Sabtu, 8 November 2008

Raja Petra dibebas, alasan penahanan ISA tidak sah

SHAH ALAM: Pengendali dan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dibebaskan daripada tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam, membenarkan permohonan habeas corpus untuk mengisytiharkan penahanannya tidak sah. Hakim Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad membuat keputusan itu selepas mendapati alasan penahanan yang dikeluarkan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengikut Seksyen 8 ISA tidak mematuhi undang-undang. Membacakan penghakimannya, beliau berkata walaupun semakan penghakiman tidak boleh dilakukan terhadap perintah mengikut Seksyen 8(1) ISA, mahkamah boleh berbuat demikian jika ia dibuat tanpa mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.

Secara umum, katanya, Seksyen 8 (1) ISA adalah selari peruntukan Artikel 149 Perlembagaan Persekutuan, tetapi perintah dikeluarkan Menteri Dalam Negeri terhadap Raja Petra tidak selari peruntukan mengikut seksyen itu. Sehubungan itu, Syed Ahmad Helmy memerintahkan Raja Petra, 58, yang ditahan di Kem Tahanan Kamunting, dibebaskan selewat-lewatnya jam 4 petang dan sebaik tiba jam 3.15 petang, dia dibebaskan. Suasana dalam mahkamah riuh-rendah apabila 50 penyokong Raja Petra bersorak sebaik mahkamah membuat keputusan, menyebabkan Syed Ahmad Helmy menegur mereka dengan berkata: "Ini adalah Mahkamah Undang-Undang." Isteri Raja Petra, Mable @ Marina Lee Abdullah dan dua anak mereka, Suraya 34, dan Sarah, 19, menangis dan berpelukan sebaik hakim membebaskannya.


Perintah penahanan terhadap Raja Petra antara lain menyebut dia, sejak 16 Januari 2008 sehingga ditahan 12 September lalu, bertindak secara sedar, sengaja dan tidak bertanggungjawab menyiarkan artikel tulisannya dan komen pembaca yang mempersenda dan menghina orang Islam, kesucian Islam dan peribadi Nabi Muhammad SAW sehingga membangkitkan kegelisahan dan kemarahan masyarakat Islam di negara ini. Raja Petra memfailkan permohonan habeas corpus pada 30 September lalu dengan menamakan Syed Hamid sebagai responden, untuk mendapatkan pembebasannya daripada penahanan mengikut ISA dengan alasan penahanannya tidak sah dan tidak mengikut peruntukan dalam perlembagaan. - BH

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor