Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam melahirkan rasa kesal berikutan sikap pihak tertentu semakin lantang mempersoalkan kedudukan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu. Ketika bertitah pada Majlis Perasmian Pembinaan Semula Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz di Jalan Templer di sini, semalam, baginda turut kecewa dan sedih apabila suara lantang mempersoalkan kedudukan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu datangnya daripada orang Melayu sendiri.
Kata baginda, perkara itu sudah dipersetujui sebelum negara mencapai kemerdekaan yang termaktub dalam Perlembagaan negeri dan Persekutuan.
"Beta berasa kesal sejak kebelakangan ini tersebar di media elektronik dan media cetak suara-suara lantang yang mempersoalkan kedudukan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu di negara ini.
"Apa yang lebih menyedihkan beta, suara lantang ini datangnya daripada orang Melayu sendiri yang biadap, tidak berbudi bahasa dan tidak berasa segan atau malu," katanya.
Hadir sama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud. Baginda juga menunaikan solat Jumaat di masjid itu yang diimamkan Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid. Baginda juga dukacita dan bimbang terhadap orang Melayu di negeri itu yang berpecah belah disebabkan berlainan fahaman politik.
Titah baginda, pepatah Melayu ada menyatakan "Takkan Melayu Hilang" tetapi disebabkan keadaan kucar-kacir di kalangan orang Melayu, adakah orang Melayu akan kekal di dunia.
"Jawapannya tentulah kekal, tetapi apalah gunanya jika orang Melayu itu tidak bertamadun, tidak dihormati dan boleh dipermainkan serta diperalatkan. Sudah lupakah orang Melayu sejarah negara ini...di mana kesepakatan serta bersatunya orang Melayu, tercapailah kemerdekaan tanah air yang kita kasihi ini," titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah, orang Melayu diasuh dari zaman nenek moyang lagi di atas landasan adat istiadat, budi bahasa, bersopan santun, hormat menghormati dan sentiasa bermuafakat. Bagaimanapun, baginda bertanyakan di mana landasan itu sekarang yang meletakkan orang Melayu sebelum ini dihormati dan disegani.
"Di manakah orang Melayu sekarang. Negara baru mencapai kemerdekaan setengah abad, orang Melayu telah bercakaran, hilang maruah, hilang budi pekerti disebabkan terlalu ghairah untuk merebut kuasa hingga sanggup menggadai bangsa dan negeri.
"Beta telah berkali-kali menyeru kepada orang Melayu di negeri ini supaya menghormati dan mempercayai satu sama lain. Jika orang Melayu sentiasa menyimpan syak wasangka antara satu dengan lain, akan menimbulkan rasa curiga, sangsi dan cemburu yang menyebabkan timbul fikiran dan tindakan negatif sesama rakyat jelata," kata baginda.
UM - Torashah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan