Isnin, 24 Mei 2010

MB Selangor dinasihat bercuti!

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diminta bercuti bagi menjamin siasatan kes penyelewengan dalam Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) yang melibatkan adiknya, Hajiman Ibrahim dapat dijalankan dengan lebih telus.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Mohd. Faizal Mohd. Salleh berkata, ia juga dapat mengelakkan sebarang kecurigaan yang Abdul Khalid akan mempengaruhi siasatan.

''GPMS Selangor gembira dengan sikap berani Abdul Khalid yang menggalakkan sesiapa sahaja membuat laporan polis demi menjaga harta negeri atau membanteras penyalahgunaan kuasa termasuk membuat siasatan terhadap adiknya, Hajiman.

''Tapi kita tidak mahu siasatan ini terganggu. Semua pihak termasuk Abdul Khalid diminta memberi ruang kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat secara terperinci dan menyeluruh kes dakwaan kegiatan rasuah dan penyelewengan dalam KSSB.

''Ruang yang sama juga perlu diberikan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat)," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, kata Mohd. Faizal, GPMS Selangor juga mengharapkan tiada sebarang spekulasi dibuat berhubung kes tersebut dan semua pihak diminta menunggu hasil siasatan polis, SPRM dan Selcat. Katanya, ini kerana GPMS Selangor yakin dengan kematangan dan kemampuan pihak polis, SPRM dan Selcat dalam melakukan siasatan.

''Mereka tidak memerlukan tekanan mana-mana pihak agar siasatan dijalankan dengan adil dan profesional kerana sebagai agensi penguat kuasa undang-undang, polis dan SPRM akan memastikan kedua-dua pihak iaitu pengadu selaku mangsa dan juga suspek mendapat keadilan," tegasnya.

Pada 12 Mei lalu, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud amalan rasuah dan penyelewengan dalam KSSB.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Abdul Khalid di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada pukul 9 pagi. Pada hari yang sama, Abdul Khalid turut mengumumkan akan merujuk kepada Selcat berhubung dakwaan penyelewengan itu agar satu pendengaran awam dapat dilakukan.

Warna-warni Politik
Torashah

Rabu, 19 Mei 2010

Selangor Bangkit : Pemuda Selangor mahu SPRM siasat MBI!

Pergerakan Pemuda UMNO Selangor meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat organisasi dan modus operandi Menteri Besar Incorporated (MBI) yang dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketua Penerangannya, Safarizul Mustafa berkata, ini kerana MBI mengendalikan Syarikat Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., (KSSB) yang dikaitkan dalam aktiviti melombong pasir dan terlibat dengan perbuatan rasuah seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam baru-baru ini.

Ekoran itu, tegasnya, dakwaan Manikavasagam perlu disiasat secara rapi kerana ia turut melibatkan kredibiliti dan integriti yang sangat rendah terhadap Abdul Khalid, selaku pemimpin mentadbir urus negeri ini.

"Kita juga mahu SPRM menyiasat kehilangan dan ketirisan beberapa dokumen rahsia kerajaan negeri, sepatutnya hanya untuk Menteri Besar sahaja tetapi turut diperoleh beberapa pegawai tinggi negeri serta Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

"Kita berharap segala yang dilaporkan mendapat perhatian dan tindakan suruhanjaya berkenaan dengan kadar seberapa segera yang mungkin," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebelum membuat laporan kepada SPRM Selangor di sini hari ini.

Safarizul berkata, kerajaan negeri juga perlu memberi penjelasan mengapa KSSB diberi kuasa begitu besar untuk menjalankan aktiviti perlombongan pasir di Selangor kerana cukai pasir dipungut oleh Pejabat Daerah dan Tanah bagi setiap daerah.

Katanya, perkembangan yang berlaku ini menimbulkan banyak persoalan berikutan hasil daripada aktiviti tersebut hanya sekitar RM5 juta setahun berbanding janji yang diberikan kepada rakyat hasil perlombongan pasir di negeri ini iaitu pulangan pendapatan RM150 juta setahun.

Beliau juga kesal dengan kenyataan Abdul Khalid bahawa Manikavasagam perlu bersedia untuk berhadapan dengan sebarang tindak balas ekoran mendakwa wujud amalan rasuah dalam kegiatan KSSB, seolah-olah menggalakkan kegiatan gangsterisme di negeri ini.

"Apabila Menteri Besar memberi jawapan sedemikian, seperti beliau mengiakan perbuatan tersebut dan ini membimbangkan orang ramai. "Sepatutnya, selaku pemimpin utama negeri, Abdul Khalid menjaga keselamatan orang ramai tanpa mengira pangkat atau berbeza fahaman politik," ujarnya.

Semalam : Bersedia terima tindak balas - MB Selangor

Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam perlu bersedia untuk berhadapan dengan tindak balas berikutan dakwaan beliau wujud amalan rasuah dan penyelewengan anak syarikat kerajaan negeri Selangor, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) bagi kegiatan melombong pasir. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau telah memberitahu Manikavasagam mengenai perkara itu baru-baru ini.

''Ahli-ahli Parlimen pakatan pembangkang perlu berdisiplin dan apa sahaja yang dibuat akan dinilai oleh orang ramai tetapi kita mempunyai hak untuk bercakap untuk rakyat. ''Saya juga memberitahu Manikavasagam bahawa sebaik sahaja beliau membuat dakwaan kepada orang, maka perlu berhadapan dengan tindak balas dan dia perlu bersedia untuk berhadapan dengannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Optometri Sedunia anjuran Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn di sini hari ini. Khalid mengulas ancaman bunuh yang diterima oleh Manikavasagam di mana dalam kejadian pagi ini, rumah dan kereta milik Ahli Parlimen Kapar di pekan Meru itu disimbah cat merah.

Dalam kejadian yang disedari kira-kira 7.30 pagi ini, mereka turut meninggalkan nota ugutan kepada Manikasavagam "Jangan campur hal pasir, nanti mati". Khalid memberitahu, Manikasavagam juga boleh mendedahkan nama tiga orang di dalam KSSB yang didakwanya terlibat dalam perkara itu.

Katanya, kerajaan negeri memang telah mengetahui mengenai kes-kes mencuri pasir yang menyebabkan kehilangan hasil bernilai berjuta-juta ringgit. ''Kalau anda tanya bahawa adakah kerajaan negeri menyedari perkara ini, ya kami telah menyedari perkara ini sejak sebelum menjadi kerajaan, ia berlaku sejak 20 tahun dulu.

''Sebab itulah kerajaan negeri mengadakan unit untuk mengurangkan kejadian mencuri pasir tetapi ia bukan satu perkara mudah, ia merupakan satu aktiviti yang telah lama berlaku," katanya. Khalid juga menegaskan, beliau tidak terkejut sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah dulu tidak dapat menyelesaikannya.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 16 Mei 2010

Molek jika PKR dan DAP bergabung?

Sejauh manakah PKR mampu bertahan? Ia adalah persoalan paling menarik berikutan semakin ramai ahli dan pemimpinnya keluar parti. Terbaru, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Chee Keong, turut mengikut arus. Ini menjadikan lima Ahli Parlimen dan lima ADUN telah keluar PKR, setakat ini.

Faktor utama ramai bertindak demikian kerana tidak lagi yakin dengan kepimpinan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim. Isu moral termasuk kes liwat kali kedua, tindakan agresifnya untuk mendapatkan campur tangan asing, isu pembohongan 16 September, imej sebagai putar alam, mengkhianati kawan dan banyak lagi, menyerlahkan siapa sebenarnya beliau.

Kita melihat Anwar sudah tiada kawalan ke atas PKR. Isterinya, Wan Azizah pula hilang kewibawaan kerana lebih menjaga kepentingan suaminya daripada menegakkan kebenaran.
Jika diumpamakan bahtera, PKR dalam risiko menanti karam. Pelbagai cubaan yang dilakukan oleh Anwar termasuk di arena antarabangsa untuk menyelamatkan diri dan partinya, tidak berhasil.

Imej beliau jatuh merudum. ( Di sebalik gerakan agresif untuk menonjolkan diri sebagai pejuang hak asasi dan demokrasi serta sentiasa melobi media antarabangsa, nama Anwar tidak lagi tersenarai dalam 100 individu paling berpengaruh di dunia dalam bancian terbaru majalah Time. Beliau pernah berada dalam senarai tersebut pada kedudukan kesembilan bagi bancian 2008.)

Kini PKR bergantung ihsan kepada rakan pakatan iaitu DAP dan PAS. Namun di kalangan pengikut Pas, ramai yang menolak Anwar. Sebab itu, kumpulan Erdogan iaitu golongan pro Anwar dalam Pas, tidak lagi berpengaruh sebagaimana sebelum ini. Mereka sedar Pas bukan dilahirkan untuk menyelamatkan isu moral Anwar.

Parti yang kian menguncup seperti PKR, tidak boleh beroperasi sendirian. Ia hanya menjadi parti picisan yang tidak dihormati. Maka satu-satunya parti yang boleh menyelamatkan PKR ialah DAP. Molek kita mencadangkan agar PKR diserap ke dalam DAP kerana dasar kedua-dua parti itu hampir sama.

Seperti PKR, DAP juga dianggap sebagai parti anak beranak dan kronisme. Apa pula jawatan yang sesuai untuk Anwar? Jika DAP kononnya mendakwa memperjuangkan kepentingan semua kaum, lantik sahaja Anwar sebagai Penasihat Bersama DAP berkongsi jawatan dengan Lim Kit Siang. Apakah Kit Siang sedia berbuat demikian? Tepuk dada, tanya selera!

Warna-warni Politik
Torashah

Khamis, 13 Mei 2010

Selangor Bangkit : Kemelut Isu Pasir Di Selangor!













Kerajaan Negeri Mewujudkan Monopoli Dalam Industri Pasir

• Pewujudan syarikat tunggal Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) menguruskan pasir dari tanah-tanah kerajaan menjadi KSSB tidak kompetitif, tidak telus dan tidak bertanggungjawab.

• KSSB tidak takut hilang perniagaan kerana mereka tidak mempunyai pesaing dalam industri ini.

• Lebih memburukkan, KSSB turut mengawal kutipan doket pasir yang dahulu dibuat oleh pejabat tanah daerah. Pihak swasta telah ambil alih peranan kerajaan. Ini lebih mendedahkan pada amalan rasuah dan penyelewengan.

Kerajaan Negeri Melalui KSBB Gagal Menguruskan Hasil Pasir

• Menteri Besar mendakwa kewujudan hanya satu syarikat boleh membendung aktiviti mencuri pasir. Persoalan mengapa masalah kecurian pasir masih berleluasa dan kerap dilaporkan?

• Antaranya dakwaan kegiatan curi pasir di belakang kampus Unisel, Lembangan Sungai Langat di Kuala Langat dan Dengkil, Sepang.

• Malah ada laporan polis dan dakwaan kecurian pasir menggunakan lori KSSB di mana KSSB merayu atas kompaun akibat “kesalahan mengeluar bahan batuan tanpa wibawa yang sah” misalnya di Kuala Selangor.

• SPRM turut menahan setiausaha sulit seorang Exco kerajaan negeri bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan kelulusan kontrak perlombongan pasir dan lawatan ke China.

Industri Pasir Menyebabkan Pencemaran

• Kawasan tahan air negeri ini diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan aktiviti pengorekan atau mencuri pasir, misalnya di Sungai Baranang yang mengakibatkan pencemaran di muka sauk Sungai Semenyih yang terpaksa ditutup beberapa bulan lalu.

• Julai 2009, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah mengarahkan lombong di Sunway Semenyih ditutup sertamerta kerana mengakibatkan pencemaran di Sungai Medang, Hulu Langat.

Terbaru : Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim meminta Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam membuat laporan polis jika mempunyai bukti mengenai kegiatan rasuah dan penyelewengan dalam Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB). Abdul Khalid juga meminta Manikavasagam mendedahkan nama pegawai atasan KSSB yang terlibat dalam rasuah agar kerajaan negeri boleh mengambil tindakan terhadap individu itu.

" Saya berpendapat Manikavasagam harus telus. Kalau betul dia tahu orang yang dimaksudkan, saya nasihatkan dia umumkan namanya segera agar kerajaan negeri boleh ambil tindakan sewajarnya dan segera buat laporan polis," katanya. Semalam, Manikavasagam memberi Abdul Khalid masa 72 jam untuk membersihkan 'kekotoran' di kalangan pegawai atasan KSSB.

Wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa terlalu banyak rasuah yang dilakukan oleh pegawai atasan anak syarikat kerajaan negeri itu dan ia perlu dibersihkan segera oleh Abdul Khalid. Manikavasagam juga mendakwa abang Abdul Khalid iaitu Abdul Rahman mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut sehingga ramai kepimpinan PKR tidak senang dengan perkara itu.

" KSSB dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan Abdul Rahman tak ada kepentingan di dalamnya," jelas Menteri Besar itu. Tujuan asal KSSB ditubuhkan oleh kerajaan negeri adalah bagi mempelopori industri pasir dan bahan batuan serta mineral lain secara bersepadu dalam usaha untuk menjayakan Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Kemelut terbaru yang melanda pembangkang ekoran pendedahan Ahli Parlimen Kapar tersebut memang dijangka kerana terlalu banyak kepincangan sejak pembangkang memerintah beberapa negeri selepas 2008. Apa yang menariknya adalah semua pendedahan itu dibuat oleh wakil rakyat mereka sendiri yang mulai sedar bahawa perjuangan pembangkang jauh tersasar dan tidak mengutamakan rakyat seperti yang dijanjikan pada pilihan raya umum lalu.

Sumber - Suara Politik Taminsari

Warna-warni Politik
Torashah

Selasa, 11 Mei 2010

Selamat Menyambut Ulangtahun Penubuhan UMNO Yang Ke 64 Tahun.
























UMNO berusia 64 tahun hari ini. Selama usia itulah, iaitu sejak penubuhannya pada 1946, parti tertua negara ini berusaha untuk menjadi payung dan tempat bergantung kepada bangsa Melayu.

Namun, sama seperti sebuah kehidupan lainnya yang tidak pernah sunyi daripada pelbagai cabaran, UMNO juga tidak berbeza. Di sebalik sekian banyak catatan kejayaan yang dilakar parti ini, Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada Mac 2008 lalu bagaimanapun tercatat sebagai sisi hitam yang bakal dikenang sepanjang zaman.

Sebelum pilihan raya itu, parti ini dilihat terlalu selesa dan begitu berkeyakinan tinggi. Pelbagai masalah dalaman parti terutamanya politik wang dan kroni berlaku tanpa dapat diselindungkan kepada rakyat. Tanpa disedari, gerakan rakyat yang memberontak terhadap sistem elit di dalam UMNO menular begitu pantas.

Natijahnya, BN kehilangan sokongan rakyat dan orang Melayu juga mula menjauhi UMNO. Apa yang berlaku selepas pilihan raya itu juga adalah sesuatu yang terlalu pahit untuk dilalui bukan sahaja oleh UMNO malah orang Melayu keseluruhannya.

Penolakan orang Melayu terhadap parti yang memperjuangkan entiti Melayu dan agama Islam ini, diambil peluang oleh pihak-pihak tertentu untuk menyerang entiti Melayu. Hak-hak keistimewaan orang Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan seperti bahasa, biasiswa dan banyak lagi serta kesetiaan kepada Raja Melayu, diperlekehkan oleh pihak-pihak tertentu.

Untuk tempoh yang agak panjang, pertikaian hak-hak dan keistimewaan orang Melayu itu didendangkan. Tanpa boleh dinafikan, UMNO perlu berasa bertanggungjawab terhadap peristiwa ini kerana ia boleh disifatkan sebagai kegagalan dalam teras perjuangan mereka.

Begitu pun, UMNO tidak memerlukan masa yang panjang untuk menyedari kepincangan yang menjauhkan sokongan orang Melayu terhadap parti itu. Perhimpunan Agung UMNO Ke-58 yang berlangsung pada Oktober 2009 misalnya, adalah bukti bahawa UMNO boleh berubah untuk terus menaungi orang Melayu.

Perhimpunan agung pertama dengan Presiden baru iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak meniupkan semboyan transformasi yang sangat jelas. Ia menyaksikan beberapa usul Pindaan Perlembagaan UMNO dibentangkan selepas kali terakhir dibuat pada 2000.

Antara yang dipinda ialah proses pemilihan pemimpin tertinggi di dalam parti membabitkan lebih ramai pengundi. Ini sekali gus membuka lantai demokrasi yang lebih luas di dalam UMNO dan paling utama, menghapuskan gejala politik wang.

Pindaan yang tidak kurang pentingnya juga ialah penghapusan kuota bertujuan menjadikan UMNO lebih terbuka. Ini mempermudahkan mana-mana calon yang dilihat berkaliber menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti.

Selain transformasi dalaman, UMNO turut mengambil langkah drastik mendekatkan diri dengan rakyat kebanyakan. Program Juara Rakyat yang antara lain menjadi medan kepada pemimpin UMNO dan BN bertemu secara langsung dengan rakyat mendapat maklum balas positif.

Program itu sebenarnya mengambil semangat turun padang seperti yang dianjurkan oleh Najib yang kerap bertemu pelbagai golongan masyarakat sejak menjadi Perdana Menteri. Pendekatan Najib itu menjadi senjata utama kepada UMNO untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat.

Meskipun perlu menunggu pilihan raya kecil kesepuluh, iaitu di Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini untuk menang dalam erti kata yang sebenar, namun ia adalah penantian dan strategi yang berbaloi. Pilihan raya kecil itu memberi signifikan yang sangat besar kepada usaha transformasi yang dilakukan oleh UMNO dan ia boleh diibaratkan sebagai hadiah ulang tahun yang paling bermakna.

Namun tiada kegembiraan yang paling mengharukan bersempena ulang tahun UMNO yang ke-64 kali ini melainkan melihat parti ini terus kekal bertahan untuk orang Melayu di sebalik pelbagai dugaan yang dihadapi. Perasaan itu misalnya, dikongsi oleh veteran UMNO, Tan Sri Zaleha Ismail yang sangat berbangga dengan semangat juang UMNO dalam membangunkan bangsa, agama dan negara.

Kejayaan UMNO untuk kekal bertahan sehingga ke hari ini katanya, adalah kerana kejayaan pemimpin-pemimpinnya yang bersilih ganti meneruskan perjuangan hakiki pejuang-pejuang UMNO terdahulu.

''Saya sangat berkeyakinan dengan kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak serta seluruh barisan kepimpinan UMNO hari ini. Saya juga berharap, seluruh rakyat Malaysia menyedari perjuangan UMNO serta parti komponen BN lainnya dan bersama-sama dengan perjuangan ini," katanya.

Tidak mahu terlalu larut dengan episod kekecewaan pada PRU12, Zaleha berkata, pasang surut serta turun naik sokongan rakyat terhadap UMNO sepanjang 64 tahun usia penubuhannya bukanlah sesuatu yang menghairankan. Ia adalah proses kematangan bagi membolehkan UMNO menilai kehendak rakyat dan berubah mengikut peredaran semasa.

''Sementelah, trend sokongan yang menurun itu juga tidak hanya berlaku terhadap UMNO, malah parti-parti komponen BN yang lainnya serta pembangkang ketika ini berdepan dengan situasi serupa. Apa yang lebih utama ialah bagaimana untuk UMNO bangkit semula dan membuktikan parti ini masih relevan untuk bersama-sama mencapai 1Malaysia," katanya.

Sudah semestinya, bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu tidak berseorangan dalam menyimpan harapannya. Ia sudah semestinya turut dikongsi bersama oleh kira-kira 3.2 juta orang ahli UMNO yang akan meraikan ulang tahun penubuhan parti itu hari ini.

Apa yang pasti, ia bukanlah angan-angan yang kosong sekiranya seluruh ahli UMNO mengambil semula semangat perjuangan pemimpin terdahulu yang menjadikan agama, bangsa dan negara sebagai teras perjuangan.

Dengan teras perjuangan itu, orang Melayu keseluruhannya tidak akan berbelah bahagi menyatakan sokongan kepada parti keramat buat mereka ini.-UM

Warna-warni Politik
Torashah

Isnin, 10 Mei 2010

Kerajaan Negeri Perlu Nyatakan Pendirian – Noh!

Kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang dicabar supaya menyatakan pendirian berhubung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai larangan berpolitik di masjid dan surau.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, pendirian itu penting kerana rakyat negeri ini ingin mengetahui sejauh mana kerajaan negeri patuh kepada arahan Sultan Selangor.

“Sehingga sekarang kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang masih membisu. Apakah mereka menjadi begitu pengecut untuk mempertahankan arahan sultan termasuk mengenai kenyataan biadab terbaru oleh Datuk Zaid Ibrahim.

“Perkara seperti ini tidak pernah berlaku sepanjang Barisan Nasional (BN) memerintah Selangor tetapi nampaknya, atas alasan kepentingan politik kerajaan negeri tunduk dan tidak berani mengkritik pemimpin pembangkang yang mempersoalkan arahan tersebut,’’ katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pameran 1Usahawan dan Karnival Agro Hulu Langat di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini hari ini. Sultan Sharafuddin baru-baru ini mengulangi ketegasan agar masjid dan surau tidak dijadikan medan berpolitik dan titah baginda, sesiapa yang ingkar dan tidak setuju dengan arahan itu tidak perlu datang ke Selangor.

Bagaimanapun, Zaid dalam blognya dilihat seperti mempersendakan titah perintah Sultan Sharafuddin apabila mendakwa kenyataan titah Sultan Selangor itu bersifat peribadi dan bukan arahan rasmi kerana tidak merujuk kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Tambah Zaid, perlembagaan menetapkan sultan tidak boleh mengeluarkan perintah secara terus, sebaliknya disalurkan melalui majlis agama Islam negeri terlebih dahulu dan bermesyuarat sebelum mewartakan keputusan itu sebagai peraturan sah.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kesediaan Zaid untuk menemui Sultan Selangor bagi menjelaskan kenyataannya, Noh berkata, BN akan menasihatkan sultan supaya tidak melayan perkara itu kerana Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terlalu biadab.

“Zaid ini siapa? Dia bukan orang Selangor tetapi mengeluarkan kenyataan biadab terhadap arahan sultan dan sekarang nak menghadap Sultan Sharafuddin pula. Orang seperti Zaid tidak perlu dilayan,’’ katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Noh berkata, beliau mempunyai sepenuh keyakinan bahawa BN akan kembali memerintah Selangor berdasarkan sokongan dan kekuatan parti yang kini kembali pulih. Katanya, senario tersebut jauh berbeza berbanding pada tahun 2008 apabila ramai ahli parti sendiri yang menolak BN.

Warna-warni Politik
Torashah

Rabu, 5 Mei 2010

Tok Guru oh Tok Guru: Siapa yang kena sepak?

DOA Tok Guru Nik Aziz yang gemar mengadakan solat hajat satu stadium untuk musuh-musuhnya nampaknya tidak menjadi. Doanya tidak makbul, sebaliknya beliau yang bermasalah.

Syed Azidi @ Kickdefella kini menjadi musuh No.1-nya. Syed Azidi menjadi duri dalam daging Nik Aziz. Syed Azidi yang dihajatkan menjadi seperti Osama Ben Ladin oleh CIA, kini memakan tuan.

Syed Azidi kini sudah menjadi seperti al-Qaeda oleh Amerika Syarikat. Osama pernah dibentuk oleh AS untuk menjahanamkan Rusia satu ketika dulu. Tapi kini Osama ialah musuh Amerika No.1. Dalam dunia ini banyak benda yang boleh jadi terbalik. Hari ini kawan, esok lawan dan begitulah putarannya.

Blogger Kickdefella (bererti: Sepak Orang Itu) diberi misi untuk merosakkan imej Perdana Menteri, Pak Lah ketika itu. Jika imej PM rosak ia sekali gus akan merosakkan imej BN dan UMNO, khususnya di Kelantan.

Imej-imej grafik yang direka bentuk oleh Kickdefella amat hebat. Poster-poster wayang yang memaparkan wajah hero-hero Hollywood, ditukar menjadi wajah-wajah jelik Pak Lah, Tun Mahathir, malah Najib.

Dipendekkan cerita PRU 2008, pembangkang menang besar. Kelantan terus diperintah oleh Tok Guru. Rakyat ketika itu sudah jadi keliru. Pemikiran mereka sudah termakan dengan dakyah yang direka oleh orang seperti Syed Azidi. Syed Azidi mendakwa kepada SPRM beliau dibayar RM4 juta oleh operatif Pas untuk operasi gerak sarafnya. (Sehingga kini tiada siapa dari Pas yang mahu mengaku).

Pada waktu operasi itu kencang dicanang oleh Syed Azidi, para pemimpin pembangkang senyap-sunyi. Nik Aziz pun tak komen apa-apa. Pada waktu itu Syef Azidilah segala-galanya. Beliau ialah permata hati pengikut Pas. Kini, apabila Syed Azidi membongkar segala-galanya, Nik Aziz mula melalut sehingga sanggup cakap macam-macam terhadap Syed Azidi. Kasihan Tok Guru. Beliau sudah tua dan sudah terlalu lama, agaknya?

Cukup-cukuplah wahai Tok Guru. Kalau ambo di tempat Tok Guru, buat apa pening-pening kepala, berhenti sahajalah dari politik. Dan duduk diam-diam di Pulau Melaka tu. Beribadat dan serahkan diri kepada-Nya. Ingatlah kita ini bukan insan yang sempurna. Wallahualam.

Cara kita tangani krisis...

KES 1: Kisah wanita 'didera' polis ketuk-ketampi. Ia menjadi riuh satu Malaysia pada Jun 2005. DAP menangguk di air keruh mengatakan seorang wanita dari tanah besar China didera polis dalam lokap. Gambaran wanita itu hanyalah dari imej video telefon tangan.

Akhirnya kerana kerajaan terlalu defensif atau mungkin terdesak dek public opinion yang kuat, maka sebuah suruhanjaya bebas dibentuk bagi menyiasat dakwaan itu. Suruhanjaya yang dipengerusi oleh mantan Hakim Tun Mohd. Dzaiddin Abdullah itu bolehlah dianggap sebagai yang terhebat di negara ini.

Ramai yang kena panggil. Mahu dipendekkan cerita yang panjang, maka suruhanjaya itu mendapati pihak polis bersalah 'mendera' wanita itu.

Kerajaan kemudian menghantar seorang wakil bertaraf menteri Kabinet, Datuk Seri Azmi Khalid ke Republik Rakyat China pada November 2005 bagi memohon maaf. Maka maaf pun dipinta dan kerajaan China yang mungkin 'tidak begitu kisah dengan isu itu kerana rakyatnya berjumlah lebih 1 bilion orang' pun terimalah maaf itu.

Mahu dijadikan cerita lagi, wanita yang dikatakan berasal dari China itu, rupa-rupanya ialah seorang wanita Melayu - warganegara Malaysia. Namanya ialah Hemy Hamisa Abu Hassan Assari. Semua orang tergamam. DAP, sebaliknya buat-buat tak dengar, seolah-olah tiada apa yang berlaku.

KES 2: Kisah Beng Hock yang didakwa 'dibunuh' oleh SPRM. Ia juga menjadi riuh. Sama seperti kisah ketuk-ketampi, DAP juga yang menjuarainya. Satu inkues bagi menyiasat bentuk kematian pegawai khas kepada seorang Exco kerajaan negeri Selangor itu pun dibentuk.

Sehingga hari ini, siasatannya belum berakhir. Pakar forensik dari UK yang dilantik oleh SPRM, Dr. Peter Vanezis telah membuat konklusinya dengan mengatakan Beng Hock tidak dibunuh. Berdasarkan post-mortem kali kedua tiada kesan yang menunjukkan bahawa lelaki itu dicekik atau diseksa dengan kejam sebelum dibuang dari tingkat 14 bangunan SPRM cawangan Selangor itu.

Semasa bedah siasat itu dijalankan kali kedua, pakar forensik bagi pihak Kerajaan Selangor turut hadir. Pakar forensik bernama Dr. Pornthip itu berasal dari Bangkok, Thailand.

Namun, kini nampaknya kes itu mulai sejuk. DAP dan mana-mana pihak yang menuduh SPRM terbabit membunuh saksinya sendiri itu, mulai membisu. Yang peliknya pakar forensik Siam mereka itu entah ke mana.

Beliau sepatutnya hadir untuk memberi keterangannya terhadap bedah siasat kedua itu. Namun, beliau memberi alasan takut hendak datang ke negara ini. Beliau takut nyawanya terancam. Beliau mahukan 'jaminan negara Malaysia' bagi melindunginya. Persoalannya siapa pula yang mahu mengancam nyawa beliau?

KES 3: Kisah kematian murid tingkatan tiga Aminulrasyid Amzah yang ditembak polis. Sejak kejadian murid itu berlaku dua minggu lalu banyak pihak yang mahu tumpang semangkuk. Masing-masing mahu menjadi juara untuk membela kematian budak sekolah itu. DAP nampaknya tidak berapa kisah.

Tapi Ketua Polis Negara (KPN) nampaknya tetap mempertahankan anak-anak buahnya. Oleh kerana public opinion sekali lagi mengatasi kes jenayah itu sendiri, maka sebuah badan siasatan dibentuk.

Bekas KPN, Tun Hanif Omar, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusuf, Suhakam, peguam dan pensyarah adalah antara lapan panel khas dilantik memantau siasatan itu.

Keluarganya mahukan sebuah suruhanjaya diraja. Keputusannya belum ada lagi. Sekiranya badan siasatan itu merasakan perlu, mungkin ia akan ditubuhkan. Jika ia ditubuhkan maka sekali lagi ia akan memakan masa yang panjang dan wang rakyat yang besar.

Namun, public opinion daripada golongan muda, NGO berhaluan kiri semuanya menyalahkan pihak polis. Perkara pokok bagaimana kejadian itu boleh berlaku tiada siapa peduli. Persoalan tanggungjawab keluarga terhadap anak jagaan tidak dipersoalkan. Semua kesalahan diletak di bahu polis.

Ada juga yang mempertahankan polis. Oleh kerana terlalu banyak versi yang timbul mengenai kes itu, kita tidak perlu campurlah. Kes-kes di atas adalah sebahagian daripada cara kita menangani krisis yang berlaku membabitkan orang awam di negara ini.

Persoalannya apakah kita mengambil iktibar daripada kesemua kes itu, atau kita tidak kisah. Saya mahu tanya apakah sistem kita ini semakin matang ke depan, atau semakin gostan ke belakang?

Warna-warni Politik
Torashah

Selasa, 4 Mei 2010

Gempur Selangor : Nik Aziz jangan ingat dia sahaja hebat - Noh Omar!

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Noh Omar membidas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dilihat masih mempertikaikan larangan penggunaan masjid untuk tujuan politik.

Beliau berkata, Nik Abdul Aziz tidak berhak menyentuh apatah lagi menghina undang-undang negeri lain yang melarang masjid digunakan untuk tujuan berpolitik.

Justeru beliau menegaskan, kenyataan terbaru Mursyidul Am Pas itu yang menyifatkan mereka yang mempertikaikan penggunaan masjid untuk politik sebagai bodoh sebenarnya berbalik kepada Nik Abdul Aziz sendiri.

"Kalau tidak suka dengan syarat yang dikenakan di negeri lain jangan datang, orang-orang Selangor pun mempunyai pegangan agama yang kuat dan jangan ingat hanya Nik Aziz sahaja yang hebat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menegaskan demikian selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama kementeriannya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan terbaru Nik Abdul Aziz dalam ceramahnya di Tumpat malam semalam yang menyifatkan individu yang enggan membenarkan masjid digunakan untuk berpolitik sebagai "bodoh".

Laporan media menyebut Nik Abdul Aziz yang mempertahankan kenyataannya bahawa masjid boleh digunakan untuk tujuan berpolitik berkata: "Baso bodo payoh nak ajar (jenis bodoh susah hendak diajar), ini lah sikap orang yang amal politik suku agama suku."

Khamis lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menjelaskan bahawa tujuan baginda melarang masjid dari digunakan sebagai pentas politik adalah untuk menjaga kesucian dan keharmonian tempat ibadah itu.

Sultan Selangor memberikan penjelasan itu memandangkan ada sesetengah ahli politik mempertikaikan titah baginda dan menganggapnya sebagai karut dan peninggalan penjajah. Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, kenyataan Nik Abdul Aziz itu menunjukkan Pas dan orang Melayu tidak menghormati Sultan.

Sementara itu : Khalid pertahan Nik Aziz

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad hari ini mempertahankan tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini yang mempertikaikan larangan penggunaan masjid dan surau untuk tujuan berpolitik.

Menurut Khalid, kenyataan Menteri Besar Kelantan pada 23 April lalu bahawa berpolitik di masjid dan surau dibolehkan hanya merujuk kepada politik menyatupadukan umat Islam dan bukan melibatkan politik kepartian yang boleh memecahbelahkan umat, fitnah serta caci-mencaci.

''Nik Abdul Aziz selama mengadakan kuliah dalam masjid (beliau) bercakap politik tetapi bukannya dalam konteks politik partisan. Beliau bercakap dalam konteks menyeru umat Islam mengamalkan corak politik Islam seperti amanah, prihatin, kebajikan dan menegakkan keadilan.

''Beliau memberikan kuliah berhubung ajaran Islam dalam kehidupan politik dan budaya serta faedah politik mengikut ajaran Islam," katanya di pejabatnya di Seksyen 13 di sini hari ini.

Menurut Khalid, beliau menyambut baik serta menyokong titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam yang menitahkan sesiapa sahaja termasuk ahli politik yang tidak bersetuju dengan peraturan larangan berpolitik di masjid dan surau supaya tidak perlu datang ke negeri itu.

Beliau berkata, titah baginda itu perlu dihormati oleh semua pihak.

Katanya, titah Sultan Selangor itu mencerminkan kehendak baginda yang tidak mahu masjid dan surau di Selangor dijadikan medan berpolitik yang memecahbelahkan umat dengan adanya amalan caci-mencaci dan fitnah-memfitnah.

Beliau percaya titah Sultan Selangor itu merujuk kepada politik partisan dan mengadu domba serta memecahbelahkan perpaduan di kalangan umat Islam.

''Sebaliknya, politik yang dimaksudkan oleh Nik Abdul Aziz ialah politik Islam berasaskan al-Quran dan sunah Rasulullah,'' jelasnya.

Khalid seterusnya menyalahkan pihak media yang melaporkan seolah-olah kenyataan Nik Abdul Aziz itu bercanggah dengan titah Sultan Selangor yang menegaskan larangan penggunaan masjid dan surau untuk tujuan berpolitik.

''Media nak wujudkan satu persepsi bahawa Nik Abdul Aziz macam bercanggah pandangan dan pendapat dengan Sultan Selangor. ''Apa yang berlaku ialah penggunaan istilah yang sama tetapi membawa pengertian berbeza. Apa yang dititahkan oleh baginda saya sokong sepenuhnya," kata beliau.

Khalid Samad Pertikai Enakmen Undang-undang Islam:

• Khalid Samad mempersoal kepimpinan JAIS dan MAIS sebagai pihak berkuasa agama di Selangor dan mencabar mereka menyertai politik.

• Beliau juga mempertikaikan Enakmen Agama Bukan Islam 1998 sudah ketinggalan zaman. Enekmen ini jelas melarang penggunaan kalimah Allah dalam mana-mana penerbitan agama lain.

• Ini menyebabkan beliau dipanggil mengadap oleh DYMM Sultan Selangor kerana antaranya sokongan beliau pada penerbitan Herald-The Catholic Weekly yang menggunakan kalimah Allah.

• Padahal Baginda tegas menitahkan MAIS memaklumkan kepada rakyat bahawa terdapat undang-undang yang menghalang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam.

Komen : Persoalan sekarang adalah, adakah pengkhianat ugama yang bernama Khalid Samad ini layak tinggal di Shah Alam setelah beberapa kali cubaan beliau telah menyakitkan hati umat Islam di Shah Alam? Fikirkanlah semasa PRU 13 nanti samada Khalid Samad masih diperlukan lagi di Shah Alam!
Wallahuallam.

Warna-warni Politik
Torashah

Ahad, 2 Mei 2010

Zaid di tempelak : " Patut cermin diri dahulu, bukan menuding jari "- SPR

SEBAIK sahaja diajukan kritikan Datuk Zaid Ibrahim tentang dakwaannya bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersikap berat sebelah, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof terus mempersoalkan motif calon PKR yang kalah itu.

"Apa yang tidak bersih, apa yang berat sebelah," kata Pengerusi SPR itu. Lantas beliau mengajak Zaid menilai paparan 'score-sheet' di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kuala Kubu Baharu (KKB) malam kelmarin - lokasi pengumuman kemenangan P.Kamalanathan dari BN.Yang tertera ialah di saluran-saluran kawasan pengundi Cina, BN kalah kesemuanya. Ini boleh dilihat di saluran 1,2 dan 4 Kampung Baru Cina KKB dengan PKR masing-masing mencatat 203, 256 dan 207 undi, manakala BN sekadar mendapat 77, 73 dan 56 undi.

Begitu juga di Kampung Baru Batang Kali, PKR mendapat 220 undi, manakala BN 58. Di Kampung Baru Rasa, situasi sama juga berlaku dengan BN sekadar meraih 75 undi berbanding 301 PKR.Namun di saluran kawasan majoriti pengundi Melayu, pencapaian BN begitu memberangsangkan.

Antaranya, BN meraih 216 undi di Ampang Pecah berbanding 148 PKR. Demikian juga keupayaan BN terserlah di kawasan Felda Kampung Sungai Tengi Selatan (BN 176, PKR 62). Kekuatan kedua-dua parti bagaimanapun agak setara di kawasan didiami pelbagai kaum seperti Hulu Yam Barat (PKR 205, BN 184) dan Kuala Kalumpang (PKR 98, BN 128).''Kalau sistem pilihan raya kita ini tidak betul dan SPR berat sebelah, macam mana PKR boleh menang di saluran-saluran tertentu.

Anda boleh lihat di semua kawasan Cina, PKR menang.''Anda juga boleh lihat dari sembilan pilihan raya kecil sebelum ini, pembangkang menang tujuh. Apa berat sebelahnya?" kata Abd. Aziz di Putrajaya semalam.

Bagi Abd. Aziz, kemenangan sesebuah parti dalam pilihan raya disebabkan sentimen pengundi di kawasan itu. SPR, tegasnya, menolak sama sekali sebarang sikap pilih kasih dalam mengendalikan pilihan raya kecil atau Pilihan Raya Umum.''Kita menyediakan padang yang rata untuk bertanding. Sebab itulah kita jangan mendongak langit. Kadang-kadang kita merasakan kita tahu kesemuanya dan kita ingat kita yang terbaik tetapi pengundi yang menentukan.

''Yang kalah sepatutnya cermin diri dan tanya mengapa anda kalah, bukannya menuding jari kepada orang lain. Bila kita kalah, kita kena gentleman," kata Abd. Aziz. Sememangnya insiden 'kejar mengejar' di paparan skrin di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kuala Kubu Baharu kelmarin begitu mendebarkan.

Suatu ketika sekitar 7 malam, PKR mendahului dengan 1,226 undi setelah sebahagian besar kawasan majoriti pengundi Cina dikira. Namun menjelang pukul 8.30 malam, undi dari kawasan majoriti Melayu akhirnya meletakkan semula BN di tampuk kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Warna-warni Politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor