Isnin, 28 Jun 2010

Pemimpin PKR nafi desak Khalid undur MB Selangor!

Dakwaan 15 Ahli Parlimen boikot kepemimpinan hanya spekulasi :

Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, berkata ada perbincangan dan desakan terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai hala tuju pentadbiran negeri itu pada sesi pertemuan baru-baru ini. Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan ada desakan pemimpin parti supaya Abdul Khalid berundur daripada jawatannya. “Memang ada perbincangan mengenai pentadbiran kerajaan Selangor dan isu parti, tetapi tidak pula ada desakan beliau berundur jawatan Menteri Besar.

“Kalau ada konflik masa perbincangan itu hanya perkara biasa, mana-mana parti pun sama. Cuma banyak desakan dilemparkan terhadap (Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, mengenai keputusannya meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS),” katanya di sini.

Sebelum ini sebuah akhbar berbahasa Inggeris mendakwa wujudnya pakatan membabitkan 15 Ahli Parlimen PKR untuk memboikot Abdul Khalid sebagai pemimpin tertinggi Selangor.

Pengarah Strategik parti itu, Tian Chua mendakwa, memang wujud desakan supaya Abdul Khalid melakukan rombakan membabitkan beberapa kakitangan penting di pejabat kerajaan negeri. Katanya, segelintir pemimpin parti mahu tenaga kerja itu dipecat kerana dipercayai dilantik ketika kepemimpinan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo.

“Ada desakan supaya kakitangan kerajaan negeri yang dilantik Barisan Nasional (BN) dipecat kerana gagal memberi kerjasama, tetapi kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya memecat mereka, jadi Abdul Khalid perlu bijak menanganinya,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid menyifatkan dakwaan 15 Ahli Parlimen mahu menyingkirkannya sebagai Menteri Besar hanya spekulasi dan sedia menerima serta membaca memorandum yang dikata akan diserahkan kepadanya pada program permukiman pemimpin PKR di sebuah hotel di Shah Alam nanti.

“Tidak ada (memorandum), saya tidak menerima apa-apa daripada delegasi terbabit. Jadi, itu boleh jadi spekulasi saja,” katanya.

Di KOTA BHARU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata perkembangan itu menunjukkan Khalid perlu menerima kenyataan dirinya sedang ditolak.

“Tindakan 15 Ahli Parlimen seperti disiar akhbar kerana pentadbiran di Selangor tidak seperti yang dijanjikan, termasuk isu membabitkan pasir seperti didedahkan Kapar (Manikavasagam),” katanya.

Warna-warni Politik
Torashah

Isnin, 21 Jun 2010

Mengapa Dr Asri Mesti Masuk UMNO?

Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dijangka akan menyertai UMNO minggu depan. Dan lebih menarik, hampir 100 pensyarah, cendiakawan dan guru-guru agama dari seluruh negara akan turut bersama beliau.

Sebahagian besar cendiakawan itu memiliki tahap pendidikan Doktor Falsafah atau PHD dalam pelbagai cabang ilmu Islam.Dalam erti kata lain, mereka sudah mencapai taraf ulamak. Apa yang lebih menarik, sebahagian besar daripada hampir 100 orang itu adalah individu-individu yang selama ini dilihat sebagai sangat cenderung kepada perjuangan PAS di negara ini.

Pasti timbul persoalan di hati semua mengapa Dr. Asri dan begitu ramai tokoh Islam akan menyertai UMNO secara tiba-tiba? Untuk penyokong Pakatan Rakyat, tolong jangan bagi alasan setiap mereka dibayar RM2 juta ok! Puncanya adalah amat nyata, mereka dikatakan menolak PAS kerana kecewa dengan sikap Mursyidul AM parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Aziz ditafsir kumpulan berkenaan sebagai menghampiri kesesatan hanya kerana rakus untuk memastikan PAS dapat memegang kuasa dalam pilihan raya umum akan datang. Sumber memberitahu Malaysia-instinct.com bahawa tindak tanduk Nik Aziz semenjak dua ini yang semakin jauh daripada ajaran sebenar Islam menyebabkan Dr Asri dan kumpulan hampir 100 tokoh Islam itu menolak terus PAS.

"Ini pastinya satu tamparan hebat buat PAS yang selama ini menjaja cerita ia adalah pejuang Islam sejati dengan kelebihan untuk memberikan syurga kepada pengikutnya," kata sumber itu. Penyertaan Dr. Asri ke dalam UMNO juga pastinya sesuatu yang akan memeranjatkan ahli dan pemimpin PAS kerana baru minggu lalu beliau hadir ke muktamar agung tahunan PAS.

Ketika itu ramai dalam PAS beranggapan Dr Asri akan menyertai parti berkenaan. Ternyata beliau mengambil tindakan yang sebaliknya. Dr. Asri dan kumpulannya itu dijangka akan menyerahkan borang keahlian UMNO mereka selepas atau sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada minggu hadapan.

(Malaysia Instinct)

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 15 Jun 2010

Muktamar ke 56 PAS : Menggalas beban ke Putrajaya!

SEMUA sudut jalan menghala ke bandar Kota Bharu ini sesak sejak beberapa hari lalu kerana ramai yang pulang sempena musim cuti sekolah dan ramai juga yang bertandang ketika Muktamar Pas ke-56 berlangsung. Muktamar itu berakhir kelmarin, kelihatan lancar dan boleh dikatakan tenang, ketika Pas membincangkan rangka tindakan sebagaipersiapan untuk menghadapi masa depan yang dikatakan amat menjanjikan.

Ia lebih terarah kepada usaha mengukuhkan sokongan generasi muda, menerobos pengaruh lawan di tanah-tanah rancangan dan pedalaman, di samping menyuburkan sentimen rakyat melalui pelbagai isu yang dilaungkan. Namun soal penubuhan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) banyak menarik tumpuan dalam muktamar kali ini dan banyak pula berlegar dalam pemikiran perwakilan.

Ada pro dan kontranya, namun ia dijengah dengan nada berhati-hati oleh perwakilan ketika menyuarakan kebimbangan tetapi ramai juga yang sarat menaruh harapan. Ketika penubuhan sayap baru bagi muslimat muda yang cuba diketengah sejak beberapa tahun lalu tidak menjadi kenyataan, DHPP muncul dan mereka juga, selain peluang untuk bersuara, turut berpeluang untuk bertanding dalam pilihan raya umum nanti.

Apakah reaksi rakan-rakan? Mungkin bohonglah jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP langsung tidak berasa rimas dengan penubuhan DHPP yang menjadi sayap baru Pas. Mengapa perlunya bukan Islam bernaung di bawah Pas, sedangkan parti rakan-rakannya dapat memayungi mereka sejajar dengan dasar parti masing-masing.

Ada yang melihat ini merupakan satu percaturan Pas untuk menzahirkan kekuatan pengaruhnya dan tentunya sebagai peneraju pakatan pembangkang dan tidak sekadar melukut di tepi gantang. Justeru, tidak begitu terdengar reaksi yang manis daripada rakan-rakan pakatan yang entah mengapa berat untuk membuat ulasan ketika ramai yang hadir di hari perasmian.

Malah tidak kurang juga yang melihat kesediaan Pas untuk melakukan apa sahaja untuk memenuhi impian berada di Putrajaya yang semakin lantang kedengaran. DHPP sememangnya percaturan besar Pas dalam menghadapi pilihan raya yang mungkin kesempatan terbaik pada tanggapan mereka, namun suara-suara kebimbangan tidak begitu lantang kedengaran.

Mungkin kerana bukan musim pemilihan dalam parti, tiada siapa yang berminat untuk cuba meletakkan langkah terbaru Pas itu sebagai ‘kesilapan’ oleh sesiapa jika benar ia bakal mengundang padah. Justeru wajah Pas kini dengan pendekatan terbarunya semakin tidak jauh bezanya dengan parti rakan pakatan dan apabila ia menjadi Pas Untuk Semua.

Pas sememangnya tidak lagi memainkan slogan berkaitan pemerintahan Islam dan negara Islam yang cuba membezakannya dengan UMNO dari segi siapa yang lebih Islam dan siapa yang lebih berjuang untuk Islam. Ia tidak lagi perlu. DHPP merupakan pengiktirafan Pas terhadap penyokong bukan Islam yang selama ini setia bersama dalam wadah perjuangan politik parti itu.

Ia bermula dengan Kelab Penyokong Pas yang diwujudkan pada penghujung tahun 2004 dan draf penubuhannya yang dibincang beberapa kali akhirnya diluluskan oleh parti pada 10 Januari dan menjadi kenyataan pada 23 Mei lalu. Sebagai sayap baru, anggota bukan Islam ini mempunyai hak untuk bersuara dan berpeluang bergelar ‘Yang Berhormat’ setelah badan tertinggi Pas, Majlis Syura Ulama memberikan restu.

Muktamar kali ini yang bertemakan, ‘Islam Adil Untuk Semua’ menjadi manifestasi pengiktirafan terhadap sayap terbaru parti itu apabila wakil mereka mula berucap dan mengemukakan dua usul ringan. Pengerusi DHPP, Hu Pang Chaw berkata, menaikkan taraf sebagai sayap terbaru Pas harus dilihat sebagai ‘satu harapan’ bagi parti Islam itu, bukannya satu ancaman.

Menurut Pang Chaw, kebimbangan yang diperlihatkan semalam mengenai kehadiran bukan Islam dalam Pas sebenarnya tidak menggambarkan sentimen keseluruhan Pas. “Saya faham perasaan mereka. Tetapi ia hanya minoriti. Jika majoriti parti merasakan demikian (tidak senang), Dewan Himpunan (sudah pasti) tidak muncul kelmarin,” kata beliau.

Beliau juga berkata, Pas memahami keperluan ‘pemikiran politik’ baru dan dengan itu, penyertaan bukan Islam menunjukkan satu penambahbaikan yang dibawa kepimpinan tertinggi parti Islam itu. “Jika mereka hanya memberi tumpuan ke atas pengundi Melayu, mereka tidak akan ke mana,” kata beliau sambil menambah, sebenarnya tiada pertembungan antara arah aliran penyokong Islam dan bukan Islam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi penjelasan yang lunak mengenai DHPP dengan memberi jaminan bahawa langkah terbaru itu bukannya strategi politik, jauh sekali untuk menonjolkan diri. Tegasnya, Pas mempunyai tanggungjawab lebih besar daripada sekadar strategi politik meraih sokongan pengundi bukan Islam tetapi sebaliknya terpanggil untuk memartabatkan keindahan dan keadilan Islam.

Secara mudahnya, apabila Pas berhasrat berdakwah dan menyampaikan keindahan serta keadilan Islam kepada penganut agama lain, tidak perlulah bersusah-payah menubuhkan satu sayap baru. Apa salahnya jika Pas menyampaikan hasrat murni itu secara ‘talian terus’ kepada DAP yang sudah pasti lebih mudah kerana DAP merupakan rakan akrab dan di dalamnya ada masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Namun DHPP, jika tidak ditangani dengan baik, ia akan menjadi satu beban berat yang perlu dipikul dan dipastikan agar tidak tercicir di jalan ketika ia kini berada di persimpangan baru yang belum pernah ditempuh.

Ada yang membayangkan Pas mula membawa masuk sesuatu yang boleh menjadi dan menambahkan duri di dalam daging, sedangkan, parti itu turut terdedah kepada tikaman dari luar dalam menegakkan perjuangan sebenar - ke arah sebuah pemerintahan dan negara Islam. Ia pastinya akan lebih mengambil pendekatan bertolak ansur untuk terus memenangi hati sayap baru dan pada yang sama perlu menyedapkan hati rakan-rakan dalam pakatan.

Pendekatan sebegini mendedahkan parti itu terpaksa menyisihkan dan mengorbankan hasrat penyokong tradisinya, Melayu yang bakal terus dipengaruhi, apabila ia mungkin terpaksa mula mengambil jalan tengah tanpa arah yang jelas.

Ia dibimbangi menghakis keyakinan mereka, malah melebarkan pergeseran dalaman parti ekoran pendekatan hala tuju dan Pas akan kembali sukar untuk melangkah. Semasa menggulung perbahasan, Abdul Hadi berkata: ‘‘Cita-cita Pas bersama Pakatan Rakyat untuk ke Putrajaya sebagai satu mimpi soleh.” Tentu ramai mendoakan agar ia bukan sekadar mainan tidurnya.- UM.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 13 Jun 2010

Muktamar PAS ke 56 : Sekadar kutuk UMNO, BN!

Tahap perbahasan kalangan perwakilan PAS masih pada takuk lama

MASIH belum ada tawaran menarik daripada PAS kepada rakyat bagi menunjukkan parti itu boleh membentuk kerajaan yang ampuh seperti Barisan Nasional (BN) walaupun Muktamar Tahunan ke-56 parti itu sudah masuk hari yang terakhir hari ini.

Malah perbahasan ketiga-tiga sayap parti itu, Dewan Ulama, Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat hambar tanpa sebarang kritikan daripada perwakilan dan kalau ada pun hanya seorang dua perwakilan yang lantang serta berani menegur kesilapan pemimpin mereka.

Ketika PAS sibuk untuk meraih sokongan bukan Islam bagi merealisasikan impian untuk ke Putrajaya tercapai sehinggakan Kelab Penyokong PAS dinaik taraf kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP), ia tidak lebih sekadar gimik untuk meraih sokongan bukan Melayu. Dalam kalangan perwakilan parti itu, mereka melihat keghairahan PAS menarik sokongan bukan Islam sehingga mengabaikan pengundi tradisi boleh membawa kepada kejatuhan parti itu. Mereka menyifatkan pengundi tradisi terutama umat Islam adalah teras sebenar kekuatan parti itu, bukannya pengundi bukan Islam yang hadir secara bermusim.

Bagi perwakilan, pengundi Melayu yang dikatakan lebih memihak kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika ini perlu diberi perhatian serius oleh kepemimpinan parti untuk meraih sokongan mereka, bukannya memberi tumpuan kepada pengundi bukan Islam sehingga melupakan pengundi asalnya.

Tindakan PAS yang membuka ruang kepada bukan Islam untuk bertanding atas tiket parti itu pada pilihan raya umum akan datang, juga menimbulkan pelbagai persoalan kepada akar umbi. Tanda tanya timbul adakah calon bukan Islam akan terus setia bersama PAS atau meninggalkan parti itu jika berdepan masalah seperti dialami rakan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sehingga kini rekod PAS masih cemerlang tanpa sebarang tindakan melompat parti dalam kalangan wakil rakyatnya, malah kerajaan PAS Kelantan yang pada satu ketika hanya berbeza satu kerusi dengan BN juga masih mampu mempertahankan kerajaan mereka, tetapi dibimbangi rekod itu akan rosak apabila calon bukan Islam bertanding, kerana bukan Islam tidak boleh berbaiah seperti mana wakil rakyat Islam.

Malah tindakan PAS yang sanggup menerima bukan Islam sebagai calon parti itu juga menimbulkan pelbagai tanggapan kurang menyenangkan sama ada parti itu mahu mengorbankan prinsip yang didukung sebelum ini atau PAS sudah tiada bezanya dengan parti lain dalam pakatan pembangkang seperti PKR.

Keterbukaan PAS itu juga mungkin menimbulkan rasa kurang senang rakan sekutu mereka iaitu DAP. Apakah PAS sudah hilang keyakinan terhadap kepemimpinan DAP atau sekadar 'bersama' untuk mencari peluang keemasan dan akan meninggalkan pakatan pembangkang selepas sokongan rakyat pelbagai kaum diraih.

Dengan kata lain akar umbi masih belum bersedia untuk membuka ruang kepada bukan Islam menjadi calon parti itu kerana bimbang ia akan merosakkan dasar perjuangan PAS. PAS masih dianggap parti eksklusif orang Islam kerana kekuatan parti itu ditunjangi oleh orang Melayu beragama Islam sejak dari asal penubuhannya.

Ketika PAS sedang menanam impian melangkah ke Putrajaya, masih ada dalam kalangan perwakilan yang menyifatkan impian itu tidak akan tercapai jika tunjang kepada kekuatan UMNO dan BN masih gagal ditawan parti itu terutama pengundi kawasan FELDA yang tetap setia bersama BN.

Perwakilan juga mengkritik PAS kerana tidak memberi tumpuan kepada pengundi Felda dan hanya menemui pengundi teras kepada kekuatan BN itu apabila tiba pilihan raya. Lebih daripada itu pemimpin PAS yang masuk ke kawasan FELDA hanya bercakap isu nasional dan antarabangsa, bukannya usaha membela nasib warga FELDA.

Bagi penyokong PAS, jika Pahang yang memiliki kawasan FELDA paling banyak di negara ini gagal dikuasai pembangkang, PAS tidak perlu menaruh harapan untuk membentuk kerajaan baru pada pilihan raya umum akan datang. Ia masih jauh dan banyak lagi perlu diperbaiki.

Walaupun PAS dikatakan sedang melalui proses transformasi untuk menuju ke Putrajaya, hakikatnya perkara itu masih kabur dan parti itu kini dilihat tanpa hala tuju jelas. Agak mengecewakan tahap perbahasan dalam kalangan perwakilan masih pada takuk lama, hanya sekadar menjadikan muktamar sebagai medan untuk mengkritik UMNO dan BN.

Tiada perbincangan khusus dengan lontaran idea bernas dikemukakan ahli dan kepemimpinan parti itu untuk membawa parti melangkah jauh ke depan. PAS kini cuba meniru gaya kepemimpinan PKR yang asyik memasang impian ke Putrajaya dengan beretorik.

Warna-warni politik
Torashah

Jumaat, 4 Jun 2010

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Bandar Puncak Alam.

Assalamualaikum wbt

Selamat bersidang kepada semua ahli-ahli UMNO Cawangan Bandar Puncak Alam. Semoga persidangan kali ini adalah lebih baik dari yang lepas-lepas. Teruskan lah perjuangan demi Agama, Bangsa dan Negara.
Hidup Melayu Hidup UMNO.

" Rakyat di Dahulukan Pencapaian Di Utamakan"
Tarikh : 6-6-2010 ( Ahad )
Masa : 9.00 Pagi
Tempat : Sek. Kebangsaan Bandar Puncak Alam
Semua ahli-ahli UMNO BPA di jemput hadir .
Sekian. Wassallam.
Biro Penerangan UMNO Bandar Puncak Alam

Selasa, 1 Jun 2010

Anwar perbodohkan pemimpin Pas!

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperbodohkan pemimpin Pas apabila secara terbuka mengumumkan beliau akan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II untuk DAP.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menunjukkan beliau menggunakan kuasa diktator untuk berkuasa.

''Anwar secara terbuka memperlekeh dan tidak menghormati pemimpin Pas. Inilah sikap sebenar beliau yang sanggup melakukan apa sahaja untuk berkuasa,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini. Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang tidak mengetahui langsung mengenai jawatan yang disebut oleh Anwar itu.

Ketua Pembangkang itu ketika wawancara dengan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau yang disiarkan Rabu lalu berjanji akan mewujudkan jawatan baru tersebut yang bakal diisi di kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Syed Ali berkata, Anwar ternyata lebih menghormati pemimpin DAP berbanding Abdul Hadi dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. ''Anwar telah memperbodohkan pemimpin pakatan pembangkang lain dengan membuat keputusan tanpa persetujuan kolektif mereka.















"Dia membuat janji ini dengan tujuan mengekalkan sokongan pengundi Cina walaupun terpaksa membuat kenyataan yang melukai hati pemimpin Pas,'' ujarnya. Syed Ali menegaskan, rakyat perlu menolak pakatan pembangkang yang diterajui oleh Anwar kerana beliau dilihat sengaja memainkan sentimen perkauman terutama membabitkan orang Melayu dengan janjinya kepada pemimpin DAP.

''Saya percaya pemimpin Pas tidak akan menyokong Anwar yang menggunakan politik rasis untuk diberi laluan sebagai Perdana Menteri," katanya. Dalam pada itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pemilihan DAP dan bukannya Pas bagi mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri II jelas menunjukkan kepercayaan tinggi Anwar terhadap parti yang dianggotai majoriti kaum Cina itu.

Sambil menyifatkan janji itu sebagai angan-angan Mat Jenin, tegas Rosnah, Pas patut memandang serius janji yang dibuat Anwar itu kerana tawaran tersebut jelas menunjukkan Penasihat PKR berkenaan tidak yakin terhadap parti itu.

''Anwar membuat janji ini mungkin kerana DAP telah memberi peluang kepadanya untuk terus menjadi Ketua Pembangkang walaupun kerusi PKR di Parlimen kurang berbanding parti itu. ''Anwar tidak sedar bahawa dia sendiri hanya diperalatkan oleh DAP atau beliau memang sedar perkara ini asalkan dapat menjadi Perdana Menteri,'' ujarnya.-UM

Warna-warni politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor