Sabtu, 23 November 2013

Lagi bantah Tony Pua gelar ROS anjing UMNO?

SAFUAN Hamzah (dua dari kanan) bersama sebahagian daripada 40 belia membuat bantahan secara aman terhadap tindakan Tony Pua di hadapan Masjid Sultan Muzaffar Shah, Sungai Petani, Kedah, semalam.

SUNGAI PETANI - Kira-kira 40 belia di kawasan ini hari ini mengadakan demonstrasi aman di hadapan Masjid Sultan Muzaffar di sini bagi membantah tindakan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua yang menggelar Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai 'anjing UMNO'.

Mereka berkumpul selepas solat Jumaat sambil melaungkan pelbagai kecaman serta mengangkat 23 sepanduk bagi menyatakan kemarahan terhadap tindakan pemimpin pembangkang itu.

Tony dikecam kerana hingga kini masih membisu seribu bahasa tanpa memohon maaf terhadap orang Melayu yang merupakan 95 peratus kakitangan ROS.

Justeru, pertubuhan Anak Muda Melayu Negeri Kedah menuntut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Penasihat parti itu, Lim Kit Siang dan Tony memohon maaf kepada orang Melayu dan Islam, Utusan Malaysia dan kakitangan ROS dengan segera.

Bantahan sekitar 15 minit berhampiran jalan raya menuju ke Kem Lapangan Terbang itu menarik perhatian orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu dan ada di antara mereka turun dari kenderaan kemudian dan sama-sama menyertai bantahan itu.

Yang turut hadir pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim dan bekas Ketua Pemuda Pas Cawangan Kampung Baru Bakar Arang, Saiful Zaman Ahmad.

Wakil Anak Muda Melayu Negeri Kedah, Safuan Hamzah, 30, berkata, Tony bertindak ego dengan menyatakan kakitangan ROS sebagai anjing UMNO.

"Kami daripada pelbagai fahaman politik hadir berkumpul di sini kerana rasa marah dengan tindakan Tony itu. Kami minta dia segera mohon maaf kepada umat Melayu beragama Islam di negara ini," katanya.

Menurutnya, bantahan seumpama ini bakal berlarutan di mana-mana sahaja jika beliau masih ingkar memohon maaf.

"Susah sangatkah nak mohon maaf pada orang Melayu beragama Islam?," tanya beliau.

Beliau juga melahirkan rasa kesal dengan pemimpin Pas kerana masih membisu dalam perkara itu.

Seorang peserta perhimpunan itu, Ismail Khamis, 25, dari Sungai Layar pula berkata, sepatutnya Tony menghormati orang lain, terutamanya orang Melayu tanpa bertindak untuk kepentingan diri sendiri.

"Adalah amat malang, seorang pemimpin bila menang dalam pilihan raya tidak dapat menghormati orang lain, dalam hal ini Tony perlu belajar untuk hormati orang lain," katanya.

Menurut Ismail, Tony tidak akan berani membuat kenyataan seumpama itu tanpa mendapat restu daripada Kit Siang atau Guan Eng.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 16 November 2013

PANAS ! RAFIZI TERKEDU BILA DITEKAN BERAPA GAJI DIBAYAR JADI PENASIHAT KERAJAAN SELANGOR !!


Pepatah Melayu ada menyatakan sarang tebuan jangan dijolok. Jika dijolok juga, buruk padahnya walaupun yang menjolok itu seorang pakar strategi.

Begitulah yang terjadi kepada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang juga merupakan ahli Parlimen Pandan apabila cuba mencelah ketika ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar sedang berbahas.

Noh diawal perbahasannya menjelaskan mengapa kerajaan melantik tiga bekas menteri sebagai Duta Khas dengan keseluruhan elaunnya berjumlah RM980,179 setahun. Mereka ialah Datuk Seri Jamaluddin Jarjis yang dilantik sebagai Duta Khas ke Amerika Syarikat, Tan Sri Ong Ka Ting (Duta Khas ke China) dan Datuk Seri S. Samy Vellu (Duta Khas ke India).Mengambil contoh pengalaman beliau selaku Menteri Pertanian sebelum ini, beliau memberitahu dewan, walaupun tandatangan diantara menteri kedua-dua negara telah dilakukan, ianya masih memerlukan kerja-kerja susulan projek tersebut.

Jelas Noh, tugasan ini memerlukan seseorang bertaraf menteri seperti Ka Ting yang boleh mendapat akses terus kepada menteri yang berkenaan.

Rafizi yang bangun mencelah cuba menimbulkan persepsi negatif bahawa ketika Noh Omar menjadi Menteri Pertanian, beliau telah gagal menyelesaikan masalah projek di negara China sehingga memerlukan Ka Ting membantu sekaligus menyebabkan beliau digugurkan dari kabinet. Rafizi juga mempersoalkan kewajaran melantik Ka Ting dengan elaun yang tinggi.

Berang dengan tuduhan tersebut, Noh bangun mempersoalkan sama ada Rafizi telah dibayar elaun atau tidak ketika menjadi penasihat untuk Menteri Besar Selangor suatu ketika dahulu.

“Saya hendak bertanya kepada Pandan (Rafizi), semasa menjadi Ketua Exsekutif kepada Menteri Besar, adakah Menteri Besar Selangor ini tidak berapa cerdik sehingga memerlukan penasihat? Itu soalan saya yang pertama.

“Soalan saya yang kedua, Pandan dapat ke tidak elaun? Tolong beritahu berapa elaun yang berhormat dapat. Kalau tidak dapat, tidak apa lah,” soal Noh.


Soalan tersebut telah membuatkan Rafizi terkedu dan berbelit lidah untuk menjawab. Rafizi berkata isu tersebut tidak timbul kerana jawatan yang dinyatakan tidak wujud. Bagaimanapun, setelah didesak beberapa kali oleh Noh Omar akhirnya beliau tunduk dan mengaku ada menerima elaun daripada kerajaan negeri Selangor.

“Setiap perbelanjaan yang dibayar kepada saya telah didedahkan di dalam Dewan Undangan Negeri setiap kali ada persidangan,” katanya tanpa menyatakan jumlah yang diperolehi.

Tidak puas hati dengan itu, Rafizi sekali lagi menyerang Noh kononnya gagal menjawab soalan beliau dan kegagalan menyelesaikan projek di China sebagai punca tidak dilantik semula di dalan kabinet.

“Dia (Rafizi) ni pekak…saya kata saya akan jawab tetapi sebelum saya jawab, saya hendak tanya dulu kepada Pandan (Rafizi) berapa ribu dia dapat? Menteri Besar pun tidak berapa cerdik, itu pasal ahli Parlimen Gombak (Azmin Ali) berangan hendak jadi Menteri Besar,” bidas Noh

“Saya tahu berapa elaun yang dia dapat, itu pasal dia segan hendak cakap di dalam dewan ini. Pembangkang ini macam inilah perangainya, salah dia, dia tidak nampak,” bentak Noh.

Menurut Noh, selepas menteri kedua-dua telah menandatangani memorandum persefahaman sesuatu projek, tugas susulan akan dibuat dikalangan pegawai-pegawai kerana ianya mempunyai prosedur-prosedur yang perlu dipatuhi.

“Takkanlah menteri hendak pergi tengok sarang burung? Jadi sebab itu kita hendak kerja susulan daripada duta khas kerana ada akses terus kepada menteri pertanian di sana. Ini diantara tugas-tugas yang dibuat.

“Jadi pembangkang jangan putar belitkan fakta. Bila kena batang hidung sendiri baru hendak berpusing-pusing jawab,” kata beliau!

Warna-warni Politik
Torashah

Khamis, 7 November 2013

Petronas diminta perjelas maksud 'tak layak'?


PETRONAS perlu memberi penjelasan apa kriteria yang digunakan syarikat minyak negara itu untuk mengukur kelayakan syarikat vendornya sebelum menggunakan alasan 'tidak layak' untuk menolak memberi kontrak kepada syarikat Melayu.

Pengarah eksekutif sebuah syarikat yang pernah menyediakan perkhidmatan kepada Petronas mendakwa, terdapat syarikat Bumiputera dan Melayu yang diiktiraf negara dan syarikat luar tetapi diketepikan daripada menerima kontrak Petronas.

“Kenapa negara lain seperti Jepun, Arab Saudi dan syarikat minyak antarabangsa yang mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada Petronas boleh bagi projek kepada syarikat Malaysia tetapi kenapa Petronas tak bagi?

“Ada syarikat Melayu yang dapat anugerah dari luar negara kerana teknologi yang dicipta untuk industri gas dan minyak ini sangat bagus, tetapi bila mereka mohon untuk sertai program pembangunan vendor (VDP), ditolak Petronas. Jadi kelayakan macam mana yang diperkatakan?,” soalnya.

Beliau juga berkata, tempoh lima tahun di bawah VDP Petronas terlalu singkat dan syarikat perlu diberikan tempoh lebih lama.

“Lima tahun itu seolah-olah kita baru dapat rentak, tiba-tiba kita perlu berhenti. Tetapi saya tidak lah kata syarikat Bumiputera perlu duduk di bawah program itu selama-lamanya.

“Kalau langsung tidak ada tempoh akhir, nanti syarikat jadi terlalu selesa dan tidak cekap. Apa yang kami mahu adalah tempoh minimum 10 tahun diberikan kepada peserta VDP,” katanya.

Beliau berkata, Petronas boleh menamatkan penyertaan syarikat Bumiputera dalam VDP lebih awal dari 10 tahun jika mereka tidak mencapai tahap diperlukan, tidak mengikut peraturan atau berhadapan masalah lain.

Menurutnya, jika isu ini tidak diselesaikan, beliau bimbang syarikat Bumiputera (dalam sektor minyak dan gas) akan terkubur.

“Walaupun ada antara kami (bekas vendor Petronas) masih boleh bertahan dengan mempelbagaikan perniagaan dan memasuki bidang selain minyak dan gas, kami tetap rasa perit untuk pertahankan perniagaan.

“Tetapi kita pun tidak boleh hanya kata Petronas sahaja perlu mainkan peranan untuk selesaikan isu ini. Vendor sendiri perlu ada usaha untuk majukan perniagaan tetapi kami perlukan tunjuk ajar dan sokongan Petronas,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga perlu menetapkan peraturan untuk melindungi syarikat tempatan dan memantau pelaksanaan undang-undang yang telah ditetapkan.

Warna-warni Politik
Torashah

Rabu, 6 November 2013

Pemilik stesen Petronas tertekan?

Pemilik stesen minyak Petronas mendakwa Petronas menetapkan pelbagai peraturan baru yang membebankan perniagaan mereka. (Gambar hiasan)

Bukan hanya dakwaan syarikat minyak dan gas menghadapi masalah mendapatkan kontrak Petronas, pemilik stesen minyak Petronas juga mendakwa menerima tekanan daripada syarikat petroleum itu.

Menurut sumber yang telah lebih 30 tahun terlibat dalam perniagaan stesen minyak Petronas, kepentingan Bumiputera, terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah perniagaan milik Petronas Dagangan Bhd (PDB) didakwa telah terhakis kerana dasar baru yang mula menular dalam Petronas.

PDB adalah cabang perniagaan Petronas yang bertanggungjawab terhadap pemasaran dan agihan minyak di seluruh negara melalui stesen minyak Petronas.

Menurut sumber itu, stesen minyak Petronas di seluruh Malaysia sebelum ini diketahui menjual pelbagai jenis makanan tempatan seperti nasi lemak, nasi dagang, sandwic dan lain-lain yang diletakkan di stesen Petronas oleh penduduk setempat atau syarikat kecil.

“Tetapi baru-baru ini, PDB tidak benarkan lagi kami menerima bekalan makanan ini daripada penduduk setempat dengan alasan mahukan syarikat berdaftar sahaja menjadi pembekal bagi menjamin kualiti produk di kedai Mesra.

"PDB mahu berikan hak membekalkan produk itu kepada sebuah syarikat dari luar negara yang akan bekalkan semua kuih, nasi lemak, roti dan makanan tempatan di stesen Petronas selepas ini," dakwa beliau.

Beliau berkata, individu yang membekalkan kuih-muih selama berbelas tahun ke stesen Petronas akan kehilangan mata pencarian apabila tidak lagi dibenarkan berbuat demikian.

“Kami malu dengan penduduk tempatan kerana selama ini kita bantu-membantu antara masyarakat setempat. Ada yang berbelas tahun sudah bekalkan makanan ke stesen Petronas. Mereka yang beli minyak di stesen kami, jadi kami bantu dengan beri ruang untuk mereka bekalkan makanan.

“Kami juga langsung tidak diberi kuasa untuk buat keputusan dalam hal ini. Kami sudah berbincang dengan PDB mengenai isu ini tetapi mereka bertegas akan tetap meneruskan rancangan menggunakan khidmat syarikat luar itu,” dakwanya.

Stesen Petronas diberi kepada bukan Bumiputera

Sumber itu turut mendakwa trend paling membimbangkan sejak dua atau tiga tahun lalu adalah peluang membuka stesen Petronas baru diberikan kepada bukan Bumiputera.

“Padahal Petronas sepatutnya beri keutamaan kepada peniaga Bumiputera untuk buka stesen minyak mereka. Kami mahu dasar Petronas kembali memberi keutamaan kepada peniaga Bumiputera,” gesa beliau.

Selain itu, beliau mendakwa pengusaha baru stesen Petronas juga ditekan dengan kewujudan perjanjian baru untuk membuka stesen minyak Petronas.

Menurutnya, jika perjanjian sebelum ini laku sehingga pemilik stesen itu meninggal dunia, perjanjian baru pula hanya laku bagi tempoh lima tahun.

“Selepas lima tahun, pemilik stesen akan dinilai semula, boleh teruskan perniagaan atau tidak.

“Kadar sewa juga dinaikkan daripada lapan peratus dalam perjanjian lama kepada 24 peratus dalam perjanjian baru,” dakwanya.

Beliau juga melahirkan rasa kecewa apabila Petronas didakwa menghalang dan mengongkong pemilik stesen minyak Petronas meluaskan perniagaan mereka.

“Kami dihalang mempunyai perniagaan lain, dengan alasan mahu kami bagi perhatian penuh kepada perniagaan (stesen minyak).

“Padahal kita bila dah maju, mungkin kita nak cuba jadi pembekal atau kembangkan perniagaan dengan buka stesen kedua tetapi ini tidak dibenarkan melalui perjanjian baru ini,” katanya.

Warna-warni Politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor