Khamis, 15 April 2010

Hulu Selangor : Kamalanathan janji rampas kerusi P94.

Calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Hulu Selangor P Kamalanathan berkata beliau akan berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan kerusi parlimen itu kepada BN, dan menjadikan kejayaan itu sebagai hadiah MIC kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Calon kali ini bukan calon BN sahaja tetapi calon 1Malaysia. Kita berpegang teguh kepada konsep 1Malaysia ini dan akan memperkukuhkan konsep ini di Hulu Selangor," katanya kepada pemberita di Hulu Selangor.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Kamalanathan, 44, yang juga Ketua Penerangan MIC dan Penyelaras Nasional bagi pergerakan Putera MIC, sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen itu yang akan diadakan pada 25 April ini.

Sambil berjanji tidak akan mengecewakan BN, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Najib, Muhyiddin, dan semua ketua-ketua parti komponen BN di atas kepercayaan penuh yang diberikan mereka.

"Perjuangan BN biasanya kalau nak bersihkan sungai, dimulakan dari hulu. Kita mulakan dari Hulu Selangor ini untuk membersihkan Selangor," katanya. Kamalanathan, atau dikenali lebih mesra dengan panggilan Kamal, bukanlah muka baru dalam politik, di mana blogger aktif itu menyertai MIC sejak 25 tahun lalu.

Beliau dicalonkan bagi merebut kerusi parlimen Hulu Selangor, yang pernah dimenangi oleh Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel yang menjadi Anggota Parlimen kawasan itu selama empat penggal, iaitu dari 1990 hingga 2008, sebelum kalah pada pilihan raya umum Mac 2008.

Kamalanathan yang mengendalikan blog http://www.pkamalanathan.com/ pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Majlis Penggalakan Minyak Sawit Malaysia (Mpoc) sebelum menyertai syarikat Serba Wangi Sdn Bhd (JATI),(anak syarikat Bernas) pada 2001.

Pada tahun 2004, beliau diberi penghormatan oleh Institut Perhubungan Awam Malaysia yang memberi pengiktiradan terhadap usahanya membangunkan "Majlis Pelbagai Kaum Terbaik di Malaysia bagi tahun 2004".

Kamalanathan dilantik sebagai ketua penerangan MIC pada perhimpunan agung parti itu September lepas sebagai sebahagian daripada langkah presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu untuk mengukuhkan parti. Beliau yang berkahwin dengan S.Shobana, seorang pengurus kanan perhubungan awam sebuah hospital swasta, memulakan kariernya sebagai kerani di Associated Pan Malaysia Cement Sdn Bhd pada 1985 sebelum menjadi pegawai perhubungan awam dengan MPOPC selama enam tahun.

Beliau juga pernah bertugas sebagai pengurus perhubungan awam bagi syarikat Carotino dan lain-lain syarikat milik kerajaan. Beliau memiliki sijil dalam bidang perhubungan awam dari London Chambers of Commerce and Industry in England dan juga diploma dalam bindang penterjemahan (Dewan Bahasa dan Pustaka), dan Ijazah Sarjana Muda dalam Perhubungan Awam dari Edith Cowan University di Australia.
Kamalanathan juga merupakan Anggota Majlis Perbandaran Selayang dari 2004 hingga 2006.Baru-baru ini beliau menghasilkan sebuah dokumentari yang bertajuk 'The Truth' untuk RTM yang memaparkan kejayaan dan pencapaian komuniti India di Malaysia.

Sebelum itu : Samy Vellu terima pencalonan Kamalanathan
Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berkata beliau menerima dengan hati terbuka calon yang dinamakan oleh BN untuk pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini. Beliau berkata keputusan untuk menamakan ketua penerangan MIC, P Kamalanathan sebagai calon pilihan raya kecil itu diperakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan parti menghormatinya.
"Kamalanathan calon yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu memandangkan beliau berpendidikan tinggi dan juga fasih dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia dan Tamil," katanya, lapor Bernama. "Beliau turut terbabit dalam banyak aktiviti sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan selama bertahun-tahun dan ini akan memberi beliau peluang mendapatkan pendekatan untuk berkhidmat kepada rakyat dengan baik.
"Saya hanya boleh mencadangkan seorang calon namun keputusan muktamad terletak dalam tangan perdana menteri," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman pencalonan Kamalanathan untuk pilihan raya kecil itu dekat Hulu Selangor hari ini.
Samy Vellu turut memberi jaminan bahawa tidak akan wujud sebarang masalah dengan cawangan MIC setempat, yang dikatakan mengugut untuk menutup operasi jika Timbalan Presiden MIC Datuk G Palanivel tidak dicalonkan.
"Cawangan MIC akan bekerja keras memandangkan calon itu daripada MIC. Mereka (pemimpin cawangan) biasanya tidak akan sabotaj (dalam perkara berkaitan siapa yang dipilih sebagai calon). Kami dalam MIC belum lagi belajar cara-caranya," katanya. Samy Vellu berkata Najib akan bertemu Palanivel apabila beliau kembali dari Amerika Syarikat bagi menyelesaikan beberapa perkara.
"Saya percaya Najib mahu beliau (Palanivel) terus berkhidmat sehingga pilihan raya umum akan datang dan beliau boleh menjadi calon bagi kawasan pilihan raya yang baru."Palanivel akan menjadi presiden MIC kemungkinan besar dalam masa 13-14 bulan lagi. Selepas menjadi presiden, beliau akan berpeluang memilih calon untuk mewakili MIC dalam pilihan raya.
Barangkali, beliau juga boleh memilih kerusi yang dirasakannya bagus untuk ditandinginya," katanya.Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada Parti Keadilan Rakyat pada 25 Mac.Pencalonan akan diadakan di Kuala Kubu Baru pada Sabtu ini.
Warna-warni Politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor