TOLAK PKR ; MELAYU SELAMAT

TOLAK PKR ; MELAYU SELAMAT

Khamis, 17 Mei 2012

Nik Aziz terlalu taksub dunia politik!



Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak tahu membezakan antara pandangan seorang pejuang Islam dengan pandangan orang politik apabila menyamakan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai pandangan berbaur politik.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, Nik Aziz merupakan seorang ahli politik, meskipun beliau dan partinya mahu memperjuangkan Islam tetapi matlamat parti itu tetap bercirikan politik justeru apa sahaja isu berkaitan Islam, Nik Aziz masih melihatnya sebagai politik.

''Cara orang politik menegakkan Islam berbeza dengan pejuang Islam sejati. Terutama mereka yang terbuka menerima sesiapa sahaja untuk menyertai perjuangan Islam termasuk orang yang bukan Islam. Maka, matlamat perjuangan mereka kebarangkalian mudah tersasar.

''Seorang pendakwah Islam yang baik, dia akan berusaha memperkasakan Islam itu dengan cara yang boleh memelihara kehormatan Islam. Jika dia tidak mampu berjuang seorang diri, dia akan mencari rakan Islam yang lain tetapi bukan rakan yang bukan Islam,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Semalam, Nik Aziz menempelak pandangan Harussani terhadap Pas dengan menganggap kenyataan Mufti Perak bahawa Pas sudah menyeleweng dan menyalahgunakan agama Islam sebagai pandangan lapuk seorang mufti.

Sementara itu, Bendahari Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional Malaysia (BNBBC) Mohamed Aziz berkata, Nik Aziz tidak layak bergelar Mursyidul Am Pas kerana beliau sendiri tidak tahu sejarah Pas atau sebenarnya sengaja memesongkan sejarah Pas itu.

Katanya, Pas tertubuh kerana Pengasasnya, Ahmad Fuad atau yang ketika itu Biro Agama UMNO kecewa dengan UMNO setelah gagal merebut kerusi Yang Dipertua UMNO atau kini Presiden UMNO daripada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

''Lalu, Ahmad yang merajuk terus menubuhkan Pas. Persoalannya, adakah Nik Aziz tidak tahu perkara ini atau sengaja buat-buat tidak tahu kerana orang Pas ini suka memutar belit fakta. Nik Aziz yang buta sejarah, bukannya Harussani.

''Nik Aziz tidak perlu menipu rakyat, rakyat juga tahu bahawa sebelum Pas wujud, UMNO lebih awal telah memperjuangkan agama Islam. Mursyidul Am Pas itu jangan terlalu asyik berpolitik hingga lupa soal dunia akhirat,'' katanya.

Mohamed seterusnya mempersoalkan, kenapakah Pas seringkali mempertikaikan kenyataan-kenyataan daripada pihak mufti dalam pelbagai isu dan adakah Pas merasakan mereka itu lebih hebat daripada golongan mufti di negara ini.

''Saya tidak fikir Nik Aziz layak menjadi mufti, meskipun dia itu seorang tok guru di Kelantan tetapi dia memang tidak layak dipilih sebagai mufti,'' katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 14 Mei 2012

Amaran dari Dewan Ulama PAS - Tiada lagi kerjasama DAP, PKR?


Pas mula membayangkan kemungkinan parti itu tidak lagi akan meneruskan kerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), apabila tiba masanya kelak.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menegaskan, tidak semestinya Pas akan menjadi rakan DAP mahupun PKR dalam pakatan pembangkang sampai bila-bila.

Jelasnya, walaupun mengakui Pas tidak menghadapi masalah untuk bekerjasama dengan kedua-dua parti itu, namun beliau tidak menafikan dasar perjuangan Pas seringkali mengundang bantahan daripada Pengerusi DAP, Karpal Singh.

"Kita (Pas) sebenarnya tak ada masalah untuk bekerjasama dengan DAP ataupun PKR, cuma Karpal saja yang membantah usaha kita untuk menegakkan syiar Islam termasuk hukum hudud.

"Tak semestinya kita jadi rakan DAP dan PKR untuk selama-lamanya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan pemimpin pembangkang khususnya Karpal yang secara terbuka menentang dasar Pas untuk menegakkan Islam di negara ini termasuk pelaksanaan hukum hudud.

Harun seterusnya mengalu-alukan sesiapa sahaja yang menyokong dasar serta perjuangan Pas untuk menegakkan syiar Islam termasuk hukum hudud sekiranya pakatan pembangkang memerintah negara.

"Pas sentiasa mengalu-alukan sesiapa saja yang sokong dasar kita (Pas) untuk menegakkan syiar Islam yang bukan hanya terhad kepada hukum hudud saja, tapi juga mencakupi semua aspek dalam kehidupan.

"Kita tak kira siapa saja, kita sambut baik sokongan mereka dan sebagai contoh terbaik, ramai orang bukan Islam menyertai kelab penyokong Pas," katanya.

Beliau menegaskan bahawa parti itu tetap dengan pendirian untuk menegakkan Islam termasuk melaksanakan hukum hudud!

Warna-warni politik
Torashah

Jumaat, 11 Mei 2012

NGO sokong pandangan ADUN DAP!


Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini menyokong pandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama, Dr. Cheah Wing Yin yang menyifatkan tempoh empat tahun pentadbiran pakatan pembangkang di Selangor sebagai dipenuhi pelbagai 'jenaka kesilapan yang melucukan.'

Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia (PKIM), A. Prakash berkata, apa yang dinyatakan oleh ADUN daripada DAP tersebut sememangnya berlaku di daerah Klang yang mana ada ahli majlis didakwa tidak tahu berbahasa Melayu.

Selain itu dakwanya, ada sesetengah ahli majlis tidak menjalankan tanggungjawab mereka menyelesaikan masalah rakyat, selain tidak menyalurkan bantuan meskipun menerima peruntukan tahunan daripada kerajaan negeri sebanyak RM50,000.

"Kita tidak nafikan apa yang dinyatakan oleh wakil rakyat itu (Wing Yin). Di Klang sendiri, rakyat merasai pentadbiran negeri pada hari ini termasuk ahli majlis tidak mengutamakan rakyat dan mengamalkan sikap 'pilih bulu' dalam pembahagian gerai Deepavali," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, paling meragukan ada ahli majlis di daerah itu tidak membuka pejabat mereka untuk memudahkan rakyat mengemukakan permasalahan walaupun difahamkan menerima peruntukan RM2,500 sebulan daripada kerajaan negeri untuk tujuan itu.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin ketika dihubungi berkata, apa yang dinyatakan oleh Wing Yin itu sebenarnya telah dibangkitkan oleh GAPS sejak pertubuhan berkenaan ditubuhkan tiga tahun lalu.

Katanya, dalam tempoh empat tahun pentadbiran, kerajaan negeri dilihat terpalit dengan pelbagai isu serta dakwaan penyelewengan. Ini termasuk salah guna kuasa melibatkan perlombongan pasir, Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Kalau nak menyentuh mengenai ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti, kerajaan negeri sepatutnya faham tiga perkara itu terlebih dahulu, bukannya hanya tahu bercakap sahaja," ujarnya yang turut mahu satu suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat pentadbiran PKR, DAP dan Pas di negeri ini.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan hari ini melaporkan Wing Yin telah menulis surat kepada pemimpin partinya bagi menyatakan pandangan bahawa tempoh empat tahun kepimpinan pakatan pembangkang di Selangor dilihat dipenuhi pelbagai 'jenaka kesilapan yang melucukan.'

Beliau mendakwa, terdapat ahli majlis tempatan yang dilantik oleh parti itu tidak boleh mengangkat sumpah jawatan kerana gagal membaca atau bercakap menggunakan bahasa Melayu. Selain itu, Wing Yin turut menyatakan bahawa prinsip cekap, akauntabiliti dan telus yang tidak sepatutnya digunakan sebagai slogan memancing pengundi pada pilihan raya harus dipraktik dan diamalkan parti itu sendiri.

Malah, ADUN itu turut menegur Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan 'Ahli Parlimen berkuasa' yang dilihatnya mempunyai 'keputusan muktamad'.

Pada masa sama, terdapat ahli majlis daripada DAP yang gagal bertindak balas terhadap rungutan yang disuarakan rakyat dan tidak menghadiri mesyuarat bagi menangani pelbagai masalah.









Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 3 Mei 2012

Perlembagaan: Fathul Bari pertikai Presiden Pas!

Sebarang usaha untuk meminda Perlembagaan Persekutuan yang ketika ini meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan akan memberi kesan negatif kepada negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya berkata Perlembagaan Persekutuan yang sepatutnya dipertahankan perlu dijadikan sebagai satu dasar, tujuan dan cabaran oleh masyarakat untuk lebih maju ke hadapan.

"Saya melihat menjadikan Islam sebagai cara hidup itu satu pendapat yang sangat baik tetapi masalah akan timbul apabila ada usaha untuk meminda Perlembagaan.

"Walaupun ketika ini disebut Islam sebagai agama Persekutuan, masih ramai orang tidak beramal atau kurang mempraktikkan dan memahami Islam apatah lagi kalau perkataan itu ditanggalkan daripada Perlembagaan kelak," katanya dipetik Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin bahawa pakatan pembangkang akan meminda Perlembagaan negara yang ketika ini meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan kepada Islam sebagai 'addin' iaitu yang merangkumi seluruh kehidupan manusia, jika dipilih sebagai kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

Fathul Bari berkata, Pas tidak seharusnya menimbulkan isu-isu provokasi seperti itu yang sering kali dibangkitkan menjelang pilihan raya dalam usaha untuk meraih sokongan politik semata-mata.

"Saya kira sewajarnya apabila Islam itu dijadikan agama Persekutuan, kita harus bersyukur dan perlu berusaha untuk merealisasikannya bukan untuk menimbulkan isu-isu provokasi seperti ini.

"Saya tak pasti mengapa tiba-tiba nak dibangkitkan isu negara Islam kerana sebelum ini Pas melaung-laungkan mengenai negara kebajikan," katanya.

Beliau berkata, Pas juga perlu menjelaskan tujuan dan matlamat sebenar tindakan mereka ingin meminda Perlembagaan negara serta membuktikan bahawa mereka adalah parti yang menjadikan Islam sebagai cara hidup.

"Kalau dilihat ketika perhimpunan Sabtu lepas, Unit Amal Pas sendiri yang rempuh sekatan polis dan timbulkan kekacauan, (sejauh) mana mereka membudayakan dan jadikan Islam sebagai cara hidup kalau begini jadinya?," katanya.

Pengerusi Ilmuan Muda Malaysia (Ilmu), Dr Fadlan Mohd Othman pula menyifatkan kenyataan Abdul Hadi itu dibuat berikutan mendapat tekanan daripada pakatan pembangkang khususnya DAP. Beliau berkata Islam adalah kedua-duanya iaitu agama dan cara hidup.

Sementara itu Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata peruntukan mengenai Islam sebagai agama bagi Persekutuan tidak boleh dipinda dan disentuh kerana ia adalah perjanjian kontrak sosial melalui prinsip 'jus soli' yang merupakan teras dan asas Perlembagaan negara.

Ibrahim berkata sesiapa yang mengungkit, mempersoal dan mencerca perkara itu boleh didakwa di bawah Akta Hasutan.

"Apakah Haji Hadi (Abdul Hadi) sedar bahawa dengan termaktubnya Islam sebagai agama rasmi Persekutuan banyak memberi keistimewaan serta perlindungan bagi kepentingan Islam termasuk isu murtad," katanya.

Ibrahim berkata, cara hidup mengikut Islam itu boleh dilaksanakan melalui dasar-dasar nasional serta program yang menjurus kepada Islam dan bukannya dengan meminda Perlembagaan Persekutuan.

"Haji Hadi buat kenyataan bodoh ikut suka nak cakap. Inilah berpolitik tanpa sedar diri, bercakap ikut sedap mulut dan akhirnya memberi pelbagai kesan tak baik.

"Apakah dengan hilangnya Islam sebagai agama rasmi, maka semua agama di iktiraf sebagai sama? DAP setuju ke? Kenapa ia tidak dilaksanakan di negeri-negeri di bawah pemerintahan pembangkang sekarang? " katanya. – Bernama

Warna-warni Politik
Torashah

Selasa, 24 April 2012

ISU PERSENDA RAJA!


Saya ingin mengulas tentang satu berita yang dilaporkan oleh Dr Rahman Kadir, seorang pengamal perubatan tentang tindakan mengejek dan mempersenda pimpinan negara termasuk Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan dan Yang Dipertua Negeri oleh beberapa tokoh ahli parlimen pembangkang ketika upacara pertabalan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong pada 11 April yang lalu.

Saya menyambut baik cadangan untuk menubuhkan badan penyiasat bagi menyiasat peristiwa yang mencacatkan upacara pertabalan tersebut sehingga ada pihak mencadangkan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Di Raja untuk menyiasat insiden yang berlaku. Ini menggambarkan seriusnya perkara yang berlaku dari kacamata berbagai pihak termasuk rakyat di negara ini.

Bagi saya insiden tersebut sekiranya benar-benar berlaku seperti yang dilaporkan adalah sesuatu yang tidak memeranjatkan. Setakat yang saya mengenali individu-individu yang terlibat, mereka memang mempunyai kecenderungan untuk melakukan perkara-perkara yang sukar diterima akal. Ini mungkin hasil dari desakan parti yang mereka wakili dan beberapa golongan di dalam parti masing-masing yang memandang remeh terhadap Institusi Raja. Saya tidak perlu menoleh kebelakang untuk memaparkan insiden-insiden hitam yang pernah berlaku di Perak dan Negeri Selangor

Selama ini mereka juga berbicara mengenai ketaatan kepada raja yang memerintah. Jelas daripada insiden tersebut sekiranya berlaku, ketaatan yang mereka laungkan tidak lebih daripada satu pengucapan yang tidak mempunyai banyak erti. Di hadapan masyarakat Melayu mereka berhujah tentang kepentingan institusi raja tetapi yang tersembunyi dihati mereka sebenarnya ialah apa yang dipertontonkan dalam peristiwa pertabalan itu.

Saya dapat merasakan betapa tersinggungnya pihak-pihak yang terlibat yang merupakan golongan yang selama ini dimuliakan dengan berbagai cara yang disusun oleh orang-orang terdahulu. Saya juga dapat merasakan betapa kecewanya rakyat negara ini mendengar tentang insiden tersebut lantaran rata-ratanya rakyat memahami kedudukan Insitusi Raja dalam perlembagaan persekutuan serta apa yang boleh dilakukan oleh institusi tersebut dalam menjamin keutuhan negara.

Tindakan beberapa pemimpin pembangkang itu (sekiranya berlaku) sesungguhnya merupakan satu tindakan yang keji dan tidak sepatutunya dilakukan oleh mereka yang dipilih oleh rakyat yang sepatutnya menjadi juru bicara kepada mereka. Sayangnya semata-mata atas kepentingan politik yang tidak matang maka ahli-ahli parlimen yang terlibat itu sanggup bertindak sedemikian dengan disaksikan seribu tetamu pilihan termasuk wakil-wakil negara asing.

Jika benar seperti yang dilaporkan, di mana kewajaran ahli parlimen pambangkang tersebut sehingga sanggup memperleceh, memperlekeh dan menghina pimpinan tertinggi negara dan batang tubuh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan dan Yang Di Pertua Negeri. Saya juga tertanya-tanya tentang darjah kesiuman pemimpin pembangkang tersebut yang seolah-olah lupa siapa diri mereka, dalam majis apa mereka berada dan siapa yang memerhatikan mereka.


Saya yakin cuti upacara khas pertabalan telah membuka ruang kepada segenap lapisan masyarakat tua dan muda termasuk kanak-kanak berada di hadapan kaca tv untuk menyaksikan peristiwa yang bersejarah tersebut. Mereka dapat menyaksikan betapa syahdunya majis tersebut. Mereka juga dapat menyaksikan unsur agama Islam yang jelas terpancar dari awal hingga ke akhir di sepanjang upacara pertabalan. Dalam suasana itu tiba-tiba timbul cerita ada dari kalangan mereka yang terpelajar, terdidik dan ternama melakukan perbuatan sumbang yang sudah tentu mencacatkan upacara yang diadakan dan sekaligus membabitkan maruah negara.

Bagi saya pendek benar akal dan pemikiran ahli parlimen yang terlibat. Bagi saya juga golongan seperti ini tidak harus diberi tempat menghadiri majlis-majlis rasmi kerana kegagalan mereka mengawal diri dan menunjukkan akhlak terpuji setanding dengan kedudukan mereka di mata rakyat.

Disebaliknya saya menyutujui saranan pihak-pihak tertentu termasuk badan-badan bukan kerajaan dan rakyat yang prihatin untuk menyiasat sedalam-dalamnya peristiwa ini. Saya juga dengan sukacita menyeru supaya insiden ini tidak dibenarkan berlalu tanpa adanya tindakan drastik daripada pihak yang berkuasa. Manusia seperti ini tidak sepatutnya menjadi pilihan rakyat.

Saya tidak dapat menggambarkan seandainya ditakdirkan mereka menguasai Putrajaya, bayangkan apa jenis budaya yang mereka akan cernakan untuk masyarakat Malaysia terutamanya dipihak generasi pengganti. Saya berharap rakyat Malaysia tidak memperjudikan masa hadapan mereka. Insiden yang dilaporkan berlaku sebenarnya bukan insiden yang isolated, tetapi inilah brand budaya baru yang akan mereka terapkan.

Akhirnya saya mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas kepada Dr Rahman Kadir yang telah menimbulkan perkara ini. Saya percaya atas kesedaran sivik yang tinggi doktor perubatan tersebut telah keluar daripada lingkungan perubatan yang dipertanggungjawakan untuk memaparkan peristiwa hitam yang berlaku kerana bagi beliau perkara tersebut bukan sesuatu yang kecil dan remeh sebagaimana yang didakwa oleh mereka yang terlibat. Remehkah sesuatu yang berkait langsung dengan sistem pemerintahan negara? Remehkah insiden yang berlaku itu jika ditinjau dari sudut keberlangsungan sistem Raja Berperlembagan? Akhirnya remehkah insiden itu untuk dibiarkan berlalu begitu sahaja sedangkan upacara itu adalah sebahagian daripada “the pride of the nation”?

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Taman Tun Dr Ismail
Kuala Lumpur

April 2012

Rabu, 11 April 2012

Menjunjung Kasih, Merafak Sembah... DAULAT TUANKU!


DAULAT TUANKU!

Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-14 kepada Seri Paduka Baginda Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada Rabu, 11 April 2012 Bersamaan 19 Jamadil Awal 1433.

Dengan sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara, Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah, 84, selamat ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 dalam satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu, di Istana Negara, di sini hari ini.

Sebaik selesai kemuncak Istiadat Pertabalan itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu “Perang” bergema di Balairong Seri, dan para hadirin berdiri dan melaungkan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali, diketuai oleh pemangku Datuk Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini.

Serentak itu juga, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu

“Negaraku” dimainkan oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, diketuai Left. Sabri Abdullah.

Istiadat Pertabalan yang berlangsung penuh berwarna-warni itu disaksikan kira-kira 900 orang tetamu termasuk Raja-raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-raja Melayu, Gabenor-Gabenor, Yang Di-Pertua, Yang Di-Pertua Negeri, Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan isteri masing-masing.

Turut menyaksikan acara gemilang itu ialah tetamu-tetamu kehormat yang terdiri dari ketua-ketua diplomat asing dan ketua-ketua jabatan kerajaan lainnya.

Ikrar Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong

Berikut adalah ikrar Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Balairong Seri, Istana Negara hari ini.

“BISMILLAHIRRAHMANNIRAHIM, BETA ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH BERSYUKUR KE HADRAT ALLAH SUBAHANAHU WATA'ALA KERANA DENGAN IZINNYA BETA TELAH DIPILIH MENJADI YANG DI-PERTUAN AGONG.

DENGAN INI, BETA AKAN MENJALANKAN SEADIL-ADILNYA PEMERINTAHAN BAGI MALAYSIA MENGIKUT UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN NEGARA, SERTA MEMELIHARA DENGAN SEMPURNANYA SETIAP MASA, AGAMA ISLAM, DAN BERDIRI TEGUH DI ATAS PEMERINTAHAN YANG ADIL DAN AMAN DALAM NEGARA.”

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat perisytiharan bahawa Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah dipilih oleh Raja-raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Najib melafazkan: “BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM BAHAWA INILAH DIMASYHURKAN KEPADA SEKALIAN ORANG SERTA PENDUDUK NEGARA MALAYSIA IAITU DULI YANG MAHA MULIA RAJA-RAJA TELAH MEMILIH ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH, DAN PADA HARI, WAKTU DAN SAAT YANG GILANG GEMILANG INI, MAKA SERI PADUKA BAGINDA DITABALKAN NAIK TAKHTA KERAJAAN MENJADI TURUS NEGARA BAGI MALAYSIA DENGAN BERGELAR SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG.”

Semoga Allah lanjutkan usia DYMM Tuanku berdua untuk memerintah Malaysia dengan jayanya.

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Ikhlas dari :

Seluruh warga UMNO Cawangan Bandar Puncak Alam
Torashah..

Selasa, 10 April 2012

Penduduk sedih MB Khalid Jamban tidak tahu bumbung Pangsapuri Teratai masih bocor!


Penduduk Pangsapuri Teratai, Taman Bukit Subang di sini kesal dengan sikap kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang disifatkan tidak serius dalam melaksanakan kerja-kerja pembaikan bumbung kediaman mereka.

Mereka yang tinggal di Blok 1 dan 2 pangsapuri berkenaan menyatakan meskipun kerja-kerja pembaikan bumbung rosak akibat dilanda ribut pada Februari lalu dilakukan, namun kebanyakan rumah di tingkat lima dimasuki air setiap kali hujan lebat ekoran siling bocor sehingga merosakkan sistem pendawaian elektrik.

Penasihat Penduduk Blok 1 dan 2 pangsapuri itu, Ahmad Kurdubi Masduki berkata, pihaknya menyifatkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak kira-kira RM480,000 untuk membaiki bumbung pangsapuri lima tingkat berkenaan adalah tidak setimpal dengan kualiti kerja yang dilakukan.

"Selain bocor, kami khuatir jika ada bumbung usang yang tidak diganti akan tercabut apabila angin kencang. Ini kerana, kami difahamkan bukan semua bumbung di pangsapuri ini telah ditukar baru.

"Malah, dua unit lampu limpah yang rosak di kawasan padang permainan kanak-kanak juga didapati tidak dibaiki," katanya kepada pemberita selepas mengadakan demonstrasi bersama lebih 50 penduduk mengenai isu tersebut di sini hari ini.


Turut hadir pada bantahan penduduk itu ialah Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, Kamaruddin Ahmad dan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam, Azmir Md.Zin.

Selain melaungkan rasa tidak puas hati mereka, penduduk turut membawa sepanduk tertulis 'Mana Janji Pemimpin PR', 'Kerajaan PR Menipu' dan 'Mana Janji Menteri Besar'.

Sementara itu, seorang penghuni pangsapuri berkenaan, Norhafizi Yusof, 36, ketika ditemui memberitahu, rumahnya di tingkat lima masih tiada bekalan elektrik kerana kerosakan sistem pendawaian akibat dimasuki air hujan.

"Saya tidak tahu sama ada boleh pulang ke rumah atau tidak memandangkan bekalan elektrik masih lagi tiada sehingga kini," ujarnya.

Pandangan sama turut dikongsi Umi Kalsom Annuar, 36, yang berkata dia amat kecewa dengan kerajaan negeri kerana tidak pernah menghantar mana-mana wakil untuk memantau kerja-kerja pembaikan yang dijalankan kontraktor.


Katanya, sikap lepas tangan itu seolah-olah menunjukkan pentadbiran negeri hari ini tidak mementingkan kebajikan dan keselamatan rakyat yang sepatutnya diberi keutamaan.

Selain mengadakan demonstrasi, rata-rata penduduk pangsapuri berkenaan merancang untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini dalam tempoh terdekat sekiranya kerajaan negeri masih gagal menangani masalah berkenaan.

Sementara itu MB Khalid berjanji siasat aduan penghuni!

Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim mengaku tidak tahu-menahu mengenai masalah yang dihadapi penduduk Pangsapuri Teratai di Taman Bukit Subang di sini. Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan menyiasat setiap dakwaan penduduk pangsapuri terbabit.

"Saya tidak tahu-menahu mengenai perkara itu, tetapi jika benar seperti yang didakwa penduduk itu, kontraktor yang terlibat perlu bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan penduduk bahawa kerja-kerja pembaikan bumbung perumahan itu tidak dibuat dengan sempurna sehingga menyebabkan air sering memasuki rumah di tingkat lima apabila hujan lebat.

"Kebiasaannya, kontraktor perlu bertanggungjawab dalam tempoh tertentu terhadap setiap kerja yang mereka lakukan," katanya lagi kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Banjir di Dewan Pejabat Daerah Klang, di sini hari ini.

Macamana nak tahu dah dok hari-hari peram teloq kat dalam pejabat! Apa yang berlaku semua tak tahu? Lepas tu nak salahkan orang lain pulak! Apa punya mangkoklah MB Selangor nih..!!!













Warna-warni politik
Torashah..

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor