Selasa, 20 April 2010

P94 Hulu Selangor : Asyik memfitnah, parti sendiri bergoncang!

DR. Halili Rahmat (kiri) ketika membuat sidang akhbar mengenai pengisytiharannya keluar PKR dan masuk UMNO di Petaling Jaya, semalam. Di sebelahnya bekas Setiausaha Agung PKR, Salehuddin Hashim.


KETIKA pembangkang ghairah melancarkan pelbagai tuduhan dan fitnah kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang bermula pada Sabtu lalu, mereka menerima tamparan hebat, semalam.

Segalanya berlaku apabila Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Selangor, Datuk Dr. Halili Rahmat mengumumkan keputusannya keluar daripada parti itu untuk menyertai UMNO.

Mungkin seperti biasa pemimpin-pemimpin pembangkang terutamanya PKR akan membuat pelbagai dakwaan berikutan tindakan itu. Mereka akan menuduh BN menjadi dalang manakala Dr.Halili pula kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon.

Hakikatnya, kita tidak perlu terkejut dengan tuduhan seumpama itu kerana demikian sikap pembangkang. Kalau ada yang meninggalkan parti tersebut pelbagai tuduhan akan dibuat tetapi apabila seseorang itu menyertai pakatan, maka 'segala dosa-dosa' individu berkenaan seolah-olah 'terampun'.

Namun persoalannya sampai bilakah pemimpin pembangkang terutamanya Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bala tenteranya akan terus menafikan kebenaran dan cuba menegakkan pembohongan serta penafian.

Mereka boleh mentafsir atau menuduh apa sahaja kepada pemimpin yang meninggalkan parti itu tetapi yang pastinya PKR kini semakin porak-peranda kerana hari demi hari, seorang demi seorang pemimpin parti tersebut meninggalkan 'bahtera' yang belayar tanpa destinasi tersebut.
Kebenaran tetap kebenaran, ia tidak boleh dinafikan dengan penafian apatah lagi hanya berdasarkan kepada hujah-hujah seorang pemimpin yang merasakan pakatan merekalah yang paling sempurna di muka bumi Allah ini.

Tindakan Dr. Halili sudah menjadi bukti bahawa pemilihan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon PKR untuk bertanding di Hulu Selangor tidak mendapat restu pemimpin dan ahli-ahli parti itu sendiri. Segalanya kerana Anwar membuat keputusan sendiri dan lebih mementingkan undi kaum tertentu, justeru seperti mana kata bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, Anwar mengikut sahaja telunjuk DAP yang dikatakan mahu Zaid bertanding.

Ini sekali gus bermakna, Pas yang dianggap mempunyai jentera terbaik di kalangan pembangkang di dalam pilihan raya perlu bekerja bagi memenangkan seorang calon yang bukannya dipilih secara sebulat suara oleh pakatan tersebut tetapi oleh Anwar dan DAP seperti mana kata Mohamad Khir.

Walaupun PKR berhujah bahawa Zaid adalah calon terbaik mereka tetapi kenapakah dalam usia baru setahun jagung, beliau secara tiba-tiba dipilih sebagai calon parti itu. Apakah selama ini di dalam PKR tidak ada calon yang setanding Zaid? Bukankah PKR yang ditubuhkan sejak tahun 1999 mempunyai ramai pemimpin yang setia dan sentiasa ke hadapan bagi mempertahankan Anwar tetapi akhirnya diketepikan apabila berlaku pilihan raya?

Ertinya, mereka hanya 'gurkha' yang dikerahkan bekerja untuk parti tetapi 'tidak layak' bertanding dalam pilihan raya sehinggakan Anwar dengan sokongan DAP memilih Zaid.
Apapun terserahlah kepada pengundi menilai perkembangan terbaru ini, mereka mempunyai pilihan untuk terus memilih PKR yang semakin goyah atau memilih BN melalui calonnya, P. Kamalanathan bagi memastikan mereka tidak disia-siakan.


Pengundi perlu tolak PKR


Pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor perlu membuka mata dan mengambil iktibar daripada tindakan Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Selangor, Datuk Dr. Halili Rahmat keluar daripada parti itu hari ini. Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan itu membuktikan perjuangan PKR kini semakin tidak boleh dipercayai oleh pemimpin-pemimpinnya sendiri.

''Jika pemimpin seperti Dr. Halili pun sudah hilang kepercayaan kepada perjuangan PKR, bagaimana pula dengan pengikut-pengikut parti tersebut? Sampai bila mereka tidak mahu menerima hakikat sebenar," katanya ketika dihubungi di sini. Dalam pengumuman yang dilakukan di Petaling Jaya, Dr. Halili berkata, beliau mengambil tindakan keluar parti selepas mendapati PKR sudah tersasar jauh daripada perjuangan asal ketika menyertainya pada 1999.

Noh berkata, berdasarkan perkembangan terbaru itu, para pengundi tidak harus memberi sokongan kepada calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini, sebaliknya menyokong calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan.

''Ia memandangkan pergolakan di dalam parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu semakin buruk. Kalaulah Dr. Halili yang rapat dengan Anwar boleh bertindak keluar daripada parti, maka pengundi pun tidak perlu menaruh keyakinan kepada kepimpinan PKR lagi," katanya. Beliau menegaskan, pemilihan Zaid sebagai calon membuktikan PKR gemar memperkudakan pemimpin yang baru menyertai parti itu demi kepentingan pihak-pihak tertentu.

''Selain itu, segala janji PKR kepada rakyat juga adalah palsu kerana ia dilakukan semata-mata untuk menang pilihan raya," katanya yang merupakan Pengarah Pilihan Raya BN bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Noh juga menasihatkan Dr. Halili supaya bertenang dan bersabar menghadapi segala tuduhan yang dilemparkan oleh para pemimpin PKR berikutan tindakan yang diambilnya. ''Saya mendapat maklumat Dr. Halili kini berada dalam keadaan tertekan, dihina dan sebagainya tetapi beliau perlu bertenang kerana tindakan tersebut adalah untuk kepentingan agama, bangsa dan negara," ujarnya.


Bukti PKR bukan sebuah parti yang baik


Tindakan keluar parti oleh beberapa pemimpin dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara berterusan membuktikan parti itu bukanlah sebuah parti yang baik. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sekiranya sesebuah parti itu baik tidak mungkin pemimpinnya yang mempunyai kedudukan tinggi dan berpendidikan akan mengambil tindakan sedemikian.

''Mereka keluar parti berdasarkan pertimbangan mereka sendiri terhadap parti itu. Secara tidak langsung ia jelas membuktikan parti itu kini berada dalam keadaan porak peranda. ''Kalau kita lihat mereka yang keluar parti itu mempunyai kedudukan yang tinggi dalam PKR. Mereka berpendidikan dan mempunyai pengaruh tersendiri," katanya yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Ramah Mesra 1Malaysia bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Serigala, Sungai Selisik Hulu Bernam di sini hari ini. Beliau diminta mengulas tindakan beberapa pemimpin dan ahli parti itu yang mengambil keputusan untuk meninggalkan parti itu disebabkan kecewa dengan pentadbiran Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, kecewa dengan tindakan Anwar memilih Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon PKR di Hulu Selangor yang disifatkan mempunyai rekod moral memalukan, dua pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengumumkan keluar parti serta-merta. Mereka ialah Ketua AMK Bahagian Shah Alam, Nor'isham Manap dan timbalannya, Muhammad Ali Mukhtar.

Selain Nor'isham dan Muhammad Ali, kira-kira 200 ahli parti berkenaan di Pulau Pinang bertindak keluar daripada parti tersebut secara beramai-ramai semalam kerana kecewa dengan pucuk pimpinan parti. Hari ini, Bendahari PKR Hulu Selangor, Datuk Dr. Halili Rahmat mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO.

Dalam perkembangan lain, Shafie berkata, tindakan calon bebas VS. Chandran menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini merupakan suatu perkembangan baik. ''Saya berharap beliau (Chandran) akan membantu BN untuk merampas kembali Parlimen Hulu Selangor daripada PKR," katanya.

Jom, pakat keluar ramai-ramai...!


BN Mampu Berubah. Sayangi Selangor, Yakini Barisan NAsional ( BN ).



Warna-warni Politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor