Rabu, 22 September 2010

Motif pemberian RM4 billion jadi tanda tanya!

Sumbangan peribadi RM4 bilion daripada seorang ahli perniagaan, Abdul Rahim Abdul Wahab kepada Pas negeri menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak mengenai tujuan utama pemberiannya.

Ini kerana, wang tersebut diberikan selepas Abdul Rahim yang juga Pengerusi Eksekutif I'DA World Group Sdn. Bhd. (I'DA World) mendakwa syarikatnya telah diberikan kelulusan Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) bernilai RM1 trilion yang akan dimulakan di Tumpat pada 15 November ini.

Sehubungan itu, Pengerusi Orang Muda Anti Korupsi Kelantan (Ombak), Anuar Safian mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tampil menyiasat mengenai wang tersebut.

"Dakwaan seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana sejak akhir-akhir ini memang wujud banyak penyelewengan kerajaan negeri yang sedang dipantau oleh kita.

"Oleh itu, SPRM perlu menyegerakan siasatan ke atas kes tersebut yang sampai sekarang masih lagi di awang-awangan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada majlis pelancaran projek tersebut di sebuah hotel terkemuka di sini malam kelmarin, Abdul Rahim membuat kejutan apabila mengumumkan sumbangan peribadi bernilai RM4 bilion kepada kerajaan negeri.

Bagaimanapun, tiada Exco Kelantan kelihatan bagi mewakili Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ke majlis berkenaan sebaliknya replika cek terbabit hanya disampaikan kepada seorang individu dikenali sebagai Nik Din yang mendakwa dirinya adik kepada Nik Abdul Aziz.

Selain menerima replika cek berkenaan, Nik Din turut mewakili kerajaan negeri menandatangani papan simbolik pelancaran projek berkenaan yang tertera nama Nik Abdul Aziz.

Abdul Rahim yang didakwa sebagai lelaki bumiputera terkaya dunia di kalangan orang yang hadir ke majlis tersebut turut menyumbangkan 'zakat' sebanyak RM1 trilion untuk projek S7 termasuk pembinaan lebuh raya 10 lorong menghubungkan Kelantan, Perak, Kedah, Perlis sehingga ke Sang Lang, Thailand.

Dakwa Abdul Rahim, kelulusan tersebut telah diberikan oleh Nik Abdul Aziz kepadanya melalui sepucuk surat rasmi pada petang sebelum pelancarannya.

Sementara itu, Anuar berkata, SPRM juga perlu mendedahkan status terkini semua kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan melibatkan kerajaan negeri.

"Rakyat Kelantan tertanya-tanya tentang kedudukan kes tersebut yang sampai sekarang masih lagi kabur," tegasnya.

Dalam pada itu, laman web I'DA World iaitu idaworldgroup.com.my telah memaparkan kepala surat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bertarikh 19 September yang memberikan persetujuan terhadap projek S7.

Surat tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Mustafa Salleh.

Sementara itu : Pas perlu jelaskan kepada rakyat

Pihak berkuasa digesa menyiasat dengan segera 'sumbangan' RM4 bilion oleh syarikat I'DA World Group Sdn. Bhd. (I'DA World) kepada Pas Kelantan.

Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Mohd. Zahid Md. Arip berkata, adalah sesuatu yang mengejut dan meragukan apabila sebuah syarikat sanggup 'mendermakan' sebegitu besar wang tunai.

Sambil menyifatkan 'kemurahan hati' syarikat tersebut sebagai pertama kali dalam sejarah Malaysia, beliau turut mempersoalkan adakah sumbangan berkenaan sebagai satu rasuah yang diamalkan oleh Pas.

"Pihak berkuasa seperti polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat syarikat ini dan kerajaan Pas Kelantan kerana jumlah sumbangan itu menimbulkan pelbagai persoalan.

"Pas Kelantan perlu menjelaskan kepada rakyat kenapa sebuah syarikat begitu bermurah hati mahu mendermakan RM4 bilion kepada mereka," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang memetik I'da World sebagai berkata, sumbangan RM4 bilion itu bertujuan membangun dan menambah baik infrastruktur di sempadan Rantau Panjang, Kelantan.

Bagaimanapun, Pengerusi Eksekutif I'DA World, Abdul Rahim Abdul Wahab menafikan sumbangan itu mempunyai kaitan dengan projek mega Seri Tujuh di Tumpat, Kelantan yang bernilai RM313.71 bilion yang dimenangi oleh syarikat tersebut.

Menurut Mohd. Zahid, SPRM perlu menyiasat sama ada wujud unsur rasuah atau tidak dalam pemberian 'sumbangan' berkenaan kerana sumbangan dibuat atas nama Pas Kelantan dan bukannya kerajaan negeri.

Tambahnya, jika benar 'sumbangan' itu bertujuan membangunkan kawasan persempadanan Rantau Panjang dan tiada kaitan dengan penganugerahan projek Seri Tujuh, derma itu sepatutnya dibuat atas nama kerajaan negeri.

Pada masa yang sama, beliau mahu LHDN menyiasat sama ada syarikat terbabit menjelaskan cukai pendapatan seperti sepatutnya memandangkan, I'DA World berkemampuan untuk menderma sebanyak RM4 bilion.

"Jika I'DA World mampu menderma sehingga RM4 bilion, sudah pasti cukai pendapatan yang sepatutnya dijelaskan juga tinggi, tetapi persoalannya adakah syarikat ini melaksanakan tanggungjawab berkenaan," soalnya.

Mengenai penafian Exco kerajaan negeri, Datuk Nik Amar Abdullah yang mendakwa kononnya projek Seri Tujuh tidak pernah dibincangkan secara rasmi oleh kerajaan Pas Kelantan, Mohd. Zahid berkata, Exco tersebut cuba memperbodohkan rakyat Kelantan.

Jelasnya, adalah mustahil Nik Amar selaku Exco kerajaan negeri tidak mengetahui tentang penganugerahan projek berkenaan kerana ia membabitkan kos RM313.71 bilion.

Warna-warni politik
Torashah..

Tiada ulasan:

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor