Rabu, 19 November 2008

Kepimpinan Selangor semakin dicabar



NAMPAKNYA kepimpinan kerajaan campuran negeri Selangor semakin tercabar dari hari ke hari. Mungkin ada yang tidak sedar, hakikatnya itulah yang berlaku di negeri itu hari ini.
Apa tidaknya, bertapa murahnya 'rezeki' kerajaan negeri ini sehingga dilimpahi dengan pelbagai isu yang tidak disukai ramai seperti projek ternakan babi, peruntukan 30 peratus Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk bukan Islam, pelantikan bukan Melayu dalam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan sebagainya.

Paling terbaru, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) mengancam untuk mengadakan demonstrasi berbogel di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sebagai tanda protes mereka terhadap kenaikan kadar sewa penduduk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negeri itu. Kalau difikirkan, tindakan NGO itu mengugut untuk bertindak sedemikian mungkin tidak masuk akal dan lucu oleh sesetengah pihak.

Ini kerana, berbogel di khalayak ramai adalah satu perkara yang memalukan di kalangan masyarakat bertamadun dan waras lebih-lebih lagi jika seseorang itu memiliki susuk paras yang kurang enak dipandang. Malah, tindakan sedemikian juga dilarang dan ditegah dalam ajaran Islam selain menunjukkan bertapa rendahnya moral seseorang manusia itu. Namun, jika diteliti ugutan sedemikian realitinya ia tidak akan mungkin dilakukan oleh ahli Reformis berkenaan kerana pastinya mereka ini sudah tentu mempunyai 'air muka' masing-masing.

Tetapi, mungkin itu jugalah cara mereka menyatakan rasa tidak puas hati yang teramat sangat terhadap kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas yang dikatakan menekan rakyat negeri itu. Pendirian yang sama turut diutarakan oleh Presiden Reformis, Ramlan Abu Bakar melalui satu kenyataan menjelaskan bahawa ugutan untuk berbogel itu adalah satu simbol bahawa rakyat negeri itu dalam keadaan terlalu tertekan ekoran ketidakprihatinan kerajaan negeri serta kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam soal kebajikan di negeri itu.

Katanya, banyak tindakan dan keputusan kerajaan negeri tidak memihak kepada rakyat walaupun telah berjanji untuk menjadikan Selangor sebuah negeri berkebajikan pada pilihan raya umum, Mac lalu. Malah katanya, sehingga tempoh lebih 300 hari memerintah negeri itu, tiada sebarang usaha untuk mencapai sasaran sedemikian rupa lebih-lebih lagi ketika rakyat berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup.

"Ini satu cara kami boleh lakukan sebagai satu simbol mewakili golongan pendapatan rendah yang tertekan dalam meneruskan hidup di Selangor yang merupakan sebuah negeri maju," katanya. Menurutnya lagi, di Selangor masih ada rakyat tidak mempunyai kediaman yang sempurna. Malah, ada di antara kediaman mereka tidak kurang seperti pondok kebun durian termasuklah kediaman yang masih dibina di bawah pencawang elektrik serta di tebing-tebing sungai di negeri itu.

Apa yang dikatakan oleh Ramlan itu ada juga benarnya memandangkan Selangor masih lagi mencatatkan bilangan setinggan paling tinggi membabitkan 1,195 keluarga di 10 penempatan seluruh negeri itu setakat Mei lalu. Bagaimanapun, jumlah berkenaan tidak termasuk kawasan setinggan yang tidak dilaporkan melibatkan sembilan kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Selangor.

Sungguhpun begitu, rungutan rasa tidak puas hati oleh NGO berkenaan adalah satu daripada banyak masalah lain yang dikemukakan oleh pihak luar terhadap kerajaan negeri pakatan pembangkang. Banyak pihak turut meluahkan nada yang sama mengkritik dasar pentadbiran baru kerajaan negeri dalam pelbagai perkara seperti mengenepikan soal hak orang Melayu dan bumiputera seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini dapat dijelaskan melalui tindakan kakitangan PKNS yang mengemukakan memorandum bantahan kepada kerajaan negeri pada September lalu berhubung pelantikan Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar anak syarikat kerajaan negeri itu yang didakwa lari daripada matlamat asal penubuhannya untuk meningkatkan taraf ekonomi kaum tersebut di negeri itu.
Kerajaan negeri seharusnya faham bahawa keadaan sedemikian berlaku sebagai 'tanda-tanda awal' penolakan rakyat terhadap pendirian serta pentadbiran kerajaan negeri yang seolah-olah 'cakap tidak serupa bikin'.

Mungkin kerajaan negeri boleh memberi alasan bahawa bantahan dan rasa tidak puas hati yang dikemukakan terhadapnya adalah bermotifkan politik daripada pihak tertentu. Namun, mereka perlu fikir adakah alasan itu benar bermotifkan politik. Bagaimana kalau ia benar-benar datang daripada rakyat negeri itu sendiri.

Jika benar, jelaslah kerajaan negeri hari ini dilihat lebih suka menyalahkan pihak lain apabila berlaku penentangan terhadap mereka. Namun, kerajaan negeri sendiri tidak mahu berusaha mengambil jalan terbaik untuk menyelesaikan rungutan daripada rakyat. Mungkin keadaan sedemikian berlaku kerana kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang masih lagi khayal dengan kuasa yang diperolehinya selepas pilihan raya umum lalu sedangkan rakyat negeri itu sedikit demi sedikit telah mencabar pentadbiran mereka. - UM

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor