Ahad, 18 April 2010

P94 & Awang Selamat : Zaid kaki....!


Anwar Ibrahim mendakwa BN khususnya UMNO gelabah sebaik sahaja beliau mengumumkan Zaid Ibrahim sebagai calon PKR bagi pilihan raya kecil Hulu Selangor. Menurut beliau, Zaid adalah nama besar, popular dan sudah teruji dalam politik.

Awang hanya senyum. Reaksi di peringkat akar umbi terutama penduduk Hulu Selangor cukup berlainan. Malah yang gelabah ialah ahli-ahli PKR dan Pas. Mereka terkejut kerana Zaid dijadikan sandaran pada ketika beliau diwarnai kontroversi. Mencalonkan mantan menteri dan bekas pemimpin UMNO itu seperti sengaja menempah kekalahan.

Zaid sendiri adalah liabiliti politik jika dinilai daripada kehidupan sisinya. Maka terpacullah reaksi spontan yang melabelkan beliau sebagai kaki itu dan kaki ini. Sehinggakan Naib Presiden PKR, Azmin Ali terpaksa tampil meminta sesiapa sahaja yang mendakwa Zaid kaki botol, agar membuktikannya.

Walaupun PKR meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu itu tetapi pemilihan Zaid, dipersoalkan. Beliau dilihat sebagai Melayu liberal dan lebih Barat dari Barat. Lebih buruk daripada itu, beliau bersama-sama Anwar telah melakukan banyak tindakan yang menggugat kepentingan Melayu dan mempertaruhkan agama demi kuasa politik. Dosa beliau terhadap orang Melayu cukup besar.

Imej elit dan kekayaannya menjadikan beliau tidak sedar diri terhadap tuntutan mempertahankan kepentingan bangsa. Dalam ruangan ini dua minggu lalu, Awang mencabar Zaid agar berikrar untuk menjunjung dan mempertahankan sepenuhnya Perlembagaan negara tetapi sampai sekarang, beliau tidak menyahut cabaran itu.

Lalu Awang boleh faham mengapa beliau sukar mendapat sokongan akar umbi ketika berada dalam UMNO. Beliau pernah ditolak bertanding kerana tidak cukup pencalonan. Ramai masih ingat isu rasuah politik yang menyebabkan beliau digantung keahlian dan kontroversi lain.
Kini dalam tempoh berkempen, Zaid dahagakan sokongan Melayu termasuk penyokong Pas. Tetapi tidak lama dulu beliaulah orang paling kuat menentang pelaksanaan Hudud dan Qisas di Terengganu ketika di bawah pemerintahan Pas.

Beliau juga kerap menghentam parti itu. Awang percaya para penyokong Pas tidak mudah menerima Zaid. Walaupun ada pemimpin Pas memaafkan beliau untuk tujuan politik, itu tidak mencerminkan sentimen keseluruhan. Di hati kecil majoriti penyokong Pas, Zaid tidak boleh dipercayai. Sebenarnya hanya DAP yang gembira dengan pemilihan beliau.

Ini kerana Zaid dilihat sentiasa membawa aspirasi parti rasis itu. Bagi Anwar, semua itu tidak penting, yang lebih penting Zaid mampu meraih sokongan pengundi Cina. Pada firasat Awang, ada sebab tersembunyi mengapa Zaid dicalonkan. Beliau adalah calon yang mempunyai masalah moral. Anwar sememangnya memerlukan calon seperti itu yang dapat mengurangkan tumpuan terhadap isu-isu yang beliau hadapi sekarang.

Anwar melangkah ke pentas pilihan raya kecil kali ini dengan semakin banyak isu yang tidak memihak kepada beliau. Lebih-lebih lagi dengan tindakan keluar parti ramai pemimpin PKR. Pendedahan demi pendedahan ramai sahabatnya terhadap pembohongan Anwar, telah menyebabkan ketua pembangkang itu makin tertekan.

(Hasil lawatan Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat memberikan tamparan hebat kepada Anwar. Presiden Barrack Obama dan pemimpin lain tidak membangkitkan langsung soal Anwar sebaliknya mengiktiraf peranan Malaysia kepada dunia di bawah kepimpinan Najib. Dakwaan Anwar bahawa banyak negara terutama AS menyokong kuat beliau dalam kes liwat ternyata meleset.)

Sebab itu, Awang tidak terkejut mengapa calon berwibawa dan bersih seperti Dr. Halili Rahmat tidak dipilih. Seandainya beliau dipilih, beban dan sasaran kempen adalah kepada isu moral Anwar semata-mata. Secara tidak langsung, Zaid diperlukan untuk mengalihkan perhatian daripada isu Anwar. Timbul pula persoalan apakah pemilihan Zaid menyebabkan Anwar sudah kurang memberikan perhatian kepada Naib Presiden, Azmin Ali?

Walaupun Zaid makin menonjol, itu tidak bermakna Azmin mula terpinggir. Awang dapat tahu, Azmin tetap istimewa dan tiada mana-mana pemimpin dapat mengatasinya. Bukan sahaja kerana dia sudah lama membantu Anwar malah banyak menyimpan rahsia. Azmin juga tidak mungkin meninggalkan PKR kerana terlalu terhutang budi kepada Anwar. Dengan kata lain, tidak mengapa jika Zaid terkorban tetapi bukan Azmin. Ia bagaikan ada misteri.

Segala-galanya misteriiii...!
Wallahuallam.

Warna warni Politik
Torashah

Tiada ulasan:

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor