Rabu, 31 Ogos 2011

Aidilfitri disambut penuh sayu di Somalia!

Abdul Azeez Abdul Rahim menyampaikan sumbangan kepada orang ramai selepas solat sunat Aidilfitri di Masjid Isbahasyiga, Mogadishu, Somalia, pagi semalam.

MOGADISHU 30 Ogos - Lebih 1,000 penduduk di Mogadishu, Somalia hari ini mengerjakan solat sunat Aidilfitri di Masjid Isbahasyiga, dekat sini selepas sebulan mengerjakan ibadat puasa.

Solat yang turut dihadiri pasukan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia diketuai Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim itu diimamkan oleh imam masjid berkenaan, Sharif Abdul Rahman Ulusow.

Di pekarangan masjid, beratus wanita dan kanak-kanak serta golongan tua berbaris meminta sedekah ekoran kemiskinan lantaran kemarau terburuk yang melanda negara itu sejak tiga tahun lalu.

Keadaan bertambah buruk apabila wujud kumpulan bersenjata seperti al-Shabab yang mengawal sebahagian besar selatan Somalia dan menyekat kemasukan bantuan makanan oleh agensi kemanusiaan.

Sejurus selepas solat, pasukan misi kemanusiaan Malaysia mengagih-agihkan bantuan seperti kopiah, biskut, kurma, tudung dan kain pelikat. Abdul Azeez turut menyerahkan bantuan wang tunai sebanyak AS$2,000 (RM6,000) kepada imam masjid berkenaan.

Bagaimanapun, pasukan berkenaan kemudiannya diserbu lebih 5,000 penduduk yang berasak-asak untuk mendapatkan bantuan. Bagi pasukan yang mengikuti misi itu termasuk media, Aidilfitri disambut secara sederhana di tempat penginapan di Hotel Nasahablood yang terletak kira-kira satu kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Aden Abdulle.

Sementara itu, beberapa generasi muda ketika ditemui di pekarangan masjid melahirkan harapan untuk melihat Somalia kembali menjadi negara yang aman dan makmur. Menurut Abdul Salam Hussein, 19, beliau belum mendapat pekerjaan untuk menyara keluarganya.

''Hidup semakin susah. Saya mahu belajar. Saya mahu menjadi guru. Keadaan di Somalia bagaikan bukan sebuah negara. Nampak tenang tetapi bergolak.

''Kami mahukan keamanan dan kesejahteraan. Sampai bila kami mahu hidup melarat. Rakyat Malaysia sangat beruntung kerana memiliki negara yang aman sehingga mampu membantu kami di sini.

''Saya mahu ke Malaysia. Mungkin di sana dapat belajar dengan sempurna dan mencari pekerjaan yang baik serta mampu menyara hidup keluarga saya di sini," katanya.

Bagi rakannya, Abdul Rahman Eidow Omar, 15, sempena sambutan Aidilfitri ini, Somalia perlu kembali aman kerana penduduk di sini sudah 'letih' hidup melarat.

''Saya mahu menjadi doktor. Saya mahu Somalia aman. Saya masih muda. Sampai bila mahu hidup sebegini?" soalnya yang bersekolah di Al Masal Secondary School. Abdul Rahman berkata, beliau juga mahu ke Malaysia yang merupakan sebuah negara yang aman.

Pasukan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia tiba di Mogadishu semalam selepas menempuh penerbangan selama 24 jam menerusi pesawat Charlie 130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Pasukan tersebut turut membawa 7.5 tan bantuan berupa ubat-ubatan, makanan serta pakaian.

Rakan blogger Papa Gomo dan lain-lain masih lagi berada di Somalia untuk memberi bantuan kemanusian kepada rakyat Somalia yang terjejas teruk akibat kemarau yang berpanjangan. Untuk gambar-gambar terbaru, sila layari blog ini.
http://www.papagomo.com/2011/08/humanitarian-assistance-somalia-sebak.html

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 28 Ogos 2011

Mat Sabu pendokong komunis!

Wira negara, Pegawai Waran I (B) Temenggong Kanang Langkau melabelkan Mohamad Sabu sebagai pendokong komunis yang tidak layak mengambil bahagian dalam politik demokrasi di negara ini apabila mengangkat pengganas komunis sebagai hero tragedi Bukit Kepong.

Beliau yang menitiskan air mata apabila membaca laporan mengenai kenyataan prokomunis Timbalan Presiden Pas itu berkata, Mohamad Sabu juga adalah watak penghasut yang sewajarnya dikenakan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kanang yang tidak dapat mengawal perasaan apabila membaca laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini, menegaskan pemimpin pembangkang itu tidak layak menjadi rakyat Malaysia kerana tergamak membuat kenyataan sedemikian menjelang sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan negara Rabu ini.

“Orang ini langsung tidak berguna, beginikah sikap bekas wakil rakyat? Kirim salam pada dia dan beritahu kalau mahu sokong komunis tidak perlulah lagi bertanding dalam pilihan raya.

“Dia simpati dengan komunis, maknanya dia juga komunis, selayaknya dibuang daerah,” katanya dalam nada terketar-ketar menahan marah kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Kanang, 67, ialah satu-satunya penerima dua pingat keperwiraan yang masih hidup iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB).

Dua pingat berkenaan dianugerahkan berikutan pengorbanannya menentang pengganas komunis di Perak sekitar 1980 sehingga hampir menemui ajal selepas peluru musuh mengenai jantung merosakkan satu buah pinggangnya, terburai usus perut dan terlantar di hospital selama 14 bulan.

Mengulas lanjut, Kanang mengingatkan rakyat yang cintakan keamanan dan tanah air supaya tidak memberikan sokongan kepada Mohamad Sabu serta parti yang diwakili atau mana-mana parti yang bersekutu dengannya.

Katanya, gerak cara politik yang ditunjukkan Mohamad Sabu memalukan dan merupakan satu tragedi kepada rakyat Malaysia apabila sanggup melakukan apa sahaja demi meraih undi walaupun maruah dipijak-pijak.

“Saya terima kewujudan pembangkang dengan hati terbuka tetapi ini bukan cara berpolitik yang betul sampai sanggup jatuhkan moral rakyat, kalau rakyat tidak sedar saya tidak tahulah.

“Pastinya orang ini tidak pernah merasa bagaimanakah perasaan apabila parang diletakkan pada tengkuk mereka,” tegasnya.

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 25 Ogos 2011

Sultan Selangor murka dengan tindakan MB Khalid!

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak pernah menitahkan atau memperkenankan cadangan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi menubuhkan majlis penasihat syura untuk menyelesaikan isu pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos lalu.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda menyatakan rasa amat terkejut dengan kenyataan Menteri Besar seperti yang dilaporkan oleh media hari ini bahawa baginda telah memperkenankan penubuhan majlis penasihat tersebut sedangkan perkara itu adalah tidak benar.

''Apa yang berlaku ialah Menteri Besar Selangor telah menyembah maklum kepada Sultan Selangor mengenai hasrat beliau untuk memanggil dan berjumpa dengan pihak pengurusan DUMC bagi mendapatkan penjelasan berhubung dengan isu pemeriksaan oleh JAIS di gereja tersebut pada hari Rabu, 3 Ogos lalu. Beliau bercadang untuk membawa bersama Sahibus Samahah Mufti Selangor (Datuk Seri Tamyes Abdul Wahid)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Abdul Khalid dalam kenyataannya menyebut, Sultan Selangor telah menitahkan kerajaan negeri supaya menubuhkan majlis penasihat syura dalam usaha menyelesaikan pertikaian berhubung isu pemeriksaan terhadap JAIS terhadap DUMC di Petaling Jaya pada awal bulan ini.

Berdasarkan kenyataan itu, Abdul Khalid menyatakan majlis penasihat syura itu akan dianggotai Mufti Selangor dan Timbalannya, Datuk Abd. Majid Omar yang berperanan mengkaji isu-isu yang membimbangkan masyarakat Islam dan komuniti bukan Islam di Selangor selain mewujudkan garis panduan demi memastikan sikap hormati menghormati dan harmoni pelbagai kaum dan agama terus terpelihara.

Menurut Mohamad Munir, Sultan Selangor tidak menghalang hasrat Menteri Besar memanggil pihak gereja bersama dengan Mufti Selangor, tetapi baginda menasihatkan supaya timbalan mufti dijemput sekali untuk memberi nasihat bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum-hakam syariah dan tidak menyentuh sama sekali isu pemeriksaan gereja oleh JAIS.

''Oleh yang demikian, isu tentang Sultan Selangor menitahkan atau menasihatkan kerajaan Negeri Selangor menubuhkan majlis penasihat syura adalah tidak benar.

''Pendirian Sultan Selangor berkaitan dengan majlis penasihat syura atau pun berbentuk dialog berkaitan agama, tidak pernah diperkenankan kerana negeri Selangor telah mempunyai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), JAIS dan Jabatan Mufti Negeri Selangor," tegasnya.

Berikut adalah kenyataan akhbar berhubung dengan Penubuhan Majlis Penasihat Syura:

Adalah saya dititah oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor merujuk kepada kenyataan yang terdapat dalam media cetak, media elektronik dan media alternatif pada hari ini 23 Ogos 2011 berhubung dengan Penubuhan Majlis Penasihat Syura oleh Kerajaan Negeri Selangor.

D.Y.M.M. Sultan Selangor amat terkejut dan menitahkan kepada saya membuat penjelasan tentang pendirian Baginda mengenai isu kenyataan tersebut, yang menyatakan D.Y.M.M. Sultan Selangor menitahkan atau mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Penasihat Syura adalah sama sekali tidak benar.

Apa yang berlaku ialah Y.A.B. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim, Dato' Menteri Besar Selangor telah menyembah maklum kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor mengenai hasrat beliau untuk memanggil dan berjumpa dengan pihak pengurusan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) bagi mendapatkan penjelasan berhubung dengan isu pemeriksaan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di gereja tersebut pada hari Rabu, 3 Ogos 2011 yang lalu. Beliau bercadang untuk membawa bersama Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Selangor.

D.Y.M.M. Sultan Selangor tidak menghalang hasrat Y.A.B. Dato' Menteri Besar Selangor memanggil pihak gereja bersama-sama dengan Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Selangor, tetapi Baginda menasihatkan supaya Y.A.B. Dato' Menteri Besar Selangor menjemput sekali Sahibus Samahah Timbalan Mufti Selangor untuk memberi nasihat bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum hakam syariah dan tidak menyentuh sama sekali isu pemeriksaan gereja oleh JAIS.

Oleh yang demikian, isu tentang D.Y.M.M. Sultan Selangor menitahkan atau menasihatkan Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan Majlis Penasihat Syura adalah tidak benar. Pendirian D.Y.M.M. Sultan Selangor berkaitan dengan Majlis Penasihat Syura ataupun berbentuk dialog berkaitan agama, tidak pernah diperkenankan kerana Negeri Selangor telah mempunyai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Dato' Haji Mohamad Munir Bani Dato' Lela Bakti
Setiausaha Sulit kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 21 Ogos 2011

‘Kalau tidak nyanyi, tolak markah’!

SEBUAH rumah di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, yang didakwa dijadikan kelas tuisyen bagi pelajaran Bahasa Inggeris, manakala gambar kecil, beberapa murid Melayu menunjukkan bahan bacaan yang diajar di kelas tuisyen itu.

Dua adik-beradik Melayu yang belajar di sebuah tempat tuisyen yang didakwa cuba menyebarkan ajaran Kristian secara halus, memberitahu bahawa mereka tidak tahu apa yang dibuat oleh guru di situ adalah salah.

Ketika menemu bual adik-beradik berkenaan mendapati kedua-dua mereka mengaku telah diajar menyanyi beberapa lagu yang mempunyai unsur agama Kristian sewaktu belajar di tempat tuisyen berkenaan. Ketika ditanya, murid lelaki berusia tujuh tahun tersebut memberitahu, guru tuisyen itu akan membawanya berjalan-jalan kalau mendapat markah yang tinggi.

“Kalau tak nyanyi tolak markah. Ada kawan-kawan yang dibawa ke Genting Highlands dan tengok wayang,” katanya.

Kakaknya yang berusia 12 tahun pula memberitahu, mereka juga diajak menonton video yang disimpan di dalam komputer guru berkenaan setiap kali kelas berlangsung.

“Markah akan ditolak kalau tidak tengok cerita. Kalau markah kosong nanti boleh kena buang dari tuisyen. Kena tengok cerita sampai habis. Cerita itu macam kartun pasal Jesus dengan banyak episod seperti pasal macam mana dilahirkan dan kematiannya.

“Kuiz akan dibuat dan mereka dapat markah tertinggi dapat hadiah. Saya juga pernah dibawa pergi berkelah di Sungai Congkak,” ujarnya.

Menurut murid itu lagi, selain lagu dan video, setiap kali ulang tahun kelahiran, guru berkenaan akan mengadakan parti dan memberi hadiah, begitu juga ketika Krismas. Menurutnya lagi, mereka tidak pernah memberitahu ibu bapa mereka tentang perkara tersebut.

Adik beradik dari keluarga miskin itu dan rakan-rakan mereka yang lain diberi tuisyen bahasa Inggeris secara percuma oleh guru berkenaan dan juga guru-guru lain di tempat tuisyen tersebut.

Apabila ditanya mengenai Jesus, dia menjawab: “Dia adalah Tuhan cikgu (guru tuisyen tersebut). Kawan-kawan yang sama belajar di situ beritahu saya, mereka kasihankan Jesus sebab cikgu kata dia mati kena paku.”

Budak perempuan itu bagaimanapun memberitahu dia “tidak rasa apa-apa” apabila ditanya perasaannya apabila diajar lagu-lagu tersebut atau disuruh menonton video tentang Jesus.

Pertemuan kedua-dua beradik itu turut disertai oleh dua lagi rakan mereka yang juga belajar di tempat tuisyen sama. Keempat-empat mereka turut memperdengarkan lagu yang diajar oleh guru tersebut yang antara lain liriknya berbunyi:

“Hari ini ku rasa bahagia, berkumpul bersama saudara seiman, Tuhan Yesus sudah satukan kita, tanpa memandang di antara kita. Kau sahabatku, kau saudaraku, tiada dapat memisahkan kita.”..UM.

Warna-warni politik
Torashah

Jumaat, 19 Ogos 2011

Ibu terkejut tuisyen sebar Kristian!

















Ibu kepada dua kanak-kanak Melayu yang dikatakan belajar di sebuah pusat tuisyen yang cuba menyebarkan ajaran Kristian secara halus kepada mereka, terkejut dengan pendedahan akhbar ini berhubung perkara tersebut.

Rosiati Mohd. Repha, 40, berkata, dia tidak menyangka pusat tuisyen yang disangka mengajar subjek akademik itu melakukan perbuatan menyalahi hukum agama. Menurutnya, kedua-dua anaknya yang berusia 12 dan tujuh tahun begitu bersemangat dan menunjukkan minat yang tinggi setiap kali pergi ke pusat tuisyen tersebut.

“Kerap juga mereka membawa pulang hadiah-hadiah, mereka cakap cikgu tuisyen bagi sebab menang dalam pertandingan menyanyi,” katanya.

Rosiati berkata, dia juga baru menyedari buku tuisyen anak-anaknya tidak pernah bertambah, sebaliknya hanya menggunakan satu buku latihan sahaja sejak memasuki pusat tuisyen itu.

Buku itu pula, katanya, hanya tertulis ABC dan lukisan serta langsung tiada kaitan dengan sukatan pelajaran tahun enam. Dia yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, ekoran kesempitan wang, anak-anaknya dihantar ke pusat tuisyen tersebut kerana mereka tidak dikenakan sebarang yuran.

“Selepas pusat tuisyen itu dikatakan menyebarkan dakwah Kristian, saya telah melarang mereka ke tuisyen tersebut dan menerangkan perkara sebenar,” jelasnya.

Sementara itu, tinjauan di sebuah rumah yang dikatakan dijadikan sebagai pusat tuisyen tersebut mendapati ia telah beroperasi lebih dari tujuh tahun dan sering dikunjungi pelajar pelbagai kaum termasuk pelajar Melayu.

Pusat tuisyen itu juga tertutup dan dikatakan hanya beroperasi pada setiap Ahad. Tinjauan juga mendapati beberapa poster yang memaparkan istilah-istilah menyanjung Kristian diletak di hadapan pusat tuisyen itu.

Salah seorang jirannya, Rosiah Ibrahim, 52, ketika ditemui mendakwa tempat tuisyen tersebut mengajar para pelajar menyanyi lagu-lagu Kristian dan dipertontonkan video mengenai Jesus Christ (Nabi Isa) dan kuiz bagi menguji kefahaman mereka.

Beliau yang merupakan bekas Pengerusi Rukun Tetangga di kawasan itu memberitahu, pelajar yang memperoleh markah tertinggi di dalam kuiz akan diberikan hadiah menarik seperti dibawa berjalan-jalan, menonton wayang selain turut menerima hadiah semasa hari jadi mereka.

“Murid-murid yang diajar di sana dalam lingkungan umur enam hingga 14 tahun dari tiga buah sekolah berhampiran iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Setia, SK La Salle, SK St. Teressa dan Sekolah Menengah Kebangsaan Vivekananda.

“Mereka yang datang mengajar di tempat tuisyen itu kelihatan dari golongan profesional yang datang dengan kenderaan mewah. Mereka mengajar pada setiap hari Ahad iaitu dari pukul 2 hingga 5 petang,” katanya yang menetap di kawasan tersebut lebih daripada 18 tahun.

Sementara itu, seorang lagi jiran berhampiran tempat tuisyen itu, Hosni Mubarak, 45, pula berkata, dia sering mendengar nyanyian lagu-lagu berkaitan Kristian semasa sesi pengajaran tuisyen tersebut.

“Setiap petang Ahad nyanyian lagu-lagu Kristian sering kedengaran di pusat tuisyen tersebut,” dakwanya.

Namun mereka tidak terlintas untuk mendedahkan perkara itu kerana berpendapat ia hanya sekadar lagu dan tiada sebarang kegiatan yang menyalahi agama.-UM.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 14 Ogos 2011

Apa nak jadi kepada umat Islam Malaysia? ( Video didalam )

Apa nak jadi kepada umat Islam hari ini, kalau mereka yang mengaku memperjuangkan Islam, akhirnya menjadi pengkhianat kepada agama sendiri?

Itulah pertanyaan yang Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin lontarkan dalam ucapan ringkas di perhimpunan umat Islam yang berlangsung di Masjid Negeri Shah Alam selepas solat Jumaat kelmarin.

Zul turut menyatakan kesedihannya kerana Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi menerima tekanan daripada pucuk pimpinan dan ahli-ahli partinya sendiri ekoran sokongannya terhadap tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memeriksa gereja Methodist di Damansara Utama baru-baru ini.

Turut menerima tekanan berhubung isu tersebut ialah Datuk Dr. Hassan Ali, anggota Exco Bagi Hal Ehwal Agama Negeri Selangor.



Hamba lazimnya mengelakkan diri daripada menyebut nama, tetapi kali ini keperluan mendesak demi kebenaran. Maka izinkan hamba menyebut nama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang menjadi sasaran utama perhimpunan anti-murtad dan menyokong tindakan JAIS itu.

Dilaporkan bahawa JAIS telah menjalankan pemeriksaan mengejut ke sebuah premis gereja yang terpampang di luarnya papan tanda Dream Centre DUMC where dream comes alive yang terjemahannya bermaksud ‘‘Pusat Impian DUMC di mana impian menjadi kenyataan.”

JAIS membuat pemeriksaan selepas menerima aduan mengenai orang-orang Melayu diundang ke majlis berbuka puasa di premis itu. Rupa-rupanya majlis tersebut ialah thanks giving atau majlis kesyukuran orang Kristian yang turut dihadiri oleh 12 lelaki dan wanita Melayu. Turut ditemui ialah Bible dalam Bahasa Melayu dan borang soal selidik mengenai Islam.

Maka benarlah sangkaan masyarakat Islam selama ini yang menentang penyebaran Bible dalam Bahasa Melayu berjudul Al Kitab, khususnya di Semenanjung. Di dalam Al Kitab ini kalimah Allah digunakan sewenang-wenangnya. Apa yang dikhuatiri ialah Al Kitab akan digunakan bagi menyebarkan dakyah di kalangan orang-orang Melayu yang beragama Islam.

Ternyata kebimbangan itu benar-benar menjadi kenyataan. Apa yang berlaku di premis gereja itu juga membuktikan bahawa usaha ‘memurtadkan’ umat Islam di Malaysia bukanlah satu dongeng politik.

Zul dalam ucapannya turut mendedahkan betapa beliau sebagai peguam telah terlibat lama dalam usaha menentang kegiatan memurtadkan orang-orang Melayu oleh pihak gereja-gereja Kristian di negara ini.

Di dalam tulisan terbaru blognya, Zul melakarkan apa yang telah berlaku kepada Aishah Bukhori yang mengisytiharkan dirinya murtad kepada ayahnya Haji Bukhori melalui telefon pada 19 Oktober 1997 ketika sedang berada di sebuah gereja di Panchor Jaya, Rasah, Negeri Sembilan.

Apabila Haji Bukhori dan keluarganya pergi ke gereja tersebut, berlaku pertengkaran kerana mereka tidak benarkan Aishah diambil oleh keluarganya. Keluarga Aishah terpaksa balik hampa kerana tidak mampu berbuat apa-apa.

Menurut Zul, kes Aishah Bukhori membabitkan penglibatan secara langsung seorang peguam ahli Malaysian Bar yang membuat permohonan ke mahkamah untuk perintah habeas corpus bagi membebaskan Aishah daripada jagaan keluarga beliau.

Inilah antara episod-episod yang menyebabkan Zul menyuarakan kebimbangan dengan melontarkan soalan ‘‘apa nak jadi kepada umat Islam (di Malaysia) hari ini?” Kebimbangan beliau wajib dikongsi oleh seluruh umat Islam jika mereka mengaku beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Sekadar bimbang juga tidak memadai. Yang pentingnya apakah tindakan yang perlu diambil bagi menyekat usaha memurtadkan lebih ramai orang Melayu. Isu memelihara keutuhan akidah umat Islam di Malaysia adalah soal yang sangat mendesak dan tidak boleh lagi dipandang ringan.

Janganlah umat Islam sahaja yang dituntut supaya memelihara keharmonian sedangkan hak mereka diganggu gugat oleh pihak-pihak lain. Seluruh rakyat Malaysia sepatutnya sudah amat memaklumi kontrak sosial yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kekhuatiran umat Islam mengenai asakan terhadap akidah mereka memerlukan kesepaduan suara dan tindakan seluruh ummah, tanpa mengira perbezaan fahaman politik. Malangnya perbezaan politiklah yang telah menyumbang parah kepada isu ini.

Dalam mencari pengaruh untuk mendapatkan undi pilihan raya, masyarakat Islam yang berpecah belah telah merelakan diri mereka bersahabat karib dan tunduk kepada tuntutan bukan Islam, khususnya orang-orang Kristian.

Maka apabila kalimah Allah digunakan oleh gereja dengan agenda tersembunyi, pendirian tegas kerajaan yang melarang telah ditentang pula oleh segolongan pemimpin politik Islam. Mereka adalah oportunis yang sanggup menggadaikan agama demi memperoleh sokongan bukan Islam.

Wahai orang-orang yang beriman, mereka inilah yang patut ditentang kerana mereka terang-terang telah melanggar perintah Allah.

Sila baca surah Al Maaidah yang sarat dengan peringatan mengenai perkara ini. Antaranya ialah: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman kepada setengah yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapat, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. - Al Maaidah 5: 51 (Tafsir Ar Rahman)

Dalam ayat seterusnya (52) Allah berfirman yang bermaksud: Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata ‘‘kami takut kami akan ditimpa bencana. (Yang memaksa kami akan meminta pertolongan mereka).

Adakah bencana yang mereka takuti sekadar kekalahan dalam pilihan raya dan tidak dapat membentuk kerajaan yang memerintah sama ada di peringkat negeri atau persekutuan? Jika inilah percaturan ahli-ahli politik yang kononnya beragama Islam ini, maka wajiblah mereka ini ditentang. Mereka telah mempertuhankan politik.

Tentanglah mereka tanpa mengira sama ada mereka adalah dari parti politik anda sendiri. Benar bahawa dalam mempertahankan akidah dan kepentingan agama, kita umat Islam mestilah bersatu padu tanpa batas politik.

Maka pendirian Zulkifli Noordin adalah benar, pendirian Nasrudin Hassan dan Hassan Ali juga benar. Janganlah takutkan manusia, takutlah kepada azab Allah yang tidak terperi seksanya. Jika Allah murka, negara kita Malaysia akan menanggung padah buruknya kelak.

Sokong dan tegakkanlah kebenaran demi keimanan, sekalipun ia amat pedih dan pahit.

Renungilah firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 42 yang bermaksud: Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedangkan kamu mengetahuinya.

Pemeriksaan juga dibuat berdasarkan peruntukan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor tahun 1995 iaitu ‘Menghina atau Mempersendakan Ibadat Agama Islam di Kalangan Penganut Agama Islam Sendiri”. Siasatan juga akan dibuat mengikut peruntukan Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor Tahun 1988 yang berkuat kuasa ke atas orang bukan Islam dan orang Islam.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 13 Ogos 2011

MalaysiaKini "kencing" Rakyat - Mismah Wujud Dan Memang Warganegara Malaysia!


Malaysiakini Fitnah dengan cukup dasyat sampaikan pemimpin pembangkang bertali arus menghentam kerajaan terutama SPR dan JPN dalam isu Mismah ini. Akhirnya Puan Mismah tampil kehadapan dengan menjelaskan kepada kita siapa dirinya dan yang paling utama taraf kewarganegaraan beliau bagi memberikan bukti kepada rakyat Malaysia.

( Untuk lebih jelas, sila double klik di keratan ini )

Misteri Mismah yang menjadi omokan dan bahan fitnah ke atas Kerajaan kononya beliau merupakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang diberikan kerakyatan dalam masa 4 jam telah dibongkarkan secara eksklusif oleh Sinar Harian. Tahniah Sinar Harian yang telah berjaya membogelkan rentak tari pembangkang!

Apa lagi juak-juak Pakatan Haram terutama lidah rasmi mereka Malaysiakini hendak cakap. Lain kali cakap siang-siang, pandang-pandang. Cakap malam-malam, dengar-dengar..!!! Kalau salah cakap, inilah padahnya...shame to you la MalaysiaKini?

Warna-warni politik
Torashah..

Khamis, 11 Ogos 2011

Anugerah mangkuk tandas untuk MB Khalid!

Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini memberi ingatan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak memperdagangkan Islam dan akidah penganut agama itu hanya untuk memenuhi kepentingan diri serta politik yang diwakilinya.

Ingatan itu dibuat oleh Pemuafakatan Warisan Melayu Malaysia (Warisan) dan Gerakan Memantau Perkhidmatan Agensi Kerajaan (Gempak) sebagai membantah tindakan Abdul Khalid memohon maaf kepada pihak Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya sebelum ini.

Permohonan maaf Abdul Khalid itu dibuat susulan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat pemeriksaan ke atas gereja berkenaan atas dakwaan cuba menyebarkan agama Kristian kepada umat Islam dalam satu majlis pada 3 Ogos lalu.

Setiausaha Warisan, Zulkifli Shariff yang mengetuai demonstrasi bantahan bersama-sama 30 orang ahli NGO itu di hadapan pintu masuk bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) menyatakan, pihaknya terhina dan tersinggung dengan tindakan menteri besar itu yang bersifat kebudak-budakan dan memalukan bagi seorang pemimpin beragama Islam.

“Sepatutnya menteri besar yang beragama Islam memelihara, mempertahan dan melindungi kesucian Islam apatah lagi jika ada usaha pihak tertentu untuk memurtadkan orang Islam.

“Kita membantah tindakan Abdul Khalid kerana membuat permohonan maaf tanpa menunggu penjelasan sebenar daripada JAIS. Sebagai penganut Islam, kita anggap tindakan beliau ini memalukan dan tidak sewajarnya datang daripada seorang pemimpin beragama Islam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sepanjang demonstrasi selama 20 minit bermula pukul 10 pagi itu, mereka turut memberikan ‘hadiah istimewa’ kepada menteri besar yang berupa mangkuk tandas, penyapu serta mop sebagai simbolik bantahan terhadap tindakan Abdul Khalid dalam isu tersebut.

Pada masa sama, katanya, Warisan dan Gempak turut menyatakan pendirian menyokong tindakan JAIS termasuk Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali dalam isu pemeriksaan ke atas gereja berkenaan.

Malah, majoriti yang menyertai demonstrasi bantahan tersebut turut memakai topeng yang memaparkan wajah Hasan sebagai menyatakan sokongan mereka kepada Exco kerajaan negeri itu.

Segelintir mereka yang menyertai demonstrasi aman itu turut memakai topeng berwajahkan Abdul Khalid dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Abdul Samad masing-masing dengan bertanduk sebagai tanda membantah sikap kedua-dua pemimpin pakatan pembangkang itu dalam isu berkenaan.

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 8 Ogos 2011

Gila meroyang tak dapat jadi PM, buruk-burukkan nama negara diluar!

Jika tindak-tanduk terbaru Anwar Ibrahim di Jakarta dan Manila diambil kira, maka seharusnya tidak ada lagi keraguan kenapa beliau perlu digantikan oleh orang lain sebagai ketua pembangkang. Penasihat Parti Keadilan Rakat (PKR) itu terus menerus dengan perangai lamanya menyerang negara sendiri di luar negara.

Ternyata sekali dendam kesumat yang terbeku dalam hatinya telah memungkinkan Anwar tergamak ‘menghina’ tanah air sendiri semata-mata untuk meraih simpati rakyat asing. Apa yang anehnya, Anwar dalam satu wawancara dengan media di Indonesia mendakwa bahawa beliau mendalami al-Quran dan hadis ketika menjadi penghuni di Penjara Sungai Buloh.

Persoalannya, kalau benar Anwar memahami apa yang terkandung dalam al-Quran dan hadis sudah tentulah Anwar tidak bertindak bagaikan ‘hantu raya tidak bertuan’. Apakah tindakan Anwar bersesuaian dengan apa yang diserukan oleh Islam melalui al-Quran yang mahukan umatnya patuh kepada ulul amri.

Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam Surah An Nisaa’ ayat 59 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”.

Kalau Anwar mendakwa kononnya beliau mempunyai begitu banyak masa mendalami al-Quran, apakah beliau tidak memahami maksud ayat ini? Malahan Anwar juga melakukan fitnah kepada kerajaan Malaysia yang diperintah oleh orang Islam apabila mendakwa berlaku keganasan dalam demonstrasi 9 Julai lepas.

Ia termasuk memfitnah polis kononnya bertanggungjawab ke atas kematian seorang penunjuk perasaan dan menahan lebih 1,600 penunjuk perasaan. Biar pun pihak berkuasa sudah menjelaskan kedudukan sebenar tetapi Anwar tidak menerimanya dan Anwar langsung tidak menjelaskan kepada mereka yang mendengar ceramahnya bahawa demonstrasi yang dianjurkan pada 9 Julai lalu adalah satu perhimpunan haram.

Tidakkah perbuatan mereka yang turut ke jalanan pada tarikh berkenaan bersama-sama dengan Anwar ingkar kepada arahan ulul amri sedangkan Rasulullah SAW bersabda:

Mendengar dan taat (kepada ketua) adalah menjadi kewajipan ke atas orang-orang Islam dalam apa jua perkara pun sama ada yang disukainya dan yang tidak disukainya selagi ia tidak diperintahkan untuk membuat sesuatu maksiat, maka jika ia diperintahkan untuk membuat sesuatu maksiat maka tidaklah boleh mendengar dan taat”. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Kalau Anwar benar mendalami hadis ketika di penjara, takkanlah Anwar terlepas membaca hadis ini?

Sebagai seorang yang sentiasa menggambarkan dirinya seorang yang bersih dan seorang pejuang demokrasi sebenar, kenapa Anwar tidak mahu mengambil jalan perundingan terhadap sesuatu masalah yang berlaku dengan kerajaan. Kenapakah Anwar mengambil pendekatan konfrantasi dan demonstrasi serta menghasut rakyat untuk menentang pemerintah yang sah?

Bukankah Anwar begitu bijak berhujah dengan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dan kalau benar beliau mendalami al-Quran sudah pasti jalan perundingan yang dipilih seperti seruan Allah dalam surah Surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud:

Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu, maka bertawakallah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya”.

Begitu juga apabila Rasulullah SAW memberi peringatan yang dalam sebuah hadis yang bermaksud: ‘‘Barang siapa yang benci terhadap sesuatu dari tindakan penguasanya maka hendaklah ia bertaubat kerana sesungguhnya orang yang meninggalkan raja (penguasanya) walaupun hanya sejengkal maka matinya seperti mati pada zaman jahiliah”. (Diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari dan Muslim).

Oleh itu hakikatnya, hujah Anwar kononnya beliau mendalami al-Quran dan hadis ketika dalam penjara hanyalah hujah semata-mata. Hujah yang diketengahkan itu sekadar untuk memaparkan kepada umat Islam seolah-olah beliau paling suci dan sentiasa menjadi mangsa aniaya kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sepatutnya seperti mana dakwanya di Manila bahawa tuduhan liwat ke atasnya adalah satu konspirasi dan fitnah, kenapakah Anwar tidak menggunakan seluas-luasnya ruang di mahkamah untuk membuktikan beliau tidak bersalah? Kenapakah dari semasa ke semasa, satu demi satu hujah dikeluarkan oleh para peguamnya bagi menangguh perbicaraan sehingga kini sudah berlanjutan selama tiga tahun?

Tidakkah Anwar fahami melalui hadis-hadis yang didakwa didalaminya bahawa doa orang teraniaya tiada hijab dengan Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Hindarilah doa orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya tidak ada antara doanya itu dengan Allah SWT hijab yang mendindingi”.

Seperkara lagi Anwar juga mendakwa demokrasi di Malaysia semakin terhakis tetapi Anwar tidak pula menggambarkan kalau benar dakwaannya mana mungkin pada tahun 2008, pembangkang boleh menang agak cemerlang dalam pilihan raya umum.

Anwar mengatakan di Malaysia demokrasi makin terhakis tetapi beliau sendiri menang dalam pilihan raya dan lebih unik lagi beliau mungkin satu-satunya orang kena tuduh (OKT) dalam satu kes yang serius tidak ditahan pasportnya.

Tindakan tersebut membolehkan Anwar mengeliling dunia biar pun kesnya masih dibicara di mahkamah dan kesempatan itu sebahagian besarnya digunakan oleh Anwar untuk memburuk-burukkan tanah air sendiri. Oleh itu rakyat tidak harus terpedaya dengan tindakan Anwar yang dari semasa ke semasa semakin merapu dalam usahanya meraih sokongan bagi mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri.

Mungkin selain masalah moral, sikap Anwar yang suka memburuk-burukkan negara di luar negara juga menjadi pertimbangan bagi sesetengah kelompok di dalam pembangkang yang merasakan Anwar tidak lagi layak memimpin pakatan mereka. Tindakan Anwar itu berbeza dengan ramai pemimpin pembangkang lain yang jarang sekali kita dengar mereka sanggup melakukan apa yang Anwar buat di luar negara.

Justeru adalah wajar jika tindakan Anwar kali ini diperangi habis-habisan kerana ini bukanlah kali pertama Anwar bertindak bagaikan duri dalam daging dan gunting dalam lipatan bagi Malaysia. Kepada rakyat Malaysia dan umat Islam, nilailah tindakan Anwar itu dengan fikiran waras dan tenang, apakah perbuatannya memburuk-burukkan negara sendiri adalah wajar dan apa yang beliau katakan adalah satu kebenaran.

Dalam soal ini, ingatlah firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 204 yang bermaksud:

‘‘Antara manusia ada yang tutur katanya mengenai kehidupan dunia menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya) dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya padahal dia adalah orang yang sangat keras permusuhannya (kepadamu)’’.

Semoga kita tidak terus dibelenggu oleh politik kebencian yang ditiupkan oleh Anwar terutamanya di bulan yang suci ini. Wallahuallam.

Oleh : Zulkifly Bakar

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 4 Ogos 2011

Peralatan kek lapis guna bahan tidak halal perlu disamak!

Pengusaha kek lapis yang pernah menggunakan mentega Golden Churn Creamy Butter yang kini didapati mengandungi DNA babi perlu membersihkan peralatan membuat kek tersebut mengikut kaedah Islam.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, pembersihan tersebut atau "menyamak" perlu dilakukan bagi memastikan produk tersebut selepas ini halal dari peringkat pembuatan sehingga dijual ke pasaran terbuka.

"Sekarang sudah sah mentega itu haram. Sesiapa yang pernah menggunakannya perlu samak segala peralatan yang pernah digunakan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) berjumlah RM51,286 kepada 35 penerima di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi kek lapis yang diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), pengusahanya tidak perlu menggunakan kaedah pembersihan tersebut.

Daud berkata, pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Sarawak telah diminta supaya menarik balik iklan yang diletakkan oleh premis perniagaan yang memberi jaminan bahawa produk mentega tersebut adalah halal.

Sementara itu Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak (PPKLS) mahu mendapat penjelasan lebih terperinci daripada JAIS mengenai kaedah samak tersebut.

Presidennya Rabiah Amit berkata penjelasan tersebut adalah perlu memandangkan penggunaan produk itu bukan sahaja digunakan untuk tujuan komersial tetapi juga untuk persendirian sejak dari dahulu lagi.

"Kita (PPKLS) telah lama tidak menggunakan produk tersebut dan telah guna produk lain, namun macam mana dengan pengguna persendirian yang lain. Adakah mereka perlu samak peralatan mereka memandangkan produk tersebut digunakan majoriti umat Islam di negeri ini," katanya. - BERNAMA

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 1 Ogos 2011

Jangan jadi boneka Anwar - Nalla!

TENGKU Adnan Tengku Mansor menandatangani plak sambil diperhatikan Nallakaruppan (tengah) dan Presiden PPP, Datuk Seri Dr. M. Kayveas pada Majlis Perasmian Bangunan MUIP di Kuala Lumpur, semalam.

Kaum India di Malaysia akan ketinggalan dalam segala aspek jika terus menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Datuk S. Nallakaruppan berkata, Anwar sebenarnya tidak berhasrat untuk membangunkan kehidupan masyarakat India.

Sebaliknya, kata beliau, Anwar menjadikan kaum India di Malaysia sebagai boneka untuk meraih sokongan masyarakat itu demi mencapai cita-cita politiknya.

"Anwar sebenarnya adalah pengancam kepada kestabilan kaum dan masa depan negara," katanya ketika berucap pada majlis pembukaan bangunan baru MIUP yang dirasmikan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di sini hari ini.

MIUP dilancarkan pada 25 November 2007 oleh Nallakaruppan selepas beliau meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kini parti itu mempunyai kira-kira 20,000 ahli di seluruh negara.

Nallakaruppan berkata, parti itu akan terus menyokong Barisan Nasional (BN) kerana berpendapat hanya BN dapat menyatupadukan rakyat pelbagai kaum serta membentuk kehidupan yang lebih sempurna kepada masyarakat India. Beliau juga menegaskan, MIUP akan terus bekerja keras untuk meraih sokongan masyarakat India dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Sementara itu, Tengku Adnan dalam ucapannya meminta masyarakat India supaya tidak mudah terpengaruh dengan percaturan politik Anwar. Menurutnya, Penasihat PKR itu melakukan pembohongan serta membangkitkan perasaan kebencian antara kaum hanya untuk mendapat sokongan.

"Dia (Anwar) sebenarnya sedang merosakkan dan menindas rakyat di negara ini," ujarnya.

Menyentuh mengenai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Tengku Adnan menjelaskan, sekiranya benar pilihan raya negara ini kotor seperti yang digambarkan oleh pembangkang, adalah sukar bagi mereka untuk menang di lima negeri serta merampas 82 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lepas.-UM.

Warna-warni politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor