Jumaat, 3 Mei 2013

'Khalid jangan tipu kami'?

Ahmad Ibrahim menunjukkan laporan akhbar mengenai janji Kerajaan PKR Selangor untuk memberikan lot tanah kepada penduduk Sungai Tengar Utara di Sabak Bernam, Selangor, semalam.

SABAK BERNAM - Sebanyak 300 penduduk di Sungai Tengar Utara di sini kecewa dengan tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menolak permohonan mereka untuk mendapatkan tapak rumah bagi penempatan baru di kawasan itu walaupun pemohon sudah melunaskan bayaran proses sejumlah RM380.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung tersebut, Ahmad Ibrahim berkata, apa yang menyedihkan tapak tanah yang dimohon itu telah diberikan kepada anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Beliau berkata, selepas menolak permohonan rakyat, kerajaan negeri juga didakwa cuba untuk menyogok penduduk supaya menutup mulut mengenai kegagalan permohonan tersebut apabila memberi sebanyak RM120 kepada setiap pemohon.

"Dua hari selepas proses penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 300 pemohon menerima cek sebanyak RM500 daripada PKPS. Perkara itu menimbulkan keraguan kerana sepatutnya pemulangan semula hanya RM380, jadi penduduk mengesyaki RM120 adalah duit untuk mereka tutup mulut mengenai hal ini.

"Situasi ini hanya menimbulkan kemarahan penduduk, tanah yang kami mohon bukan hanya bernilai RM120, kami juga mempunyai integriti, jadi kami mempersoalkan mengapa terdapat lebihan bayaran kepada kami," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.


Pada Mei 2010, kumpulan 300 penduduk kampung itu membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan tanah kira-kira 0.1 hektar setiap seorang sebagai tapak rumah yang keseluruhannya melibatkan keluasan kira-kira 35 hektar.

Menurut Ahmad, permohonan tersebut membabitkan penduduk yang masih belum mempunyai tanah untuk membina rumah tetapi kerajaan negeri seolah-olah mempermainkan rakyat.

"Kalau tidak mahu bagi, cakap awal-awal, jangan tipu kami dan suruh kami bayar duit permohonan. Ini macam mempermainkan perasaan kami orang kampung. Kami rasa tertipu apabila diperlakukan begini. Kami difahamkan duit yang kami bayar itu ialah kos untuk mengupah juruukur iaitu RM350 manakala RM30 lagi ialah duit borang," katanya.

Kata Ahmad, pihakya akan bangkit membuat bantahan jika PKPS membangunkan tanah tersebut tanpa membuat perbincangan dengan penduduk kampung Sungai Tengar Utara.

Sementara itu, seorang pemohon, Ahmad Ismail, 61, berkata, penduduk kampung rasa diperbodohkan oleh kerajaan negeri apatah lagi setiap pemohon menerima semula wang permohonan yang dibayar sebelum ini termasuk wang tambahan sebanyak RM120.

"Saya ingin tanya Menteri Besar, adakah nilai kami ini hanya RM120? Janganlah buat kami orang kampung macam ini, sebab kami semua sudah isi borang, tiba-tiba dibatalkan. Jangan ingat dengan duit RM120 ini, boleh pujuk dan tutup mulut kami," katanya.

Seorang lagi penduduk, Alsa Alis, 47, juga terkejut apabila dimaklumkan permohonan penduduk terbabit telah ditolak tanpa diberikan alasan oleh kerajaan negeri.

"Ini satu pembohongan dan penipuan terang-terangan kepada orang kampung. Kami semua yang layak sudah menjalani pemilihan yang mengesahkan kami orang di sini dan sudah lama menetap di sini tetapi ini pula jadinya," katanya.

Warna-warni Politik
Belantan

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor