Ahad, 9 November 2008

Keluarga : Apabila bahtera Norman-Abby dipukul gelombang

SEMUANYA kerana gara-gara penangkapan Norman Hakim, 32, dengan Memey Suhaiza Suhaimi, 20, pada 30 Oktober lalu. Mereka berdua dituduh berkhalwat dan ini membawa kepada kemuncak konflik rumahtangga Abby Abadi dan Norman.

Peristiwa yang berlaku ke atas Norman atau Mohamed Norhakim Zaidon kira-kira pukul 3 pagi itu menyebabkan peminat mula memberi pelbagai reaksi terhadap pelakon tersebut.
Malah hingga hari ini peminat mula bersimpati dengan Abby Abadi, 30. Tambahan pula ini berlaku pada saat Abby baru melahirkan anak ketiga, Maria Danisha Hakim yang lahir pada 17 September lalu.

Rumah tangga Norman dan Abby atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan kelihatan sukar untuk diselamatkan lagi. Ini kerana Abby pernah berkata, dia sudah lama menanggung derita. Dia sudah lama menelan segala pahit di dalam rumah tangganya. Malah ketika sedang mengandungkan anak ketiga itu, rumah tangga mereka sudah bergoyang. Tetapi masing-masing cuba mempertahankannya.

Tragedi “perpisahan” pertama kali dulu pada 5 Mei 2006 tetapi merujuk kembali beberapa hari kemudian rupa-rupanya tidak menjadi satu pengajaran. Keretakan berulang semula.
Demikianlah bak kata orang gelora rumah tangga memang sukar untuk dijangka. Ibarat air di lautan yang ada pasang dan surutnya.

Tetapi kali ini gelora rumah tangga Abby dan Norman sudah sampai di kemuncaknya. Abby juga mengakui dia malas untuk memikirkan mengenai suaminya lagi. Hati Abby benar-benar hancur disebalik peristiwa penangkapan itu, Norman tidak hanya meminta Abby menyelamatkannya tetapi meminta untuk sama menyelamatkan Memey.

“Saya sedih bila dia suruh saya selamatkan dia dan perempuan itu (Memey). Ini yang saya tak boleh terima. Saya jumpa dia sebab ingat dia sudah menyesal,” kata Abby. Ungkapan Norman itu membuatkan Abby tertanya-tanya mungkin ada sesuatu hubungan di antara Norman dan Memey selama ini. Sudah tidak mampu untuk memulihkan lagi kelukaan hati, akhirnya pada 3 November lalu Abby membuat keputusan muktamad untuk berpisah dengan Norman.

Abby datang seorang diri kira-kira pukul 11 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur untuk mengemukakan tuntutan fasakh ke atas Norman. Tapi sayang, permohonannya terpaksa ditolak kerana tiada dokumen penting yang dibawa bersama. “Saya sudah berfikir panjang dan inilah cara terbaik menyelesaikan masalah rumah tangga saya. Sudah tak nampak ada jalan yang akan memulihkan hubungan kami,” kata Abby.

Kesukaran untuk memohon fasakh itu menyebabkan Abby terpaksa menjejaki suaminya ke lokasi. Selama ini sukar mencari di mana Norman Hakim pergi kerana suaminya itu dikatakan sudah lama tidak pulang ke rumah. Bagi Abby tiada cara lain untuk mendapatkan segala dokumen seperti salinan kad pengenalan dan sijil nikah mereka melainkan dengan mencari Norman di lokasi penggambaran Gerak Khas.

Pada pagi itu, Abby bersama sekumpulan wartawan sama-sama menjejaki suaminya yang ketika itu sedang melakukan penggambaran drama di sebatang jalan raya belakang pusat membeli belah, Carefour, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Ketika mahu menjejaki Norman itu, saya bersama dua rakan wartawan menaiki kereta bersama Abby sementara wartawan yang lain mengekori di belakang. Ketika di dalam perjalanan yang jauhnya kira-kira enam kilometer, Abby meluahkan banyak perkara.

Dalam rancangan Wanita Hari Ini pada Khamis lalu, Abby mengakui antara kelemahan dia ialah tidak dapat mengawal emosi. Tetapi kata Abby jika seseorang suami itu terlalu banyak buat kesalahan, mana mungkin semua perempuan itu dapat bertahan. Malah Abby juga menolak dakwaan dia mengongkong Norman selama ini sebaliknya pernah menjejaki Norman sehingga ke Beranang, Selangor dan beberapa lokasi penggambaran lain kerana Norman jarang pulang ke rumah.

Sementara Norman pula mengakui dia bersedia untuk menerima Memey sebagai isterinya yang kedua jika itu yang ditakdirkan Tuhan. Pun begitu Norman masih menyayangi Abby dan sentiasa berdoa supaya Allah tidak memisahkan hubungan mereka itu. Selain Maria Danisha Hakim, Norman dan Abby turut dikurniakan dua orang lagi anak hasil perkahwinan mereka yang dibina selama enam tahun iaitu Mohd. Danish Hakim,5, dan Marisa Dania Hakim,2.
Menurut Norman, apa yang menyebabkan dia tidak mahu berpisah kerana ada anak-anak yang menjadi ikatan kepada kasih sayang keluarga.

”Anak-anak tak bersalah. Sebaliknya ibu bapa yang salah,” kata Norman. Apa akan jadi dengan masalah rumah tangga Abby dan Norman ini? Di manakah noktah terhadap kemelut yang melanda? Yang lebih penting pasangan ini haruslah mencari jalan untuk memastikan kisah rumah tangga mereka yang ibarat drama sebabak ini dapat diatasi dengan baik.

Sebagai orang yang mengakui dirinya agak emosi, Abby haruslah mencari pendekatan untuk tidak mendedahkan segala yang berlaku di dalam rumah tangga mereka. Selagi tidak diputuskan mahkamah mereka sudah berpisah, Abby dan Norman masih lagi sah menjadi suami isteri. Mereka perlu bijak menangani kes ini dengan sebaik mungkin.

Sama-samalah kita berdoa agar Norman dan Abby diberi jalan dan petunjuk untuk menyelesaikan kemelut yang melanda agar keadaan tidak terus menjadi parah.
Berikut ini rentetan drama sebabak yang berlaku dalam adegan Abby “menyerang” Norman di lokasi pada 3 November lalu.

- 10.30 pagi - Abby tiba di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak berbaju kurung. Beliau hadir seorang diri. Abby mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum turun dari kereta untuk ke kaunter mahkamah.

- 11.05 pagi - Abby menjelaskan, pihak mahkamah tidak dapat menerima tuntutan fasakh kerana dokumen yang diperlukan seperti salinan kad pengenalan suaminya dan sijil nikah mereka tidak dibawa. Abby harus mencari Norman kerana dokumen itu dipegang oleh suaminya.

- 11.30 pagi - Abby memandu keretanya menuju ke belakang Carefour Wangsa Maju dimana lokasi penggambaran drama Gerak Khas sedang berlangsung. Ketika di dalam kereta, Abby berkata dia mendapat banyak laporan Memey Suhaiza sudah lama tinggal di pejabat Norman Hakim di Ukay Perdana, Ampang. Abby juga merungut kenapa dia dikaitkan sebagai dalang insiden penangkapan itu. “Saya ada telefon perempuan itu (Memey). Dia ada jawab tapi cara dia bercakap macam tak ada rasa bersalah mempunyai hubungan dengan suami orang. Memey kata dia nak buat macam mana benda dah jadi?” “Saya dah simpan niat nak berpisah dengan dia. Saya sudah nekad dengan keputusan ini”.

- 11.45 pagi - Abby dan “rombongan” yang terdiri kira-kira 20 orang wartawan tiba di lokasi pengambaran Gerak Khas. Saya minta Abby menyerahkan dokumen daripada mahkamah secara baik kepada Norman dan kami wartawan akan ikut dia dari belakang.

- 11.55 pagi - Norman yang berada di dalam kereta Pajero bercermin gelap lengkap memakai uniform pegawai polis keluar dari kenderaan. Norman meminta izin untuk menukar uniform sebelum bertemu wartawan.

- 12.00 tengah hari - Saya memberitahu Norman, Abby hendak bercakap sesuatu kepadanya. Lantas Abby menghulurkan dokumen tuntutan fasakh. Norman menarik Abby ke satu kawasan teduh. Dan Norman tidak berkata apa-apa. Dia terpaku selepas melihat dan membaca dokumen itu.

- 12.05 tengahari - Norman menitiskan air matanya. Lalu “membawa” diri ke satu kawasan lapang kira-kira 100 meter diri lokasi penggambaran Gerak Khas berlangsung. Abby kemudian diminta wartawan mendekati Norman dan berunding secara baik.

- 12.30 tengahari - Produser Datuk Yusof Haslam tiba selepas dimaklumkan oleh krew kekecohan yang berlaku itu.

- 12.30 tengahari - Norman datang semula ke tempat di lokasi penggambaran filem tersebut dan bercakap kepada wartawan bagi menjelaskan keadaan.

- 12.45 tengahari - Ketika membuat kenyataan dia terpaksa menjaga hati banyak pihak termasuk keluarga Memey Suhaiza, Abby yang berada tidak jauh dari Norman terus menempelak. “Tak habis-habis dengan Memey. Asyik-asyik perempuan... asyik-asyik perempuan.” Keadaan menjadi bertambah tegang.

- 1.00 petang - Apabila keadaan menjadi kecoh, Norman terus melarikan diri. Di hujung lokasi itu terdapat sebuah kereta seorang krew sedang menunggu untuk membawa Norman pergi dari situ.

- 1.05 petang - Saya bersama wartawan Saharudin Musthafa dan Tengku Khalidah mengejar Norman untuk menasihati dia beredar bagi mengelakkan keadaan menjadi kecoh. Kami merasakan agak malu melihat adegan suami isteri bergaduh di depan orang ramai.
Ketika di dalam kereta, Norman membuka cermin kereta tersebut sambil meminta maaf dan mencium tangan kami. Kata Norman macam mana dia nak balik rumah kalau Abby tak habis-habis menyerangnya. “Sekarang boleh tengok sendiri. Dia serang saya macam tu. Kata saya macam-macam. Macam mana saya nak balik,” luah Norman sambil menangis teresak-esak. Ada juga beberapa perkataan yang diluah Norman tetapi dia minta untuk tidak ditulis.

- 1.15 petang - Abby, Datuk Yusof Haslam dan wartawan beredar dari lokasi. Sebelum balik Abby sempat memeluk beberapa wartawan wanita dan meminta maaf dengan kejadian itu.

- 1.30 petang - Norman menghantar SMS melalui Saharudin Musthafa dan meminta maaf kepada semua wartawan kerana tidak dapat memberi kerjasama kerana insiden “serangan” itu yang semakin tegang.

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor