Selasa, 25 November 2008

Kenyataan Dangkal Seorang Profesor Bernama P. Ramasamy!

Baru-baru ini semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kita dikejutkan dengan kenyataan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy yang menyalahkan rejim pemerintahan lama dan dasar UMNO sebagai punca wujudnya ketidakseimbangan kaum dalam sektor awam di negeri itu. Beliau menuduh UMNO yang menjadi penyebab berlakunya ketidakseimbangan dalam pengambilan kakitangan.

P. Ramasamy berkata, kerajaan campuran negeri mahu memastikan pelantikan kakitangan awam di negeri tersebut seimbang bagi setiap kaum dan bukan didominasi oleh kaum tertentu sahaja. Tuduhan liar yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu secara terang-terangan merupakan pandangan yang membuta- tuli dan berbaur politik. Kenyataan Ramasamy itu memang bertujuan untuk memecahbelahkan kaum dengan mengaitkan isu tersebut serta menuduh UMNO sebagai puncanya.

Bagi penulis ini adalah satu perbuatan dan tujuan yang sangat keji seolah-olah ianya satu mainan politik yang mahu memporak perandakan masyarakat majmuk di negara ini. Kenyataan P.Ramasamy ini seakan-akan senada dengan tindakan Hindraf yang menyalahkan kerajaan BN yang ditunjangi oleh UMNO apabila masalah kaum India tidak dapat diselesaikan oleh mereka sendiri.

Sebagai seorang Profesor, sepatutnya P.Ramasamy membuat kaji selidik dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang telah menyakitkan hati orang Melayu kenapa pembabitan kaum India dan Cina sangat kurang didalam sektor awam di Pulau Pinang dan juga seluruh negara. Tidak cukupkah dengan tindakan Hindraf yang telah melukakan perasaan orang Melayu dengan tuduhan-tuduhan yang tidak masuk akal?

Apakah P.Ramasamy telah lupa akan Kontrak Sosial tentang pengorbanan orang Melayu yang menerima kaum India dan Cina sebagai warga negara Persekutuan Tanah Melayu selepas merdeka? Apakah P.Ramasamy telah lupa akan kata-kata Tun V.T. Sambanthan Merangkap Menteri Kerjaraya, Pos Dan Telekom, semasa berucap di Dewan Rakyat Pada 1 Jun 1965.

P.Ramasamy perlu ingat sebelum “ revolusi industri ” berlaku dinegara ini iaitu zaman semasa Tun Mahathir mula-mula memerintah pada awal tahun 80-an peluang pekerjaan amatlah kurang sekali terutamanya di sektor swasta. Berapa ramaikah kaum India yang bekerja disektor awam pada ketika itu seperti JKR, JPT, LLN, Talikom dan majlis-majlis daerah dan perbandaran. Tentu ramaikan!

Berapa ramaikah diantara mereka yang menikmati faedah-faedah yang diterima sebagai kakitangan kerajaan semasa didalam perkhidmatan dan juga selepas pencen. Berapa ramai dikalangan anak-anak mereka yang berjaya didalam pelajaran dan kehidupan mereka. Adakah P.Ramasamy hendak menutup mata dengan menafikannya. Semasa revolusi industri bermula, pelabur-pelabur dari luar negara telah mula memindahkan operasi pengeluaran mereka ke Malaysia.

Semenjak dari itu hinggalah sekarang kaum India sudah mula menjauhkan diri dari sektor awam kerana hendak bekerja di sektor swasta yang memberi pulangan yang tinggi berbanding dengan sektor awam. Ini adalah fakta. Sebab itu P.Ramasamy janganlah sewenang-wenangnya hendak salahkan kerajaan jika peluang pekerjaan disektor awam sekarang dipandang dingin oleh masyarakat kaum India.

Berapa ramai yang datang memohon apabila peluang pekerjaan dibuka kepada umum. Amat menyedihkan. Mereka lebih berminat di sektor swasta kerana pulangan yang tinggi. Penulis rasa P.Ramasamy sendiri tahukan jawapannya. Jadi tak perlulah cuba mencari isu yang boleh menyakitkan hati orang lain. Beliau perlu tahu yang proses pemilihan kakitangan sektor awam diuruskan di bawah pentadbiran awam dan bukannya mana-mana parti politik.

Jangan lupa ada juga ramai kakitangan pentadbiran awam yang menyokong pembangkang semasa PRU ke-12 yang lalu. Tengok sahaja keputusan pilihanraya di PutraJaya. Berapa banyak undi yang diperolehi oleh pembangkang? P.Ramasamy perlu ingat yang kenyataan dangkal seperti ini perlu dielakkan bagi mengelakkan sesuatu yang buruk akan berlaku dalam hubungan kaum dinegara ini.

Nasihat kepada P.Ramasamy supaya jangan lupa sejarah pembentukan Tanah Melayu. Ingat, kaum Melayu sudah banyak berkorban sejak sebelum merdeka supaya kaum-kaum lain dapat hidup dengan amam dan damai dinegara ini. Hormatilah sedikit perasaan orang Melayu.

Taminsari
Shah Alam

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor