Khamis, 16 September 2010

Shamsul kencing seluar : ' Berniat jahat, ganggu siasatan polis '!

Polis digesa supaya menahan dan menyoal siasat Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd. Akin, berhubung tuduhannya yang mengaitkan pasukan keselamatan itu dengan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd. Zahid Md. Arip berkata, tuduhan tidak berasas tersebut bukan sahaja berniat jahat dan biadab tetapi turut bertujuan mengganggu siasatan polis semata-mata demi mengejar kepentingan politik peribadi.

Sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai menghina kecekapan polis menyelesaikan kes pembunuhan Sosilawati, beliau berkata, siasatan terhadap Shamsul Iskandar mungkin dapat membantu pihak berkuasa mendapat petunjuk baru berhubung kematian mangsa dan tiga rakannya.

"Sedang kita memuji kecekapan polis menyelesaikan kes berprofil tinggi ini dalam masa yang singkat, Shamsul Iskandar sebaliknya tampil dengan tuduhan liar yang biadab tanpa mempedulikan perasaan keluarga semua mangsa yang dibunuh dengan kejam.

"Saya percaya sebagai pengamal undang-undang, Shamsul Iskandar mungkin mengenali suspek utama yang juga seorang peguam. Mungkin mereka pernah bekerjasama dan semua kebarangkalian tersebut perlu disiasat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas tuduhan liar Ketua Angkatan Muda Keadilan itu yang mengaitkan kepimpinan tertinggi pasukan polis sebagai terbabit dalam pembunuhan kejam Sosilawati dan tiga rakannya ketika ditemuramah oleh portal berita propembangkang, TV Selangor, Isnin lalu.

Selain itu, Shamsul Iskandar turut mempersoal sama ada wujud pertalian antara bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dengan suspek memandangkan tiada sebarang tindakan diambil terhadap peguam yang bergelar 'Datuk' itu walaupun mempunyai empat rekod berkait pembunuhan serupa.

Mengulas lanjut, Mohd. Zahid mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengambil tindakan tegas dengan segera terhadap mana-mana pihak yang mengadu-domba kes pembunuhan itu bagi mengelakkan ia menjadi modal politik murahan.

"Saya yakin jika tidak dibendung, pembangkang tanpa mempedulikan perasaan ahli keluarga mangsa akan menjaja isu ini sebagai modal politik mereka," katanya.

Mengenai tuduhan terhadap Musa pula, beliau mahu bekas Ketua Polis Negara itu tampil mengambil tindakan undang-undang terhadap Shamsul Iskandar kerana tohmahan yang dilemparkan bukan sahaja memburukkan institusi kepolisan tetapi bukti pembangkang berdendam dengan ketegasan Musa.

Dalam pada itu, Mohd. Zahid mempersoalkan kenapa DAP langsung tidak bersuara bagi mengutuk pembunuhan kejam tersebut, sedangkan sebelum ini parti berkenaan gah mendakwa organisasi mereka sebagai sebuah parti yang memperjuangkan hak semua pihak.

"Apakah tindakan membisu ini mempunyai kaitan dengan dakwaan yang mengatakan bahawa suspek utama adalah ahli seumur hidup parti tersebut. Jika benar (dakwaan itu), ternyata DAP sebuah parti hipokrit yang hanya memperjuangkan kepentingan kaum tertentu sahaja," katanya.

Sementara itu : Polis akan panggil Shamsul Iskandar

Polis akan memanggil Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd. Akin bagi merakamkan percakapannya berhubung tuduhan yang mengaitkan pasukan keselamatan itu dengan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, Shamsul Iskandar perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua tuduhan yang dilemparkan dan jika gagal mengemukakan bukti, beliau bakal dikenakan tindakan undang-undang.

"Jika tidak tahu fakta sebenar jangan bercakap ikut sedap mulut. Inilah kenyataan paling merepek yang pernah saya dengar dan kita akan memanggil beliau untuk dirakam percakapan bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap dakwaan yang dilemparkan.

"Beliau perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan kenyataan yang telah dibuat dan jika gagal mengemukakan sebarang bukti, kita akan mendakwa beliau di mahkamah selepas semua siasatan dilengkapkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Kepada soalan sama ada sudah ada laporan polis dibuat berhubung tuduhan itu, Khalid berkata sehingga kini tiada laporan diterima pihaknya.

Dalam pada itu, Khalid memberi ingatan kepada semua pemimpin politik agar tidak mempolitikkan pembunuhan Sosilawati serta kes-kes jenayah lain semata-mata untuk kepentingan agenda sempit mereka atau bakal berdepan dengan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

"Jangan jadi ahli politik yang tiada kerja sehingga asyik hendak mempolitikkan isu-isu seperti ini. Pergilah buat kerja yang lebih baik untuk rakyat," tegasnya.-UM

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor