Ahad, 31 Januari 2010

PKR perlu kaji kerjasama dengan DAP!

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menggesa kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengkaji semula kedudukan dan kerjasama parti itu dengan DAP di Pulau Pinang.

Menurutnya, setelah mendedahkan sikap Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebagai pemimpin cauvinis, diktator dan berfikiran bahaya, kepimpinan tertinggi PKR perlu mengambil langkah terbaik demi kelangsungan parti itu.

Beliau yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang berkata, dasar yang dibawa Guan Eng sejak memerintah Pulau Pinang telah memberi masalah kepada pemimpin PKR di negeri itu yang kebanyakannya bertanggungjawab terhadap kawasan dan masyarakat Melayu.

‘‘Guan Eng kata dia khalifah, khalifah apa kalau gerai-gerai tanpa lesen milik peniaga Melayu ditarik balik dan premis mereka dirobohkan. ‘‘Tidak timbul persoalan mengenai tindakan saya seterusnya, cuma dengan pendedahan ini, saya serahkan kepada kepimpinan tertinggi PKR untuk mengkaji kedudukan PKR di Pulau Pinang,’’ katanya.

Sebelum itu : Zahrain pertahan dakwaan

Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim tetap mempertahankan kenyataannya yang mendakwa Ketua Menteri, Lim Guan Eng seorang yang cauvinis, diktator dan berfikiran bahaya.
Menurut bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang itu, beliau tidak mempunyai sebarang agenda peribadi apabila mengeluarkan kenyataan tersebut sebaliknya mahu menjaga kepentingan negeri itu.

Tegasnya, jika ada pihak yang cuba menuduh tindakan tersebut bersifat peribadi atau mengaitkan keluarganya dalam pemberian tender bagi pengurusan Kelab Golf Bukit Jalil, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang. Menurutnya, beliau percaya ramai lagi pemimpin dalam pakatan pembangkang yang bersetuju dalam perkara itu sekali gus menggesa mereka supaya tidak lagi berkompromi dengan Setiausaha Agung DAP itu.

‘‘Siapa yang kenal lama dengan Guan Eng pasti tahu apa yang saya cakap itu sememangnya benar, jadi cukup-cukuplah daripada nak terus mempertahankannya. ‘‘Ingin ditegaskan bahawa saya tidak obses dengan pangkat atau sebagainya, saya cakap apa yang betul, Pulau Pinang memang tak perlu orang macam itu,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau menyeru kepimpinan PKR tidak berkompromi dengan rakan lain dalam pakatan pembangkang semata-mata untuk mengejar jawatan Perdana Menteri. Tegasnya, pemimpin PKR termasuk Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh lari daripada agenda yang telah dipersetujui sebelumnya, iaitu untuk melakukan reformasi dalam pelbagai bidang di negara ini.

Kata Mohd Ali Rustam : Itulah Guan Eng sebenar

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam bersetuju dengan dakwaan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng adalah seorang pemimpin yang cauvinis dan diktator.
Menurutnya, Guan Eng bukan sahaja tidak disukai oleh penduduk Pulau Pinang selepas menerajui negeri itu, bahkan DAP Melaka dan orang negeri berkenaan pun tidak sukakannya.

Sebab itulah katanya, Guan Eng tewas ketika bertanding jawatankuasa DAP Melaka sebelum pilihan raya umum lalu. “DAP Melaka pun tak nak beliau, orang Melaka pun tak nak dia. Mereka tahu Guan Eng seorang yang kasar, autokrasi, kuku besi, cakap dia sahaja yang betul dan cakap orang lain semua salah,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Juara Rakyat 1Malaysia 2010 anjuran Biro Pendidikan UMNO Bahagian Kubang Pasu di Dewan Wawasan di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Wira Mohd. Johari Baharom yang juga merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Mengulas dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang itu seorang diktator, Mohd. Ali berkata, itulah sifat Guan Eng yang sebenarnya.

Beliau turut memberikan beberapa contoh lain mengenai perangai kuku besi Guan Eng termasuk dalam isu gerai peniaga kecil Melayu di Pulau Pinang yang dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Dakwanya, Guan Eng juga bertindak ‘mencengkam’ para pemimpin Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri itu sehingga mereka sukar untuk bersuara.

“Sebab itu Zahrain terpaksa bangun menyatakan rasa tidak puas hati beliau,” katanya. Sehubungan itu, katanya, elok Guan Eng melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri kerana beliau tidak layak menerajui Pulau Pinang.

Itulah warna sebenar Lim Guan Eng!!!

Warna-warni Politik

Torashah

Isnin, 25 Januari 2010

Ketua Wanita PKR balas dendam pada JAIS/MAIS!!

Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita PKR merangkap ADUN Ampang sedang teruk di"belasah" di kawasannya sendiri. Kedengaran merata-rata penduduk Islam Ampang sedang "membelasah" Zuraida dengan kutukan demi kutukan.

Zuraida telah dilaporkan telah menyarankan supaya pentadbiran MAIS dan JAIS patut ditukar dan digantikan dengan "ulama yang bebas politik". Ini termasuklah Pengarah Jais, Dato' Mohd Khusrin Munawi yang digesa untuk ditukar jabatan.

Menurut berita, Zuraida menyuarakan sokongannya kepada Khalid Ibrahim untuk menukar pentadbiran JAIS dan MAIS. Dipercayai juga bahawa Zuraida bertindak demikian kerana faktor "peribadi", kerana Zuraida telah "mengungkit" perkara demikian kepada wartawan.

Dikhabarkan bahawa motif utama Zuraida ialah untuk membalas dendam kepada JAIS dan MAIS kerana telah "menyenarai hitamkan" namanya dan mengeluarkan namanya dari senarai panel forum agama yang bakal diadakan di Klang. Zuraida juga adalah di antara pemimpin politik yang hadir pada kuliah bekas mufti "glamour", Ustaz Asri Zainul Abidin, yang kemudiannya ditahan kerana mengajar tanpa tauliah.

Tapi, Zuraida masih "degil" dengan menegaskan bahawa dia akan tetap menghadiri forum agama di Klang itu. Malah dia juga bagaikan "mencabar" JAIS dan MAIS dengan berkata "..lihat apa yang akan terjadi..". Selain itu, Zuraida mencadangkan beberapa nama ulama "yang bebas politik" seperti Daeng Sanusi Daeng Mariok, Datuk Ismail Kamus dan Datuk Haron Din untuk menggantikan pentadbiran JAIS dan MAIS.

Nampaknya Zuraida ini bukan saja "tidak berakal", berdendam dan tidak rasional, malah "bodoh piang!", kata orang Kedah.Kerana dia telah di senarai hitam dan dikeluarkan dari senarai anggota panel forum, maka dia "mengamuk sakan" nak buang orang sana sini. Macam budak kecil! "Marahkan nyamuk, habis dibakar kelambu"! "Buruk" betul perangai dan sifat peribadinya.

"Busuk hati"! Orang macam ni pun boleh jadi Ketua Wanita PKR? Kalau dah ketuanya pun macam tu, bayangkanlah wanita-wanita PKR dibawahnya. Tentu pemikiran mereka lebih rendah dari Zuraida. "Bodoh mereput"!Yang paling menariknya ialah "nama-nama ulama bebas politik" yang disarankan oleh Zuraida.

Nama yang disebutnya ialah "Daeng Sanusi Daeng Mariok, Datuk Ismail Kamus dan Datuk Haron Din"! Ketiga-tiga orang tu boleh dikategorikan sebagai "ulama bebas politik" ke??? Di mana akal Zuraida??? Di kepala lutut ke??? Apakah Zuraida tidak kenal siapa Daeng Sanusi Mariok? Ismail Kamus? Ehhh? Timbalan Mursyidul Am PAS pun dia tak kenal??? Ternyata Zuraida memang "sengal" dan PKR pun sememangnya "sengal" kerana memilih dia sebagai Ketua Wanita PKR!..Wallahuallam.

Warna-warni Politik
Torashah

Jumaat, 22 Januari 2010

Khalid Samad dipanggil menghadap Sultan!

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, pagi ini.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani ketika dihubungi mengesahkan Pesuruhjaya Pas Shah Alam itu dipanggil menghadap Sultan Selangor pada jam 11.30 pagi.

Ketika ditanya adakah kontroversi antara Khalid dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain menjadi punca beliau dipanggil menghadap Sultan Selangor, Mohamad Munir enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Khalid ketika dihubungi juga tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai perkara tersebut. “Saya tidak mahu mengulas lanjut perkara ini dan jika hendak mengetahui dengan lebih lagi, tanya sendiri dengan pihak istana,” katanya .

Sebelum ini, Abdul Khalid dilaporkan menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. Malah, beliau turut mempertikaikan keputusan Mais berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Ekoran itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberi amaran keras kepada beliau agar berhenti daripada mempertikai keputusan Mais kerana keputusan itu adalah titah Sultan Selangor dan rakyat negeri itu perlu menghormati serta mematuhi keputusan berkenaan. Jais juga menolak dakwaan wakil rakyat itu bahawa pihaknya dan Mais sengaja ‘mempolitikkan’ isu berkenaan.

Sehubungan itu, Pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, Khalid perlu mengkaji semula kenyataan tersebut kerana ia mempunyai kaitan dengan sensitiviti umat Islam khususnya di Selangor. Namun Khalid enggan mematuhi lara- ngan berkenaan malah menyarankan Jais dan Mais menyertai atau menubuhkan parti politik.

Khalid mendakwa kedua-dua pihak berkenaan gagal mengawal tindak-tanduk orang ramai yang menyertai demonstrasi isu penggunaan kalimah Allah di Masjid Shah Alam. Katanya, beliau akan terus melahirkan pandangannya selagi tidak memperolehi respons yang berasas daripada agensi itu khususnya berhubung isu kalimah Allah.

Kontroversi antara Khalid dan Mais tidak dapat disembunyikan lagi apabila Khalid turut meminta kepimpinan institusi agama itu dirombak, selaras dengan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) agar isu-isu semasa menyentuh umat Islam di negeri itu dapat ditangani dengan harmoni. -SH-

Warna warni Politik
Torashah

Ahad, 17 Januari 2010

Adakah Khalid Samad Cuba " Derhaka " Dengan Titah Sultan Selangor!

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kesal dengan tindakan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang membuat tuduhan tidak berasas apabila mengaitkan jabatan itu dengan sebarang agenda atau parti politik tertentu.

Pengarahnya, Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, Ahli Parlimen Shah Alam itu seharusnya faham bahawa keputusan tersebut dibuat berasaskan penyelidikan dan kajian oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Malah, katanya, larangan pengunaan kalimah tersebut telah pun termaktub dalam enakmen agama Islam negeri yang sewajarnya dipatuhi oleh semua pihak termasuk Khalid sendiri.''Saya tak faham kenapa beliau mengaitkan JAIS, MAIS dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dengan agenda politik sedangkan tindakan kita berasaskan fakta yang jelas iaitu al-Quran, sunnah serta pandangan para ulama.''Larangan ini telah difatwakan dalam undang-undang agama Islam negeri.

''Soalnya, siapa yang sebenarnya cuba mempolitikkan perkara ini. Sebagai seorang Ahli Parlimen, beliau harus faham perkara ini dan tidak membuat tuduhan yang melulu sedangkan beliau sepatutnya memberikan contoh yang baik kepada rakyat," ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Khalid yang membuat pelbagai tuduhan terhadap jabatan berkenaan yang didakwanya bermotifkan politik. Tambah Muhammed Khusrin, JAIS telah menjalankan program penerangan kepada umat Islam mengenai larangan tersebut yang berasaskan fakta dan dalil yang kukuh, bukannya hanya berdasarkan fakta kamus, istilah atau sejarah seperti yang didakwa Khalid.

''Penerangan ini telah kita buat di seluruh daerah di Selangor melalui ceramah, seminar termasuklah khutbah Jumaat di seluruh masjid. Saya percaya semua orang tahu mengenai penerangan ini,'' katanya.Sementara itu, Khalid terus secara terang-terangan mengkritik keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang melarang kalimah Allah digunakan orang bukan Islam.

Menurut beliau, kenyataannya sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai kritikan kerana ia sebenarnya hanya bertujuan meminta penjelasan daripada MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kenapa larangan itu dilaksanakan.''Saya tidak mempertikaikan, saya hanya mohon penjelasan. Puak-puak UMNO ini, dia tidak ada hujah untuk memberi penjelasan, jadi dia beri amaran keras dan ugutan.

''Kalau hendak kita akur kepada fatwa yang dikeluarkan, maka kemukakan dalilnya. Jangan sekadar beritahu fatwa sudah buat, maka kita kena dengar dan taat.''Ini bukan budaya yang diajar oleh Islam kepada umatnya. Segala pegangan, kita kena yakin betul," katanya ketika menyampaikan ceramah umum isu-isu semasa di Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini malam tadi.

Sebelum ini :

Allah Hanya Untuk Islam - Sultan

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pihak di negeri ini berpegang teguh kepada pendirian mengharamkan pengunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa hari ini memberitahu, titah itu dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan baginda pada 5 Januari lalu. Katanya, turut menghadap baginda ekoran isu pengunaan kalimah Allah oleh akhbar Herald-The Catholic Weekly ialah Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid; Ahli MAIS, Datuk Salehuddin Saidin; Setiausaha MAIS, Abdul Halem Hapiz Salihin serta Penasihat Undang-undang MAIS, Nurhani Salwa Jamaluddin di Istana Mestika di sini.

Menurut beliau, baginda memaklumkan pendiriannya mengenai perkara itu bertujuan memelihara akidah umat Islam serta menjaga keharmonian beragama setiap rakyat di Selangor.“Dalam pertemuan itu, baginda menitahkan supaya isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dibincangkan dengan teliti oleh ahli-ahli MAIS.“Sebagai Ketua Agama Islam negeri, baginda mahu semua peringkat berpegang teguh dengan pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat dan perbincangan dengan 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di masjid negeri sebelum ini.Mohamad Adzib berkata, Sultan Selangor turut meminta MAIS memaklumkan kepada rakyat tentang wujudnya undang-undang menghalang pengunaan kalimah Allah dalam agama bukan Islam. Menurutnya, larangan itu termaktub dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) yang diwartakan sejak 1988.

Malah, jelas beliau, larangan juga diputuskan Jawatankuasa Fatwa negeri pada 10 Jun 2008 yang memutuskan kalimah Allah khusus untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan atau dimasukkan dalam agama lain. Ekoran keputusan jawatankuasa itu serta Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang memutuskan larangan tersebut pada Mei 2008, beliau menegaskan, MAIS membuat 14 ketetapan berhubung isu tersebut.

Menurutnya, antara ketetapan itu ialah istilah Allah bermaksud Tuhan Yang Maha Esa dan berlainan dengan maksud God dalam agama Kristian yang berkonsepkan Triniti (tuhan bapa, tuhan anak dan roh kudus).“Jika kalimah Allah dibenar digunakan dalam ajaran Kristian, ia mendatangkan pelbagai implikasi membahayakan umat Islam pada masa depan kerana ia mengelirukan,” katanya.Selain itu, Mohamad Adzib berkata, MAIS berpendirian keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan menetapkan Islam agama rasmi Persekutuan dan keputusan itu juga bertentangan dengan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang digubal berasaskan Perkara 11(4) Perlembagaan negara, katanya.Beliau menegaskan, penggunaan kalimah Allah bagi merujuk agama bukan Islam tidak wajar dibicarakan di mahkamah kerana institusi itu bukan forum sesuai membincangkannya memandangkan ia perkara ‘non-justiciable’ di bawah bidang kuasa raja-raja Melayu.

Beliau turut memohon campur tangan Majlis Raja-raja selaku Ketua Agama Islam negeri-negeri selaras sumpah raja-raja Melayu untuk mempertahankan Islam pada setiap masa.“Selain itu ialah mendesak Kerajaan Persekutuan menetapkan kes-kes berkaitan agama Islam tidak lagi dibicarakan di Mahkamah Sivil terutama melibatkan Hakim bukan Islam,” katanya.

Komen :

Jadi apa sebenarnya yang Khalid Samad ini mahukan. Adakah beliau masih lagi mahu menegakkan benang yang basah? Adakah beliau mahu cuba " menderhaka " dengan melanggar titah Sultan Selangor yang juga Ketua Ugama Islam Negeri Selangor Darul Ehsan? Ingat Khalid Samad, anda cuma bertandang datang ke Negeri Selangor ini? Hormatlah sedikit dengan adat-adat istiadat Melayu Islam di Negeri Selangor. Hormatlah dengan Ketua Agama Islam Negeri Selangor iaitu Baginda Sultan Selangor?

Cuba anda lakukan perkara yang sama di negeri kelahiran anda di Negeri Johor? Adakah anda akan dilayan dengan apa yang anda dapat di Negeri Selangor. Jangan lupa dengan kata-kata perumpamaan orang Melayu, masuk kandang kambing mengembek : masuk kandang lembu menguak!!! Hormat sikit dengan titah Baginda Sultan Selangor.

Jangan jadi syirik dan kufur. Jangan lagi hiris perasaan orang Melayu Islam di negeri Selangor dan juga dinegeri-negeri lain di negara ini. Jangan cuba nak menghasut orang Islam dengan cara anda bersekongkol dengan pihak Kristian? Adalah lebih molek jika anda sendiri jadi Kristian sebagai pegangan ugama anda dari jadi seorang Islam yang KUFUR? MasyaAllah...

Warna-warni politik
Torashah

Rabu, 13 Januari 2010

Kes Saman Gantirugi RM800 juta kepada Timbermine!

Barisan Nasional (BN) Kelantan mempunyai bukti lengkap menunjukkan kes ganti rugi RM800 juta yang perlu dibayar kerajaan negeri kepada sebuah syarikat bukan berpunca daripada kesilapan pentadbiran kerajaan BN sewaktu memerintah negeri itu sebelum ini.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun pimpinan kerajaan Pas Kelantan hari ini meletakkan kesalahan itu kepada kerajaan BN namun fakta yang ada menunjukkan sebaliknya.

“Kita ada maklumat lengkap bahawa Pas memang bersalah dalam isu ini dan kerajaan juga sedang mengumpul pelbagai maklumat lain lagi. Semua fakta yang ada menunjukkan mereka bersalah,” katanya. Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bercakap pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan Menteri Perdagangan dan Industri Mesir, Eng Rachid Mohamed Rachid di Menara Matrade di sini hari ini.

Hadir sama timbalan beliau, Datuk Mukhriz Mahathir. Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengulas pengakuan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, bahawa UMNO tidak bersalah sepenuhnya dalam isu itu.

Semalam, Husam berkata, kerajaan negeri tidak meletakkan sepenuhnya kesalahan ke atas bahu pemimpin UMNO yang mentadbir Kelantan pada era sebelum Pas. Sebaliknya, kata Husam, kerajaan negeri semasa akan bertanggungjawab mencari penyelesaian melalui mahkamah untuk menghadapi kes itu.

Kenyataan itu berbeza dengan pendirian Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Pesuruhjaya Pas III Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang menyalahkan kerajaan BN kerana Pas terpaksa mewarisi kesilapan tersebut. Mengulas lanjut, Mustapa berkata, berikutan kenyataan Husam itu, kerajaan Pas Kelantan kini terpaksa menelan malu setelah Nik Aziz dan Mohd. Amar sebelum itu membuat tuduhan sebaliknya.

“Ini bukan kali pertama Pas membuat kenyataan menyalahkan BN atas masalah yang mereka tanggung. “Mereka membuat secara melulu sehingga akhirnya wujud percanggahan pendapat di kalangan mereka sendiri kerana fakta menunjukkan sebaliknya. “Itulah cara Pas berpolitik.

Mereka politikkan semua isu bagi meraih sokongan rakyat walaupun sebagai kerajaan negeri, parti itu perlu bertanggungjawab menyelesaikan masalah bukan menuding jari kepada pihak lain,” katanya. Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan kerajaan negeri membayar ganti rugi RM800 juta kepada Timbermine kerana melanggar kontrak pada tahun 1964.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 12 Januari 2010

Pegawai gereja terharu terima kunjungan Nik Aziz !

Kesediaan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat tiga gereja petang tadi menimbulkan rasa terharu pihak gereja.

Perasaan terharu itu dinyatakan oleh Pegawai Penyambut Tamu Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta dekat sini, Calvin Jacob yang juga sempat mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Kelantan itu kerana sudi mengunjungi mereka.

Menurut Calvin, Datuk Nik Abdul Aziz telah meluahkan rasa simpati di atas apa yang telah berlaku ke atas gereja itu yang dibaling dengan bom buatan sendiri pada minggu lalu.“Saya telah mempelawa beliau masuk ke dalam gereja untuk melawat namun kerana ketika itu pengunjung gereja sedang melakukan kegiatan mingguan mereka, beliau menolak dengan baik.

“Jika cuaca tidak hujan saya bercadang untuk membawa beliau meninjau di sekeliling gereja, tetapi saya sempat maklumkan kepadanya tentang keadaan gereja yang tidak mengalami apa-apa kerosakan lantaran bom yang dilontar itu tidak meletup,” jelas Calvin lagi.

Sebelum itu, Tuan Guru telah mengunjungi Gereja St Francis Xavier di Jalan Gasing juga dekat sini untuk meninjau dan menyampaikan rasa simpatinya terhadap kejadian tidak bermoral pihak tertentu yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Terdahulu, sebelum ke Petaling Jaya, Nik Aziz telah ke Gereja Metro Tabernacle di Taman Melawati yang dibakar. Di situ, beliau telah memberikan sumbangan peribadi beliau kepada wakil gereja.Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa mengunjungi gereja yang sama bagi melahirkan rasa simpati PAS kepada tindakan membakar gereja itu.

Sehingga kini sudah tujuh kes gereja cuba dibakar selepas Mahkamah Tinggi memutuskan akhbar Kristian The Herald boleh menggunakan perkataan Allah dalam laporannya.
PAS mengambil sikap, Kristian berhak menggunakan perkataan Allah itu kerana semua agama samawi sememangnya menggunakan Allah sebagai tuhan namun Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pro kepadanya membantah dan mula membuat kenyataan dan perhimpunan panas membantahnya.

Komen : Tahniah kepada ahli-ahli PAS dan para Pemimpin-pemimpinnya kerana telah menjadi KUFUR apabila menyokong tindakan pihak gereja Khatolik dimana dengan tidak secara langsung dengan sokongan PAS ini telah menyekutukan Allah swt...MasyaAllah!

Teringat kata-kata Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib iaitu , keputusan mahkamah itu merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima kerana ia jelas melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama rasmi negara.

"Penerbitan bahan-bahan mengenai Kristian menggunakan perkataan Allah boleh mengelirukan penganut agama Islam di negara ini. Maka, kerajaan perlu bertegas dan ia tidak salah kerana selari dan selaras dengan Perlembagaan."Isu ini amat sensitif, seperti kes Natrah, walaupun saya tidak suka merujuk kepada peristiwa yang sudah lama berlaku itu tetapi kita tidak boleh mengambil sikap mudah dengan berharap semua pihak tidak akan merujuk peristiwa itu," katanya. Wallahuallam

Warna-warni Politik
Torashah

Sabtu, 9 Januari 2010

PM kutuk serangan gereja!

Datuk Seri Najib Tun Razak mengutuk dua kejadian serangan ke atas gereja dan satu laporan kes ugutan semalam yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, dipercayai ekoran isu kalimah Allah.

Tegas Perdana Menteri, perbuatan terkutuk itu akan menghancurkan keharmonian yang selama ini dinikmati oleh seluruh rakyat negara ini. Serentak itu, beliau mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memastikan pihak berkuasa meningkatkan kawalan terhadap rumah-rumah ibadat termasuk gereja.

“Kepelbagaian agama sebagai satu amalan hidup yang kita saling hormat menghormati antara satu sama lain tidak boleh digugat oleh sesiapa. “Kerajaan akan mengambil apa jua tindakan yang mampu dilakukan untuk mencegah perbuatan seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di sini hari ini. Perdana Menteri mengulas dua kejadian membakar gereja dengan sengaja di Lembah Klang pada awal pagi ini.

Dua buah gereja terbabit ialah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja The Assumption di Jalan Templer, Petaling Jaya. Laporan media menyebut, sekumpulan pemuda membaling bahan-bahan mudah terbakar ke arah tingkat bawah gereja The Metro Tabernacle yang terletak pada sebuah lot kedai dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu.

Sementara itu, pada pukul 4 pagi, bom petrol dilaporkan dilontarkan ke gereja The Assumption namun tiada kerosakan berlaku. Perdana Menteri menegaskan, semua pihak perlu menggunakan kaedah dan saluran yang sesuai dalam menangani sebarang masalah yang berbangkit dalam negara.

“Kita tidak boleh ambil tindakan yang melampaui batas undang-undang sehingga boleh mengancam keharmonian negara,” katanya. Dalam hal ini, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menuding jari kepada mana-mana pihak sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan rapi ke atas insiden berkenaan.

“Apa juga tindakan yang diambil perlu berasaskan kepada fakta dan undang-undang negara,” katanya. Kepada soalan adakah beliau memerlukan laporan terkini dari semasa ke semasa daripada Musa mengenai kejadian berkenaan, beliau berkata:

“Saya tidak perlukan laporan dari minit ke minit tetapi saya sudah bercakap dengan beliau (Musa) semalam dan hari ini serta bercakap juga dengan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein). “Jika bukti-bukti diperoleh (mengenai kejadian itu), laporan akan diberikan kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, beliau telah mengarahkan pihak polis mengambil tindakan berjaga-jaga dengan rancangan kumpulan yang mengadakan demonstrasi hari ini berhubung isu kalimah Allah. “Saya harap dengan kenyataan dan tindakan polis, orang ramai tidak akan melanggar undang-undang negara,” katanya. - UM

Warna-warni Politik

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor