Khamis, 11 Disember 2014

Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor Ke-69


DAULAT TUANKU

SEMOGA ALLAH LANJUTKAN USIA TUANKU

DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ D.K.,D.M.N., D.K.( Terengganu ), D.K. Kelantan ), D.K.( Perak ), D.K.( Perlis ), D.K.( Negeri Sembilan ), D.K.( Kedah ), D.K.( Johor ), S.P.M.S., S.S.I.S., S.P.M.J.

SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA

Sembah Tahniah Dan Ucap Selamat

SEMPENA ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN YANG KE 69 DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR PADA 11 DISEMBER 2014 BERSAMAAN 18 SAFAR 1436 HIJRIAH

SEMBAH TAKZIM DARIPADA

Admin
Blog Pentas UMNO Bandar Puncak Alam


Rabu, 26 November 2014

Laporan Sidang Dun : Pembangkang tolak peruntukan ‘gula-gula’?


Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN menolak cadangan peruntukan RM200 ribu kepada mereka seperti cadangan Menteri Besar Selangor, Tuan Mohamed Azmin Ali, dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2015 kelmarin.

Menyifatkan pemberian tersebut sebagai ‘tidak ikhlas’, Ketua Pembangkang Dun Selangor, Datuk Shamsuddin Lias mempertikaikan jumlah ditawar kepada Adun-Adun pembangkang dengan Adun-Adun pakatan berbeza setengah juta.

“Apa bezanya dengan mereka yang juga wakil rakyat tetapi dapat dalam RM700 ribu. Kalau fikir dasar keadilan, kena bagi (jumlah) sama. Kalau nak bagi, bagi (jumlah) sama. Itu baru namanya adil.

“Kita tolak atas dasar prinsip. Prinsipnya, keadilan” katanya apabila ditanya di ruang lobi Dewan Annex, sebentar tadi.

Terdahulu, pertikaman lidah berlaku di dalam dewan apabila Adun Dap Sungai Pinang Teng Chang Kim mempertikaikan penolakan cadangan peruntukan RM200 ribu kepada Adun-Adun BN Selangor oleh Shamsuddin selaku ketua pembangkang.

“Saya nak tanya ketua pembangkang, kalau peruntukan untuk rakyat dalam kawasan Dun pembangkang ditolak, kenapa kereta rasmi pula diterima?” persoal Teng.


Shamsuddin yang tersinggung dengan soalan Teng membalas dengan nada keras.

“Saya tak minta (kereta) itu. Ia diputuskan pada masa lepas. Jangan diungkit-ungkitlah. Saya nak jelaskan pasal kereta rasmi. Kereta ini diluluskan zaman mantan menteri besar yang lalu (Tan Sri Khalid Ibrahim). Saya rasa macam tak ikhlas saja. Kalau nak diungkit perkara ini, ambil balik. Saya pun tak perlu itu,” balas Shamsuddin di dalam dewan.

Shamsuddin menyifatkan laporan meluas media berkenaan serahan kunci kereta baru kelmarin sebagai satu langkah populariti yang cuba diraih Azmin setelah menjadi menteri besar baru.

“Lembu punya susu, sapi dapat nama,” kata Shamsuddin di luar dewan apabila diminta ulas oleh wartawan.

“Ini tak sepatutnya berbangkit. Ia berbangkit pun kerana semalam menteri besar yang bagi. Inilah yang dikata lembu punya susu, sapi dapat nama.

“Peruntukan pada ketua pembangkang (termasuk kereta rasmi) telah diberi masa mantan menteri besar lagi. Dia (Khalid Ibrahim) beri kereta lama, sebab kereta baru tak sampai lagi.

“Selama ini saya dah bawa ke hulu ke hilir kereta lama. Bila kereta baru sampai, dia (Azmin) serah pada saya. Dia ambil publisiti.

“Tak sepatutnya perkara ini timbul. Dalam dewan tadi diungkit. Ungkit sebab kami (Adun-Adun BN) tolak peruntukan RM200 ribu. Kalau nak ungkit sangat, ambillah (kereta rasmi)”, kata Shamsuddin.


Kelmarin, Selangor Press dimaklumkan oleh Adun BN Sungai Panjang Budiman Zohdi bahawa mereka belum lagi membincangkan sama ada mahu terima atau tidak cadangan peruntukan RM200 ribu kepada Adun-Adun BN Selangor.

Budiman menempelak bajet negeri dengan menganggap ia sebagai ‘bajet gula-gula’.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 15 November 2014

Isu Hutang Bank Islam : Peguam Sahkan Dakwaan PKR Terhadap Khalid Ibrahim Tidak Benar?


Kenyataan media oleh pihak peguam Mathew Thomas Philip semalam mengesahkan dakwaan PKR terhadap MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim adalah tidak benar.

Khalid Ibrahim merupakan pihak yang menyaman Bank Islam atas isu salah jual saham Kumpulan Guthrie Berhad pada tahun 2007 dan bukan sebaliknya. Ianya berlaku sebelum beliau menjadi Menteri Besar Selangor pada tahun 2008. Sehubungan dengan itu, tidak timbul isu bahawa beliau telah dikompromi integritinya untuk menyelesaikan di luar mahkamah seperti yang didakwa oleh PKR.

Antara alasan yang digunakan PKR untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor adalah masalah integriti beliau yang kononnya telah dikompromi dalam kes penyelesaian luar mahkamah dengan Bank Islam.

Kes yang membabitkan hutang Khalid sebanyak AS$18 juta (RM66.67 juta) dengan Bank Islam Malaysia untuk membeli saham syarikat ketika beliau menerajui Kumpulan Guthrie Berhad.

Berikut adalah kenyataan media oleh pihak peguam yang mewakilinya.



Selanjutnya sila baca di sini.

Warna-warni Politik
Torashah

Khamis, 6 November 2014

AZMIN BEKU PERUNTUKAN KAWASAN PARLIMEN DAN DUN KHALID?


Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali didakwa membekukan saluran peruntukan kawasan Parlimen Bandar Tun Razak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang yang disandang bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kata Faekah Husin.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) itu mendakwa, Bendahari Selangor mengeluarkan arahan pada 25 September lalu supaya membekukan akaun bank Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di dua kawasan terbabit.

“Saya percaya ia dibuat atas arahan Azmin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyelaras DUN Pelabuhan Klang itu berkata, ternyata segala jasa Khalid selama lebih 6 tahun menerajui Selangor dilupakan begitu sahaja kerana politik dendam yang disemai oleh Azmin.

“Azmin memulakan karier dengan langkah sumbang dan akan menghancurkan sifat hormat rakyat dan pegawai kerajaan kepada pemimpin negeri.

“Budaya ini amat berbeza di bawah pentadbiran Khalid yang menyemai budaya bekerja secara profesional tanpa dipengaruhi agenda politik dan peribadi,” katanya.


Faekah mendesak Azmin memberi penjelasan munasabah arahan ini bukan kerana politik balas dendam atau mahu menghukum Khalid.

“Saya percaya barisan pimpinan negeri yang lain tidak bersetuju dengan tindakan ini kerana ia boleh membangkitkan kebencian yang berterusan terhadap Pakatan Rakyat (PR) yang lama berputik dan semakin merebak semenjak bermulanya ‘Langkah Kajang’,” katanya.

Faekah juga mendakwa tindakan itu seolah-olah jawapan atau reaksi kepada titah Sultan Selangor yang menasihatkan agar kepimpinan negeri yang baru mengenepikan sengketa dan membuka lembaran baru demi rakyat.

“Nampaknya menteri besar baharu mahu menghukum bukan sahaja Khalid tetapi seluruh rakyat di Pelabuhan Klang dan Bandar Tun Razak.

“Tindakan keras sebegini tidak pula dilakukan kepada Umno tetapi kepada rakan sekutu yang sama berjuang untuk rakyat dan amat menyedihkan tindakan ini dilakukan terhadap bekas menteri besar yang selama ini bertungkus-lumus memperkasa program kebajikan rakyat di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 4 November 2014

Atlet ke Oslo untuk tengok prosedur?

Jaguh badminton negara, Lee Chong Wei yang akan ke Oslo, Norway sedang menunggu untuk masuk ke balai berlepasdi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, semalam.

Walaupun dibenar menyaksikan sendiri proses ujian doping sampel B dilakukan oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA) di Oslo, Norway, pemain berstatus elit yang dikatakan gagal melepasi pemeriksaan doping masih tidak akan mengetahui keputusan tersebut esok.

Ketua Unit Agensi Anti-Doping Malaysia, Nishel Kumar berkata kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz dan atlet badminton negara tersebut sekadar untuk melihat sampel B dilakukan dengan betul dan bukannya untuk pulang dengan jawapan daripada keputusan berkenaan.

“Tujuan utama atlet terlibat perlu ada semasa proses dilakukan adalah untuk melihat tiada sebarang keraguan pada botol sampel B.

“Malah, jawapan berhubung keputusan ujian sampel B juga tidak akan diketahui pada hari yang sama, sebaliknya pihak makmal hanya akan memaklumkan kepada BWF (Persekutuan Badminton Dunia) manakala atlet hanya akan dimaklumkan kemudian oleh badan induk itu nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Keputusan sampel B pemain badminton tersebut dijangka akan diketahui pada lusa pukul 6 petang waktu tempatan Oslo bersamaan 1 pagi waktu Malaysia (Jumaat).

Malah, BWF yang beribu pejabat di Malaysia hanya akan mengetahui keputusan berhubung sampel B pada Jumaat ini iaitu ketika atlet terlibat dan Dr. Ramlan dalam perjalanan pulang dari Oslo.

Sementara itu, teka-teki atlet badminton terlibat itu hampir terjawab apabila tinjauan di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam mendapati pemain badminton No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei hadir untuk mendaftar bagi penerbangan MH002 ke London bagi transit ke Norway.

Malah setengah jam selepas Chong Wei mendaftar turut kelihatan Dr. Ramlan mendaftar di kaunter yang sama begitu juga Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh.

“Saya ikut bagi memastikan proses sampel B dibuka dan dilakukan dengan betul,” kata Kenny yang ditemui di KLIA.

Mengikut peraturan baharu BWF sekiranya sampel tersebut positif, satu panel khas akan menentukan sama ada atlet tersebut bersalah atau tidak dan hukuman yang akan dikenakan juga bakal diputuskan kemudian.

Atlet terlibat juga dibenarkan BWF untuk membuat rayuan berhubung keputusan yang diperoleh sebelum hukuman dijatuhkan.

Sebelum ini, sukan negara digemparkan dengan berita seorang atlet elit gagal ujian doping dan rentetan daripada isu itu, BAM akhirnya membuat pengakuan pemain elit mereka disahkan positif dadah melalui ujian air ken­cing yang dilakukan secara rambang semasa Kejohanan Dunia di Copenhagen, Ogos lalu.

Malah sumber memberitahu, pemain itu adalah lelaki, selain turut meraih pingat pada Sukan Asia di Incheon.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 2 November 2014

UMNO Selangor perlu berubah?


Badan Perhubungan UMNO Selangor perlu meneliti tiga semakan realiti politik semasa dengan jiwa yang besar dan minda terbuka, sebelum menyusun langkah serta strategi tepat untuk menawan kembali negeri terkaya itu pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pertamanya, UMNO Selangor perlu sedar bahawa parti itu kini cuma tinggal 12 kerusi daripada keseluruhan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), walaupun asalnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi 54 kerusi pada pilihan raya umum 2004.

Keduanya jelas beliau, badan perhubungan negeri perlu ingat bahawa Selangor sebuah negeri yang amat strategik, bukan sahaja kepada UMNO dan BN tetapi kerajaan Pusat, kerana di situlah terletak segala-gala yang berkait dengan nilai ekonomi sama ada pelaburan mahu pun peluang perniagaan.

Menurut Perdana Menteri, realiti politik ketiga yang perlu difahami oleh UMNO Selangor ialah badan perhubungan negeri itu berdepan dengan cabaran demografi politik, khususnya dalam kalangan pengundi di kawasan semi bandar dan bandar, yang mana isu politik pembangunan bukan lagi menjadi tarikan.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor agar mengubah strategi, hala tuju, pendekatan serta corak pemikiran mereka untuk mendapatkan keberhasilan lebih baik kerana terbukti strategi sebelum ini bukan sahaja gagal tetapi lebih buruk.

“Kalau kita kumpulkan sebahagian besar daripada 56 kerusi adalah di kawasan semi bandar dan bandar. Politik pembangunan tidak mungkin terlalu ampuh keberkesanannya berbanding kawasan luar bandar. Tak (strategi itu) mungkin memberi kesan kepada peningkatan sokong-an kepada UMNO dan BN.


“Saya lontarkan perkara ini untuk kita sama-sama fikir, apakah kita memerlukan pemikiran luar biasa? Apakah kita perlu strategi luar kelaziman? Apakah kita perlu pemikiran luar kotak untuk capai kejayaan diidamkan,” katanya semasa merasmikan Konvensyen UMNO Selangor di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan seluruh barisan kepimpinan UMNO negeri.

Mengulas lanjut Najib berkata, ketiga-tiga semakan realiti politik itu penting kerana jika UMNO Se-langor masih melakukan pendekatan serupa tanpa pembaharuan dan transformasi serta tidak berani untuk berhijrah ke arah lebih baik, beliau khuatir hasrat merampas Selangor tak tercapai.

Ujarnya, jika badan perhubungan negeri masih lagi mengamalkan sikap lama, tidak mungkin ha-sil diharapkan menjadi lebih baik, walaupun rakyat Selangor ketika ini sudah bosan dan muak dengan perkembangan politik yang dicetuskan pakatan pembangkang khususnya oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Ramai rakyat Selangor bosan tetapi kalau mereka tak yakin lagi kepada pembangkang, boleh atau tidak mereka memberi sokongan kepada kita? Ini persoalannya. Benar kita nampak rakyat bosan dan tak suka, tapi inilah masa dan ketikanya bagi kita memindahkan sokongan kepada UMNO dan BN,” katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 25 September 2014

Istiadat angkat sumpah Azmin di Istana Alam Shah 'suram'?


Berbeza seperti sebelum ini, istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar yang baharu, Mohamed Azmin Ali di Istana Alam Shah di sini hari ini kelihatan agak 'suram'.

Tidak ramai tetamu dijemput termasuk wartawan yang dihadkan untuk media arus perdana sahaja menyebabkan kira-kira separuh daripada jumlah kerusi yang disediakan dalam balairung seri dipenuhi.

Kelibat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang sebelum ini dicalonkan sebagai Menteri Besar oleh suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak kelihatan.

Antara yang hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Hannah Yeoh dan empat Exco kerajaan negeri daripada Pas iaitu Iskandar Abdul Samad, Dr. Halimah Ali, Dr. Ahmad Yunus Hairi serta Sallehen Mukhyi

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pihak istana tidak menjemput ramai tetamu bagi istiadat kali ini.


"Kita tidak jemput Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seperti lazimnya.

"Kita jemput tetamu tertentu seperti Exco kerajaan negeri, Speaker DUN dan pegawai-pegawai kerajaan," katanya ketika ditemui dalam majlis istiadat angkat sumpah Menteri Besar yang baharu.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR secara rasminya hari ini menjadi Menteri Besar ke-15 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Azmin tiba di balairung seri, Istana Alam Shah kira-kira pukul 10.20 pagi, lengkap dengan persalinan baju Melayu tradisional, bersamping, memakai tengkolok dan keris bersama isteri, Shamsidar Taharin dan enam anaknya.

Dalam istiadat itu yang bermula pukul 10.30 pagi, Azmin mengangkat sumpah sambil memegang Lembing Sembuana diikuti lafaz 10 Aku Janji jawatan Menteri Besar Selangor yang perlu dilaksanakannya sepanjang menjawat kedudukan tersebut.

ADUN Bukit Antarabangsa itu kemudiannya menandatangani Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor sambil disaksikan oleh Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Dalam majlis sama, Azmin turut dilantik sebagai Ahli Dewan Diraja Negeri Selangor seperti yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.

Majlis berkenaan berakhir kira-kira pukul 11 pagi.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 6 September 2014

Penarik kereta dihukum gantung?

DARI KIRI: Cheong Mei Kuen, Koong Swee Kwan

"Keadilan telah ditegakkan. Akhirnya saya dapat melihat cahaya di hujung terowong dan Hussain akan melihat keadilan itu terlaksana melalui mata saya."

Demikian kenyataan isteri kepada pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysia (AmBank), Hussain Ahmad Najadi selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas penarik kereta, Koong Swee Kwan.

Cheong Mei Kuen, 49, yang turut terkena tembakan dan hampir menemui ajal memberikan kenyataan bertulis tersebut selepas ditanya oleh pihak media melalui peguam­nya, Leng Wie Mun.

Wanita itu turut mengucapkan terima kasih kepada mahkamah, pihak pendakwaan, pihak polis yang menyiasat kes tersebut, peguam-peguam pemerhati keluarganya dan orang awam yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.

Terdahulu, Hakim Datuk Mohd. Azman Husin menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Swee Kwan, 45, yang didapati bersalah membunuh Hussain setelah beliau memutuskan pembelaan tertuduh merupakan penafian semata-mata dan gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap kes pendakwaan.


Hakim tersebut turut menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas tertuduh bagi kesalahan cuba membunuh Mei Kuen di tempat yang sama.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di tempat letak kereta di Tokong Cina Kuan Yin, No. 4, Lorong Ceylon, Dang Wangi di sini di antara pukul 1.30 dan 2 petang, 29 Julai 2013.

Pertuduhan bagi kesalahan membunuh Hussain, 75, dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala dakwaan bagi cubaan membunuh Mei Kuen dibuat mengikut Seksyen 307(1) akta sama.

Seramai 17 saksi dipanggil memberi keterangan di peringkat pendakwaan sementara Swee Kwan memberikan keterangan dari kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah merupakan saksi tunggal di peringkat pembelaan.

Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, suasana di mahkamah menjadi agak sayu apabila Mei Kuen mula menangis ketika membacakan kenyataan impak kesalahan terhadap mangsa (VIS) yang ditulisnya dalam bahasa Inggeris.

Sambil menggambarkan Allahyarham suaminya merupakan seorang lelaki yang lembut, baik hati dan merendah diri serta sedang merancang untuk menubuhkan Yayasan Hussain Najadi bagi membantu pendidikan anak-anak yatim dan kurang berkemampuan, Mei Kuen menyatakan, Hussain sedang menjalankan aktiviti seharian ketika nyawanya diragut dengan kejam oleh tertuduh.

"Suami saya telah dibunuh, di negara yang sangat beliau cintai meninggalkan isteri yang mencintainya yang turut ditembak dan hampir mati. Motif dan alasan ia berlaku, masih tidak diketahui. Akan sentiasa terpahat di ingatan dan hati saya saat-saat terakhir kejadian itu. Saya diselubungi kedukaan, kesengsaraan dan kesakitan yang tiada siapa boleh bayangkan," katanya sambil teresak-esak.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Yusaini Amer Abd. Karim manakala tertuduh diwakili peguam-peguam, Naizatul Zamrina Kalizaman serta Nor Hashimah Abd. Rahman.

Ketika mengemukakan rayuan bagi kesalahan cubaan membunuh, Naizatul memohon mahkamah mengambil kira bahawa anak guam­nya merupakan pesalah pertama dan berpendidikan rendah.

Beliau memohon agar hukuman penjara minimum dikenakan ke atas Swee Kwan.

Wan Shaharuddin pula menyatakan, kes ini boleh menjadi pembunuhan berganda sekiranya Mei Kuen tidak mendapat rawatan doktor secepat mungkin.

Oleh itu, beliau memohon hukuman penjara maksimum 20 tahun dikenakan ke atas tertuduh.

Selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak, Hakim Mohd. Azman menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 23 September 2013.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 19 Ogos 2014

Azmin tolak jawatan MB, akur keputusan PKR?


Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali akur dengan keputusan parti itu untuk hanya mencalonkan Presidennya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau yang menyambut baik cadangan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat mencalonkannya untuk jawatan itu berkata, keputusan yang dibuat oleh parti perlu diutamakan.

"Pertama, saya cukup menghargai pimpinan Pas yang telah calonkan saya untuk jawatan Menteri Besar Selangor dan Wan Azizah mewakili PKR, saya juga menyambut baik penegasan Pas untuk terus kekal bersama pakatan.

"Namun sebagai Timbalan Presiden, saya patuh dengan keputusan parti melalui perbincangan dengan rakan-rakan pimpinan PKR untuk mencalonkan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu dan telah dipersetujui melalui akuan bersumpah yang telah pun dikemukakan kepada istana," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang, di sini hari ini.

Menurut Azmin, keputusan tersebut bukan bermaksud beliau telah mengorbankan peluang untuk menjadi Menteri Besar Selangor sebaliknya pendiriannya bergantung penuh kepada kehendak parti.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 16 Ogos 2014

Lebih baik masuk PKR atau DAP - Khalil?



Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah secara terbuka menyindir dua wakil rakyat parti itu di Selangor yang membelakangkan ketetapan Majlis Syura Ulama dalam kemelut jawatan Menteri Besar Selangor supaya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau DAP.

Katanya, dengan cara itu, barulah berbaloi untuk mereka berdua menentang ketetapan parti sendiri.

"Saya rasa lebih baik dua ADUN Pas yang hadir beri sokongan kepada Azizah sebagai Menteri Besar hantar sekali borang untuk masuk PKR atau DAP... baru berbaloi untuk tidak hormat kepada parti sendiri.

"Kalau 13 orang lagi boleh bersabar dan ikut arahan parti, kenapa kamu berdua sudah membelakangi parti sendiri. " soalnya dalam status Facebook peribadinya.

Dua ADUN Pas Selangor, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnol Baharuddin (Morib) semalam menyatakan sokongan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar.


Menurut Saari, beliau bersedia untuk menjadi wakil rakyat Bebas jika Pas Pusat enggan menyokong Wan Azizah.

Sementara itu, dalam status Facebook berasingan, Khalil Idham yang juga bekas Ketua Penerangan Pas Perak turut memberi bayangan supaya wakil rakyat berkenaan dibuang daripada parti.

"Buang dua ranting yang bermasalah tidak akan mematikan pokok Pas yang hidup subur sekian lama...noktah," katanya.

Salah seorang rakan Facebook Khalil Idham, Lah Pt memberi ulasan dengan mempertikaikan ‘kiblat’ politik Saari.

"Ana (saya) hairan macam mana Pas boleh terima YB Hulu Kelang sebagai ahli kerana dari awal lagi dah nampak siapa idola beliau," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 14 Ogos 2014

Kemelut MB Selangor : Tidak perlu import Adun Umno jadi Exco?


Belum ada keperluan untuk mengisi kekosongan lima kerusi Exco di Selangor dengan Adun Umno berikutan sebelum ini BN memberi sokongan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun ujar Abdul Khalid, beliau menyambut baik BN itu yang disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin yang akan memberi sokongan terhadap kepimpinannya jika usul tidak percaya diadakan.

"Buat masa ini belum buat apa-apa keputusan dibuat, perkara ini tidak berbangkit.

"Pada masa ini pentadbiran kerajaan negeri Selangor dilakukan oleh saya bersama dengan empat Exco dari Pas dan bekerjasama dengan penjawat untuk menentukan pentadbiran negeri berjalan dengan mantap dan cekap," katanya kepada pemberita di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno itu pada Isnin lalu bahawa sokongan itu tanpa syarat bagi menjayakan perjanjian air yang sudah ditandatangani.

Abdul Khalid menambah, jika wujud keperluan, beliau sedia berbincang dengan Exco sedia ada dan menghadap Sultan Selangor untuk kelulusan.

"Sebenarnya apa-apa keputusan untuk menambah penyertaan ahli Exco perlu mendapat perhatian dan juga kelulusan DYMM Sultan Selangor," katanya.

Ditanya tentang status kerajaan negeri Selangor sekarang akan bertukar kepada kerajaan perpaduan, beliau bagaimanapun menafikannya dan tidak berminat untuk membincangkannya.

"Saya tidak akan pergi ke peringkat itu, tetapi kita lebih berminat untuk menjalankan kerajaan negeri dengan lebih harmoni dan cara praktikal.

"Dengan itu Selangor masih mengekalkan sebagai negeri yang terkaya dan produktif di Malaysia," katanya lagi.

Warna-warni politik
Torashah

Pas letak jawatan jika Khalid lantik ADUN UMNO jadi Exco?


Pas Selangor akan keluar daripada pentabiran kerajaan negeri Selangor jika Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO untuk menyertai Exco kerajaan negeri.

Pesuruhjaya Pas negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, buat masa ini Pas masih sebahagian daripada parti komponen dalam pakatan pembangkang dan akan menjaga kepentingannya dalam kerajaan negeri itu.

"Kami masih membawa semangat pakatan rakyat dan berpegang kepada prinsip-prinsipnya.

"Pas juga tidak akan menuntut Adun PAS dilantik sebagai exco (dalam pentabiran kerajaan negeri Selangor sekarang)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Khalid yang dipecat sebagai ahli PKR dilaporkan berkata pihaknya masih boleh meneruskan pentadbiran kerajaan negeri bersama empat Exco Pas.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 12 Ogos 2014

Kerajaan Campuran Negeri Selangor!


Mudah-mudahan esok akan menjadi kenyataan buat rakyat negeri Selangor dalam pembentukan kerajaan perpaduan Selangor.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 10 Ogos 2014

Balaci Anwar kena maki penyokong Khalid disuatu forum semalam?


Keadaan tegang bermula apabila bekas Penolong Ketua Penerangan 1 Angkatan Muda Keadilan (AMK) Rozan Azen Mat Rasip mengajukan soalan kepada ahli panel sambil menyenaraikan pelbagai dakwaan salah laku Abdul Khalid, termasuk kononnya beliau tidak menjaga kebajikan rakyat.

Soalan tersebut menimbulkan kemarahan kepada lebih separuh daripada kira-kira 100 yang hadir kerana tidak bersetuju dengan pemecatan dan tuduhan yang dilemparkan kepada pemimpin itu.

Susulan itu, beberapa individu segera memaki hamun dan melemparkan kata-kata kesat terhadap Rozan Azen sambil mendakwa lelaki tersebut merupakan orang suruhan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila beberapa penyokong kuat Anwar turut berdiri dan berlaku cabar-mencabar antara mereka sehingga hampir menimbulkan pergaduhan.

Pertikaman lidah itu berlaku selama beberapa minit menyebabkan perjalanan forum bertajuk ‘Krisis Selangor: Khalid Ibrahim Belot Pakatan?’itu terganggu.

Ahli panel pada forum tersebut adalah Presiden Pakatan Anak-Anak Selangor Menyokong MB Selangor (Pasmeb), Mazli Saring; Pegawai Tugas-Tugas Khas, Ekonomi dan Kewangan MB Selangor, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin; Eksekutif Komunikasi Kepada MB Selangor, Shazni Munir Mohd. Ithnin dan kolumnis, Nathaniel Tan.

Kesemua ahli panel tersebut turut menyelar Rozan Azen kerana soalannya yang dikatakan sengaja merendahkan martabat Abdul Khalid seolah-olah beliau tidak menjaga rakyat Selangor selama ini.

Kumpulan penyokong Abdul Khalid kemudiannya tidak lagi menghiraukan forum lalu mengeluarkan sepanduk untuk menyatakan sokongan kepada pemimpin berkenaan menyebabkan pengacara majlis segera menghentikan forum berkenaan.

Mereka kemudiannya melakukan demonstrasi di hadapan Dewan Himpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur tempat penganjuran forum itu sebagai tanda protes kepada pemecatan berkenaan.

Warna-warni politik
Torashah

Lim Guan Eng Kemuka Notis Saman Terhadap Nasrudin Tantawi?


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meneruskan tindakan undang-undang terhadap anggota Parlimen (MP) Temerloh Nasrudin Hassan kerana gagal memohon maaf berhubung kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah.

Lim berkata notis tindakan dihantar semalam kepada anggota Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu berhubung kenyataannya di laman sosial bertajuk ‘Apa beza Kidex dan Penang tunnel?”, pada 6 Ogos lepas.

Beliau berkata Nasrudin bukan sahaja tidak memohon maaf atas kenyataan tersebut tetapi membuat kenyataan berunsur fitnah menyatakan projek terowong dasar laut dilakukan secara rundingan terus.

“Nasrudin tidak memohon maaf malah membuat kenyataan lain dan ia akan dirujuk kepada peguam saya. Notis yang dihantar semalam adalah berdasarkan kenyataan pertamanya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 6 Ogos lepas, Nasrudin mempersoal mengapa Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikecam berhubung projek Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex), tetapi tindakan sama tidak ditujukan kepada Guan Eng dalam pembinaan terowong dasar laut yang didakwanya diberikan secara rundingan terus.

Menurutnya, projek terowong berjumlah RM4.63 bilion itu dibiayai sepenuhnya kerajaan DAP Pulau Pinang dan dianugerahkan kepada pemaju, Construction Zenith BUCG Sdn Bhd secara rundingan terus.

Sementara itu, exco Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng menafikan dakwaan Nasrudin bahawa beliau membuat kenyataan pada 15 Mac tahun lepas bahawa projek itu dibuat secara rundingan terus.

“Ini adalah fitnah jahat oleh Nasrudin…saya sedia memberikan bukti dan keterangan di mahkamah bahawa projek itu dijalankan secara tender terbuka mengikut piawaian dan takrifan antarabangsa,” katanya – BERNAMA

Warna-warni politik
Torashah

Jumaat, 8 Ogos 2014

Majlis Syura Ulama Pas pertahan Khalid?


Majlis Syura Ulama Pas memutuskan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak boleh digugurkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkannya disingkirkan.

Pendirian itu dibuat selepas majlis berkenaan bermesyuarat semalam berasaskan kepada hukum syarak dengan meletakkan kepentingan rakyat yang perlu didahulukan melebihi kepentingan individu dan parti.

Jelas majlis itu, jawatan Menteri Besar Selangor adalah hak bersama yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti komponen pakatan pembangkang untuk meneruskan Tan Sri Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-13.

Warna-warni politik
Torashah


Khamis, 7 Ogos 2014

Nik Abdul Aziz bidas pemimpin PKR?


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membuat pelbagai tuduhan salah laku terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, tindakan pemimpin PKR itu hanya membuka keaiban seseorang dan memberikan kesan yang buruk terhadap parti tersebut.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan sekali lagi pendiriannya untuk menyokong Abdul Khalid supaya kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

"Sebarang tuduhan sesama sendiri membawa kesan tidak baik. Tidak elok buka keaiban seseorang itu.

"Saya pegang pada pendirian berkaitan isu itu ( pertukaran Menteri Besar) dan rujuk pada kenyataan saya pertama dahulu ( menyokong Khalid) dikekalkan. Saya tidak mahu ulas lanjut, ini hal dalaman PKR," katanya ketika ditemui di kediaman beliau di sini, hari ini.

Kelmarin Setiausaha PKR, Datuk Saifuddin Nasution mendakwa Abdul Khalid perlu ditukar kerana masalah keraguan integriti susulan isu penyelesaian hutangnya dengan sebuah bank.

Bekas Ahli Parlimen Machang itu juga mendakwa beberapa urusan perniagaan melibatkan ke­rajaan negeri dan sebu­ah syarikat pemaju bernilai ratusan juta ringgit yang berlaku selepas penyelesaian hutang itu sehingga kini tidak dijelaskan secara memuaskan oleh Abdul Khalid.

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Abdul Khalid kekal sebagai Menteri Besar berikutan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

Pendirian Abdul Hadi mendapat sokongan Nik Abdul Aziz yang turut mahu Abdul Khalid terus kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Warna-warni politik
Torashah

Rabu, 6 Ogos 2014

Wan Azizah akui akan dibayangi suami apabila jadi MB?


Kepemimpinan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengakui akan ditunjangi telunjuk Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim sekiranya mentadbir negeri Selangor kerana sudah tentu beliau akan akan mendengar kata suaminya.

Beliau yang merupakan calon tunggal PKR yang akan menjawat jawatan nombor satu kerajaan negeri mengakui tidak salah untuk mendengar nasihat Anwar kerana beliau mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran dan ekonomi.

"Mengapa saya tidak boleh mengikut nasihatnya kerana beliau mendapat pengiktirafan selaku penasihat ekonomi di Qatar," katanya ketika menghadiri majlis makan malam di sini, malam tadi.

Presiden PKR yang tidak faham dengan maksud Ketuanan Melayu

Dalam pada itu, Wan Azizah turut mengakui Langkah Kajang adalah untuk mengangkat Anwar untuk menjadi Menteri Besar tetapi ia ia disekat kerana Anwar berdepan tindakan mahkamah yang didakwanya menyukarkan peralihan kuasa itu.

Jelasnya, beliau sedia memikul jawatan itu untuk meneruskan legasi suaminya untuk mentadbir Selangor.

Kepincangan dalam pakatan pembangkang menjadi semakin meruncing apabila Pas menyatakan sokongan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk terus mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor berdasarkan reputasi baiknya mentadbir Selangor.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 2 Ogos 2014

DAP beri peringatan kepada Pas!


DAP mengingatkan pimpinan Pas agar tidak sekali-kali mempunyai pemikiran untuk bekerjasama dengan UMNO dan sebarang hasrat itu perlu dikutuk dengan sekeras-kerasnya.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, analisis senario oleh Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki mengenai kerjasama Pas-UMNO adalah amat tidak bertanggungjawab dan mempunyai unsur-unsur pembelotan.

Katanya, Pas mempunyai hak untuk kekal atau keluar daripada pakatan pembangkang namun cadangan untuk bergabung dengan UMNO bagi membentuk kerajaan negeri Selangor adalah pengkhianatan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Mana-mana pemimpin yang berfikiran sebegitu dan melontarkan cadangan tersebut perlu dikutuk dengan sekeras-kerasnya, saya ingin mengingatkan Dr. Zuhdi bahawa kerusi-kerusi yang dimenangi oleh Pas di Selangor adalah di bawah payung pakatan kerana ketiga-tiga parti Pas, PKR dan DAP bertanding dalam PRU-13 (Pilihan Raya Umum Ke-13) dengan manifesto bersama pakatan," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya semalam.

Anthony mengulas mengenai mesej daripada Mohd. Zuhdi dalam kumpulan WhatsApp Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat mengenai kajian senario Pas keluar daripada pakatan dan bekerjasama dengan UMNO di Selangor.

Mesej kumpulan WhatsApp itu merupakan perbincangan sulit dalam kalangan AJK Pas Pusat namun telah dibocorkan oleh individu tertentu dan tersebar secara meluas sejak Isnin lalu.

Menurut Anthony, imaginasi daripada Mohd. Zuhdi bagi 'menjentik DAP' juga telah menjejaskan imej keterbukaan dan semangat toleransi Pas.

"DAP menyeru pimpinan Pas pusat untuk mengambil satu pendirian yang tegas untuk menjauhkan diri daripada cadangan Mohd. Zuhdi dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengembalikan keyakinan pengundi-pengundi dan penyokong pakatan di seluruh negara terhadap Pas," katanya.

Warna-warni politik
Belantan

Rabu, 23 Julai 2014

Umum Wan Azizah calon MB : Anwar belakangkan Sultan Selangor?


Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim menggunakan kuasa diktator melantik isteri beliau, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail sebagai bakal Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, tindakan Anwar itu juga seolah-olah sengaja membelakangkan istana Sultan Selangor.

Beliau turut mendakwa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu seperti sengaja menidakkan kuasa yang ada pada Sultan Selangor dalam melantik seseorang Menteri Besar.

“Awal-awal lagi dia namakan Wan Azizah sebagai Menteri Besar, sepatutnya sebelum pengumuman dibuat ianya perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Sultan,” jelasnya.

Beliau menyifatkan langkah Anwar itu merupakan satu muslihat licik untuk ‘menjerat’ pihak-pihak tertentu yang cuba menghalang perlantikan Wan Azizah sebagai Menteri Besar.

“Sebenarnya Anwar yang mengidamkan kerusi Menteri Besar setelah kempunan bertanding pada PRK DUN Kajang baru-baru ini ekoran keputusan kes liwat,” katanya.


Tingkah-laku politik Anwar kata beliau, hanya akan memecahbelahkan perpaduan rakyat khususnya di Selangor.

“Apa yang berlaku itu memberi kesedaran kepada rakyat untuk menilai sejauhmana keikhlasan pembangkang mentadbir negeri berkenaan,” tegasnya.

Berdasarkan Perkara 53(2)(a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, baginda Sultan boleh melantik seorang ADUN pada pandangan baginda yang mendapat keyakinan majoriti ADUN.

Manakala di bawah Perkara 55(2)(a) pula menyebut baginda boleh menggunakan budi bicara dalam perlantikan seorang Menteri Besar.

Menurut Syed Ali lagi, tindakan Anwar itu seolah-olah menunjukkan gabungan Pakatan Rakyat (PR) telah memberi konsensus kepada beliau untuk menamakan Wan Azizah sebagai bakal Menteri Besar.

Sedangkan gabungan PR katanya, seperti PAS dan DAP setakat ini difahamkan belum lagi memberi persetujuan secara mutlak kepada Anwar memilih calon Menteri Besar termasuk menamakan isterinya, Wan Azizah.


“Jelas Anwar telah berbohong mendapat persetujuan PR kerana PAS Selangor juga difahamkan tidak bersetuju Khalid disingkirkan daripada jawatan Menteri Besar,” tegasnya yang juga Setiausaha badan Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuan.

“Ini bermakna PAS secara terbuka menentang cadangan Anwar memilih Wan Azizah sebagai calon menggantikan Khalid.

Beliau berkata, sikap diktator dan gila kuasa Anwar sudah sampai ke kemuncaknya apabila tidak memperdulikan sekutunya dalam PR. Katanya, Ketua Pembangkang itu sanggup menghalalkan cara semata-mata untuk memuaskan nafsu politik peribadi.

Beliau berkata, cadangan Anwar menamakan Wan Aziziah sebagai calon Menteri Besar hanya disokong kuat oleh beberapa kerat pemimpin PKR seperti Saifuddin Nasution Ismail dan Mohd. Rafizi.

Tambah beliau lagi, kecelaruan dalam pimpinan PR di Selangor menunjukkan pakatan tersebut tidak konsisten untuk berkhidmat kepada rakyat.

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 21 Julai 2014

'Ada orang terlalu tamak mahu jadi MB' - Chegu Bard?


Kemelut perebutan jawatan Menteri Besar Selangor dikatakan berlaku ekoran terdapat individu yang begitu tamak mahukan jawatan itu.

Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau yang digantung keahlian, Badrul Hisham Shahrin berkata, sebarang keputusan untuk membuat perubahan perlu dilakukan secara lebih berhati-hati dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk kepentingan istana tanpa melupakan rakyat.

Beliau berkata, perkara itu perlu diletakkan sebagai keutamaan tertinggi dan bukannya atas pertimbangan politik.

"Keputusan yang mahu dibuat perlu ikut kehendak rakyat, kalau rakyat masih perlukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (sebagai Menteri Besar Selangor) maka kita perlu akur, jika tidak parti akan dihukum.

"Masalah ini sebenarnya berlaku kerana ada orang tamak sangat nak jadi Menteri Besar. Oleh itu saya mengingatkan Azmin Ali yang dikaitkan dengan dakwaan salah urus tadbir Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), jangan melarikan diri, selesaikan masalah itu terlebih dahulu sebelum kamu mimpi nak tadbir negeri," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghantar surat bagi memohon maklum balas daripada pimpinan tertinggi PKR berhubung aduan berkaitan pemilihan parti, di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Abdul Khalid kini dilaporkan menjadi mangsa pergolakan dalaman PKR apabila kepimpinan parti itu mendesak beliau meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Beliau semalam bagaimanapun menegaskan akan terus memegang jawatan itu sehingga penggalnya berakhir pada 2018 dan tidak akan sesekali tunduk kepada desakan daripada mana-mana pemimpin PKR yang mahukannya meletak jawatan dalam kadar segera.

Dalam surat itu, Badrul Hisham yang dikenali sebagai Chegu Bard mendakwa beliau telah mengemukakan berbelas aduan berkaitan pemilihan parti, namun tidak ada satu pun tindakan diambil.

Katanya, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) telah pun menerima keseluruhan 400 aduan, tetapi kesemuanya didiamkan.

"Saya turut mendesak JPP tampil memberi penjelasan adakah wujud dua prosedur berbeza penggantungan ahli biasa dengan mereka yang berjawatan tinggi?

"Saya buat aduan demi menjaga parti, siapa yang nak dipersalahkan jika aduan didiamkan, desakan tidak dipedulikan? Jangan hanya dengan perkembangan ini kita jadi bahan lawak dalam arus politik negara," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 23 Jun 2014

Muhammad Firdaus kini stabil

Faizal Fazri Othman (kanan) melihat gambar lama Muhammad Firdaus yang dibawa oleh Norfitri Radius (dua dari kanan) semasa melawat remaja itu di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

Remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang ditemui Jabatan Imigresen negeri dalam keadaan menyayat hati di dalam sebuah bilik ketika melakukan Operasi Bersepadu 6P bagi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI), kira-kira pukul 2.30 pagi semalam, dilaporkan stabil setelah dirawat di Wad Kanak-Kanak Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.

Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman yang melawat remaja itu bersama pegawai dan anggotanya di wad berkenaan berkata, Muhammad Firdaus telah diberi rawatan, dibersihkan dan rambutnya dipotong.

Malah, katanya, remaja itu juga kelihatan lebih segar setelah diberi makan bubur dan minum oleh petugas-petugas hospital yang turut bersimpati dengan nasibnya.

"Perutnya sudah berisi dan tidak lagi kempis seperti semasa ditemui semalam. Syukurlah dia diberi penjagaan yang baik,'' katanya ketika ditemui di pekarangan HTJ, di sini hari ini.

Menurut beliau, bekas pengasuh Muhammad Firdaus, Norfitri Radius, 42, yang pernah menjaganya sebelum ini turut mengunjungi remaja itu.


Jelasnya, Norfitri turut membawa gambar lama Muhammad Firdaus yang dalam keadaan sihat dan berisi.

Sementara itu, mengimbas kali pertama bertemu mangsa, Faizal Fazri mengakui sukar menggambarkan perasaannya kerana tidak menyangka akan bertemu remaja itu dalam keadaan terlalu daif.

"Saya hanya mampu mengucap kerana terkejut. Keadaannya amat menyedihkan. Kurus-kering, memakai baju koyak dan berlumuran najis," katanya yang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana membantu menyelamatkan mangsa.

Sementara itu, Ibu remaja OKU direman sehingga Rabu ini

Ibu Muhammad Firdaus Dullah, remaja orang kurang upaya (OKU) yang ditemui dalam keadaan menyayat hati di Flat Taman Semarak dekat sini awal pagi semalam, direman sehingga Rabu ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.


Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Abdullah Roning menjelaskan, wanita berusia 40 tahun itu ditahan ketika dipanggil ke balai polis petang semalam untuk memberikan keterangan.

"Siasatan menjurus kepada punca sebenar mengapa kanak-kanak itu diabaikan dan ditinggalkan seorang diri di flat berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Siasatan awal mendapati ibu remaja berkenaan berasal dari Sabah dan telah bercerai dengan bapa mangsa sebelum sekali lagi mendirikan rumah tangga.

Difahamkan, hasil perkahwinan baharu itu, ibu mangsa mempunyai seorang anak lelaki berusia lima tahun.

Abdullah seterusnya berkata, buat masa ini wanita berkenaan ditahan di lokap sehingga kertas siasatan mengenai kes itu selesai.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 14 Jun 2014

Pas tak perlu cemburu dengan kejayaan Syed Mokhtar - Syed Ali?


Pemimpin Pas tidak perlu cemburu dengan kejayaan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary sehingga cuba ‘menyerang’ ahli perniagaan Melayu paling berjaya itu sepanjang masa dan mereka sebaliknya patut berbangga dengan kemampuan tokoh tersebut

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, beliau pelik dengan sikap pemimpin Pas kerana seolah-olah mahu ‘membunuh’ kejayaan usahawan Melayu tetapi membisu seribu bahasa terhadap isu monopoli kaum Cina dalam bidang ekonomi.

"Mengapa Melayu ‘nak bunuh’ Melayu? Kita sepatutnya berbangga kerana ada orang Melayu yang tersenarai sebagai salah seorang yang terkaya di Malaysia dan juga di Asia tetapi pemimpin Pas tidak begitu. Mengapa cemburu sangat dengan Syed Mokhtar?

"Patutnya mereka pertahan usahawan Melayu seperti Syed Mokhtar. Mengapa dalam soal monopoli kekayaan ekonomi oleh orang Cina tiada seorang pun pemimpin Pas yang berani bersuara," katanya menerusi blog umnobahagiancheras.blogspot.com hari ini.


Beliau mengulas tindakan Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar dan ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang melemparkan pelbagai tohmahan dan tuduhan kepada Syed Mokhtar dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.

Dalam pada itu, Syed Ali menyifatkan tindakan Mahfuz dan Khalid sebagai pengkhianatan kepada orang Melayu kerana sebagai tokoh politik, sepatutnya kedua-dua pemimpin kanan Pas itu tampil dengan jiwa besar untuk mempertahan usahawan bumiputera.

"Pemimpin Pas sepatutnya memberikan idea yang baik bagaimana untuk melahirkan lebih ramai orang Melayu seperti Syed Mokhtar dan bukannya mengambil tindakan sengaja mahu ‘membunuh’ tokoh perniagaan Melayu seperti beliau," katanya.

Warna-warni politik
Torashah


Sabtu, 7 Jun 2014

Ibu Dyana wajar dipecat jika berkempen untuk DAP - Veteran UMNO!


Yammy Samat, ibu kepada calon DAP pada pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan Dyana Sofia Mohd Daud, wajar dipecat daripada Umno sekiranya didapati benar berkempen untuk DAP, kata Setiausaha Agung Kelab Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub.

Beliau berkata, UMNO bersikap tegas mengikut peraturan terhadap anggotanya yang berkempen untuk parti pembangkang dan beliau percaya jawatankuasa disiplin parti akan menyiasat dengan teliti..

"... (Buat masa ini) beri ruang kepada beliau (Yammy) untuk menjawab (tuduhan) tetapi jika (Yammy) benar-benar bersalah, pendirian Veteran Umno tegas bahawa beliau wajar dipecat," katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, UMNO menghantar surat tunjuk sebab kepada Yammy kerana didakwa berkempen untuk anaknya dan beliau perlu menjawab dalam tempoh 14 hari.

Warna-warni politik
Torashah

Rabu, 4 Jun 2014

MB Khalid kata ego punca DAP kalah di Teluk Intan?


Sikap ego pemimpin pakatan pembangkang yang dikatakan gagal mendengar kemahuan rakyat dikatakan menjadi punca kekalahan DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan semalam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sekiranya mereka berupaya memenuhi kehendak rakyat selain membuat pe­rancangan tepat, beliau yakin DAP mampu mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan.

"Ini adalah contoh yang baik untuk pakatan pembangkang jadikan pengajaran. Jika kita dengar kemahuan rakyat Teluk Intan dengan berhati-hati dan membuat perancangan, kita tidak akan terlepas pandang apa yang mereka mahu.

"Mungkin kita sebagai ahli Parlimen boleh cakap kepada rakyat, tetapi mungkin rakyat mahu tahu apa yang anda tahu tentang semua perkara," kata­nya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perdana Skim Keselamatan Kejiranan Pangsapuri (Seroja), di sini hari ini.

PRK Parlimen Teluk Intan telah menyaksikan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong menang dengan majoriti 238 undi selepas memperoleh 20,157 undi berban­ding calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud 19,919 undi.

Abdul Khalid dalam pada itu mendakwa, DAP telah melakukan yang terbaik untuk memastikan pengundi Teluk Intan menyokong mereka tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.

"Banyak pengundi luar tidak balik mengundi dan sokongan kuat daripada Kerajaan Pusat juga menyebabkan rakyat memilih Barisan Nasional (BN)," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 1 Jun 2014

Kanak-kanak dibunuh kejam dipercayai akibat dendam?

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan mangsa dibawa oleh seorang lelaki sebelum ditemui mati di tepi Sungai Klang berdekatan Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur, kelmarin.

Hanya kerana dendam, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun enam bulan, Siti Soffea Emelda menjadi mangsa kekejaman seorang lelaki tidak berhati perut yang tergamak menghentak kepala mangsa dengan serpihan seramik serta mengelar leher mangsa hingga putus.

Suspek turut dilihat cuba membaringkan mangsa dipercayai cuba untuk mencekiknya di tempat kejadian yang terletak berdekatan tebing Sungai Klang berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), Jalan Tun Sambanthan di sini, kira-kira pukul 9 malam tadi.

Beberapa saksi yang ternampak perbuatan suspek dari jauh berkejar ke tebing sungai itu sambil menjerit memintanya menghentikan perbuatan itu tetapi suspek tidak peduli dan tangannya terus menghentak dan mengelar leher kanak-kanak malang itu.

Sebaik sahaja saksi-saksi ber-kenaan menghampirinya, suspek terus terjun ke dalam sungai dan menghilang di dalam arus deras. Yang ada hanya mayat mangsa yang bahagian kepalanya telah terpisah daripada badan.

Mayatnya ditemui dalam keada-an tertiarap dengan kepalanya yang putus berada berdekatan kakinya. Mangsa hanya memakai seluar panjang putih dan lampin pakai buang. Terdapat kesan potong di leher dan bahagian kepalanya pecah.

Turut ditemui ialah sandal hitam dipercayai milik suspek, sandal kanak-kanak berwarna hitam hijau, baju kanak-kanak tanpa lengan berwarna putih, tali pengikat rambut dan serpihan seramik yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa.

Menurut sumber, kejadian itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kehidupan ibu mangsa seorang warga tempatan berusia 32 tahun yang dipercayai penagih dadah sejak beberapa tahun lalu serta mempunyai sikap negatif hingga menimbulkan kemarahan suspek.

"Mungkin orang tak puas hati dengan ibu mangsa dan balas dendam pada anaknya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, siasatan polis mendapati suspek telah mengekori pergerakan mangsa di sebuah kompleks beli-belah sebelum melarikan kanak-kanak berkenaan ketika ibunya yang berusia 32 tahun memasuki tandas di premis itu kira-kira pukul 3 petang.

Kong Meng berkata, mangsa ketika itu ditinggalkan bersama rakan ibunya di luar tandas tersebut.

"Beberapa jam selepas itu, saksi kejadian ternampak seorang lelaki dipercayai berketurunan India sedang mendukung seorang kanak-kanak menyusuri Sungai Klang. Orang awam turut melihat lelaki itu merebahkan kanak-kanak berkenaan sebelum menghempaskan sesuatu ke kepala dan melakukan sesuatu di leher kanak-kanak tersebut.

"Orang awam kemudiannya bergegas menyelamatkan kanak-kanak itu sebaliknya lelaki tersebut terus memukul kepala kanak-kanak berkenaan. Sewaktu saksi menghampiri tempat kejadian, suspek melarikan diri dan terjun ke dalam sungai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Kong Meng, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambahnya, usaha mengesan suspek yang dipercayai lemas di Sungai Kelang masih diteruskan oleh polis dengan bantuan pihak Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pertahanan Awam.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 31 Mei 2014

Wajah warga asing yang melarikan kanak-kanak sebelum dikelar dengan kejam?


Seorang kanak-kanak perempuan ditemui mati dalam keadaan kepalanya terpisah dari badan di tebing Sungai Klang berhampiran stesen komuter Kuala Lumpur, Jalan Hishamuddin, di sini, malam tadi.

Kanak-kanak malang berusia antara dua hingga tiga tahun berkenaan ditemui orang awam kira-kira jam 9 malam dipercayai dikelar seorang lelaki warga asing yang sempat melarikan diri.

Mangsa di bawa lari oleh warga asing berkenaan disebuah pusat membeli belah di Pudu Sentral ketika ditinggal bersama rakan ibu berkenaan.

CCTV menunjukkan warga asing mengheret tangan mangsa keluar daripada pusat membeli belah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, mangsa dikatakan dibawa lari oleh suspek berkenaan dari sebuah pusat beli belah di Pudu Sentral ketika ditinggalkan bersama rakan ibunya.

"Polis sedang mengesan suspek yang melarikan diri sebaik menyedari tindakannya mengelar leher mangsa dilihat orang awam dan usaha mengesan lelaki warga asing berusia 30-an itu sedang giat dijalankan. "ibu bapa mangsa sudah dimaklumkan dan mereka sudah membuat pengecaman, namun belum disoal siasat berikutan keadaan ibunya yang hampir pengsan sebaik melihat keadaan anaknya," katanya.

Menurut Zainuddin, pemeriksaan di tempat kejadian menemui serpihan jubin berhampiran mayat namun belum dapat dipastikan sama ada ia digunakan untuk mengelar mangsa.

"Polis tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan senjata tajam untuk mengelar leher mangsa berdasarkan kesan kelar berkenaan," katanya.

Motif sebenar kejadian itu belum dikenalpasti dan siasatan lanjut dijalankan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 20 Mac 2014

PRK Kajang : Akar Umbi PAS Protes Dalam Diam – Hassan Ali?


Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Dr. Hassan Ali berkata akar umbi parti itu sedang memboikot secara diam -diam sebagai simbol protes pilihanraya kecil (PRK) DUN Kajang.

Menurutnya, protes PAS itu sudah diluahkan oleh Pemuda PAS Selangor sejak dari awal lagi, apabila Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu melaksanakan projek ‘Kajang Move.’

“Pemuda PAS Selangor terutamanya tidak berpuas hati dengan sikap Anwar dan PKR yang tidak berunding terlebih dulu dengan pimpinan Pas dan membuat keputusan tersebut tanpa pengetahuan mereka.

“Namun atas arahan pusat, maka mahu tak mahu, Pemuda PAS akan tetap memberi sokongan di dalam kempen ini atas semangat Pakatan Rakyat, tetapi mereka sama sekali tidak akan menyokong siapa juga yang menang, baik Anwar Ibrahim atau Wan Azizah untuk ditabalkan menjadi Menteri Besar Selangor.

“Tetapi hari ini, apabila Anwar tidak bertanding dan digantikan dengan Wan Azizah bertanding, paras sokongan itu dengan sendirinya sudah jatuh, terutamanya di peringkat Pemuda dan Ulama, yang mana sayap inilah yang banyak berkhidmat di peringkat cawangan, di peringkat jentera dan sebagainya. Sebab itu kita dapati jentera PAS di dalam PRK Kajang ini kurang berfungsi,” jelas beliau kepada UMNO Online, hari ini.



Dr. Hassan yang juga Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (JATI) berkata kes saman calon PKR terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang telah menguris hati akar umbi PAS dan memberi kesan kepada sokongan dari penglibatan jentera PAS di dalam gerak kerja kempen PRK DUN Kajang.

“Imej dan reputasi Presiden PAS sudah tercalar akibat kes saman tersebut. Perlu diingat, di dalam PAS ini lain, Presiden itu adalah maruah bagi ahli dan penyokong parti tersebut. Bila PKR dah cemarkan dan mencalarkan reputasi presiden mereka, orang PAS tidak boleh menerima hakikat itu dan ia meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada mereka.

“Biarpun nampaknya seolah-olah masalah tersebut sudah dapat diselesaikan, tetapi luka yang terguris kesan daripada kes saman yang mencederakan Presiden mereka itu, merupakan satu perbuatan yang tidak dapat diterima oleh ahli-ahli dan penyokong PAS hari ini.

“Pada pandangan saya, inilah antara sebab-sebab yang kita dapat lihat hari ini di mana jentera Pemuda PAS dan Ulama di peringkat akar umbi kurang berfungsi pada PRK DUN Kajang daripada yang sepatutnya, tidak seperti yang kita tengok di Sungai Limau dan di Besut sebelum ini,” tegasnya.

Menurut Dr Hassan, keputusan mahkamah rayuan yang menjatuhkan Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan dihukum lima tahun penjara turut memberi kesan kepada akar umbi PAS.

“Bila keputusan daripada mahkamah rayuan menjatuhkan Anwar bersalah, dihukum 5 tahun penjara dan diberikan detail-detail itu, saya rasa orang PAS pun faham undang-undang, orang PAS pun ramai profesional, peguam, doktor, mereka faham kedudukan sekarang.

“Baru mereka tahu. Setelah Nik Aziz diberitahu. Sekarang ni, Ustaz Hadi diberitahu (perkara) yang sebenarnya. Nampaknya, dokongan kepada Anwar dan Pakatan Rakyat semakin luntur di kalangan ulama,”katanya.

Pendapat Dr Hassan hampir sama dengan kenyataan blog pro PAS, santauberapi sebelum ini yang mendedahkan ramai di kalangan akar umbi PAS mengucap syukur, bertakbir dan bersujud syukur kepada Allah Taala kerana hukuman 5 tahun penjara terhadap Anwar itu.

“Walaupun secara rasmi PAS menyatakan kesedihan dan simpati kepada Anwar Ibrahim dan ahli keluarganya berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang telah menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun setelah keputusan Mahkamah Tinggi pada Disember 2012 diterbalikkan bersabit kes liwat, namun ramai orang PAS yang mengucap syukur, bertakbir dan bersujud syukur kepada Allah Taala kerana telah menunjukkan kebenaran yang selama ini terselindung di sebalik cakap pandai Anwar Ibrahim.

“Tahaluf Siyasi dengan Anwar Ibrahim merupakan satu kesilapan besar bagi PAS. Walaupun PAS pada dasarnya hanya bersimpati dengan Anwar Ibrahim yang kehilangan segala jawatan dan kedudukan, namun keterujaan kerana sokongan yang diperolehi, menyebabkan PAS melangkah jauh dan akhirnya menjerat diri sendiri.

“Tidak perlulah disenaraikan apa yang telah dilakukan oleh Anwar Ibrahim dan PKR terhadap PAS dari tahun 2008 sehingga kini tetapi cukuplah kalau kita katakan, inilah padahnya kalau jemaah Islam dan perjuangan Islam diperkotak-katikkan demi kepentingan individu,” dedah blog itu.

Walaupun penyokong Anwar cuba menafikan penglibatan Ketua Umum PKR dalam aktiviti sodomi itu, namun kata blog itu, hingga ke hari ini mereka gagal menjelaskan bagaimana air mani Anwar Ibrahim boleh berada dalam dubur mangsa, Mohd Saiful.

“Dari tahun 1999 sehingga 2014, sudah beratus-ratus kali solat hajat dan munajat kita pohonkan kepada Allah Taala agar ditunjukkan kebenaran. Sudah berkali-kali juga Allah Taala menunjukkan kebenaran, dan setiap kali itulah, apabila tidak kena dengan hati kita, kita menolak Allah Taala dan bergantung kepada manusia.

“Kita tak betul dalam hal ini.

“Sebagai umat Islam, kita kena percaya bahawa setiap kejadian itu Allah Taala yang gerakkan. Hukuman yang dijatuhkan kepada Anwar Ibrahim adalah hukuman Allah Taala berasbabkan manusia,”katanya lagi.

Selanjutnya sila baca di sini.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 15 Mac 2014

Malaysia-Mauritius saling mencontohi?

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mustapa Mohamed (kiri) melawat bilik pameran dan jualan Proton dan Perodua yang terletak bersebelahan di Pailles, Mauritius.

Pada Selasa lalu, hampir semua jalan utama di Port Loius, Mauritius dipasang bendera negara itu dan Jalur Gemilang. Turut dipasang poster wajah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sememangnya kehadiran Perdana Menteri untuk melakukan lawatan rasmi tiga hari yang sepatutnya bermula pada Selasa lalu amat dinanti-nantikan oleh kerajaan Mauritius di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Navinchandra Ramgoolam.

Lawatan itu dianggap penting kerana ia bukan sahaja akan mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara tetapi juga sebagai penghormatan kepada Malaysia yang dijemput untuk menjadi tetamu kehormat pada upacara sambutan ulang tahun ke-46 kemerdekaan Mauritius pada Rabu lalu.

Bagaimanapun Najib terpaksa membuat keputusan menangguhkan lawatan tersebut berikutan kehilangan pesawat MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing Sabtu lalu.

Walaupun persiapan rapi sudah dibuat oleh kerajaan Mauritius namun mereka memahami situasi kerajaan Malaysia yang menugaskan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mewakili Perdana Menteri bagi meneruskan lawatan yang sudah lama dirancang.

Sudah pastilah peristiwa kehilangan pesawat tersebut turut menjadi perhatian kerajaan Mauritius yang melahirkan rasa simpati terhadap apa yang berlaku. Navinchandra yang menerima kunjungan hormat Mustapa berharap operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang giat dijalankan akan berjaya.

Mustapa meneruskan misi Perdana Menteri untuk meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara khususnya dalam bidang politik dan ekonomi. Tambahan pula, Mauritius sememangnya mengagumi kejayaan Malaysia khususnya dalam aspek kerjasama antara kerajaan dan swasta.

Bagi memastikan impian mereka tercapai, Mauritius bersedia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu Kumpulan Industri Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) tidak lama lagi.

Draf MoU itu yang sedang diteliti oleh kerajaan Mauritius akan membuka laluan kepada penubuhan pusat kerjasama antara MIGHT dan Mauritius.

Penubuhan pusat ini amat penting kerana ia bukan sahaja membuka peluang kepada Mauritius untuk mencontohi kejayaan Malaysia dalam pelbagai bidang tetapi juga membuka ruang kepada Malaysia meningkatkan pelaburan dan menambahkan nilai dagangan dengan Mauritius yang ketika ini dianggap rendah.

Berikutan itu, misi lawatan Perdana Menteri yang diwakili oleh Mustapa turut disertai oleh beberapa individu yang menjadi peneraju kepada syarikat-syarikat dan institusi kewangan di Malaysia.

Antaranya Naib Presiden Eksekutif Perbendaharaan dan Pasaran Modal Bank Muamalat Malaysia Berhad, Adi Asri Baharom, Pengarah Urusan Kumpulan Bina Puri Holdings Berhad, Tan Sri Tee Hock Seng dan Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd.Noor.

Kehadiran mereka boleh dijadikan isyarat betapa seriusnya hasrat Malaysia untuk meningkatkan pelaburan dan perdagangan di Mauritius - salah sebuah negara yang paling kaya dan maju di benua Afrika.

Dalam bidang politik pula, jaminan yang diberikan oleh Navinchandra bahawa Mauritius bukan sahaja akan menyokong pencalonan Malaysia sebagai anggota tetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2015-2016 tetapi juga melobi negara-negara lain termasuk Eropah, sudah pastilah menggembirakan Malaysia.

Ketika ini negara anggota ASEAN dan Asia Pasifik sudah menyatakan kesediaan menyokong Malaysia bagi tujuan itu.

Selain itu, dalam bidang politik juga salah satu perkara yang boleh dicontohi oleh ahli-ahli politik Malaysia khususnya pakatan pembangkang ialah bagaimana kerajaan Mauritius mampu mentadbir dengan tenang dan aman untuk memajukan negara itu walaupun hanya mempunyai kelebihan lima kerusi sahaja di Parlimen.

Penulis diberitahu, keadaan itu berlaku kerana parti-parti pembangkang di Mauritius tidak mempolitikkan segala-galanya demi meraih sokongan rakyat. Apa yang mereka lakukan ialah membentangkan dasar dan perancangan masing-masing apabila pilihan raya umum berlangsung dan bukannya mahu berpolitik sepanjang masa seperti mana pakatan pembangkang di negara kita.

Dalam bidang pendidikan pula, Malaysia sememangnya menjadi tumpuan pelajar Mauritius untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) namun mereka menghadapi masalah dari segi permohonan visa.

Isu ini dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin Mauritius termasuk Presidennya, Rajkeswar Purryag yang mengadakan pertemuan dengan Mustapa dan ia sekali gus menunjukkan kerajaan Mauritius mahu ia diselesaikan segera memandangkan mereka melihat Malaysia mempunyai IPT yang terkenal di seluruh dunia .

Dalam berhadapan dengan keluhan Mauritius ini, Mustapa memberi jaminan Malaysia akan berusaha menyelesaikan masalah itu memandangkan Malaysia mahu menjadi hab pendidikan.

“ Saya akan mengetengahkan isu ini kepada Kementerian Pendidikan tetapi dalam masa yang sama memahami bidang tugas Jabatan Imigresen Malaysia yang mahu memastikan hanya warga asing yang ingin menjadi pelajar tulen sahaja mendapat visa melanjutkan pelajaran di negara kita," katanya kepada wartawan Malaysia.

Kesimpulannya, biarpun lawatan Perdana Menteri diwakili Mustapa tetapi misi tetap berjaya kerana bak kata seorang ahli perniagaan Mauritius, sesungguhnya Malaysia mempunyai ‘pasukan jurujual’ yang hebat bermula daripada Perdana Menteri hinggalah kepada pegawai-pegawai khususnya Kementerian Luar dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta MIGHT.

Sememangnya kekaguman negara asing terhadap Malaysia dan mahu menjadikan negara kita sebagai model bukanlah luar biasa tetapi yang luar biasanya apabila ada dalam kalangan rakyat Malaysia di tanah air tidak tahu bersyukur dengan apa yang dinikmati akibat terpengaruh dengan politik merebut kekuasaan.

Warna-warni politik
Torashah

Rabu, 12 Mac 2014

#PRK Kajang : Wan Azizah pernah khianati pengundi?


Walaupun Datin Seri Wan Azizah merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau tetap mempunyai kelemahan daripada aspek menawarkan perkhidmatan sebagai wakil rakyat.

Calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, perkara itu jelas terbukti apabila Wan Azizah mengkhianati pengundi di Parlimen Permatang Pauh apabila meletak jawatan semata-mata untuk memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Penasihat PKR.

Di atas sebab itu katanya, beliau yakin mampu meraih sokongan majoriti pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini.

Katanya, beliau mempunyai kekuatan tersendiri untuk menarik perhatian pengundi dan keyakinan itu adalah bersandarkan penerimaan positif masyarakat setempat setiap kali turun padang bertemu mereka.

"Setiap calon mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. Saya optimis mampu meraih sokongan daripada pengundi di Kajang," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang di Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Menurut Mei Fun, sokongan pengundi di Kajang terhadapnya juga semakin bertambah berbanding sebelum ini terutama melibatkan masyarakat Cina.

Ditanya mengenai strategi sepanjang tempoh berkempen, beliau berkata, jentera parti bertekad untuk menjalankan kempen secara sihat dan akan mengelak daripada menggunakan taktik menyerang peribadi atau memburuk-burukkan calon lawan.

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 3 Februari 2014

Pelan 'mencabul' demokrasi?

Sebahagian pengundi di Pusat Daerah Mengundi Taman Delima Kajang dan Sungai Kantan serta ahli pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) membuat bantahan mengenai peletakan jawatan Lee Chin Cheh dan penamaan Anwar Ibrahim sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, baru-baru ini. - BERNAMA

Selepas sah Anwar Ibrahim dipilih menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang (walaupun pengumuman kekosongan kerusi belum pun dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya); barulah saya faham mengapa isu PKNS tercetus, mengapa Khalid Ibrahim diserang bertubi-tubi oleh partinya sendiri; kenapa kes cerai fasakh Nurul Izzah didedahkan; mengapa kerusi DUN Kajang dikosongkan tanpa sebab dan kenapa UMNO/Barisan Nasional (BN) didendangkan dengan Pelan Damai Nasional!

Teringat saya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008, setelah menang kerusi Kulim Bandar-Baharu, berlaku satu insiden yang sangat menakutkan Anwar. Pada 28 Jun 2008, Saiful Bukhari Azlan, pembantu peribadi Anwar membuat laporan polis dia diliwat pada 26 Jun 2008.

Ketakutan Anwar masa itu memang agak luar biasa! Saya tidak bercadang menceritakan secara terperinci apa yang saya sendiri lihat masa itu. Tetapi cukup sekadar mengimbau bagaimana Anwar pergi menyembunyikan diri di rumah Duta Turki pada 29 Jun 2008. Kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada masa itu ialah Anwar meminta perlindungan kerana ada “cubaan mahu menembaknya!"

Anwar baru sahaja bebas daripada penjara pada 2 September 2004 setelah merengkok enam tahun di Penjara Sungai Buloh kerana disabitkan pada 14 April 1999 dengan kesalahan menyalah guna kuasa sebagai Timbalan Perdana Menteri mengarahkan Cawangan Khas PDRM mendapatkan Akuan Bersumpah palsu daripada Umi Hafilda dan Azizan Abu Bakar (pemandunya) yang mendakwa diliwat oleh Anwar pada Mac 1993 di Tivoli Villa.

Anwar tahu kalau dia diheret ke mahkamah dan dikenakan pertuduhan dan disabitkan kesalahan meliwat Saiful, hukuman penjara melebihi enam tahun menanti beliau. Segala harapannya menjadi Perdana Menteri (PM) akan hancur berkecai; malah pada umur senja, dia mungkin reput dalam penjara.

Satu strategi yang dirangka pada masa itu untuk memastikan Anwar menjadi Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang; dan dicanangkan kemungkinan menjadi PM melalui konspirasi 16 September 2008. Dengan 81 Ahli Parlimen di belakang beliau dan jawatan Ketua Pembangkang, kemungkinan untuk Anwar disabitkan kesalahan meliwat Saiful agak tipis.

Mana mungkin Anwar akan dihukum penjara. Satu dunia akan bising. Amerika akan bising. Turki akan bising. IPU akan bising. UN akan bising. Amnesty International akan bising.

Jadi perancangan untuk melaksanakan agenda itu dimulakan dengan mengenal pasti kerusi mana Anwar hendak bertanding.

Penulis yang masa itu penuh semangat dan ketaatan membabi buta menawarkan kerusi Parlimen Kulim Bandar-Baharu. Namun kerja Allah tidak siapa dapat mengatasinya. Petisyen pilihan raya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Setar terhadap kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu menyebabkan kerusi itu tidak dapat dikosongkan mengikut perancangan.

Lalu Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, isteri tercinta dan Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh terpaksa mengorbankan kerusinya demi ‘kesejahteraan PKR’. Anwar menang PRK Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008. Setelah mengangkat sumpah pada 28 Ogos 2008, Anwar dilantik menjadi Ketua Pembangkang.

Setelah melalui proses perbicaraan yang meleret-leret dengan jumlah penangguhan yang melayakkan kes dimasukkan dalam Malaysia Book of Records, pada 10 Januari 2012, mahkamah membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Saiful.

Sekarang Anwar berdepan dengan rayuan kes Saiful. Mahkamah Rayuan telah menetapkan tarikh perbicaraan dalam masa terdekat ini (iaitu 11, 12 dan 13 Februari); dan sekali lagi Anwar berdepan risiko hukuman penjara yang panjang jika rayuan Pendakwaraya diterima.

Dan kali ini Pendakwaraya diwakili peguam veteran terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, seorang peguam no-nonsense yang diperakui kehebatan guamannya! Risiko dipenjarakan menjadi real; risiko impian menjadi PM ketujuh hancur lebur. Pada usia 67 tahun dan kubur sudah kata mari, Anwar tidak mungkin boleh menerima hukuman penjara yang panjang. Ianya mesti dipintas walau apa taruhannya.

Siapa yang berani memenjara seorang Menteri Besar yang berpengaruh atas tuduhan meliwat? Siapa yang berani berdepan dengan dunia liberal barat gara-gara menghukum MB Selangor dengan tuduhan meliwat? Siapa yang berani nak berdepan dengan kuasa besar Amerika Syarikat? Siapa nak berdepan dengan Amnesty International, Human Rights Commission dan negara Eropah yang mengamalkan seks bebas terbuka termasuk membenarkan homoseksual!

Jadi Anwar mesti jadi MB Selangor untuk memastikan Penjara Sungai Buloh bukan destinasi terakhirnya di muka bumi ini!

PENGHALANG

Tapi Tan Sri Khalid Ibrahim ada di sana sebagai MB. Beliau mendapat sokongan penuh DAP; masyarakat peniaga dan korporat Cina dikatakan menyukai cara pentadbirannya yang mesra perniagaan, cekap dan tidak rasuah.

Pas pula tidak senang dengan pendirian Anwar yang liberal, yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam yang bercanggah dengan ketetapan Majlis Syura parti itu.

Dan Khalid bukan jenis yang akan tunduk kepada semua kehendak Anwar. Walaupun diketepikan sebagai Ketua Perhubungan PKR Selangor, beliau masih lagi berpengaruh. Bila Anwar menghantar Saifudin Nasution sebagai Liason Director antara pejabat MB dengan PKR, Khalid memperlekehkan duta Anwar itu dengan ‘menyumbatnya’ di Tingkat 5 dan mengatakan “kami boleh berhubung dengan e-mel".

Khalid tahu kekuatannya terletak pada perlindungan dan pengaruh Presiden PKR. Selagi Wan Azizah menyokongnya, Anwar dan konco-konconya tidak akan berani melakukan sesuatu terhadap Khalid. Sebab itu Faekah Hussein, panglima kanan Wan Azizah, wanita yang paling dibenci oleh segelintir kumpulan anti-Khalid di dalam PKR dilantik memegang beberapa portfolio berpengaruh dan berkuasa di pejabat MB. Beliau bukan sahaja Setiausaha Politik dan Pegawai Khas MB, bahkan Pengerusi MBI, badan korporat paling bepengaruh di Selangor dengan kekuatan dana yang besar.

Lalu bagaimana nak pastikan Wan Azizah dan Faekah, tidak lagi melindungi Khalid?

CHECK-MATE TERHADAP WAN AZIZAH DAN NURUL IZZAH

Tiba-tiba terbongkar kisah sensasi permohonan cerai fasakh oleh Nurul Izzah dengan suaminya Raja Ahmad Syahrir. Sebenarnya permohonan sudah difailkan lama dan tiada sesiapa pun mengetahuinya kecuali peguam, mahkamah dan beberapa orang dalam PKR.

Tiba-tiba 26 Januari lepas, berita permohonan perceraian itu terbongkar. Ada sumber dalaman PKR mendedahkannya kepada para blogger dan media arus perdana. Malah ada yang menerima transkrip terperinci sebab-sebab permohonan perceraian itu dimohon oleh Nurul Izzah, termasuk gambar seorang jejaka yang agak ‘jambu’ turut disebarkan.

Nurul Izzah ialah Naib Presiden PKR, Ahli Parlimen Lembah Pantai dan rising star di dalam PKR. Malah dia pernah menyatakan hasrat menentang orang kanan papanya untuk jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan lalu. Dia penyokong kuat ibunya Wan Azizah dan Khalid. Sebarang sokongan terbuka daripada Nurul Izzah dan ibunya terhadap kepimpinan Khalid sebagai MB akan menyukarkan sebarang cubaan untuk menjatuhkan Khalid.

Jadi Wan Azizah dan Nurul Izzah harus dikekang!

Pembongkaran kes permohonan cerai fasakh oleh Nurul Izzah dengan segala kisah sensasinya menjadi check-mate terhadap Wan Azizah dan Nurul Izzah. Bagaimana mungkin sekarang Wan Azizah dan Nurul Izzah mahu memberikan sokongan terbuka kepada Khalid - pasti mereka akan dicemuh supaya pergi urus hal rumahtangga sendiri.

Lalu Khalid terkontang-kanting keseorangan, tanpa sokongan Presiden dan Naib Presiden, tanpa sebarang jawatan dalam parti. Hanya tinggal DAP dan Pas menjadi sandaran akhir.

STRATEGI MENGGUSARKAN DAP-PAS

Muncul pula isu tuntutan menggunakan kalimah Allah dalam upacara keagamaan Kristian di gereja-gereja di Selangor. Pelik! Hanya di Selangor, tidak di Pulau Pinang! Dalam keadaan mereka sudah pasti tahu Selangor mempunyai Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Bila isu rampasan bible versi bahasa Melayu yang menyalahterjemahkan kalimah Allah tercetus dan JAIS melaksanakan tugasnya mengikut undang-undang dan merampas bible-bible tersebut, ruang terbuka luas untuk Khalid diserang.

Kesempatan ini diambil untuk menakutkan DAP. Sikap Khalid tiba-tiba membuat kenyataan menyokong titah Tuanku Sultan Selangor melarang penggunaan kalimah Allah dan akan terus akur dengan titah itu sudah pasti menggusarkan parti cauvinis DAP ini. Sikap ini sudah pasti akan mengendurkan sokongan DAP kepada Khalid.

Pada waktu sama, tindakan Khalid mengarahkan JAIS mengembalikan bible yang dirampas menyebabkan ada penentangan daripada Pas. Kenyataan Exco Hal Ehwal Islam daripada Pas, Solehin Mukhyi tidak senada dengan kenyataan Khalid.

Faktor ini sudah pasti akan digunakan sepenuhnya untuk menakutkan elemen-elemen di dalam Pas Selangor. Kononnya kalau dibiarkan Khalid terus menjadi MB, Pas akan hilang lebih banyak kerusi dalam PRU nanti, sebab orang Melayu benci. Ini akan menyebabkan Pas berfikir dua tiga kali untuk terus menyokong Khalid.

Akhirnya dengan strategi yang cukup licik dan holistik, Khalid keseorangan. Kali ini Khalid benar-benar terjebak. Dia sudah tidak boleh lari.

Perletakan jawatan Lee Chin Cheh dan pengosongan kerusi DUN Kajang sekadar pelengkap kepada konspirasi menjatuhkan Khalid dan menobatkan Anwar sebagai MB. Malah kemungkinan Chin Cheh sendiri tidak menyedari permainan politik puak-puak ini.

PELAN `PERANGKAP’ DAMAI NASIONAL

Dan untuk memastikan semuanya berjalan lancar mengikut perancangan, maka ditawarkan kepada UMNO dan BN ‘Pelan Damai Nasional’.

Ini lawak senario abad ini.

Bagaimana mungkin parti yang cacamarba penuh dengan percakaran dalaman ini boleh mengemukakan pelan sebegini.

Jika UMNO/BN menerima pelan ini, saya cukup yakin akan timbul desakan supaya UMNO/BN membuktikan keikhlasan dengan tidak meletakkan calon bagi PRK DUN Kajang. Ini sekali gus memberikan Anwar laluan percuma untuk menjadi ADUN dan seterusnya MB Selangor yang baru menggantikan Khalid.

Persoalannya sekarang adalah adakah riwayat Khalid sudah berakhir?

Belum. Jangan padamkan nama Khalid cepat sangat. Beliau seorang tokoh korporat yang sudah biasa dengan taktik dan manipulasi seperti ini.

Khalid sekarang ada beberapa pilihan:

1. Buat keras kepala dan terus kekal sebagai MB. Kalau Khalid memilih opsyen ini, Anwar tidak ada pilihan selain meminta DUN Selangor memanggil sidang tergempar membuat usul undi tidak percaya kepada Khalid. Untuk itu Anwar memerlukan sokongan penuh ADUN DAP dan Pas selain ADUN PKR sendiri. Dalam keadaan ekstrem, Anwar boleh arahkan semua ADUN PKR tidak menyokong Khalid dan menyebabkan DUN tergantung. Tetapi ini belum tentu berjaya; dan kalau berjaya pun Anwar akan dilihat tamak jawatan sehingga sanggup menganiaya dan mengkhianati MB sendiri.

2. Khalid boleh pengaruhi kesemua ADUN PKR, DAP dan Pas untuk terus menyokong beliau dengan membawa usul undi percaya dalam Dewan. Tetapi ini juga berisiko kerana tidak mungkin ADUN PKR akan menyebelahi beliau;

3. Membuat pakatan dengan ADUN BN, dengan syarat beliau boleh membawa jumlah ADUN yang cukup untuk menyokongnya membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan, dengan beliau terus menjadi MB. Ini juga opsyen berisiko tinggi kerana Khalid akan sentiasa duduk di bawah tekanan ADUN- ADUN ini;

4. Menelan sahaja apa yang berlaku. Terima sahaja takdir masanya dah berlalu, dah tak ada rezeki.

5. Opsyen terakhir dan paling realistik - membubarkan DUN Selangor. Sebagai MB, hanya beliau yang mempunyai hak undang-undang dan politikal untuk menasihatkan Sultan Selangor supaya membubarkan DUN. Beliau boleh menggunakan alasan bahawa hak demokrasi rakyat Selangor untuk menentukan kepimpinan Kerajaan Selangor yang baru harus dihormati.

Sekiranya Khalid digulingkan dengan cara pintu belakang, hak demokrasi rakyat Selangor telah diliwat melalui kaedah politiking luar tabii.

Saya percaya UMNO/BN terbuka dalam menimbangkan kerjasama strategik ini. Apa yang penting ialah hak demokrasi rakyat Selangor tidak dicabul sewenang-wenangnya oleh golongan yang tidak bertanggungjawab!

Hayat politik Khalid sebagai MB Selangor mungkin sudah hampir ke penghujungnya. Tetapi Khalid boleh menukar destinasi akhir jika bijak mengatur strategi.

Nasihat saya kepada Khalid, baca dan perhalusi sejarah bagaimana Allahyarham Tun Gafar Baba jatuh tersungkur akibat mainan politik luar tabii ini.

Pisau di tangan beliau, timun pun di tangan beliau. Buat apa yang patut untuk memastikan hak demokrasi rakyat Selangor terus terpelihara dan maruah diri dipertahankan!

Oleh : Zulkifli Noordin

Warna-warni politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor