Isnin, 21 Julai 2014

'Ada orang terlalu tamak mahu jadi MB' - Chegu Bard?


Kemelut perebutan jawatan Menteri Besar Selangor dikatakan berlaku ekoran terdapat individu yang begitu tamak mahukan jawatan itu.

Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau yang digantung keahlian, Badrul Hisham Shahrin berkata, sebarang keputusan untuk membuat perubahan perlu dilakukan secara lebih berhati-hati dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk kepentingan istana tanpa melupakan rakyat.

Beliau berkata, perkara itu perlu diletakkan sebagai keutamaan tertinggi dan bukannya atas pertimbangan politik.

"Keputusan yang mahu dibuat perlu ikut kehendak rakyat, kalau rakyat masih perlukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (sebagai Menteri Besar Selangor) maka kita perlu akur, jika tidak parti akan dihukum.

"Masalah ini sebenarnya berlaku kerana ada orang tamak sangat nak jadi Menteri Besar. Oleh itu saya mengingatkan Azmin Ali yang dikaitkan dengan dakwaan salah urus tadbir Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), jangan melarikan diri, selesaikan masalah itu terlebih dahulu sebelum kamu mimpi nak tadbir negeri," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghantar surat bagi memohon maklum balas daripada pimpinan tertinggi PKR berhubung aduan berkaitan pemilihan parti, di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Abdul Khalid kini dilaporkan menjadi mangsa pergolakan dalaman PKR apabila kepimpinan parti itu mendesak beliau meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Beliau semalam bagaimanapun menegaskan akan terus memegang jawatan itu sehingga penggalnya berakhir pada 2018 dan tidak akan sesekali tunduk kepada desakan daripada mana-mana pemimpin PKR yang mahukannya meletak jawatan dalam kadar segera.

Dalam surat itu, Badrul Hisham yang dikenali sebagai Chegu Bard mendakwa beliau telah mengemukakan berbelas aduan berkaitan pemilihan parti, namun tidak ada satu pun tindakan diambil.

Katanya, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) telah pun menerima keseluruhan 400 aduan, tetapi kesemuanya didiamkan.

"Saya turut mendesak JPP tampil memberi penjelasan adakah wujud dua prosedur berbeza penggantungan ahli biasa dengan mereka yang berjawatan tinggi?

"Saya buat aduan demi menjaga parti, siapa yang nak dipersalahkan jika aduan didiamkan, desakan tidak dipedulikan? Jangan hanya dengan perkembangan ini kita jadi bahan lawak dalam arus politik negara," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor