Khamis, 25 September 2014

Istiadat angkat sumpah Azmin di Istana Alam Shah 'suram'?


Berbeza seperti sebelum ini, istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar yang baharu, Mohamed Azmin Ali di Istana Alam Shah di sini hari ini kelihatan agak 'suram'.

Tidak ramai tetamu dijemput termasuk wartawan yang dihadkan untuk media arus perdana sahaja menyebabkan kira-kira separuh daripada jumlah kerusi yang disediakan dalam balairung seri dipenuhi.

Kelibat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang sebelum ini dicalonkan sebagai Menteri Besar oleh suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak kelihatan.

Antara yang hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Hannah Yeoh dan empat Exco kerajaan negeri daripada Pas iaitu Iskandar Abdul Samad, Dr. Halimah Ali, Dr. Ahmad Yunus Hairi serta Sallehen Mukhyi

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pihak istana tidak menjemput ramai tetamu bagi istiadat kali ini.


"Kita tidak jemput Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seperti lazimnya.

"Kita jemput tetamu tertentu seperti Exco kerajaan negeri, Speaker DUN dan pegawai-pegawai kerajaan," katanya ketika ditemui dalam majlis istiadat angkat sumpah Menteri Besar yang baharu.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR secara rasminya hari ini menjadi Menteri Besar ke-15 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Azmin tiba di balairung seri, Istana Alam Shah kira-kira pukul 10.20 pagi, lengkap dengan persalinan baju Melayu tradisional, bersamping, memakai tengkolok dan keris bersama isteri, Shamsidar Taharin dan enam anaknya.

Dalam istiadat itu yang bermula pukul 10.30 pagi, Azmin mengangkat sumpah sambil memegang Lembing Sembuana diikuti lafaz 10 Aku Janji jawatan Menteri Besar Selangor yang perlu dilaksanakannya sepanjang menjawat kedudukan tersebut.

ADUN Bukit Antarabangsa itu kemudiannya menandatangani Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor sambil disaksikan oleh Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Dalam majlis sama, Azmin turut dilantik sebagai Ahli Dewan Diraja Negeri Selangor seperti yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.

Majlis berkenaan berakhir kira-kira pukul 11 pagi.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor