Isnin, 28 Februari 2011

Contohi semangat Azizulhasni 'The Pocket Rocketman' , Ultras Malaya!

Bukan semua orang mampu memiliki semangat pejuang yang sejati, tambahan pula dalam era serba moden ini di mana masing-masing hanya mengejar kejayaan untuk kepentingan sendiri, selain mempunyai niat tertentu.

Bagaimanapun, baru-baru ini kita dapat melihat sendiri masih ada insan yang melakukan sesuatu dengan daya usaha yang tinggi dan mampu menjadi contoh kepada rakyat Malaysia, terutama sekali golongan remaja. Kita dikejutkan dengan kecederaan ngeri melibatkan pelumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang. Serpihan kayu sepanjang 23 sentimeter tertusuk menembusi betis kaki kirinya.

Sukar untuk membayangkan kesakitan dan keperitan yang melanda pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu, tetapi ada perkara yang lebih mengujakan di sebalik insiden tersebut dan sukar untuk diterima akal.

Kejadian tersebut berlaku ketika saingan akhir keirin Siri Piala Dunia Klasik di Manchester, kira-kira 20 atau 30 meter sebelum melintasi garisan penamat pelumba harapan negara agak tidak bernasib baik kerana terjatuh bersama-sama tiga lagi pelumba lain.

Peluang untuk meraih emas sudah terpadam dan ia milik pelumba Britain, Chris Hoy, namun Azizulhasni yang diberi gelaran The Pocket Rocketman tidak peduli tentang kecederaan dan kedudukannya ketika itu.

Dia bingkas bangun dan memberi arahan kepada ketua jurulatih, John Beasley supaya mengangkat basikal dan menolaknya untuk menyambung semula kayuhan, dalam masa yang sama, dia tidak sedar kecederaan ngerinya yang dialaminya.

Azizulhasni berjaya melintasi garisan penamat dan memenangi pingat gangsa seterusnya merangkul kejuaraan keseluruhan keirin Siri Piala Dunia Klasik 2010/2011. Selepas itu, barulah dia terasa sakit yang amat sangat, namun segala usaha beliau berbaloi.

Ia mengingatkan penulis kepada peristiwa bersejarah Sukan Olimpik 1992 Barcelona, apabila atlet 400 meter Britain, Derek Raymond mengalami kecederaan hamstring dalam saingan akhir tetapi dia tetap meneruskan perlumbaan walaupun terpaksa berlari terhencut- hencut untuk menamatkan baki 250 meter.

Acara yang berbeza, negara yang berlainan tetapi ceritanya sama, kedua-duanya adalah ahli sukan bertaraf dunia yang tidak kenal erti putus asa, tidak menyerah kalah sebelum perjuangan belum berakhir.

Begitu juga dengan golongan atau kumpulan yang dikenali sebagai Ultras Malaya. Mereka boleh dianggap sebagai penyokong sejati yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan semangat kepada pasukan Malaysia bawah 23 tahun menentang Pakistan dalam perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 2012 London baru-baru ini.

Sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung, Ultras Malaya yang berada di tempat duduk pintu 14 dan 15 Stadium Shah Alam menunjukkan kepada rakyat Malaysia tentang maksud sebenar penyokong sejati.

Tanpa mengira asal-usul (negeri) semuanya bersatu-padu menyanyikan lagu semangat tanpa henti, sambil mengibarkan Jalur Gemilang, mafla dan berdiri sehingga perlawanan tamat, tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan kebangsaan.

Ditubuhkan pada 2007, Ultras Malaya mencetuskan satu fenomena baru dalam kancah bola sepak tempatan, malah perlawanan yang melibatkan negeri ataupun kelab di Liga Malaysia turut dihadiri Ultras (mengikut negeri masing-masing).

Berlandaskan sokongan sepanjang zaman, Ultras Malaya menerapkan kepada masyarakat bahawa menghadirkan diri ke stadium bukan setakat duduk dan menyaksikan perlawanan sambil makan kuaci sahaja, tetapi menjadi pemain 'ke-12'. Ia juga tidak mahu hanya dikenali sebagai 'penyokong lalang', sebaliknya mereka akan tetap berdiri teguh di belakang pasukan kebangsaan tidak kira pada zaman kejatuhan ataupun tewas dalam mana-mana perlawanan.

Tanpa kita sedari, Ultras Malaya mengajar masyarakat untuk menjadi seorang setia, rajin, berdisiplin, bersatu padu dan sentiasa berjuang memburu kejayaan. Mungkin ada di antara kita yang masih belum dapat menerimanya tetapi percayalah ini adalah untuk kebaikan sukan di Malaysia, bola sepak secara amnya.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa sejarah telah dicipta, Azizulhasni melakar sejarah dunia, manakala Ultras Malaya mengukir sejarah negara.-UM.

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 24 Februari 2011

Ikhlaskah perubahan angin politik Nik Abdul Aziz?

Kerana kepentingan politik, Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh bertukar angin. Kini Nik Aziz seperti lalang ditiup angin terpaksa melentuk semula kepada orang Melayu. Bagaimana begitu mudah Nik Aziz dapat menarik kata-katanya dahulu bahawa beliau tidak bangga pun jadi dan dilahirkan sebagai Melayu.

Perubahan mendadak itu pun berlaku setelah satu kejadian mendapati pihak pembangkang akan kehilangan 34 kerusi Parlimen jika Pas gagal mengembalikan sokongan Melayu pada pilihan raya umum akan datang. Apabila tersentak dengan hasil kajian itu barulah Nik Aziz mula mengubah nadanya.

Tok Guru Pas itu menyatakan bahawa perjuangan terhadap Melayu perlu diutamakan. Katanya; "Bagi Pas, orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu (di Malaysia)."

Malah kata Nik Aziz lagi, kaum paling dominan adalah orang Melayu. Sudah tentu perubahan nada dan pendirian beliau itu menjemput tanda tanya.

Sehingga hari ini kita belum mendengar sepatah pun perkataan mohan maaf daripadanya. Nik Aziz kena minta maaf kerana banyak kenyataan dan tindak-tanduknya memudaratkan kepentingan agama dan bangsa Melayu.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan itu beberapa kali menolak perjuangan terhadap bangsa Melayu kerana menganggap ia tidak dilakukan oleh Islam selain turut menolak perjuangan nasionalis kerana dakwanya, ia bercanggah dengan ajaran Islam.

Apakah perubahan pendirian ini sebahagian strategi Nik Aziz dan Pas ini benar-benar ikhlas untuk mempertahankan hak Melayu atau hanya kerana agenda mahu menang dalam pilihan raya?

Pemikiran seumpama ini dapat dibaca oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang melihat Nik Aziz sebagai oportunis. Bila sedar mereka tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu, Pas mahu balik kepada Melayu. Esok bila sudah dapat sokongan orang Melayu, mereka balik kepada ideologi lama kononnya, perjuangan bangsa bukan perjuangan Islam.

Kenyataan Nik Aziz kini berubah-ubah. Bukan mustahil hari ini mereka bercakap lain dan esok mereka cakap lain. Jadi Nik Aziz perlu berhenti menjadikan kaum Melayu sebagai umpan politik terbarunya.

Hakikatnya Pas bukan berjuang kerana Islam tetapi lebih cenderung untuk memegang kuasa sehingga mereka sanggup mengeluarkan fatwa politik bahawa golongan yang menolak Pas adalah masyarakat jahiliah serta menolak Islam.

Jika benar Pas memperjuangkan nasib orang Melayu, mengapa mereka tidak memperjuangkan hak orang Melayu di Pulau Pinang dan negeri lain?

Kenapa pemimpin Pas sanggup menjadi 'bisu dan pekak' walaupun DAP sering mengganggu gugat urusan agama Islam?

Pas terlalu banyak berdolak-dalik berhubung pendirian dan hala tuju parti itu apabila bekerjasama dengan DAP.

Selain faktor kejutan kajian tersebut, Pas dipercayai akan menggunakan isu agama dan bangsa Melayu ini untuk meraih simpati pengundi di Merlimau dan Kerdau menjelang pilihan raya kecil pada 6 Mac ini.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 22 Februari 2011

The Pocket Rocketman : 'Saya tidak akan patah semangat'!

"Tidak... tidak...tidak... saya tidak akan patah semangat." Demikian tegas pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang yang kini terlantar di Hospital Diraja Manchester di sini, selepas selamat menjalani pembedahan mengeluarkan serpihan kayu daripada kakinya.

Menurut pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu, meskipun sedih dengan kemalangan tersebut ia tidak akan mematah semangatnya, apatah lagi mengalah dan berundur daripada sukan tersebut.

"Saya mahu cepat sembuh dan kembali berlatih," katanya dalam pertemuan dengan wartawan Malaysia di sini, semalam.

Menurut pelumba yang mendapat jolokan The Pocket Rocketman itu, kemalangan kelmarin merupakan yang terburuk dalam sejarah kariernya sebagai pelumba basikal negara.

"Semuanya berlaku dengan pantas tetapi apa yang berlaku adalah risiko yang perlu ditanggung pelumba. Saya bersyukur kecederaan tidak serius," ujarnya.

Menurut Azizulhasni, selepas menjalani pembedahan selama hampir satu jam bagi mengeluarkan kayu yang menembusi betisnya, doktor memaklumkan kayu tersebut tidak mengena bahagian utama badan seperti saraf tulang.

"Sebenarnya saya hendak cabut apabila melihat kayu di betis. Pada mulanya saya tidak terasa apa-apa tetapi selepas seketika saya terasa pitam sebelum rebah di trek selepas menamatkan perlumbaan tersebut," katanya.

Utusan Malaysia difahamkan ketika kemalangan berlaku Azizulhasni berada pada kedudukan baik untuk memotong pelumba Scotland, Chris Hoy yang memenangi perlumbaan akhir keirin Piala Dunia Klasik, kelmarin.

Azizulhasni menambah, beliau yakin kemalangan tersebut ada hikmahnya dan tidak akan menjejaskan peluang bertanding di Sukan Olimpik 2012.

"Sekarang kedudukan dalam ranking pun masih selamat dan saya harap dapat balik cepat untuk menjalani latihan," ujarnya.

Perbualan yang turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong serta Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad bertukar sebak apabila Azizulhasni seketika sempat berbicara buat pertama kali bersama ibu dan isteri selepas kemalangan tersebut.

Dalam pada itu, Shabery berkata, doktor memaklumkan kecederaan yang menimpa Azizulhasni merupakan kecederaan biasa.

"Mengikut perkiraan pakar dia mungkin boleh kembali berlatih dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi," katanya.

Beliau menambah, kerajaan sedia menghantar Azizulhasni menjalani lawatan ke luar negara jika perlu kerana dia merupakan prospek utama untuk meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik 2012.

Dalam usia 23 tahun berbanding Hoy 33 tahun, Azizulhasni masih berada pada ranking pertama UCI.

Biarpun sekadar memenangi gangsa pada perlumbaan kelmarin, ia sudah memadai untuk membawa Azizulhasni mempertahankan kejuaraan keseluruhan Piala Dunia Klasik buat kali ketiga.

Sementara itu : Keluarga risau, kagum pengorbanan Azizul

Selamiah Yong tergamam melihat kecederaan Azizulhasni Awang yang dipaparkan di muka depan dan belakang akhbar Utusan Malaysia sewaktu beraksi dalam acara keirin akhir Siri Piala Dunia Klasik di Manchester ketika ditemui dirumahnya di Kampung Nibong Stesen, semalam.

Keluarga Azizulhasni Awang di Dungun terkejut apabila dimaklumkan mengenai kecederaan dialami jaguh lumba basikal negara sewaktu menyertai acara keirin akhir Siri Piala Dunia Klasik di Manchester, England, kelmarin. Namun begitu, mereka tetap kagum dengan semangat serta pengorbanan tinggi Azizulhasni yang tidak mudah menyerah kalah demi maruah negara.

Menurut ibunya, Selamiah Yong, 47, walaupun bimbang dengan kecederaan yang dialami Azizulhasni tetapi kesungguhan serta komitmen tidak berbelah bahagi anaknya itu kepada negara menjadi kebanggaan mereka. Tambah beliau, Azizulhasni akan pulang ke tanah air seminggu sebelum majlis persandingannya di Perak yang dijadual pada 2 April ini.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa Azizulhasni sejurus menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) pada hari kejadian.

"Masa terima panggilan itu, hanya Tuhan yang tahu betapa risau dan terkejutnya saya mengenai nasib yang menimpanya (Azizulhasni).

"Saya hanya mampu berdoa agar dia di sana tak serius dan selamat. Inilah pengorbanan besar dia kepada negara yang tiada tolok bandingnya," katanya ketika ditemui di rumahnya, Kampung Nibong Stesyen dekat sini, semalam.

Menurut Selamiah, Azizulhasni ada menghubunginya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) semasa dirawat di hospital di Manchester malam semalam.

Katanya, Azizulhasni memintanya dan seluruh keluarga di sini agar jangan bimbang dengan kecederaannya di sana.

"Kira-kira pukul 11 malam tadi, dia SMS saya dan dia harap supaya kami di sini janganlah bimbang kerana kecederaan yang dialami tak begitu serius.

"Walaupun begitu, saya tetap risau keadaannya kerana tengok pada gambar dia dalam akhbar hari ini, keadaannya serius dan dia mengerang kesakitan, kasihan dia," ujarnya sedih.

Selamiah juga berkata, anaknya itu sudah keluar dari hospital di Manchester semalam sebelum menaiki penerbangan ke Melbourne, Australia malam tadi (malam ini). Beliau difahamkan, atas nasihat doktor yang merawat Azizulhasni di Manchester, anaknya itu perlu berehat selama dua minggu sehingga benar-benar pulih.

Jaguh trek negara itu selamat dibedah selepas mengalami kecederaan ngeri, tertusuk serpihan kayu di betis kirinya akibat kemalangan dalam laluan memenangi pingat gangsa Piala Dunia klasik.

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 21 Februari 2011

Tabik spring buat Azizulhasni : Walaupun cedera, masih mampu meraih pingat gangsa!

PENOLONG jurulatih, Harnizam Basri (kanan) memapah Azizulhasni yang mengalami kecederaan ngeri sebaik sahaja dia berjaya melintasi garisan penamat dengan meraih pingat gangsa dalam acara keirin akhir Siri Piala Dunia Klasik di Manchester, semalam.

Berat mata memandang, lebih berat bahu memikul. Itulah kata-kata yang dapat diluahkan apabila melihat kesakitan yang ditanggung oleh WIRA NEGARA Azizulhasmi. !

Alhamdulillah semalam jaguh trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang selamat dibedah selepas mengalami kecederaan ngeri, tertusuk serpihan kayu di betis kirinya akibat kemalangan dalam laluan memenangi pingat gangsa pada Siri Piala Dunia Klasik di Manchester.

Walaupun kemalangan dan mendapat kecederaan serius, berbekal semangat juang kental yang ditunjukkan, beliau berjaya menamatkan perlumbaan dan seterusnya mengharumkan nama negara.

Azizulhasni bersama empat lagi pelumba terlibat dalam kemalangan, menyebabkan serpihan dari trek kayu sepanjang 23 sentimeter tertusuk di betisnya. Dia tetap meneruskan perlumbaan selepas kemalangan dan hanya menyedari tentang kecederaan yang dialami selepas menamatkan saingan.

Kecederaan tersebut sekali gus menutup terus hasrat pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu beraksi di Kejohanan Trek Dunia yang akan berlangsung di Apeldoorn, Belanda bulan depan.

Insiden tersebut terjadi dalam acara keirin akhir menyaksikan pelumba sedang berasak-asak untuk melintasi garisan penamat sebelum berlakunya pelanggaran sesama sendiri dalam kelajuan 60 atau 70 kilometer per jam.

Ia bermula dengan pelumba Sepanyol, Juan Peralta Gascon tergelincir sebelum terlanggar Azizulhasni yang mewakili pasukan trek profesional negara, Yayasan Sime Darby (YSD) diikuti dua pelumba lagi terjatuh, Kamil Kuczynski (Poland) dan Edward Dawkins (New Zealand) namun keempat-empat mereka bangkit meneruskan perlumbaan dengan cara yang berbeza.

Azizulhasni bangkit semula sambil dibantu jurulatihnya, John Beasley untuk meneruskan perlumbaan dan tidak sedar serpihan kayu tertusuk dari bahagian kanan menembusi bahagian kiri betisnya, manakala Dawkins melintasi garisan penamat sambil menolak basikalnya.

Gascon pula dibatalkan perlumbaannya selepas dia bangun tetapi berlari menuju ke garisan penamat tanpa basikalnya, selepas dia berlari itu barulah jurulatih ataupun pegawainya memberikan basikal tetapi ia tidak dikira.

Perlumbaan tersebut dimenangi oleh pelumba sensasi Britain, Chris Hoy manakala pingat perak milik Jason Niblett dari Australia, namun hanya dua pelumba itu sahaja berada di podium manakala Azizulhasni dikejarkan ke Hospital Royal Manchester untuk mendapat rawatan lanjut.

Bagaimanapun pingat gangsa itu sudah cukup buat Azizulhasni muncul juara keseluruhan Piala Dunia Klasik mengatasi Chris Hoy dan berada di ranking No.1 dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi acara keirin.

Menurut Ketua Jurulatih, John Beasley, Azizulhasni selamat dibedah dan tidak mengalami kecederaan yang terlalu serius, tetapi pemenang pingat emas keirin Sukan Asia Guangzhou 2010 itu tetap tidak boleh mengambil bahagian pada Kejohanan Dunia kerana perlu berehat lebih panjang.

“Ia untuk mengelak risiko berlakunya darah beku dalam saluran darah dan doktor juga telah memberitahu saya beberapa jam selepas kejadian tersebut bahawa Azizulhasni tidak boleh menyertai Kejohanan Dunia,” katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, Azizulhasni telah menjalani imbasan x-ray dan pembedahan kecil di hospital tersebut namun peluangnya untuk beraksi pada Kejohanan Trek Dunia seakan-akan sudah berakhir.

“Selepas menjalani pembedahan kecil dan berehat kita akan melihat semula situasi Azizulhasni cuma apa yang dia sempat beritahu saya adalah tidak mahu ibu dan isterinya risau, begitu juga dengan peminat seluruh Malaysia.

“Dia tidak mahu orang salah faham mengenai kecederaan ini yang tidak akan menjejaskan peluangnya untuk beraksi di London 2012, begitu juga dengan kariernya, dia amat mengharapkan sokongan semua pihak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Azizulhasni juga sempat memberitahu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, ketika berada di dalam ambulans menuju ke hospital bahawa dia tidak berasa sakit dan hanya menyedari setelah berjaya menamatkan perlumbaan.

"Ketika dalam ambulans ke hospital, Azizulhasni yang menahan kesakitan masih sempat bercerita kepada saya tentang hasratnya untuk mengejar pingat emas di Sukan Olimpik 2012 nanti,” katanya.

Menurut Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz, ia masih terlalu awal untuk menjangkakan berapa lama Azizulhasni perlu berehat sebelum dapat kembali beraksi.

Katanya, ini kerana apa yang lebih penting ialah serpihan kayu trek yang tertusuk menembusi betis kiri pelumba negara itu perlu dikeluarkan terlebih dahulu, dan hanya selepas itu barulah boleh dinilai sejauh mana tahap kecederaan sebenarnya.

Kejohanan Trek Dunia akan bermula pada 23 hingga 27 Mac depan dan Azizulhasni sangat bersemangat untuk membalas dendam terhadap kekalahannya kepada Hoy dalam acara keirin akhir di kejohanan yang sama tahun lepas.

Warna-warni politik
Torashah

Anwar pertahan fahaman pluralisme!

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim hari ini mempertahankan fahaman pluralisme agama selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi ingatan bahawa ia merupakan ancaman baru bagi umat Islam di negara ini.

Dalam laman sosial twitter milik Ketua Pembangkang itu, beliau dilihat mempertahankan fahaman itu melalui mesej yang disampaikan kepada empat rakan twitternya.

Empat rakan twitter Anwar yang menerima mesej tersebut dan ditulis dalam bahasa Inggeris itu ialah @zahrullail, @nikabdulaziz @niknazmi dan @myberita.

Mesej itu berbunyi seperti berikut: ‘‘Hypocrisy to exhort pluralism and use umno media to condemn it” (Berpura-pura menegur pluralisme dan menggunakan media UMNO untuk mengutuknya).’’

Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Multaqa Guru Takmir Seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam turut meminta umat Islam menghindarkannya kerana ia jelas bertentangan dengan akidah serta syariat Islam.

Najib berkata, bagi mengekang pengaruhnya beliau mahu para ulama, guru-guru agama, pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama-sama menyedarkan umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan fahaman itu.

Ujar Perdana Menteri lagi, hakikatnya Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain kerana agama yang benar di sisi Allah hanya Islam sahaja.

Pada 14 Disember lalu, ketika wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Permurtadan Ummah di Masjid Wilayah Persekutuan, seorang pensyarah menyatakan Anwar merupakan salah seorang ahli politik beragama Islam di negara ini yang sering membawa mesej fahaman pluralisme agama.

Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Yusri Mohamad berkata, mesej fahaman itu disampaikan sama ada dalam bentuk tindakan mahupun ucapan.

Kata Yusri, ia berdasarkan kepada satu siri ucapannya di London School of Economics (LSE) pada 18 Mac 2010 bertajuk Religion and Pluralism in a Divided World apabila Anwar dengan jelas menyokong fahaman tersebut.

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 14 Februari 2011

MB Khalid sibuk kerja 24 jam - Tiada masa untuk upacara angkat sumpah Khusrin!

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan majlis angkat sumpah rahsia Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi bukan perkara terpenting dan tidak perlu disegerakan.

Menteri Besar Selangor itu berkata, hanya pihak akhbar yang menganggap majlis angkat sumpah rahsia itu sebagai penting sedangkan pada hakikatnya tidak. Menurut beliau, majlis tersebut akan tetap diadakan tetapi mengikut masa beliau memandangkan dirinya begitu sibuk kerana bertugas setiap hari termasuk hari Ahad.

“Ini pasal kerja, ini bukan perkara terpenting ( majlis angkat sumpah SUK )... Itu yang kadang-kadang saudara ( pemberita ) tidak faham.

Saya dilatih sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan kerja saya 24 jam di mana-mama pun saya kerja dan berfikir bagaimana nak bangunkan dan selesaikan banyak perkara termasuk hari ini iaitu hari Ahad."

“Jadi tak payah gaduh, perkara itu akan dilakukan... Tapi akhbar melihat perkara ini sebagai terpenting sedangkan peranan SUK sebagai salah satu daripada ahli pasukan kerana kita bukan main badminton tapi kita main bola sepak,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Kursus Pengurusan dan Penggerak Belia Tempatan di Kompleks Belia dan Kebudayaan negeri di sini hari ini. Abdul Khalid berkata, beliau akan tetap meletakkan Mohammed Khusrin dalam pasukan kerjanya kerana mereka memang perlu bekerjasama tetapi itu semua mengambil masa.

Beliau juga menyalahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai punca kelewatan majlis angkat sumpah rahsia SUK berlaku.

“Adalah lebih baik JPA daripada awal bincangkan peranan Exco dan Menteri Besar dengan peranan JPA daripada awal lagi.

“Hubungan itu mesti dibuat... Kalau buat macam ini, kita buat ikut masa kitalah. Kalau bincang dulu sudah tentu majlis ini dapat dipercepatkan,” ujarnya.

Mengenai format baru mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri Abdul Khalid berkata, ia telah siap disusun. Majlis angkat sumpah rahsia Mohammed Khusrin masih belum diadakan walaupun telah lebih sebulan pelantikannya sebagai SUK.

Ini ekoran bantahan kerajaan negeri yang tidak berpuas hati dengan pelantikan beliau yang didakwa dibuat tanpa pengetahuan Menteri Besar sedangkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan baginda.

Bagi menunjukkan bantahan, kerajaan negeri mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan SUK, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri, yang berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Bagaimanapun sidang itu gagal kerana tidak mendapat persetujuan majoriti ahli Dewan.

Selepas kegagalan itu, Abdul Khalid kemudian dilihat mula ‘beralah’ apabila mengadakan pertemuan rasmi pertama dengan Mohammed Khusrin pada Isnin lalu bagi menjelaskan mengenai tugas-tugas SUK dan kemudian membuat sidang akhbar yang majlis angkat sumpah rahsia akan diadakan minggu depan.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 12 Februari 2011

Tulisan Malott berniat jahat!

Rencana mengenai tahap keselamatan yang meruncing kerana sifat perkauman di Malaysia hasil tulisan bekas Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, John Malott dalam Asia Wall Street Journal (AWSJ) beberapa hari lalu mendapat perhatian meluas walaupun mempunyai beberapa kedangkalan fakta.

Oleh kerana beliau pernah berkhidmat di Kuala Lumpur sebagai pegawai diplomatik mewakili negara kuasa terbesar di dunia, maka seharusnya tulisan beliau membawa aura yang tersendiri. Begitu juga, oleh kerana rencana tersebut disiarkan oleh AWSJ, maka sudah semestinya pendapat tersebut mempunyai kekuatan yang semula jadi.

Tetapi jika ditolak ke tepi kedua-dua faktor tersebut, maka rencana tulisan Malott itu seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi kerana kandungannya sarat dengan analisis yang begitu berat sebelah. Benar seperti yang ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Malott berbohong terutama sekali mengenai kritikan terhadap konsep 1Malaysia.

Begitu prejudis tulisan Malott sehinggakan bekas majikan beliau iaitu Jabatan Negara AS sedaya upaya tidak mahu dikaitkan dengan pandangan tersebut. Jurucakap Kedutaan Besar AS di Kuala Lumpur, Tina Malone berkata, oleh kerana Malott kini tidak lagi berkhidmat dengan kerajaan AS, maka apa yang ditulisnya itu adalah pandangan peribadinya.

“Apa yang diperkatakan dalam rencana itu tiada kena mengena dengan pandangan kerajaan AS terhadap Malaysia terutama sekali mengenai pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak,” kata beliau sebagai mengulas tulisan Malott.

Sememangnya agak pelik apabila Malott menyatakan masalah perkauman di Malaysia menjadi bertambah runcing sejak Najib mengambil alih tampuk kepimpinan pada 2009 dan analisis beliau menjadi bertambah bercelaru apabila menegaskan tahap keselamatan negara berada dalam keadaan yang lebih buruk berbanding dengan tragedi 13 Mei 1969!

Rencana yang bertajuk ‘Kesan Akibat Perkauman di Malaysia’ itu sarat dengan analisis yang agak terpesong tetapi begitu nyata sekali objektifnya kerana ia hanya mempunyai satu matlamat iaitu untuk meletakkan segala kesalahan ke atas bahu Najib dan bangsa Melayu.

Bagi pembaca yang kurang arif dengan Malaysia, sudah pasti akan percaya bahawa pada masa kini berlaku rusuhan kaum dan perbalahan antara Melayu, Cina dan India yang mengakibatkan ratusan orang terbunuh. Mungkin ini satu andaian yang melucukan tetapi hakikatnya, itulah isyarat yang cuba disampaikan oleh Malott.

Beberapa isu ditonjolkan oleh Malott tetapi dalam bentuk yang begitu negatif sekali yang mempalitkan kesalahan kepada Najib. Isu seperti larangan simbol Kristian Rumah Terbuka Krismas 2010, perarakan kepala lembu di Shah Alam dan kekurangan penyertaan kaum Cina dalam tentera diolah sebegitu rupa untuk menggambarkan kelemahan pentadbiran Najib yang dituduh begitu bersifat perkauman.

Malott bukan setakat menuduh pentadbiran Najib sebagai pengamal sifat perkauman tetapi telah menghina dan merendahkan martabat orang Melayu sebagai satu kaum yang bersifat rasis dan tidak mempunyai kemampuan untuk berfikir secara pintar.

Begitu aneh sekali apabila Malott mempertikaikan pelantikan Johan Mahmood sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Talent Corporation bukan kerana kurang kelayakan dan pengalaman tetapi sebab Johan adalah orang Melayu. Penubuhan Talent Corporation antara lain adalah untuk menyelesaikan masalah penghijrahan tenaga kerja berbakat ke luar negara.

Nampak sangat sifat rasis Malott apabila mempertikaikan kemampuan Johan kerana hanya beliau seorang Melayu. Hujah Malot pula ialah kerana sebahagian besar rakyat Malaysia yang berhijrah adalah terdiri daripada kaum Cina dan India, maka sewajarnya CEO Talent Corporation itu diterajui oleh kaum tersebut. Tiada yang lebih dangkal mengenai hujah tersebut kecuali Malott sendiri.

Sifat rasis Malott lebih terserlah apabila menuduh akhbar Utusan Malaysia sebagai media yang gemar mencetuskan suasana provokasi terutama sekali terhadap kaum Cina dan ahli politik pembangkang. Sekali lagi, Malott cuba mengaitkan Utusan Malaysia dan Najib dengan niat yang tidak baik.

Begitu juga dengan pertubuhan Perkasa yang tidak terlepas daripada penghinaan Malott apabila beliau berpendapat pelaksanaan Model Baru Ekonomi terbantut kerana Perkasa khuatir dasar meritokrasi dan ketelusan bakal menghapuskan hak Melayu. Sekali lagi Malott memutar belit fakta untuk menghina orang Melayu.

Meneliti tulisan Malott membuatkan seseorang terfikir mengapa beliau begitu membenci dan memandang rendah kebolehan bangsa Melayu kerana cara hidup dan sistem pendidikan Amerika langsung tidak menjerumus ke arah menilai seseorang mengikut bangsa atau agama. Tidak mungkin pengalaman beliau sebagai duta AS di Kuala Lumpur dari tahun 1995-1998 mewarnai pemikiran beliau kerana tiga tahun adalah satu masa yang begitu singkat untuk mengubah pemikiran logik seseorang.

Tetapi agak menghairankan pula dalam sarat menghina bangsa Melayu, Malott memuji pula Nurul Izzah Anwar yang dikatakan berani menongkah arus mengenai isu hak Melayu. Agaknya dalam pemikiran Malott, orang Melayu yang mempersoalkan kedudukan Melayu tidak rasis dan mempunyai kebijaksanaan, manakala mereka yang mempertahankannya pula dilabel sebagai rasis.

Jika itu dalil yang digunakan oleh Malott untuk menghina kaum Melayu dan mereka yang memperjuangkan serta menjaga hak Melayu, maka menurut falsafah Malott, tentulah Martin Luther King iaitu pejuang hak kebebasan rakyat Amerika juga adalah seorang rasis.

Oleh : Azmi Hassan

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 8 Februari 2011

Khusrin terima tugas pertama sebagai SUK Selangor!

SETIAUSAHA Kerajaan (SUK) Selangor, Datuk Mohamad Khusrin Munawi (kiri) mendengar taklimat mengenai tugas-tugas beliau daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada pertemuan rasmi pertama sejak dilantik ke jawatan itu, di Pejabat Menteri Besar, di Shah Alam, 7 Feb. Pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK sebelum ini ditolak oleh Abdul Khalid.

Datuk Mohamad Khusrin Munawi hari ini menerima tugas pertamanya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor apabila diminta membantu menangani masalah penduduk setinggan yang mendiami tanah negeri itu.

Perkara itu dimaklumkan kepada Mohamad Khusrin oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim apabila kedua-dua mereka mengadakan pertemuan di pejabat Menteri Besar di Bangunan SUK di sini, hari ini.

Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan berkata pada pertemuan itu, Mohamad Khusrin juga diminta menyediakan laporan dari masa ke masa kepada kerajaan Selangor mengenai maklumat terkini hartanah yang dimiliki kerajaan negeri demi mengenal pasti nilai tanah terbiar dan bermasalah.

"Mohamad Khusrin juga diminta meneruskan usaha-usaha kerajaan Selangor menangani masalah kecurian pasir yang boleh mengganggu pendapatan kerajaan negeri,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut sama ada Abdul Khalid membenarkan Mohamad Khusrin mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapannya bagi membolehkan SUK itu menghadiri mesyuarat exco dan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

Abdul Khalid mempertikaikan pelantikan Mohd Khusrin sebagai SUK berkuat kuasa 1 Januari lepas oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, dengan mengatakan beliau tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai pelantikan itu.

Berikutan itu, kerajaan Selangor yang diterajui bersama oleh Parti Keadilan Rakyat, Pas dan DAP mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan SUK, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri, yang berada di bawah bidang kuasa suruhanjaya tersebut.

Pindaan itu gagal kerana tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga anggota dewan. - UM.

Warna-warni politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor