Rabu, 22 Jun 2011

Khir pinjam RM3 juta!

Seorang pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pinjaman sebanyak RM3 juta diluluskan untuk bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo membeli dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 di sini pada Mei 2007.

Bekas Pengurus Pusat Pelanggan Premier Bank HSBC Cawangan Petaling Jaya, Chuah Yew Tan berkata, jumlah itu diluluskan selepas hartanah tersebut ditaksirkan bernilai RM3.5 juta oleh seorang penilai hartanah daripada Rahim & Co.

“Selepas mendapat nilai hartanah tersebut, saya memproses permohonan pinjaman Mohamad Khir. Pinjaman sebanyak RM3 juta diluluskan pada bulan Mei 2007,’’ katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar.

Menurut saksi pendakwaan ke-14 itu, beliau menghubungi Mohamad Khir selepas Pengurus Kanan HSBC cawangan tersebut, Hamdan Ali memaklumkan bahawa bekas Menteri Besar Selangor yang merupakan pelanggan premier ingin membuat pinjaman bagi membeli hartanah bernilai antara RM3 juta dan RM3.5 juta.

Beliau kemudiannya menghubungi penilai hartanah, Choy Yue Kwong daripada Rahim & Co bagi menilai hartanah tersebut kerana pinjaman hanya akan diberikan sebanyak 90 peratus daripada nilai atau harga belian.

“Saya pergi melihat hartanah tersebut bersama seorang pegawai bank, Andriane Tan Hock Aun, penilai dan pemilik hartanah, Datuk Shamsuddin Hayroni. Saya nampak bangunan yang sedang diubah suai.

“Selepas mendapat surat taksiran nilai hartanah daripada Rahim & Co, saya hantar melalui faksimile surat itu kepada Mohamad Khir sebagaimana yang diminta oleh beliau,’’ jelasnya.

Pada prosiding hari ini, saksi turut menjelaskan bahawa pelanggan premier ialah mereka yang mempunyai simpanan tetap sebanyak RM200,000 di bank tersebut.

Sementara itu, bekas Setiausaha Kerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Alias Abu Bakar pula mengesahkan bahawa Mohamad Khir mempengerusikan beberapa mesyuarat Ahli Jawatankuasa Penswastaan sepanjang tahun 2007 dan 2008.

Beliau yang menghadiri mesyuarat-mesyuarat tersebut turut bertanggungjawab mencatat serta menyediakan minit mesyuarat yang kesemuanya dikemukakan kepada mahkamah sebagai bahan bukti hari ini.

Terdahulu, Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menasihatkan para petugas media agar lebih berhati-hati pada masa hadapan dengan memastikan laporan yang dibuat adalah benar dan tepat.

Beliau berkata demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed memaklumkan terdapat laporan yang silap di sebuah laman web berhubung prosiding semalam.

Katanya, berita itu melaporkan Bekas Pengurus Besar PKNS, Datuk Harun Salim mengaku bahawa tindakan memberi pengecualian kepada syarikat milik Shamsuddin, Roniaga Sdn. Bhd. daripada bon pelaksanaan adalah sesuatu yang jarang dilakukan selepas ditanya oleh Hakim Mohtarudin.

Sedangkan soalan tersebut tidak ditanya dan jawapan tersebut tidak diberikan oleh saksi itu.

Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zaharah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas melalui Shamsuddin, 53.

Hartanah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan yang masuk hari kelapan hari ini bersambung esok.

Warna-warni politik
Torashah..

Tiada ulasan:

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor