Ahad, 25 Oktober 2009

PAS : Retak Menanti Belah !

'Tiada siapa jadi dalang'

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan gesaannya agar kepimpinan Pas dibersihkan daripada golongan prokerajaan perpaduan didalangi oleh pihak yang berkepentingan.

Sambil mempertahankan pendiriannya, beliau menegaskan isu yang tercetus daripada apa yang dianggapnya sebagai cadangan itu diluahkan dengan ikhlas demi masa depan parti yang telah dipupuk sekian lama.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, beliau sudah cukup arif untuk membuat pertimbangan sendiri dan yakin cadangan itu jika diterima tidak akan memecah-belahkan Pas. ''Saya dah tua, tak payah orang lain jadi dalang. Saya nak jaga parti saya supaya dihormati sampai bila-bila," katanya ketika diminta mengulas desas-desus ekoran kenyataannya itu.

Ramai kalangan ahli Pas tidak percaya bahawa beliau membuat pertimbangan sendiri dalam mengemukakan gesaan itu melainkan dipengaruhi oleh pihak tertentu. Menurut Nik Abdul Aziz, tidak perlu lagi baginya untuk terus menjelaskan persoalan itu dan terserah kepada parti sama ada menerima atau tidak.

''Jika ramai yang tak setuju Muktamar Agung Khas (EGM) tak apa... saya keluarkan fikiran saya, kalau setuju, Alhamdulillah," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Masjid Noor Aini (Cahaya Mataku), Pasir Hor dekat sini hari ini. Utusan Malaysia hari ini melaporkan Nik Abdul Aziz mahu Pas dibersihkan daripada kumpulan prokerajaan perpaduan melalui EGM walaupun ia mungkin menyebabkan parti berusia 58 tahun itu berpecah.

Nik Abdul Aziz menamakan tiga pemimpin yang perlu 'dibersihkan' iaitu Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Laporan media itu turut merujuk kepada kenyataan melalui blognya kelmarin yang dibuat setelah meneliti tulisan seorang pensyarah dan mendengar pandangan rombongan penyokong parti dari Sabah dan Sarawak yang mencemaskannya. Ditanya apakah tiada pendekatan lain untuk menyelesaikan persoalan berbangkit, beliau berkata: ''Saya tak mahu buat benda lain, saya sebut sekali. Terima. Alhamdulillah, tak terima tak apa.. saya tidak memaksa.

''Saya nak jaga Pas saya kerana ia parti yang dihormati oleh masyarakat. Kalau ada orang (buat) itu ini, saya kena buat sesuatu. Saya ikhlas nak jaga parti yang saya bajai, airi dan pagar sekian lama." Sehubungan itu, beliau menegaskan tiada sebab baginya untuk menarik balik kenyataan yang mengejutkan itu kerana menganggap ia suatu yang benar.

Beliau juga menafikan kenyataan yang dibuatnya itu sebagai langkah terakhir untuk menyiapkan kepimpinan sebelum melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar. ''Selagi umur saya ada, banyak lagi yang terakhir," ujarnya. Menyentuh mengenai kemungkinan perubahan barisan kepimpinan melalui EGM tidak akan tercapai sekiranya perwakilan mahu mereka terus dikekalkan, beliau berkata: ''Saya tak perlu jawab, jawab yang ini timbul yang lain pula."

Namun beliau mengulangi bahawa sekiranya apa yang dimahukan tidak diterima oleh parti, ia tidak akan mengecewakannya kerana beliau cuma memberikan buah fikiran. ''Saya tak kecewa kalau orang tak terima... dalam dunia ini kalau nak kecewa, selama-lamanya kecewa," ujarnya.

Pas tak perlu ada EGM

Pas tidak perlu mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) untuk membersihkan parti daripada kumpulan prokerajaan perpaduan kerana yang wujud hanya sedikit kekeliruan dan salah faham di kalangan pemimpin parti itu. Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, EGM yang dibuat oleh MCA dan UMNO berbeza, justeru beliau tidak nampak sebarang keperluan untuk Pas juga mengadakan EGM.

"UMNO buat EGM sebab pemimpinnya nak perkasakan parti ini melalui pindaan perlembagaan parti. "MCA buat EGM sebab masalah dalaman pemimpin mereka dan saya rasa Pas tidak ada masalah sehingga perlu ke tahap nak buat EGM," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azizan yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu mengadakan EGM kerana mahukan Pas dibersihkan daripada kumpulan prokerajaan perpaduan.

Nik Aziz mahu EGM diadakan segera bagi mendapatkan keputusan sama ada pemimpin Pas yang menyokong perpaduan dengan UMNO diterima atau ditolak daripada parti itu.
Beliau menamakan tiga pemimpin bermasalah yang perlu 'dibersihkan' iaitu Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Menurut Azizan, apa yang berlaku dalam parti itu hanya disebabkan perbezaan pendapat dan sedikit kekaburan mengenai sesuatu perkara. "Perbezaan pendapat ini adalah satu rahmat dan ia tidak teruk seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak," katanya.

Hadi, Harun mahu dengar penjelasan dahulu

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib mahu mendapatkan penjelasan daripada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terlebih dahulu berhubung kenyataannya ingin mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menukar pemimpin bermasalah.
Harun berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika dihubunginya juga memaklumkan akan turut mengambil pendekatan sama dalam menangani perkara itu.

Ini kerana, katanya, mereka tidak yakin kenyataan dalam laman blog Menteri Besar Kelantan itu merupakan pendapat yang ditulisnya sendiri. "Saya kenal dengan Tok Guru (Nik Abdul Aziz) dan saya tidak fikir kenyataan itu ditulis sendiri oleh beliau... Ini kerana beliau mempunyai cara dan gaya penulisannya tersendiri iaitu turut melibatkan dalil dan ayat al-Quran.

"Namun, jika benar beliau yang membuat kenyataan tersebut, kita akan memikirkan apakah tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui selepas Majlis sambutan Jubli Perak Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) di sini hari ini. Beliau diminta mengulas mengenai tulisan Menteri Besar Kelantan itu dalam blognya http://www.blogtokguru.com yang mencadangkan supaya EGM diadakan bagi 'membersihkan' beberapa orang pemimpin Pas yang bermasalah.

Harun berkata, beliau mempunyai saluran dan cara tersendiri untuk mendapatkan kesahihan itu. "Buat sementara waktu ini, kita tetap dengan pendekatan untuk tidak memberi apa-apa komen," katanya. Ditanya mengenai tiga pemimpin yang didakwa pro kepada kerajaan perpaduan atau yang perlu 'dibersihkan' dalam parti berkenaan, beliau berkata, ia merupakan cerita lama dan tidak perlu diulas lagi.

Tambahnya, ketika ini, Pas masih kukuh dan tiada sebarang pergolakan yang berlaku.
"Parti ini tidak ada pergolakan tapi sengaja digoyangkan, (seperti) pokok digoyang tetapi jika 'berkocok' sebab ada orang yang menggoyangkannya," jelasnya.

Mustafa Ali berdiam diri

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang namanya antara disasar untuk 'dibersihkan' daripada parti itu mengambil pendekatan berdiam diri. Beliau bertegas untuk tidak membuat sebarang ulasan berhubung kenyataan Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dan lebih senang mengambil pendekatan tunggu sahaja perkembangan seterusnya.

"Biarlah beliau (Nik Abdul Aziz) membuat apa-apa kenyataan sekalipun, saya tidak mahu komen apa-apa. Tunggu dan lihat dulu apa yang berlaku," katanya. Sambil ketawa, Mustafa berkata: ''Terpulanglah kepada awak untuk mentafsirnya.''

Permintaan Nik Aziz dibawa ke peringkat pusat

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub hari ini mengadakan pertemuan empat mata dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini ekoran kenyataan mengejutkan oleh Mursyidul Am parti itu.
Dalam pertemuan kira-kira 30 minit di kediaman Nik Abdul Aziz, beliau mendapatkan penjelasan mengenai pendirian pemimpin itu dan akan memanjangkan persoalan berbangkit kepada pimpinan Pusat dalam masa terdekat ini.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan butir-butir perbincangan mereka sebaliknya menganggap ia sebagai amanah yang hanya akan diumumkan selepas dibincangkan di peringkat Pusat. "Saya telah bertemu dengannya dan dengar dari mulut dia sendiri. Beliau telah meminta saya membawa amanah ini untuk disampaikan ke peringkat Pusat.

"Saya tidak boleh dedahkan amanah ini buat masa ini. Saya akan pulang ke Kuala Lumpur dan akan maklumkan kepada pimpinan tertinggi mungkin esok atau lusa," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Politik dalaman Pas bergolak semula dengan tiba-tiba apabila Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan melalui blognya mencadangkan agar Muktamar Agung Khas (EGM) diadakan.

Nik Abdul Aziz menamakan tiga pemimpin prokerajaan yang bermasalah dan perlu dibersihkan melalui EGM iaitu Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali. Nik Abdul Aziz yang mengesahkan pendiriannya kepada pihak media semalam berkata, perubahan itu dianggap perlu kerana ia juga sebahagian daripada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Sementara itu, Salahuddin menolak tanggapan beberapa pihak bahawa wujud masalah dalaman dalam parti itu yang membawa kepada penulisan artikel berkenaan. "Saya rasa tidak wujud masalah perpecahan dan tidak wujud isu dalaman parti. Saya telah mendengar sendiri apa yang beliau katakan dan tunggulah sehingga keputusan rasmi diumumkan kepada keseluruhan parti," jelasnya. Ditanya sama ada pendirian Nik Abdul Aziz itu mempunyai asas yang kukuh, Salahuddin sekali lagi enggan mengulas mengenainya dan meminta semua pihak bersabar.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 18 Oktober 2009

Melakar masa depan siasah!

KEHAMPAAN dalam politik, khususnya selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengalami prestasi terburuk dalam pilihan raya umum 2008, telah memberi kesan besar kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden UMNO sekarang yang merupakan Perdana Menteri keenam.

Dirinya yang berhemat menjadi seorang yang terlalu halus dalam setiap gerak politiknya. Tekanan politik yang berganda-ganda pula menyebabkan beliau begitu bersemangat dan sesekali cabaran membuatkan emosinya terganggu.

Najib yang kita saksikan pada Perhimpunan Agung UMNO ke-60 yang berakhir Jumaat lalu tidak akan menjadi sedemikian jika tidak kerana kemerosotan sokongan kepada UMNO dan BN pada pilihan raya umum ke-12, yang ombak tsunaminya baru saja surut pada 11 Oktober lalu apabila BN memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang di Negeri Sembilan.

Anak Allahyarham Tun Razak itu, pada usianya 56 tahun, mewarisi daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi suatu senario politik yang sangat sulit. Tidak pernah dalam sejarah UMNO, presiden parti yang paling dominan di negara ini terpaksa memimpin parti itu dalam suasana politik yang trauma dengan partinya hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Komen ringkas Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai ucapan Najib pada Perhimpunan Agung UMNO mendedahkan cabaran Perdana Menteri itu. Kata Dr. Mahathir, daripada ucapan Najib beliau merasakan Najib memahami tentang masalah yang menanti UMNO.

Najib pula tentulah lebih maklum kerana beliau sendiri yang menyampaikan ucapan tersebut pada perhimpunan itu iaitu ucapan dasar sulungnya selaku Presiden UMNO. Begitu tersentuh Najib dengan tuntutan yang dibuatnya supaya UMNO segera berubah dan seruan supaya ahli-ahli UMNO lekas menukar keinsafan kepada kerja politik yang bersungguh-sungguh, beliau dikatakan menitiskan air mata ketika meneliti teks ucapan itu sehari sebelum Perhimpunan Agung UMNO bermula.

Di Malaysia dan di mana jua, kemenangan dan kekalahan dalam politik memberikan liku-liku yang berbeza kepada seseorang pemimpin serta mempengaruhi cara dan strateginya berpolitik.
Selepas 200 hari mengemudi UMNO dan kerajaan, Najib terpaksa mengumpulkan semula kekuatan UMNO dan BN dengan kreativiti dan keberanian yang tidak pernah dilakukan oleh para pemimpin sebelumnya, termasuk oleh Dr. Mahathir sendiri yang berkuasa selama 22 tahun.

Najib tahu bahawa tanggungjawabnya amat besar selepas pengunduran Abdullah yang bersara kerana tekanan akar umbi. Beliau memikul amanah maha hebat untuk menulis semula masa depan politik Malaysia. Najib sendiri mengakui dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO tentang betapa pentingnya kemenangan pada saat-saat gelora politik seperti sekarang.

Walaupun telah merasai begitu banyak pencapaian politik sejak ditubuhkan pada tahun 1946 dan menjadi parti yang memperjuangkan kemerdekaan dan memerintah Malaysia sehingga kini, UMNO selepas Mac 2008 begitu dahagakan sokongan rakyat, biarpun kecil. Beliau berterus terang dengan ahli-ahli UMNO tentang impak kemenangan Tan Sri Mohd. Isa Samad dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang kepada mood Perhimpunan Agung UMNO yang baru berlangsung.

Kesegaran demokrasi

Jika UMNO mengadakan perhimpunan itu dengan kekalahan di Bagan Pinang, katanya, para perwakilan UMNO akan melangkah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dalam keadaan menunduk, tidak bersemangat dan mungkin marah-marah. Proses meminda perlembagaan parti bagi menyuntik kesegaran demokrasi juga tidak akan semudah yang diperlihatkan pada perhimpunan tersebut.

Najib sebenarnya membuat perhitungan politik kerana beliau sendiri yang memilih Mohd. Isa untuk bertanding di Bagan Pinang. Ia satu keputusan yang berpandangan jauh kerana Mohd. Isa memberikan BN suatu kemenangan dengan majoriti yang lebih besar, sebanyak 5,435 undi, berbanding majoriti 4,411 undi ketika BN menang di kerusi Dewan Undangan Negeri itu pada pilihan raya umum 2004.

Perbandingan dengan prestasi pada 2004 itu mustahak diambil kira kerana keputusan sewaktu pilihan raya 2004 menjadi tanda aras mengenai paras sokongan rakyat kerana ia merupakan kemenangan terbaik UMNO dan BN dalam sejarah pilihan raya. Kemenangan Mohd. Isa di Bagan Pinang bukan sahaja menutup mulut para pemimpin pembangkang. Ia juga berpotensi ditransformasikan menjadi apa yang boleh dipanggil turning point kepada politik Malaysia.

Selepas Bagan Pinang, perubahan tiba-tiba berada di hadapan mata Najib dan barisan kepimpinan UMNO dan BN. Dan mereka perlu cepat-cepat mereguk titik peralihan itu dan mengatur langkah ke arah mengembalikan keyakinan rakyat. Masa sebenarnya tidak banyak untuk Najib dan UMNO. Pilihan raya umum ke-13 perlu diadakan sebelum tahun 2013 iaitu sekitar tiga tahun lagi.

Menukar pencapaian terburuk pada tahun 2008 kepada sesuatu yang lebih baik pada pilihan raya umum akan datang - dengan masa menjadi hambatan - memerlukan disiplin, keyakinan dan sokongan padu daripada setiap pemimpin dan ahli UMNO. Ia juga menuntut pembugaran baru parti-parti komponen BN dan anjakan paradigma dalam pemikiran politik massa.

Dengan konsep 1Malaysia yang diutarakan oleh Najib, UMNO muncul selepas Perhimpunan Agung UMNO ke-60 sebagai sebuah parti yang menjadi payung kepada semua kaum, dan sedang digerakkan secara sistematik oleh Najib untuk menjadi 'juara rakyat'. Ahli-ahli UMNO perlu berkhidmat memperjuangkan rakyat.

Para pemimpin dan ahli UMNO di bawah kepimpinan Najib diingatkan supaya berhati-hati dalam setiap tutur kata, pandangan dan tindakan. UMNO cuba diasuh oleh Najib untuk menjadi sebuah parti yang prihatin dan sensitif kepada banyak perkara termasuk dalam isu-isu kecil.
Beliau mahu keahlian UMNO mengambarkan regenerasi untuk mengembalikan sokongan orang Melayu khususnya orang muda dan wanita. Kata Najib, jangan sekat orang muda untuk masuk UMNO dan menyumbang bakti kepada parti itu.

Perlembagaan UMNO juga dipinda untuk menyuntik elemen demokratik yang lebih luas dalam parti dan membuka peluang kepada pemekaran budaya aktivis dan kesukarelawan dalam UMNO. Jaringan UMNO diperluaskan kepada segenap peringkat dan kumpulan masyarakat di Malaysia.

Ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO, Najib berfalsafah mengenai mentaliti gila. Katanya: "Satu lagi jenis gila adalah berbuat sesuatu secara berulang kali dengan tatacara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza. Dalam melaksanakan sesuatu dasar, misalnya, kita tidak boleh terlalu dogmatik sehingga yang menjadi tumpuan adalah wahana atau pendekatan digunakan berbanding keberhasilan atau outcome."

Daripada cara ekonomi dikembangkan sehinggalah kepada permainan politik, mentaliti gila seumpama itu telah berakar menjadi budaya di Malaysia. UMNO jelas tidak boleh membuat kerja gila seumpama itu dengan mengulangi cara lama untuk memenangi hati rakyat. Parti itu perlu berubah dan dilihat berubah.

Cara bekerja UMNO di segenap peringkat daripada ahli biasa sehingga pemimpin kanan yang berjawatan menteri terpaksa ditukar. Cara lama tidak cocok lagi. Tidak boleh lagi ada di kalangan UMNO menteri yang sombong atau wakil rakyat yang mengasingkan diri daripada pengundi yang diwakilinya.

Jika ahli-ahli UMNO dan BN melakukan kerja gila dengan membuat janji ingin berubah, cuba berganjak daripada kaedah lama dengan menanam tebu di bibir tetapi tidak mengotakannya, masa depan politik negara ini tidak akan sama lagi.

Pengorbanan

Najib seorang pemimpin yang ikhlas, mempunyai kebijaksanaan, keupayaan, pengalaman dan mendapat motivasi daripada pengorbanan ayahandanya untuk mengembalikan kehebatan UMNO dan BN, tetapi tanpa sokongan ahli-ahli UMNO, diburukkan pula dengan perangai mereka yang tidak mengotakan janji, beliau juga akan rebah.

Jika pihak lain naik kelak, masa depan kerajaan dan negara tidak akan sama lagi kerana mereka akan mengubah banyak perkara. Bukan setakat masa depan berganti, sejarah Malaysia dan sejarah UMNO juga akan ditulis semula. Pertaruhannya bukan sekadar hilang kuasa politik.
Perjalanan UMNO dan BN ke arah pilihan raya umum ke-13 sepatutnya sudah dapat digariskan dengan jelas selepas Perhimpunan Agung UMNO yang baru berlalu.

Kekalahan berturut-turut BN kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam tujuh pilihan raya kecil yang diadakan di Semenanjung iaitu di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Manek Urai, Bukit Selambau dan Permatang Pasir selain tidak bertanding di Penanti seharusnya telah membolehkan para pemikir dalam UMNO dan BN membuat analisis yang komprehensif tentang punca-punca kekalahan.

Kita boleh membahaskan sesuatu kekalahan itu sebagai berpangkal daripada kelemahan calon, strategi kempen, pengundian berdasarkan garis perkauman, prestasi ekonomi dan sebagainya. Bagaimanapun, umumnya pengundi memerlukan feel-good factor sebelum mereka dapat menyokong parti kerajaan dalam pilihan raya.

Pada pilihan raya umum 2008, feel-good factor yang diinginkan itu berganti dengan ketidakyakinan, kebencian dan kemarahan. Kemenangan BN di Bagan Pinang pada 11 Oktober lalu mengurniakan seri kepada Perhimpunan Agung UMNO yang baru berlalu tetapi sejauh mana ia benar-benar menjadi turning point kepada politik Malaysia bergantung kepada apakah bentuk UMNO yang terjelma selepas perhimpunan itu tamat.

UMNO yang kuat dapat mengukuhkan BN. Seperti yang ditunjukkan dalam pengalaman politik sebelum ini, UMNO kena membantu menyelesaikan kebuntuan kepimpinan dan percakaran dalam MCA dan MIC jika ia ingin melihat BN kukuh. UMNO tidak bertanding dalam pilihan raya menggunakan logo UMNO. Ia bersaing menentang parti-parti lawan atas nama BN. Jika UMNO kuat tetapi parti-parti komponen BN lain memalitkan lumpur, bersengketa dan mengutamakan legasi peribadi lebih daripada perjuangan nasional, persepsi negatif juga akan terbentuk terhadap UMNO.

Kemelut politik dalam MCA dan MIC, seperti yang sedang berlaku sekarang, menjadikan BN satu raksasa yang berjalan dalam keadaan tempang. UMNO yang gagah dalam BN yang capik adalah umpama hulubalang hebat Melayu yang berdiri megah di atas bahtera bocor di tengah lautan. Kalau tidak segera disedari, hulubalang Melayu itu juga akan tenggelam.

Sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Najib bertanggungjawab untuk menyampaikan mesej bangkit berubah kepada para pemimpin dan ahli parti MCA dan MIC. Gerakan pula, jika ia benar-benar merasakan masih terdaya mencabar DAP di Pulau Pinang dan Perak, wajar berusaha mencetuskan impak politik atau parti itu akan mengakhiri hayatnya hanya sebagai kelkatu politik.

Kubu-kubu kukuh politik yang memberi jaminan kemenangan pada pilihan raya hendaklah terbina bukan sahaja dalam UMNO tetapi juga dalam BN yang kini dianggotai 13 parti komponen. Kekukuhan politik pelbagai kaum mesti tercermin, dirasai dan semangatnya menjalar ke dalam masyarakat dengan BN berada di tengah-tengahnya. Jika ada program pembugaran besar-besaran baru selepas UMNO, sasaran mestilah BN dan parti-parti komponennya.

Sinar perubahan Najib harus segera sampai ke belantara politik parti-parti komponen BN itu. Inilah yang mustahak untuk disedari dan dihambat. Membiarkan budaya politik gila berleluasa di luar UMNO tidak kurang bahayanya. Perbuatan itu sama seperti merelakan ia menular dalam parti UMNO, meranapkan sebuah kuasa dari dalam.- UM

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 15 Oktober 2009

Nik Aziz meminta kafir memimpin islam....

HarakahdailyTue Oct 13, 09 12:30:24 pm MYT

KOTA BHARU, 13 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi berkata, orang Cina di negara ini perlu mengambil peluang untuk memimpin negara ini dengan mengkaji, menyertai dan seterusnya memimpin Islam.

Ini kerana, orang Cina jelas cerdik dalam berpolitik dan patut memimpin orang Melayu. Beliau merujuk kes perwakilan MCA yang menolak kedua-dua pemimpinnya yang dikira salah laku dan rasuah dengan memberikan isyarat kedua-duanya tidak layak memimpin orang-orang Cina dan MCA.

Dalam persidangan luar biasa (EGM) MCA itu, perwakilan meluluskan undi tidak percaya kepada Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Kiat.Perwakilan juga menolak usul untuk melantik semula timbalan presidennya, Datuk Seri Chua Soi Lek yang dipecat oleh Lembaga Disiplin parti itu. Namun perwakilan menerima beliau sebagi ahli parti. Bagi Nik Aziz, keputusan ini melambangkan kebijaksanaan orang Cina berpolitik.

Sehubungan itu, beliau menawarkan sekali lagi agar mereka mengkaji, menyertai dan memimpin Islam kerana mereka adalah kaum yang cerdik dan layak memimpin Islam berbanding orang Melayu sendiri.

Nik Abdul Aziz Nik Mat, semasa memberi responnya berhubung pilihan raya kecil Bagan Pinang berkata, kalah atau menang adalah adat di dalam sebuah perjuangan, seraya mengakui bahawa PAS menghadapi tentangan kuat daripada UMNO pada PRK kali ini."Kita terima kekalahan ini. Tak apa.

PAS tidak pernah lupa pada falsafah, menang tidak bererti selama-lamanya akan terus menang. Begitu juga kalah. Kelantan pun sebelum ini pernah kalah tetapi akhirnya mampu bangkit semula," katanya.

Komen : Harap-harap Pok Nik mengucap panjanglah sebelum membuat kenyataan yang sedemikian. Memalukan umat Islam Melayu saje. Di sebabkan oleh kaum Cina yang pandai inilah yang membuatkan Pok Nik menyokong Elizebert Wong dengan skandal bogelnya. Dulu mengadai Islam untuk berkuasa, tapi sekarang nak mengadaikan bangsa pula untuk terus berkuasa. MasyaAllah..

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 10 Oktober 2009

Taktik takutkan pengundi, halang demokrasi!

ESOK Ahad ( 11-10-2009 ) kira-kira 13,664 pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Mereka akan menentukan siapakah wakil rakyat yang akan mewakili mereka.

Wakil rakyat yang akan memperjuangkan nasib dan setiap masalah yang dihadapi. Esok juga para pengundi terbabit akan menentukan bahawa demokrasi di negara ini masih subur. Masih menjadi asas kepada kerajaan Barisan Nasional, walaupun mereka telah berdepan dengan beberapa siri kekalahan pada pilihanraya kecil.

Para pengundi berdaftar tersebut perlu diberi kebebasan untuk memilih calon yang mereka suka tanpa dipengaruhi atau diancam. Namun sejak kebelakangan ini, budaya samseng, mengugut dan mengancam seolah-olah sudah menjadi trend terutama di pihak pembangkang.
Setiap kali pilihan raya pasti akan ada yang menjadi mangsa pukul, ugutan dan sebagainya. Kita biasa mendengar bagaimana penyokong parti tertentu melakukan sekatan jalan raya pada waktu pilihan raya termasuk menghalang bas membawa pelancong dengan menuduh mereka adalah pengundi hantu.

Itu belum diambil kira khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengancam ketenteraman awam pada setiap pilihan raya kecil. Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang bermula lancar tanpa sebarang insiden yang boleh mengeruhkan suasana atau mencetuskan suasana tegang. Petugas-petugas parti yang bertanding iaitu BN dan Pas tidak ada masalah untuk menjalankan tugas mereka.

Kadang-kadang sebelah menyebelah mereka memasang poster dan bendera. Tidak timbul rasa marah atau sakit hati. Masing-masing menjalankan tanggungjawab untuk memenangkan calon masing-masing atas nama demokrasi. Bagaimanapun mungkin disebabkan kedudukan di Bagan Pinang yang kelihatan tidak memihak kepada kumpulan tertentu, maka pendekatan agresif mula digunakan.

Tuduhan-tuduhan liar termasuk serangan ala komando oleh ahli Pergerakan Pemuda UMNO dilemparkan. Cerita yang sejengkal mula dipanjang menjadi sedepa. Pergaduhan kecil yang sekadar membabitkan pergantungan poster dikatakan satu serangan termasuk kononnya menggunakan pedang samurai hingga menyebabkan kecederaan serius.

Tetapi dalam laporan polis yang dibuat, lain pula cerita. Nama orang yang kononnya cedera tidak pula disebut. Kalau benar cedera hingga kena mendapat rawatan, tentu ada nama. Dan tentu juga akan ada pemimpin yang pergi melawat kerana ia bahan terbaik untuk kempen.
Malah pemimpin yang mendakwa adanya serangan dan ada mangsa cedera juga tidak mengemukakan nama mangsa. Maknanya kebenaran tuduhan itu boleh dipertikai.

Mungkin ia sekadar cerekarama untuk menakut-nakutkan penduduk di Bagan Pinang yang hidup dalam aman damai. Polis pula memberitahu gambar yang disiarkan tidak sama dengan nama mangsa yang dilapor. Semua ini menimbulkan tanda tanya kenapa cerita-cerita begini disebarkan?

Ia disertai pula dengan penyebaran SMS yang mengajak semua ahli Pemuda Pas untuk turun ke Bagan Pinang bagi melancarkan fisabilillah terhadap UMNO. SMS yang disebarkan itu lebih kepada usaha untuk menakut-nakutkan pengundi supaya tidak keluar mengundi esok. Ini merupakan antara usaha terdesak kumpulan tertentu selepas menyedari sokongan yang diterima daripada penduduk tempatan tidak seperti diharapkan.

Bayangkan apabila ceramah oleh pemimpin tersohor hanya dihadiri oleh 20 orang sahaja. Malah ceramah-ceramah lain yang penuh dengan maki-hamun, carut-mencarut dan mendedahkan aibkan orang juga kurang mendapat sambutan. Sebab itu usaha terakhir dan usaha terdesak ialah menakut-nakutkan pengundi. Ia supaya pengundi takut dan tidak keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Ini merupakan helah untuk menghalang proses demokrasi di Bagan Pinang. Sepatutnya berilah kebebasan kepada rakyat untuk membuat pilihan. Kalah atau menang merupakan perkara biasa dalam pilihan raya. Perlu diingat, sistem pilihan raya di negara ini tidak memihak kepada BN. Sebab itu BN hilang empat negeri pada pilihan raya umum lalu. Malah daripada lapan pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum 2008, BN hanya menang satu kerusi. Itu membukti proses demokrasi berjalan lancar. Jangan mencemarkan proses demokrasi itu dengan budaya samseng dan mengugut hingga rakyat ketakutan untuk menunaikan tanggungjawab mereka memilih kerajaan.

Warna-warni politik
Torashah.




Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor