KETIKA ditanya mengenai pengundi mana yang akan menjadi tumpuan utama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pengundi adalah penting bagi Barisan Nasional (BN) kerana 'mereka adalah raja yang akan menentukan nasib kita.'
Justeru sebagai 'raja' sebelum membuat keputusan siapa yang paling layak menjadi ahli Parlimen Hulu Selangor melalui pilihan raya kecil pada Ahad ini, mereka perlulah mengamalkan pendekatan mendengar, berfikir dan memutuskan.
Ia kerana nasib masa depan kawasan itu bergantung kepada keputusan penting yang mereka lakukan. Mereka mempunyai hanya dua pilihan sahaja memilih calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan atau calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.
Mereka perlu mendengar siapakah yang membentangkan fakta dan siapa pula yang asyik melemparkan fitnah.
Selain itu berfikirlah siapa yang berpolitik untuk memperjuangkan nasib rakyat dan siapa pula yang berpolitik semata-mata untuk merebut kekuasaan.
Selepas mendengar dan berfikir, maka putuskanlah siapa paling layak untuk menjadi wakil kepada suara rakyat Hulu Selangor. Kamalanathan yang mewakili sebuah parti yang berjaya atau Zaid yang mewakili sebuah parti penuh propaganda.
Tembelang PKR sudah jelas apabila semakin ramai yang meninggalkan parti itu, manakala di Selangor pula, kerajaan negeri yang diketuai oleh PKR tidak menunaikan apa yang dijanjikan dalam pilihan raya umum lalu.
Ini berbeza dengan kerajaan BN yang sejak lebih 50 tahun lalu telah berjaya membawa negara ini ke arah kemajuan dan memastikan kesejahteraan rakyat terbela. Malahan gagasan '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' boleh menjadi sandaran utama kepada rakyat.
Ia kerana di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN dengan dibantu oleh Muhyiddin, tiada seorang pun wakil rakyat BN yang akan terselamat jika sepanjang perkhidmatan, mereka gagal menunjukkan prestasi memuaskan.
Keadaan itu berbeza dengan pakatan pembangkang terutamanya PKR yang siang malam hanya tahu berpolitik sahaja dan tidak mengambil peduli prestasi wakil rakyat mereka, bagi mereka yang penting menang pilihan raya. Akhirnya yang menjadi mangsa ialah pengundi-pengundi yang sebelum ini termakan dengan janji-janji pembangkang.
Oleh itu, tidak salahnya jika pengundi yang bakal menjadi 'raja' untuk menentukan nasib kedua-dua parti membuat keputusan bijak. Mungkin sebelum ini ada wakil rakyat BN yang telah 'mencalarkan' imej parti itu kerana tidak menunjukkan perkhidmatan yang baik di Hulu Selangor.
Tetapi itu bukan salah BN atau Kamalanathan yang baru kali pertama bertanding. Sebab itu mereka perlu mendengar apa yang BN hendak katakan, berfikir apa yang BN janjikan dan kemudian menentukan pendirian.
Janganlah terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang menuduh kerajaan BN zalim melalui pembentangan fakta-fakta yang mengelirukan. Dengar, fikir dan tentukan apakah yang pembangkang katakan benar atau tidak.
Kalau kerajaan zalim dan tidak adil seperti mana dakwaan pembangkang sudah lama mereka tidak wujud di bumi Malaysia dan lebih penting daripada itu memetik kata-kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ''sudah lama rakyat negara ini kebuluran".
Justeru, mereka tidak boleh menelan bulat-bulat apa yang difitnah oleh pembangkang kerana pengundi ada telinga untuk mendengar, ada akal untuk berfikir dan kuasa untuk menentukan siapa yang benar.
BN Mampu Berubah. Sayangi Selangor, Yakini Barisan Nasional ( BN ).
Warna-warni politik
Torashah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan