cuba membohongi Sultan Selangor dalam isu pasir ini?

NOH: Ketika mula-mula menyandang jawatan menteri besar pada 2009, Abdul Khalid dalam ucapan sulungnya menyasarkan perlombongan pasir di negeri itu boleh mencecah sekitar RM150 juta setahun. Tetapi akhirnya tak sampai pun RM15 juta. Ini kerana berlaku penyelewengan dalam urus tadbir KSSB.

Ini membuktikan pemimpin PKR hanya pandai berkata-berkata tetapi gagal untuk melaksanakannya. Sebelum dapat memerintah negeri Selangor, macam-macam janji diberi. Tetapi apabila diberi peluang, mereka gagal untuk menunaikannya. Mereka hanya pandai berkata-kata dan memutar belit fakta. Itu mengenai pasir.

Semasa berucap sempena hari jadi Sultan Selangor tempoh hari, beliau mengumumkan kenaikan elaun guru KAFA menjadi RM1,300 sebulan. Tetapi langsung tak sebut pun daripada RM1,300 itu, cuma RM500 sahaja peruntukan datang daripada Kerajaan Negeri manakala baki RM800 lagi adalah daripada Kerajaan Persekutuan. Ini dinamakan lembu punya susu, sapi yang dapat nama.

Tetapi yang lebih penting, Kerajaan Negeri langsung tidak meng­am­bil berat soal pendidikan anak-anak Selangor terutamanya mereka yang di luar bandar. Bila PKR memerintah mereka seperti tikus membaiki labu, bukan hendak membaiki tetapi menjahanamkan lagi struktur yang telah kita bina. Contohnya, mereka hendak robohkan asrama Yayasan Selangor yang banyak melahirkan cerdik pandai.

Kerajaan BN dahulu menubuhkan Yayasan Selangor bagi membantu murid di luar bandar yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di Sekolah Berasrama Penuh mendapatkan kemudahan pendidikan lebih baik di sekolah ternama di Kuala Lumpur seper­ti SMK St John, Victoria Institution dan beberapa sekolah elit lain.

Anak-anak Selangor yang mendapat tajaan Yayasan Selangor ditempatkan di Asrama Toh Puan Norashikin dan Tun Dr Ismail di Kampung Pandan tetapi apa yang menyedihkan kini adalah pihak pengurusan Yayasan Selangor mahu meroboh­kan asrama itu untuk membangunkan projek komersil. Sepatutnya sebuah UiTM juga dibina di Serendah tetapi kerana sikap ego Kerajaan Negeri, hak itu dinafikan. Sebaliknya rakyat negeri Melaka yang mendapat untung apabila UiTM dipindahkan ke negeri itu.

Apakah pelbagai inisiatif diberikan Kerajaan Pusat mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap BN?

NOH: Hakikatnya sepanjang 55 tahun memerintah, BN telah banyak menya­lurkan bantuan sebagai satu usaha dan tanggungjawab kerajaan untuk membangunkan, meninggikan taraf hidup dan mengurangkan beban rak­yat sehingga ke hari ini. Mungkin rak­yat tidak sedar bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM20 bilion sebagai subsidi kepada rakyat Malaysia.

Contohnya Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak mengenakan caj kepa­da penggunaan di bawah RM20. Se­ba­liknya Kerajaan Selangor hanya bang­ga dengan air percuma sebanyak RM10 sebulan, itu sahaja. Apabila rak­­yat menikmati hasil daripada pengu­ru­san kewangan dan pentadbiran negara di bawah BN menerusi program-program, bantuan yang disediakan, mereka bertindak mengelirukan rakyat.

Usaha BN membantu rakyat di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Da­tuk Seri Najib Tun Razak dapat dili­hat apabila 100,000 keluarga selu­ruh ne­gara daripada semua kaum dan ber­pen­dapatan rendah akan menikmati hasil daripada pendapatan pelabu­ran saham amanah di bawah Sara 1Ma­laysia.

Di bawah skim berkenaan, ke­rajaan menanggung RM100 juta kos faedah bagi pinjaman RM5,000 yang berikan kepada setiap mereka yang layak bagi tempoh lima tahun. Ha­sil daripada pinjaman pelaburan itu, mereka yang layak akan menerima pulangan RM13,000 dalam tempoh lima tahun. Mereka juga tidak per­lu tanggung kadar faedah daripada pinjaman, inilah bukti kerajaan untuk membantu dan mendahulukan rakyat.

Banyak lagi bantuan disediakan kerajaan seperti bantuan persekolahan RM100, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500, Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dan sebagainya. Bantuan tersebut diberikan kepada semua kaum atas dasar prinsip Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Inilah pendirian pentadbiran di bawah BN yang melaksanakan janji-janjinya kepada rakyat.

Banyak lagi bantuan yang kerajaan berikan, tetapi rakyat tidak menyedarinya, seper­ti subsidi dan sebagainya. BN bukan seperti pembangkang yang bersifat seperti ‘ayam yang telur sebiji, riuh sekampung’!-SH

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 13 Mac 2012

Perjuangan Shahrizat belum selesai!


Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengambil keputusan yang betul, bijak dan profesional dengan mengumumkan keputusan berundur sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apabila tempoh pelantikannya sebagai Anggota Dewan Negara (Senator) tamat pada 8 April ini.

Jawatan itu adalah ‘lantikan Perdana Menteri’ Datuk Seri Najib Tun Razak maka ia patut diserahkan semula kepada Pengerusi Barisan Nasional itu.

Jelas, Shahrizat tidak mahu beliau menjadi beban kepada negara dan Perdana Menteri. Oleh itu semua ahli Pergerakan Wanita UMNO harus menghormati keputusan beliau.

Keputusan yang diambil oleh Shahrizat itu diyakini tanpa desakan dan tekanan daripada mana-mana pihak terutama pembangkang.

Pengumuman yang dibuat selepas merasmikan Majlis Karisma Keluarga: Jalinan Kasih” di Taman Tema Desa Waterpark di ibu negara petang semalam memperlihatkan Shahrizat sudah bersedia dan tenang untuk mengumumkan keputusan yang ‘berat’ itu.



Bagi seorang menteri dalam Kabinet, keputusan yang diambil Shahrizat sudah pastinya berat untuk dilakukan namun selepas memikirkan dari segenap aspek terutamanya dalam soal parti sudah pastinya ia dilihat cukup berani.

“Saya mahu melakukan perkara yang betul. Saya berfikir untuk diri saya sekarang, perkara yang betul ialah berundur sebagai menteri Kabinet. Masanya telah tiba.

“Saya juga mahu memastikan bahawa apa jua keputusan yang saya buat adalah keputusan yang tepat. Ia adalah keputusan saya sendiri,” kata Shahrizat.

Bagaimanapun jawatan sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO akan kekal dipegangnya sehingga pemilihan akan datang. Ini kerana ia hak organisasi wanita UMNO yang dipilih secara demokrasi.

Begitu juga jawatan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) kerana ia selari dengan kedudukan Ketua Wanita UMNO dalam komponen Wanita BN.


Banyak pihak mengaitkan pengunduran Shahrizat itu dipercayai ada kaitan dengan isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp) yang membabitkan ahli keluarganya.

Siasatan isu NFCorp masih berjalan maka tepatlah Shahrizat melepaskan jawatan Kabinetnya dan sebelum itu pun beliau telah mengambil cuti pada 13 Januari lalu. Apa pun Shahrizat telah mendahulukan kepentingan awam daripada kepentingan jawatan rasminya dalam Kabinet.

Walaupun kes NFCorp belum selesai siasatannya tetapi beliau mahu persepsi rakyat terhadap dirinya dan kerajaan diperbetulkan. Beliau telah mengorbankan jawatannya dan ia wajar dihormati.

Sungguhpun tidak lagi berjawatan menteri, perjuangan Shahrizat belum selesai. Ketua Wanita UMNO diyakini akan terus menggalas tanggungjawab memimpin jentera pilihan raya wanita untuk memastikan BN memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Siapa mahu nafikan kegigihan Shahrizat memandu jentera wanita dan menjadinya benteng terkuat bagi BN.

Idea dan tenaganya masih ditagih oleh rakyat.-UMO

Warna-warni politik
Torshah

Isnin, 5 Mac 2012

Anwar dan Israel!


SELEPAS Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan menyokong sebarang usaha melindungi keselamatan Israel, umat Islam dan banyak pihak membantah beliau.

Disebabkan kenyataan tersebut, rating pakatan pembangkang jatuh. Pas turut memisahkan parti itu daripada pendirian Anwar. Lalu Anwar dan PKR bertungkus lumus memulihkan imej tetapi dengan putar belit.

Ini termasuk dakwaan kerajaan Malaysia tidak konsisten dalam pendirian dan dasarnya berhubung Israel. Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad turut difitnah kononnya turut menyokong Israel.

Tiga pucuk surat Dr. Mahathir kepada tiga Perdana Menteri Israel, yang disiarkan Rabu lalu menjawab segala-galanya. Awang teruja membaca surat-surat itu, patah demi patah perkataan. Membara semangat Awang. Ternyata langkah kerajaan menyiarkan kandungan surat tersebut menyangkal tohmahan PKR. Malah ia membuktikan ketegasan Dr. Mahathir mempertahan dan memperjuangkan rakyat Palestin daripada kezaliman rejim Zionis. Mahathir bukan seperti Anwar yang suka bermuka-muka dalam dasar luar.

Malaysia terus komited memperjuangkan kepentingan Palestin dan dasar itu tidak berubah sehinggalah era Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak.

Sehari selepas pendedahan surat Dr. Mahathir, Hamas pula dalam kenyataannya menafikan pendirian pertubuhan itu selari dengan Anwar. Pengerusi Biro Politik Hamas, Dr. Mousa Abu Marzook berkata, pihaknya sama sekali tidak akan mengiktiraf rejim Zionis. Ia satu lagi tamparan kepada ketua pembangkang itu yang sebelum ini mendakwa Hamas berkongsi pendirian dengan beliau. Ramai tahu bahawa Anwar suka `menjual’ atau mempergunakan nama pemimpin dan tokoh Islam antarabangsa bagi menguatkan hujahnya.

Setakat ini, Anwar tidak menarik balik kenyataan asal beliau dan enggan memohon maaf kepada umat Islam. Pada Awang, ia membuktikan bahawa beliau memang mahu kenyataannya itu kekal sedemikian sebagai khazanah maklumat untuk rakyat Israel di seluruh dunia.

Bangsa paling berpengaruh di muka bumi hari ini adalah Yahudi yang mempunyai rangkaian strategik terhebat dalam politik antarabangsa dan sektor kewangan. Anwar mahu mengambil kesempatan dengan `melabur’ kepada bangsa itu demi memburu kuasa. Menyedari bahawa beliau mempunyai masalah moral yang rakyat Malaysia tidak mungkin mengangkatnya sebagai Perdana Menteri maka Anwar sangat terdesak memerlukan bantuan asing. Disebabkan percaturan itu, umat Islam tidak layak dan tidak mungkin mendapat kemaafan daripada beliau. Walaupun isu Israel, memburukkan lagi imej Anwar, beliau tidak akan berdiam. Ada sahaja muslihatnya... tunggulah.

Oleh : Bisik-Bising Awang Selamat

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 4 Mac 2012

Hasan Ali nafi terima dana RM30j latih belia daripada KBS!

Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Ali Hasan menafikan dakwaan Pas bahawa beliau menerima peruntukan dana sebanyak RM30 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi melaksanakan program latihan khusus untuk golongan belia di negara ini.

"Tuduhan ini berniat jahat, berunsur fitnah dan satu percubaan untuk memburukkan imej saya di mata rakyat serta mencemar kredibiliti saya sebagai ahli politik dan peneraju badan NGO, Jati,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Damansara hari ini.

Kelmarin, Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat pusat parti itu mendakwa KBS merupakan antara penyumbang utama dana kepada Hasan dalam melaksanakan program latihan khusus untuk belia, selain menggerakkan sesi jelajah ceramah Hasan Ali ke seluruh negara.

Hasan menyelar Mahfuz dan menyifatkannya sebagai ”parasit” dalam parti pembangkang itu. Katanya, tuduhan Mahfuz adalah kerana khuatir dengan program jelajah beliau yang berjaya mengumpulkan kehadiran ribuan khalayak selain cubaan untuk mengalih pandangan umum terhadap kemelut yang melanda Pas Kedah.

Selain Mahfuz, Hasan menyelar Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang sebelum ini menuduh beliau menerima wang daripada Syabas atau Puncak Niaga. Beliau berkata, setiap ceramah dan aktivitinya menggunakan wang sendiri dan sumbangan orang awam.

"Saya telah pun menyerahkan perkara ini kepada barisan peguam saya untuk mengambil tindakan munasabah,” katanya. – BERNAMA

Warna-warni politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor