Isnin, 3 Februari 2014

Pelan 'mencabul' demokrasi?

Sebahagian pengundi di Pusat Daerah Mengundi Taman Delima Kajang dan Sungai Kantan serta ahli pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) membuat bantahan mengenai peletakan jawatan Lee Chin Cheh dan penamaan Anwar Ibrahim sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, baru-baru ini. - BERNAMA

Selepas sah Anwar Ibrahim dipilih menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang (walaupun pengumuman kekosongan kerusi belum pun dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya); barulah saya faham mengapa isu PKNS tercetus, mengapa Khalid Ibrahim diserang bertubi-tubi oleh partinya sendiri; kenapa kes cerai fasakh Nurul Izzah didedahkan; mengapa kerusi DUN Kajang dikosongkan tanpa sebab dan kenapa UMNO/Barisan Nasional (BN) didendangkan dengan Pelan Damai Nasional!

Teringat saya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008, setelah menang kerusi Kulim Bandar-Baharu, berlaku satu insiden yang sangat menakutkan Anwar. Pada 28 Jun 2008, Saiful Bukhari Azlan, pembantu peribadi Anwar membuat laporan polis dia diliwat pada 26 Jun 2008.

Ketakutan Anwar masa itu memang agak luar biasa! Saya tidak bercadang menceritakan secara terperinci apa yang saya sendiri lihat masa itu. Tetapi cukup sekadar mengimbau bagaimana Anwar pergi menyembunyikan diri di rumah Duta Turki pada 29 Jun 2008. Kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada masa itu ialah Anwar meminta perlindungan kerana ada “cubaan mahu menembaknya!"

Anwar baru sahaja bebas daripada penjara pada 2 September 2004 setelah merengkok enam tahun di Penjara Sungai Buloh kerana disabitkan pada 14 April 1999 dengan kesalahan menyalah guna kuasa sebagai Timbalan Perdana Menteri mengarahkan Cawangan Khas PDRM mendapatkan Akuan Bersumpah palsu daripada Umi Hafilda dan Azizan Abu Bakar (pemandunya) yang mendakwa diliwat oleh Anwar pada Mac 1993 di Tivoli Villa.

Anwar tahu kalau dia diheret ke mahkamah dan dikenakan pertuduhan dan disabitkan kesalahan meliwat Saiful, hukuman penjara melebihi enam tahun menanti beliau. Segala harapannya menjadi Perdana Menteri (PM) akan hancur berkecai; malah pada umur senja, dia mungkin reput dalam penjara.

Satu strategi yang dirangka pada masa itu untuk memastikan Anwar menjadi Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang; dan dicanangkan kemungkinan menjadi PM melalui konspirasi 16 September 2008. Dengan 81 Ahli Parlimen di belakang beliau dan jawatan Ketua Pembangkang, kemungkinan untuk Anwar disabitkan kesalahan meliwat Saiful agak tipis.

Mana mungkin Anwar akan dihukum penjara. Satu dunia akan bising. Amerika akan bising. Turki akan bising. IPU akan bising. UN akan bising. Amnesty International akan bising.

Jadi perancangan untuk melaksanakan agenda itu dimulakan dengan mengenal pasti kerusi mana Anwar hendak bertanding.

Penulis yang masa itu penuh semangat dan ketaatan membabi buta menawarkan kerusi Parlimen Kulim Bandar-Baharu. Namun kerja Allah tidak siapa dapat mengatasinya. Petisyen pilihan raya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Setar terhadap kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu menyebabkan kerusi itu tidak dapat dikosongkan mengikut perancangan.

Lalu Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, isteri tercinta dan Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh terpaksa mengorbankan kerusinya demi ‘kesejahteraan PKR’. Anwar menang PRK Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008. Setelah mengangkat sumpah pada 28 Ogos 2008, Anwar dilantik menjadi Ketua Pembangkang.

Setelah melalui proses perbicaraan yang meleret-leret dengan jumlah penangguhan yang melayakkan kes dimasukkan dalam Malaysia Book of Records, pada 10 Januari 2012, mahkamah membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Saiful.

Sekarang Anwar berdepan dengan rayuan kes Saiful. Mahkamah Rayuan telah menetapkan tarikh perbicaraan dalam masa terdekat ini (iaitu 11, 12 dan 13 Februari); dan sekali lagi Anwar berdepan risiko hukuman penjara yang panjang jika rayuan Pendakwaraya diterima.

Dan kali ini Pendakwaraya diwakili peguam veteran terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, seorang peguam no-nonsense yang diperakui kehebatan guamannya! Risiko dipenjarakan menjadi real; risiko impian menjadi PM ketujuh hancur lebur. Pada usia 67 tahun dan kubur sudah kata mari, Anwar tidak mungkin boleh menerima hukuman penjara yang panjang. Ianya mesti dipintas walau apa taruhannya.

Siapa yang berani memenjara seorang Menteri Besar yang berpengaruh atas tuduhan meliwat? Siapa yang berani berdepan dengan dunia liberal barat gara-gara menghukum MB Selangor dengan tuduhan meliwat? Siapa yang berani nak berdepan dengan kuasa besar Amerika Syarikat? Siapa nak berdepan dengan Amnesty International, Human Rights Commission dan negara Eropah yang mengamalkan seks bebas terbuka termasuk membenarkan homoseksual!

Jadi Anwar mesti jadi MB Selangor untuk memastikan Penjara Sungai Buloh bukan destinasi terakhirnya di muka bumi ini!

PENGHALANG

Tapi Tan Sri Khalid Ibrahim ada di sana sebagai MB. Beliau mendapat sokongan penuh DAP; masyarakat peniaga dan korporat Cina dikatakan menyukai cara pentadbirannya yang mesra perniagaan, cekap dan tidak rasuah.

Pas pula tidak senang dengan pendirian Anwar yang liberal, yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam yang bercanggah dengan ketetapan Majlis Syura parti itu.

Dan Khalid bukan jenis yang akan tunduk kepada semua kehendak Anwar. Walaupun diketepikan sebagai Ketua Perhubungan PKR Selangor, beliau masih lagi berpengaruh. Bila Anwar menghantar Saifudin Nasution sebagai Liason Director antara pejabat MB dengan PKR, Khalid memperlekehkan duta Anwar itu dengan ‘menyumbatnya’ di Tingkat 5 dan mengatakan “kami boleh berhubung dengan e-mel".

Khalid tahu kekuatannya terletak pada perlindungan dan pengaruh Presiden PKR. Selagi Wan Azizah menyokongnya, Anwar dan konco-konconya tidak akan berani melakukan sesuatu terhadap Khalid. Sebab itu Faekah Hussein, panglima kanan Wan Azizah, wanita yang paling dibenci oleh segelintir kumpulan anti-Khalid di dalam PKR dilantik memegang beberapa portfolio berpengaruh dan berkuasa di pejabat MB. Beliau bukan sahaja Setiausaha Politik dan Pegawai Khas MB, bahkan Pengerusi MBI, badan korporat paling bepengaruh di Selangor dengan kekuatan dana yang besar.

Lalu bagaimana nak pastikan Wan Azizah dan Faekah, tidak lagi melindungi Khalid?

CHECK-MATE TERHADAP WAN AZIZAH DAN NURUL IZZAH

Tiba-tiba terbongkar kisah sensasi permohonan cerai fasakh oleh Nurul Izzah dengan suaminya Raja Ahmad Syahrir. Sebenarnya permohonan sudah difailkan lama dan tiada sesiapa pun mengetahuinya kecuali peguam, mahkamah dan beberapa orang dalam PKR.

Tiba-tiba 26 Januari lepas, berita permohonan perceraian itu terbongkar. Ada sumber dalaman PKR mendedahkannya kepada para blogger dan media arus perdana. Malah ada yang menerima transkrip terperinci sebab-sebab permohonan perceraian itu dimohon oleh Nurul Izzah, termasuk gambar seorang jejaka yang agak ‘jambu’ turut disebarkan.

Nurul Izzah ialah Naib Presiden PKR, Ahli Parlimen Lembah Pantai dan rising star di dalam PKR. Malah dia pernah menyatakan hasrat menentang orang kanan papanya untuk jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan lalu. Dia penyokong kuat ibunya Wan Azizah dan Khalid. Sebarang sokongan terbuka daripada Nurul Izzah dan ibunya terhadap kepimpinan Khalid sebagai MB akan menyukarkan sebarang cubaan untuk menjatuhkan Khalid.

Jadi Wan Azizah dan Nurul Izzah harus dikekang!

Pembongkaran kes permohonan cerai fasakh oleh Nurul Izzah dengan segala kisah sensasinya menjadi check-mate terhadap Wan Azizah dan Nurul Izzah. Bagaimana mungkin sekarang Wan Azizah dan Nurul Izzah mahu memberikan sokongan terbuka kepada Khalid - pasti mereka akan dicemuh supaya pergi urus hal rumahtangga sendiri.

Lalu Khalid terkontang-kanting keseorangan, tanpa sokongan Presiden dan Naib Presiden, tanpa sebarang jawatan dalam parti. Hanya tinggal DAP dan Pas menjadi sandaran akhir.

STRATEGI MENGGUSARKAN DAP-PAS

Muncul pula isu tuntutan menggunakan kalimah Allah dalam upacara keagamaan Kristian di gereja-gereja di Selangor. Pelik! Hanya di Selangor, tidak di Pulau Pinang! Dalam keadaan mereka sudah pasti tahu Selangor mempunyai Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Bila isu rampasan bible versi bahasa Melayu yang menyalahterjemahkan kalimah Allah tercetus dan JAIS melaksanakan tugasnya mengikut undang-undang dan merampas bible-bible tersebut, ruang terbuka luas untuk Khalid diserang.

Kesempatan ini diambil untuk menakutkan DAP. Sikap Khalid tiba-tiba membuat kenyataan menyokong titah Tuanku Sultan Selangor melarang penggunaan kalimah Allah dan akan terus akur dengan titah itu sudah pasti menggusarkan parti cauvinis DAP ini. Sikap ini sudah pasti akan mengendurkan sokongan DAP kepada Khalid.

Pada waktu sama, tindakan Khalid mengarahkan JAIS mengembalikan bible yang dirampas menyebabkan ada penentangan daripada Pas. Kenyataan Exco Hal Ehwal Islam daripada Pas, Solehin Mukhyi tidak senada dengan kenyataan Khalid.

Faktor ini sudah pasti akan digunakan sepenuhnya untuk menakutkan elemen-elemen di dalam Pas Selangor. Kononnya kalau dibiarkan Khalid terus menjadi MB, Pas akan hilang lebih banyak kerusi dalam PRU nanti, sebab orang Melayu benci. Ini akan menyebabkan Pas berfikir dua tiga kali untuk terus menyokong Khalid.

Akhirnya dengan strategi yang cukup licik dan holistik, Khalid keseorangan. Kali ini Khalid benar-benar terjebak. Dia sudah tidak boleh lari.

Perletakan jawatan Lee Chin Cheh dan pengosongan kerusi DUN Kajang sekadar pelengkap kepada konspirasi menjatuhkan Khalid dan menobatkan Anwar sebagai MB. Malah kemungkinan Chin Cheh sendiri tidak menyedari permainan politik puak-puak ini.

PELAN `PERANGKAP’ DAMAI NASIONAL

Dan untuk memastikan semuanya berjalan lancar mengikut perancangan, maka ditawarkan kepada UMNO dan BN ‘Pelan Damai Nasional’.

Ini lawak senario abad ini.

Bagaimana mungkin parti yang cacamarba penuh dengan percakaran dalaman ini boleh mengemukakan pelan sebegini.

Jika UMNO/BN menerima pelan ini, saya cukup yakin akan timbul desakan supaya UMNO/BN membuktikan keikhlasan dengan tidak meletakkan calon bagi PRK DUN Kajang. Ini sekali gus memberikan Anwar laluan percuma untuk menjadi ADUN dan seterusnya MB Selangor yang baru menggantikan Khalid.

Persoalannya sekarang adalah adakah riwayat Khalid sudah berakhir?

Belum. Jangan padamkan nama Khalid cepat sangat. Beliau seorang tokoh korporat yang sudah biasa dengan taktik dan manipulasi seperti ini.

Khalid sekarang ada beberapa pilihan:

1. Buat keras kepala dan terus kekal sebagai MB. Kalau Khalid memilih opsyen ini, Anwar tidak ada pilihan selain meminta DUN Selangor memanggil sidang tergempar membuat usul undi tidak percaya kepada Khalid. Untuk itu Anwar memerlukan sokongan penuh ADUN DAP dan Pas selain ADUN PKR sendiri. Dalam keadaan ekstrem, Anwar boleh arahkan semua ADUN PKR tidak menyokong Khalid dan menyebabkan DUN tergantung. Tetapi ini belum tentu berjaya; dan kalau berjaya pun Anwar akan dilihat tamak jawatan sehingga sanggup menganiaya dan mengkhianati MB sendiri.

2. Khalid boleh pengaruhi kesemua ADUN PKR, DAP dan Pas untuk terus menyokong beliau dengan membawa usul undi percaya dalam Dewan. Tetapi ini juga berisiko kerana tidak mungkin ADUN PKR akan menyebelahi beliau;

3. Membuat pakatan dengan ADUN BN, dengan syarat beliau boleh membawa jumlah ADUN yang cukup untuk menyokongnya membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan, dengan beliau terus menjadi MB. Ini juga opsyen berisiko tinggi kerana Khalid akan sentiasa duduk di bawah tekanan ADUN- ADUN ini;

4. Menelan sahaja apa yang berlaku. Terima sahaja takdir masanya dah berlalu, dah tak ada rezeki.

5. Opsyen terakhir dan paling realistik - membubarkan DUN Selangor. Sebagai MB, hanya beliau yang mempunyai hak undang-undang dan politikal untuk menasihatkan Sultan Selangor supaya membubarkan DUN. Beliau boleh menggunakan alasan bahawa hak demokrasi rakyat Selangor untuk menentukan kepimpinan Kerajaan Selangor yang baru harus dihormati.

Sekiranya Khalid digulingkan dengan cara pintu belakang, hak demokrasi rakyat Selangor telah diliwat melalui kaedah politiking luar tabii.

Saya percaya UMNO/BN terbuka dalam menimbangkan kerjasama strategik ini. Apa yang penting ialah hak demokrasi rakyat Selangor tidak dicabul sewenang-wenangnya oleh golongan yang tidak bertanggungjawab!

Hayat politik Khalid sebagai MB Selangor mungkin sudah hampir ke penghujungnya. Tetapi Khalid boleh menukar destinasi akhir jika bijak mengatur strategi.

Nasihat saya kepada Khalid, baca dan perhalusi sejarah bagaimana Allahyarham Tun Gafar Baba jatuh tersungkur akibat mainan politik luar tabii ini.

Pisau di tangan beliau, timun pun di tangan beliau. Buat apa yang patut untuk memastikan hak demokrasi rakyat Selangor terus terpelihara dan maruah diri dipertahankan!

Oleh : Zulkifli Noordin

Warna-warni politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor