Khamis, 3 September 2015

Maria enggan dedah derma RM2.4 juta?

Maria Chin Abdullah

Penganjur Bersih 4.0, Maria Chin Abdullah enggan mendedahkan kepada polis mengenai akaun derma bernilai RM2.4 juta yang diperoleh pihaknya untuk penganjuran perhimpunan haram itu di ibu negara pada Sabtu dan Ahad lalu.

Maria berkata, beliau mempunyai hak untuk tidak menjawab soalan yang dikemukakan dan bersedia ke mahkamah sekiranya didakwa.

“Sepanjang proses siasatan kami beri kerjasama penuh kepada polis, tetapi kami juga menjalankan hak untuk tidak menjawab semua soalan,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai kenyataan yang diberikan kepada pihak polis hari ini berhubung perhimpunan Bersih 4.0.

Beliau ditemui berhampiran pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Turut diambil kenyataan ialah enam lagi aktivitis propembangkang yang juga terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram itu iaitu Timbalan Pengerusi Bersih 4.0, Sarajon Huda Abdul Hassan; Bendahari, Masjaliza Hamzah; Ahli Jawatankuasa, Farhana Halim dan Fadiah Nadwa; Ahli Sekretariat, Mandeep Singh serta aktivis pelajar, Adam Adli.


Kesemua mereka hadir pada pukul 10.30 pagi dengan ditemani 10 peguam antaranya, Datuk S. Ambiga, Latheefa Koya dan Eric Paulsen dan selesai memberi keterangan kira-kira dua jam kemudian.

Siasatan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 120, Seksyen 124C dan Seksyen 141 Kanun Keseksaan atas dakwaan menyembunyikan rancangan untuk melakukan suatu kesalahan, cuba menimbulkan dan mengganggu gugat demokrasi berparlimen di negara ini serta mengadakan perhimpunan haram.

Mandeep turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.

Dalam pada itu, ditanya mengenai tuntutan kos pembersihan berjumlah RM65,000 seperti yang disebut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan semalam, Maria mene­gaskan pihaknya tidak akan membayarnya dan meminta supaya perkara itu dibuktikan di mahkamah.

“Kemukakan bukti, kita akan jawab di mahkamah,” katanya.

Menjawab soalan pemberita mengenai dua wanita yang didakwa memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Maria tidak pasti individu terbabit merupakan peserta perhimpunan itu memandangkan pihaknya tidak dapat mengawal tingkah laku mereka yang terlalu ramai.


Bagaimanapun, beliau meminta supaya individu terbabit tampil menyerah diri kepada polis untuk siasatan.

“Selaku penganjur, saya bertanggungjawab secara tidak langsung atas perbuatan dua wanita itu dan kesal dengan apa yang berlaku. Saya harap mereka juga dapat mengambil tanggungjawab dan tampil memberi kerjasama kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pihaknya akan tetap menghantar bil tuntutan kos pembersihan berjumlah RM65,000 kepada penganjur perhimpunan haram Bersih 4.0.

“Saya tidak kisah, bil itu tetap akan saya hantar ke Bersih. Dalam tempoh sehari dua ini, kita akan hantar bil kepada penganjur perhimpunan haram itu,” kata beliau.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 22 Februari 2015

Hudud: Tiada sebab ikut DAP?


Pas terus menyemarakkan sengketa dengan DAP apabila berikrar tidak akan berganjak sedikit pun dalam usaha melaksanakan hukum hudud di Kelantan walaupun ditentang keras oleh sekutunya itu.

Tanpa mempedulikan sedikitpun kritikan DAP, Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, adalah menjadi hak Pas untuk berbuat demikian apatah lagi perkara itu merupakan tuntutan dalam agama Islam.

“Apabila rakan sekutu kita dalam pakatan pembangkang iaitu DAP mengugut dan memberi arahan supaya tidak menyebut mengenai hudud dalam pilihan raya akan datang, kita tidak akan ikut mereka kerana hudud itu merupakan perintah Allah.

“Dewan Ulama 100 peratus akan mempertahankan undang-undang Islam termasuk hudud kerana ia perintah Allah bukan perintah DAP. Kenapa kita nak ikut DAP,” katanya ketika berucap menggulung sesi perbahasan majlis Multaqa Ulama Semalaysia II di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya, dekat sini hari ini.

Menurutnya, dasar dan matlamat Pas berbeza dengan DAP walaupun kedua-dua parti mahu menuju ke Putrajaya kerana selain kejayaan dalam pilihan raya, parti itu mahu meneruskan dasar Islam yang telah diperjuangkan sejak tahun 1951.

Dalam pada itu, Dr. Mahfodz berkata, Dewan Ulama menyokong penuh usaha Kerajaan Pas Kelantan yang mahu membawa Rang Undang-Undang Persendirian mengenai hukum hudud ke Dewan Rakyat pada bulan depan.

Katanya, perkara itu merupakan antara detik-detik yang ditunggu kerana Pas telah memperjuangkan hudud sejak sekian lama dan enakmen negeri Kelantan mengenai hukum tersebut juga sudah lebih 23 tahun diluluskan.

Warna-warni Politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor