Isnin, 23 Jun 2014

Muhammad Firdaus kini stabil

Faizal Fazri Othman (kanan) melihat gambar lama Muhammad Firdaus yang dibawa oleh Norfitri Radius (dua dari kanan) semasa melawat remaja itu di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

Remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang ditemui Jabatan Imigresen negeri dalam keadaan menyayat hati di dalam sebuah bilik ketika melakukan Operasi Bersepadu 6P bagi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI), kira-kira pukul 2.30 pagi semalam, dilaporkan stabil setelah dirawat di Wad Kanak-Kanak Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.

Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman yang melawat remaja itu bersama pegawai dan anggotanya di wad berkenaan berkata, Muhammad Firdaus telah diberi rawatan, dibersihkan dan rambutnya dipotong.

Malah, katanya, remaja itu juga kelihatan lebih segar setelah diberi makan bubur dan minum oleh petugas-petugas hospital yang turut bersimpati dengan nasibnya.

"Perutnya sudah berisi dan tidak lagi kempis seperti semasa ditemui semalam. Syukurlah dia diberi penjagaan yang baik,'' katanya ketika ditemui di pekarangan HTJ, di sini hari ini.

Menurut beliau, bekas pengasuh Muhammad Firdaus, Norfitri Radius, 42, yang pernah menjaganya sebelum ini turut mengunjungi remaja itu.


Jelasnya, Norfitri turut membawa gambar lama Muhammad Firdaus yang dalam keadaan sihat dan berisi.

Sementara itu, mengimbas kali pertama bertemu mangsa, Faizal Fazri mengakui sukar menggambarkan perasaannya kerana tidak menyangka akan bertemu remaja itu dalam keadaan terlalu daif.

"Saya hanya mampu mengucap kerana terkejut. Keadaannya amat menyedihkan. Kurus-kering, memakai baju koyak dan berlumuran najis," katanya yang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana membantu menyelamatkan mangsa.

Sementara itu, Ibu remaja OKU direman sehingga Rabu ini

Ibu Muhammad Firdaus Dullah, remaja orang kurang upaya (OKU) yang ditemui dalam keadaan menyayat hati di Flat Taman Semarak dekat sini awal pagi semalam, direman sehingga Rabu ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.


Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Abdullah Roning menjelaskan, wanita berusia 40 tahun itu ditahan ketika dipanggil ke balai polis petang semalam untuk memberikan keterangan.

"Siasatan menjurus kepada punca sebenar mengapa kanak-kanak itu diabaikan dan ditinggalkan seorang diri di flat berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Siasatan awal mendapati ibu remaja berkenaan berasal dari Sabah dan telah bercerai dengan bapa mangsa sebelum sekali lagi mendirikan rumah tangga.

Difahamkan, hasil perkahwinan baharu itu, ibu mangsa mempunyai seorang anak lelaki berusia lima tahun.

Abdullah seterusnya berkata, buat masa ini wanita berkenaan ditahan di lokap sehingga kertas siasatan mengenai kes itu selesai.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 14 Jun 2014

Pas tak perlu cemburu dengan kejayaan Syed Mokhtar - Syed Ali?


Pemimpin Pas tidak perlu cemburu dengan kejayaan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary sehingga cuba ‘menyerang’ ahli perniagaan Melayu paling berjaya itu sepanjang masa dan mereka sebaliknya patut berbangga dengan kemampuan tokoh tersebut

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, beliau pelik dengan sikap pemimpin Pas kerana seolah-olah mahu ‘membunuh’ kejayaan usahawan Melayu tetapi membisu seribu bahasa terhadap isu monopoli kaum Cina dalam bidang ekonomi.

"Mengapa Melayu ‘nak bunuh’ Melayu? Kita sepatutnya berbangga kerana ada orang Melayu yang tersenarai sebagai salah seorang yang terkaya di Malaysia dan juga di Asia tetapi pemimpin Pas tidak begitu. Mengapa cemburu sangat dengan Syed Mokhtar?

"Patutnya mereka pertahan usahawan Melayu seperti Syed Mokhtar. Mengapa dalam soal monopoli kekayaan ekonomi oleh orang Cina tiada seorang pun pemimpin Pas yang berani bersuara," katanya menerusi blog umnobahagiancheras.blogspot.com hari ini.


Beliau mengulas tindakan Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar dan ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang melemparkan pelbagai tohmahan dan tuduhan kepada Syed Mokhtar dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.

Dalam pada itu, Syed Ali menyifatkan tindakan Mahfuz dan Khalid sebagai pengkhianatan kepada orang Melayu kerana sebagai tokoh politik, sepatutnya kedua-dua pemimpin kanan Pas itu tampil dengan jiwa besar untuk mempertahan usahawan bumiputera.

"Pemimpin Pas sepatutnya memberikan idea yang baik bagaimana untuk melahirkan lebih ramai orang Melayu seperti Syed Mokhtar dan bukannya mengambil tindakan sengaja mahu ‘membunuh’ tokoh perniagaan Melayu seperti beliau," katanya.

Warna-warni politik
Torashah


Sabtu, 7 Jun 2014

Ibu Dyana wajar dipecat jika berkempen untuk DAP - Veteran UMNO!


Yammy Samat, ibu kepada calon DAP pada pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan Dyana Sofia Mohd Daud, wajar dipecat daripada Umno sekiranya didapati benar berkempen untuk DAP, kata Setiausaha Agung Kelab Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub.

Beliau berkata, UMNO bersikap tegas mengikut peraturan terhadap anggotanya yang berkempen untuk parti pembangkang dan beliau percaya jawatankuasa disiplin parti akan menyiasat dengan teliti..

"... (Buat masa ini) beri ruang kepada beliau (Yammy) untuk menjawab (tuduhan) tetapi jika (Yammy) benar-benar bersalah, pendirian Veteran Umno tegas bahawa beliau wajar dipecat," katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, UMNO menghantar surat tunjuk sebab kepada Yammy kerana didakwa berkempen untuk anaknya dan beliau perlu menjawab dalam tempoh 14 hari.

Warna-warni politik
Torashah

Rabu, 4 Jun 2014

MB Khalid kata ego punca DAP kalah di Teluk Intan?


Sikap ego pemimpin pakatan pembangkang yang dikatakan gagal mendengar kemahuan rakyat dikatakan menjadi punca kekalahan DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan semalam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sekiranya mereka berupaya memenuhi kehendak rakyat selain membuat pe­rancangan tepat, beliau yakin DAP mampu mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan.

"Ini adalah contoh yang baik untuk pakatan pembangkang jadikan pengajaran. Jika kita dengar kemahuan rakyat Teluk Intan dengan berhati-hati dan membuat perancangan, kita tidak akan terlepas pandang apa yang mereka mahu.

"Mungkin kita sebagai ahli Parlimen boleh cakap kepada rakyat, tetapi mungkin rakyat mahu tahu apa yang anda tahu tentang semua perkara," kata­nya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perdana Skim Keselamatan Kejiranan Pangsapuri (Seroja), di sini hari ini.

PRK Parlimen Teluk Intan telah menyaksikan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong menang dengan majoriti 238 undi selepas memperoleh 20,157 undi berban­ding calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud 19,919 undi.

Abdul Khalid dalam pada itu mendakwa, DAP telah melakukan yang terbaik untuk memastikan pengundi Teluk Intan menyokong mereka tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.

"Banyak pengundi luar tidak balik mengundi dan sokongan kuat daripada Kerajaan Pusat juga menyebabkan rakyat memilih Barisan Nasional (BN)," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 1 Jun 2014

Kanak-kanak dibunuh kejam dipercayai akibat dendam?

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan mangsa dibawa oleh seorang lelaki sebelum ditemui mati di tepi Sungai Klang berdekatan Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur, kelmarin.

Hanya kerana dendam, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun enam bulan, Siti Soffea Emelda menjadi mangsa kekejaman seorang lelaki tidak berhati perut yang tergamak menghentak kepala mangsa dengan serpihan seramik serta mengelar leher mangsa hingga putus.

Suspek turut dilihat cuba membaringkan mangsa dipercayai cuba untuk mencekiknya di tempat kejadian yang terletak berdekatan tebing Sungai Klang berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), Jalan Tun Sambanthan di sini, kira-kira pukul 9 malam tadi.

Beberapa saksi yang ternampak perbuatan suspek dari jauh berkejar ke tebing sungai itu sambil menjerit memintanya menghentikan perbuatan itu tetapi suspek tidak peduli dan tangannya terus menghentak dan mengelar leher kanak-kanak malang itu.

Sebaik sahaja saksi-saksi ber-kenaan menghampirinya, suspek terus terjun ke dalam sungai dan menghilang di dalam arus deras. Yang ada hanya mayat mangsa yang bahagian kepalanya telah terpisah daripada badan.

Mayatnya ditemui dalam keada-an tertiarap dengan kepalanya yang putus berada berdekatan kakinya. Mangsa hanya memakai seluar panjang putih dan lampin pakai buang. Terdapat kesan potong di leher dan bahagian kepalanya pecah.

Turut ditemui ialah sandal hitam dipercayai milik suspek, sandal kanak-kanak berwarna hitam hijau, baju kanak-kanak tanpa lengan berwarna putih, tali pengikat rambut dan serpihan seramik yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa.

Menurut sumber, kejadian itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kehidupan ibu mangsa seorang warga tempatan berusia 32 tahun yang dipercayai penagih dadah sejak beberapa tahun lalu serta mempunyai sikap negatif hingga menimbulkan kemarahan suspek.

"Mungkin orang tak puas hati dengan ibu mangsa dan balas dendam pada anaknya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, siasatan polis mendapati suspek telah mengekori pergerakan mangsa di sebuah kompleks beli-belah sebelum melarikan kanak-kanak berkenaan ketika ibunya yang berusia 32 tahun memasuki tandas di premis itu kira-kira pukul 3 petang.

Kong Meng berkata, mangsa ketika itu ditinggalkan bersama rakan ibunya di luar tandas tersebut.

"Beberapa jam selepas itu, saksi kejadian ternampak seorang lelaki dipercayai berketurunan India sedang mendukung seorang kanak-kanak menyusuri Sungai Klang. Orang awam turut melihat lelaki itu merebahkan kanak-kanak berkenaan sebelum menghempaskan sesuatu ke kepala dan melakukan sesuatu di leher kanak-kanak tersebut.

"Orang awam kemudiannya bergegas menyelamatkan kanak-kanak itu sebaliknya lelaki tersebut terus memukul kepala kanak-kanak berkenaan. Sewaktu saksi menghampiri tempat kejadian, suspek melarikan diri dan terjun ke dalam sungai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Kong Meng, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambahnya, usaha mengesan suspek yang dipercayai lemas di Sungai Kelang masih diteruskan oleh polis dengan bantuan pihak Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pertahanan Awam.

Warna-warni politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor