Rabu, 5 November 2008

Perjuangan Antarabangsa

UMNO berjaya memerdakakan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dan membolehkan Negara menyertai “keluarga negara bangsa” di pentas dunia sebagai sebuah Negara yang bebas dan berdaulat. Mulai detik itu, hal ehwal Tanah Melayu tidak lagi tertakluk kepada apa yang diputuskan oleh London.

Kita bebas mengamalkan dasar luar sendiri yang bertujuan untuk menjaga kepentingan nasional dan melindungi kedaulatan dan keluhuran wilayah kita serta menjaga keselamatan, kebajikan warga dan kemakmuran ekonomi. Sejajar dengan iklim antarabangsa yang agak bergelora dengan badai perang dingin sewaktu itu, kita mengambil daya usaha untuk memperbanyakkan sahabat dan mengurangkan musuh di mana boleh. Ini dilakukan dengan menjalin hubungan diplomatic dengan Negara-negara lain, yang juga bebas dan berdaulat, yang mahu bersahabat dengan kita.

Dari segi pertahanan, Persekutuan Tanah Melayu mempunyai perjanjian keselamatan dengan United Kingdom, melalui Anglo-Malayan Defence Agreement (AMDA) yang kemudiannya digantikan dengan Five Power Defence Arrangement.

Selain menganjurkan dasar hidup aman damai secara bersama, kita juga berpegang pada prinsip saling hormat menghormati kedaulatan dan keluruhan wilayah sesebuah negara. Di bawah pimpinan UMNO juga, Persekutuan Tanah Melayu memutuskan bahawa setiap Negara bebas memilih ideology politik, system ekonomi dan social mereka sendiri. Dengan erti kata lain, tidak ada kuasa berhak memaksa nilai hidup mereka ke atas negara-negara lain.

Sekalipun antara 1957 hingga 1996, UMNO sudah bertukar pemimpin sebanyak empat kali – daripada Tunku Abdul Rahman ke Tun Abdul Razak, kemudian Tun Hussein Onn den selepas itu Dr. Mahathir Mohamad, pegangan asasi yang menjadi paksi bagi kita berinteraksi dengan Negara-negara lain telah dipertahankan. Dasar luar sebagai sebahagian dasar nasional telah digerakkan untuk merealisasikan cita-cita Negara di pentas dunia dan forum-forum antarabangsa.

Kemunculan Persekutuan Tanah Melayu sebagai aktor antarabangsa bermula dengan penerimaannya sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat secara sebulat suara pada 1957. Kita juga turut menganggotai pelbagai pertubuhan antarabangsa yang lain.

Melalui badan dunia itu, pandangan kita tentang hal ehwal antarabangsa telah diketengahkan, baik melalui Perhimpunan Agung yang mengadakan persidangan setahun sekali, atau melalui Majlis Keselamatan, sebuah lagi organ PBB yang dianggotai oleh 15 buah negara – lima anggota tetap yang terdiri daripada Amerika Syarikat, soviet Union (sekarang Rusia), United Kingdom, Perancis dan China dan 10 buah negara anggota tidak tetap yang dipilih setiap dua tahun sekali berdasarkan agihan wilayah.

Persekutuan Tanah Melayu juga diterima menjadi anggota badan – badan khusus PBB seperti UNESCO, UNICEF, ILO, WHO, UNHCR dan lain – lain. Kita juga diterima untuk menyertai institusi ekonomi dan kewangan dunia seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).Di peringkat pelbagai rantau, Persekutuan Tanah Melayu antara lain diterima menjadi ahli Komanwel, Persidangan Negara – negara Islam (OIC), Pergerakan Berkecuali, G77.

Di kawasan Asia Tenggara pula, Persekutuan Tanah Melayu memainkan peranan yang proaktif dalam menganjurkan kerjasama serantau. Pada Januari 1959, pembentukan SEAFET (Southeast Asia Friendship and Economic Treaty) telah diumumkan ekoran rundingan antara Tunku Abdul Rahman dengan Presiden Garcia dari Filipina, Indonesia, Kerajaan Thai, Kemboja, Laos, Vietnam Selatan dan Burma telah diundang menyertainya.

Kerajaan Thai dan Vietnam Selatan mengalu – alukan kehadiran SEAFET tetapi Indonesia menolak atas alasan bahawa dua negara anggota iaitu Persekutuan Tanah Melayu dan Filipina mempunyai hubungan pertahanan dengan kuasa penjajah. Filipina menganggotai SEATO manakala Persekutuan Tanah Melayu memiliki pakatan pertahanan dengan Britain melalui AMDA. Akibatnya, SEAFET tidak dapat bertahan lama. Lepas itu, Persekutuan Tanah Melayu bersama Negara Thai dan Filipina mengasaskan ASAS (Association of South East Asia States) yang kemudian menjadi ASA (Association of Southeast Asia) pada Julai 1960. ASA juga berkubur ekoran pergeseran antara Filipina dan Persekutuan Tanah Melayu mengenai penubuhan Malaysia.

Usaha untuk menubuhkan MAPHILINDO yang menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Filipina dan Indonesia juga gagal kerana tercetusnya konfrantasi Malaysia – Indonesia. Setelah konfrantasi tamat, Malaysia sekali lagi memainkan peranan penting dalam penubuhan Persatuan Negara – negara Asia Tenggara atau ASEAN – sebuah pertubuhan serantau yang bukan saja dapat bertahan sehingga kini, tetapi menambah keanggotaannya daripada 5 kepada 7.

Di bawah pimpinan UMNO, Malaysia juga memainkan peranan utama menjadikan Asia Tenggara sebagai sebuah kawasan aman, bebas dan berkecuali di bawah gagasan ZOPFAN dan berusaha untuk menjadikan rantau ini sebagai kawasan yang bebas daripada senjata nuklear.
Sejajar dengan kepentingan nasional – politik, ekonomi, keselamatan dan lain – lain, serta perubahan dalam iklim antarabangsa sejak 1945 yang melalui era perang dingin, détente dan berkuburnya sistem komunisme sebagai satu sistem pemerintahan dan kini era pasea – kapitalis, interaksi Malaysia dengan negara – negara luar yang lain turut mengalami perubahan dari segi orientasi dan pendekatan.

Dasar luar Persekutuan Tanah Melayu yang agak pro Barat dan anti komunis di bawah Tunku Abdul Rahman, bertukar menjadi berkecuali di bawah presiden UMNO yang ketiga, Tun Abdul Razak Hussein. Di bawah pimpinan Tun Hussein, tidak ada perubahan radikal dalam pendekatan dasar luar.

Bagaimanapun di bawah pimpinan presiden UMNO yang kelima, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, orientasi dasar luar negara telah dirombak secara besar – besaran. Sekalipun kecil, Malaysia telah memainkan peranan yang proaktif dalam hal ehwal dunia. Benar, pada mula mengabilalih pimpin negara pada Julai 1981, Dr. Mahathir menjelaskan bahawa keutamaan dasar luar negara dalam berinteraksi dengan unit – unit politik antarabangsa lain tidak berubah.

ASEAN berada ditangga pertama, diikuti oleh OIC ditempat kedua; ketiga, negara – negara berkecuali; keempat, Komanwel dan akhir sekali hubungan dengan negara – negara lain yang tidak termasuk dalam empat pertubuhan itu.

Secara berperingkat – peringkat, Dr. Mahathir kemudiannya telah membebaskan dirinya daripada ikatan empat keutamaan itu dengan mengambil pendekatan yang lebih global terutama dalam menegakkan keadilan bagi dunia membangun.

Beliau mengambil daya usaha untuk menubuhkan organisasi antarabangsa pelbagai rantau. Pada mulanya, negara – negara Selatan menjadi fokus sehingga tertubuhnya Kumpulan 15 (G 15) yang dianggotai oleh 15 buah negara utama Selatan. Malaysia bukan sahaja mempelopori G 15, tetapi menjadi penggerak kepada penubuhan beberapa agansi Selatan yang lain seperti SITDEC. Selepas itu, perhatian diberikan kepada Asia Timur pula. Dr. Mahathir pada mulanya mencadangkan penubuhan East Asia Economic Group (EAEG) yang bertujuan untuk menyatukan negara – negara Asia Timur di bawah satu gabungan longgar menyamai kumpulan – kumpulan ekonomi pelbagai rantau di kawasan lain. EAEG akhirnya menjadi EAEC (East Asia Economic Caucus) yang sekarang ini dalam proses untuk menjadi kenyataan.

Kecuali Jepun, negara – negara Asia Timur yang lain menyatakan sokongan positif terhadap penubuhan EAEC yang tidak bertujuan untuk menjadi satu blok ekonomi seperti NAFTA atau EU. Pada waktu yang sama, Malaysia tidak menolak untuk menganggotai pertubuhan serantau baru yang didayausahakan oleh pihak lain.

Walaupun Malaysia adalah sebuah negara kecil, tetapi ia tetap memainkan peranannya dalam menjaga keamanan antarabangsa. Melalui panji – panji PBB, askar – askar dan polis negara berkhidmat dengan pasukan keamanan badan dunia di segenap pelusuk dunia yang bergolak dan berkonflik.

Dalam arena antarabangsa, Malaysia telah diberi pelbagai penghormatan. Pada 1987, Dr. Mahathir telah dipilih menjadi Presiden Persidangan Dadah Antarabangsa di Geneva, Switzerland anjuran ICDAIT. Bagi penggal salama dua tahun 1989 – 1990, Malaysia dilantik menjadi Pengerusi Kumpulan G77 di Bangsa – bangsa Bersatu. Pada 1988 – 1989, Malaysia terpilih untuk menganggotai Majlis Keselamatan PBB. Wakil Malaysia, Tan Sri Musa Hitam telah dilantik untuk menjadi Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB manakala seorang hakim negara, Datuk Wira Lal Chan Vohrah, diberi penghormatan untuk menjadi hakim Tribunal Jenayah Perang bekas Yugoslavia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), The Hague, Belgrade.

Di samping itu, negara juga diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah sebilangan persidangan antarabangsa bertaraf dunia, seperti Kemuncak Komanwel pada 1990. Malaysia juga buat pertama kalinya telah dipilih menjadi tuan rumah Sukan Komanwel XVI pada 1998.

Sesungguhnya di bawah pimpinan kerajaan yang diterajui UMNO, Malaysia telah berjaya meletakkan dirinya di satu tahap yang amat membanggakan di pentas dunia. Dari sebuah negara kecil yang tidak begitu dikenali, kita sekarang memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam membentuk hal ehwal dunia pada umumnya dan dalam hal ehwal negara membangun khususnya. Malaysia tidak lagi menjadi anggota masyarakat antarabangsa yang pasif, tetapi proaktif.

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor