Khamis, 30 Jun 2011

Latar jana ekonomi Kuala Selangor!

LATAR yang tidak mengenakan bayaran tol selma dua bulan sehingga 31 Ogos depan, dijangka membantu menjana ekonomi di kawasan pantai barat Selangor.

Pembukaan Lebuh raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) baru-baru ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan lebih pesat di koridor antara ibu negara dan Kuala Selangor sehingga ke Sabak Bernam.

Lebuh raya itu juga dijangka menjadi pintu masuk ke beberapa lokasi pelancongan menarik di kawasan pantai barat Selangor yang kini kurang menjadi pilihan orang ramai kerana 'sukar' untuk dikunjungi.

Ketua Pegawai Eksekutif Latar, Amran Amir berkata, lebuh raya sepanjang 33 kilometer yang dimulakan pembinaannya pada Oktober 2008 dengan kos sebanyak RM958 juta itu akan melalui beberapa kawasan yang sedang membangun.

Antara kawasan yang pasti mendapat manfaat, katanya, adalah seperti Kuala Selangor, Assam Jawa, Ijok, Bestari Jaya, Kota Puteri, Puncak Alam, Bukit Jelutong dan Sungai Buloh.

Menurutnya, dengan adanya Latar, pembangunan di situ akan bertambah rancak kerana kesemua kawasan itu kini mempunyai akses lebih mudah, selesa dan cepat ke ibu negara serta bandar utama lain seperti Petaling Jaya dan Shah Alam.

"Penduduk di sekitarnya adalah yang paling banyak menerima manfaat terutama di empat persimpangan utama iaitu di Ijok, Puncak Alam, Kuang dan Taman Templer yang sebelum ini mengambil masa yang panjang untuk tiba," katanya di sini, baru-baru ini.

Amran berkata, lebuh raya yang mempunyai tiga buah plaza tol dan dua hentian rehat dan rawat itu menawarkan perjalanan yang lebih pantas dan selamat kepada pengguna dengan mengambil masa hanya 18 minit dari hujung ke hujung.

"Sebelum ini, perjalanan menggunakan jalan utama Sungai Buloh-Kuala Selangor akan mengambil masa lebih daripada 60 minit pada hari yang lancar.

"Lebuh raya ini juga akan memberi akses kepada Guthrie Expressway, Lebuh raya Utara-Selatan (PLUS) dan akan datang, Lebuh raya Pantai Barat, sekali gus menjadi penjana kepada pertumbuhan koridor Pantai Barat Selangor," ujarnya.

Dari segi pelancongan, beliau berkata, pihaknya memasang papan tanda khas bagi memastikan pelancong serta pelawat tidak akan terlepas destinasi yang hendak dituju.

Katanya, antara lokasi menarik yang terdapat berhampiran Latar termasuk habitat kelip-kelip, ladang buah-buahan, sawah padi, destinasi memancing, Taman Rimba Komanwel dan beberapa padang golf.

Jelasnya, Latar merupakan sebahagian daripada perancangan untuk mewujudkan Jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR) bagi menyuraikan kesesakan lalu lintas sepanjang Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2) tanpa melalui pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Beliau berkata, lebuh raya yang dilengkapi dengan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) dengan pusat kawalan trafik 24 jam itu mempunyai 17 kemudahan kamera litar tertutup (CCTV).

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor