Rabu, 8 September 2010

Mana RM600,000?

Penduduk kecewa negeri gagal selesai masalah di Pangsapuri Permai Indah

Kegagalan pentadbiran pakatan pembangkang menunaikan segala janji yang dibuat sebelum ini, mula mendapat rungutan pelbagai pihak termasuk yang terbaru daripada penduduk Pangsapuri Permai Indah, Pandamaran Jaya, Klang dekat sini. Mereka terlalu kecewa dengan kepimpinan kerajaan negeri yang didakwa hanya tahu berjanji tetapi gagal melaksanakannya.

Janji yang dibuat kerajaan negeri untuk memberi bantuan RM600,000 bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang berlaku di kawasan perumahan terbabit yang sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu belum diterima penduduk.

Seorang penduduk, A Athy, 33, berkata mereka berhadapan pelbagai masalah seperti lif rosak, sampah sarap dan yang terbaru ialah bekalan air dipotong Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) kerana penduduk gagal melunaskan tunggakan masing-masing.

“Keadaan prasarana di sini juga sudah uzur terutama sistem pencegahan kebakaran yang boleh membahayakan keselamatan penduduk dan harta benda mereka,” katanya kepada Sentral.

Rahmah Mat Piah, 60, berkata masalah dihadapi itu sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu, tetapi sehingga sekarang masih belum ada penyelesaian dilakukan kerajaan negeri. "Mula-mula masalah lif rosak yang sehingga kini belum ditangani. Selepas itu masalah sampah yang tidak dipungut dan kini masalah terbaru ialah bekalan air penduduk dipotong,” katanya.

Beliau berkata, selepas bekalan air dipotong, penduduk terpaksa mengangkat air dari tingkat bawah menggunakan tangga kerana lif rosak. “Saya sendiri terpaksa berbuat demikian, tetapi bernasib baik kerana rumah saya di tingkat satu,” katanya.

Mengenai lif rosak, Rahmah berkata, beliau pernah terperangkap dalam lif berkenaan hampir dua jam sebelum diselamatkan penduduk. "Saya terlalu takut dan hanya mampu menangis kerana terlalu lama terperangkap dalam lif itu. Saya bernasib baik selepas ada orang yang lalu depan lif dan terdengar suara saya menangis,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MCA Klang, Datuk Teh Kim Poo, berkata kerajaan Selangor seharusnya mengotakan janjinya kepada penduduk di pangsapuri itu kerana masalah berkenaan bukan saja sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu, malah boleh membahayakan keselamatan penduduk terutama kanak-kanak.

"Dulu kerajaan negeri janji akan beri bantuan RM600,000 bagi menyelesaikan masalah ini, tetapi sehingga kini janji hanya tinggal janji,” katanya.

Beliau berkata, slogan 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' oleh kerajaan negeri hanya retorik kerana pentadbiran sekarang hanya menumpukan perhatian kepada kawasan perumahan mewah dan mengabaikan kebajikan golongan berpendapatan rendah seperti yang tinggal di pangsapuri ini.

"Cuba lihat bagaimana kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Klang (MPK) memasang kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa kawasan perumahan mewah seperti di Taman Palm Groove, Taman Selatan dan Taman Chi Liung di sini.

“Sepatutnya perbelanjaan untuk membeli CCTV itu didahulukan kepada rakyat yang lebih memerlukan, termasuk di Pangsapuri Permai Indah," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor