Sabtu, 15 Mac 2014

Malaysia-Mauritius saling mencontohi?

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mustapa Mohamed (kiri) melawat bilik pameran dan jualan Proton dan Perodua yang terletak bersebelahan di Pailles, Mauritius.

Pada Selasa lalu, hampir semua jalan utama di Port Loius, Mauritius dipasang bendera negara itu dan Jalur Gemilang. Turut dipasang poster wajah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sememangnya kehadiran Perdana Menteri untuk melakukan lawatan rasmi tiga hari yang sepatutnya bermula pada Selasa lalu amat dinanti-nantikan oleh kerajaan Mauritius di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Navinchandra Ramgoolam.

Lawatan itu dianggap penting kerana ia bukan sahaja akan mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara tetapi juga sebagai penghormatan kepada Malaysia yang dijemput untuk menjadi tetamu kehormat pada upacara sambutan ulang tahun ke-46 kemerdekaan Mauritius pada Rabu lalu.

Bagaimanapun Najib terpaksa membuat keputusan menangguhkan lawatan tersebut berikutan kehilangan pesawat MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing Sabtu lalu.

Walaupun persiapan rapi sudah dibuat oleh kerajaan Mauritius namun mereka memahami situasi kerajaan Malaysia yang menugaskan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mewakili Perdana Menteri bagi meneruskan lawatan yang sudah lama dirancang.

Sudah pastilah peristiwa kehilangan pesawat tersebut turut menjadi perhatian kerajaan Mauritius yang melahirkan rasa simpati terhadap apa yang berlaku. Navinchandra yang menerima kunjungan hormat Mustapa berharap operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang giat dijalankan akan berjaya.

Mustapa meneruskan misi Perdana Menteri untuk meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara khususnya dalam bidang politik dan ekonomi. Tambahan pula, Mauritius sememangnya mengagumi kejayaan Malaysia khususnya dalam aspek kerjasama antara kerajaan dan swasta.

Bagi memastikan impian mereka tercapai, Mauritius bersedia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu Kumpulan Industri Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) tidak lama lagi.

Draf MoU itu yang sedang diteliti oleh kerajaan Mauritius akan membuka laluan kepada penubuhan pusat kerjasama antara MIGHT dan Mauritius.

Penubuhan pusat ini amat penting kerana ia bukan sahaja membuka peluang kepada Mauritius untuk mencontohi kejayaan Malaysia dalam pelbagai bidang tetapi juga membuka ruang kepada Malaysia meningkatkan pelaburan dan menambahkan nilai dagangan dengan Mauritius yang ketika ini dianggap rendah.

Berikutan itu, misi lawatan Perdana Menteri yang diwakili oleh Mustapa turut disertai oleh beberapa individu yang menjadi peneraju kepada syarikat-syarikat dan institusi kewangan di Malaysia.

Antaranya Naib Presiden Eksekutif Perbendaharaan dan Pasaran Modal Bank Muamalat Malaysia Berhad, Adi Asri Baharom, Pengarah Urusan Kumpulan Bina Puri Holdings Berhad, Tan Sri Tee Hock Seng dan Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd.Noor.

Kehadiran mereka boleh dijadikan isyarat betapa seriusnya hasrat Malaysia untuk meningkatkan pelaburan dan perdagangan di Mauritius - salah sebuah negara yang paling kaya dan maju di benua Afrika.

Dalam bidang politik pula, jaminan yang diberikan oleh Navinchandra bahawa Mauritius bukan sahaja akan menyokong pencalonan Malaysia sebagai anggota tetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2015-2016 tetapi juga melobi negara-negara lain termasuk Eropah, sudah pastilah menggembirakan Malaysia.

Ketika ini negara anggota ASEAN dan Asia Pasifik sudah menyatakan kesediaan menyokong Malaysia bagi tujuan itu.

Selain itu, dalam bidang politik juga salah satu perkara yang boleh dicontohi oleh ahli-ahli politik Malaysia khususnya pakatan pembangkang ialah bagaimana kerajaan Mauritius mampu mentadbir dengan tenang dan aman untuk memajukan negara itu walaupun hanya mempunyai kelebihan lima kerusi sahaja di Parlimen.

Penulis diberitahu, keadaan itu berlaku kerana parti-parti pembangkang di Mauritius tidak mempolitikkan segala-galanya demi meraih sokongan rakyat. Apa yang mereka lakukan ialah membentangkan dasar dan perancangan masing-masing apabila pilihan raya umum berlangsung dan bukannya mahu berpolitik sepanjang masa seperti mana pakatan pembangkang di negara kita.

Dalam bidang pendidikan pula, Malaysia sememangnya menjadi tumpuan pelajar Mauritius untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) namun mereka menghadapi masalah dari segi permohonan visa.

Isu ini dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin Mauritius termasuk Presidennya, Rajkeswar Purryag yang mengadakan pertemuan dengan Mustapa dan ia sekali gus menunjukkan kerajaan Mauritius mahu ia diselesaikan segera memandangkan mereka melihat Malaysia mempunyai IPT yang terkenal di seluruh dunia .

Dalam berhadapan dengan keluhan Mauritius ini, Mustapa memberi jaminan Malaysia akan berusaha menyelesaikan masalah itu memandangkan Malaysia mahu menjadi hab pendidikan.

“ Saya akan mengetengahkan isu ini kepada Kementerian Pendidikan tetapi dalam masa yang sama memahami bidang tugas Jabatan Imigresen Malaysia yang mahu memastikan hanya warga asing yang ingin menjadi pelajar tulen sahaja mendapat visa melanjutkan pelajaran di negara kita," katanya kepada wartawan Malaysia.

Kesimpulannya, biarpun lawatan Perdana Menteri diwakili Mustapa tetapi misi tetap berjaya kerana bak kata seorang ahli perniagaan Mauritius, sesungguhnya Malaysia mempunyai ‘pasukan jurujual’ yang hebat bermula daripada Perdana Menteri hinggalah kepada pegawai-pegawai khususnya Kementerian Luar dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta MIGHT.

Sememangnya kekaguman negara asing terhadap Malaysia dan mahu menjadikan negara kita sebagai model bukanlah luar biasa tetapi yang luar biasanya apabila ada dalam kalangan rakyat Malaysia di tanah air tidak tahu bersyukur dengan apa yang dinikmati akibat terpengaruh dengan politik merebut kekuasaan.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor