Rabu, 25 Mac 2009

Berubah atau rebah!

NAJIB merasmikan Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di Dewan Merdeka PWTC, malam tadi.







* Najib mahu Umno perbetul visi, hala tuju.
* Ubah sistem kuota, beri akar umbi hak memilih .

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib Razak menegaskan, Umno mesti berubah serta berhenti daripada dikaitkan dengan politik wang dan sebarang amalan siasah yang tidak sihat bagi memenangi semula hati dan pemikiran rakyat, khususnya orang Melayu.

Timbalan Presiden Umno berkata, situasi hari ini menuntut parti itu sebagai wahana perdana politik orang Melayu, memperbetulkan kembali visi dan hala tujunya, sekali gus mengenal pasti langkah untuk mengubah semula Umno supaya kembali menjadi parti pilihan orang Melayu.

"Jadinya, mahu tidak mahu, kita mesti berubah untuk kepentingan rakyat. Berubah dari sikap mazmumah kepada sikap mahmudah. Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat.

"Berubahlah, jika tidak, kita rebah," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian serentak persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, malam tadi. Dalam ucapan bertemakan 'Menakhoda Zaman', yang terakhir olehnya selaku Timbalan Presiden Umno sebelum mengambil alih kepemimpinan parti apabila perhimpunan agung berakhir Sabtu ini, Najib berkata prestasi terburuk parti pada Pilihan Raya Umum ke-12 berkait rapat dengan kelemahan yang menular dalam Umno.

Pada persepsi ramai, katanya, hala tuju Umno menyimpang jauh daripada perjuangan asal, menyebabkan sejumlah besar rakyat yang dahulunya bersama Umno menukar haluan mereka. Justeru, tugas perwakilan kali ini paling berat dalam sejarah Umno kerana ia bakal menentukan survival parti. "Berbeza tahun pemilihan lalu, yang dipertaruhkan kali ini bukan hanya sejumlah jawatan. Bukan pula sekadar kedudukan atau status mana-mana individu.

Yang dipertaruhkan sebenarnya ialah survival Umno itu sendiri. "Keputusan bakal kita ambil sepanjang persidangan kali ini akan menentukan masa depan parti sama ada akan terus mencipta dan melakar sejarah atau menjadi sebahagian lipatan sejarah," katanya sambil meminta perwakilan memilih pasukan yang setia, berintegriti, berkebolehan dan berdedikasi.

Najib turut menggariskan dua langkah segera bagi memperbetulkan semula visi dan hala tuju Umno. Langkah pertama, ialah mengemas kini pendidikan dan pengkaderan politik pada semua peringkat ahli supaya mereka mendapat kefahaman secukupnya dan menjadi penyokong celik mengenai sejarah parti, sekali gus mewujudkan kesetiaan berasaskan keyakinan terhadap perjuangan Umno.

"Kita tidak boleh mengambil mudah proses ini yang sebenarnya menjadi punca kepada jatuh bangun sesebuah tamadun dan bangsa. Jadi, kita perlu memperkukuhkan proses pendidikan dan pengkaderan melalui kursus politik secara terancang, berperingkat lagi tersusun berdasarkan kurikulum digubal khas merangkumi pendedahan sejarah, pembinaan jati diri dan esprit de corps," katanya.

Langkah kedua ialah mengubah cara Umno menentukan pemimpin termasuk sistem kuota dengan memberikan hak memilih ke tangan kumpulan yang lebih besar. Ketika ini, pemilih bagi perhimpunan Agung Umno hanya di kalangan hampir 2,600 perwakilan dari 191 bahagian. "Sudah tentu keputusan yang dibuat perwakilan sejumlah itu tidak mencerminkan sepenuhnya hasrat lebih tiga juta ahli Umno pada peringkat akar umbi di seluruh negara.

Pada hemat saya, sudah tiba masanya kita mengkaji semula perlembagaan Umno dari aspek ini agar proses pemilihan kepemimpinan dapat disertai lebih ramai ahli semua peringkat," katanya. Timbalan Presiden Umno percaya, cara itu dapat membendung masalah politik wang dan salah guna kuasa jika ahli Umno ingin parti terus kekal kuat serta mengembalikan mandat pemilih kepada akar umbi. "Apabila rakyat berpaut dengan kita, barulah Umno kembali menjadi perkasa.

Ini boleh dilakukan jika setiap pemimpin dan ahli Umno menjiwai kelazatan berkhidmat kepada rakyat," katanya. Beliau berkata, Umno dan mana-mana juga parti atau organisasi akan hancur jika pemimpin dan ahlinya dibelenggu politik wang. Pemimpin berkualiti, tetapi tidak rasuah akan terpinggir, manakala parti akan diterajui golongan yang terus mengamalkan budaya itu dalam kepemimpinan.

"Jelas, kalau tidak dibendung dan membarah, kelak pemimpin dan pengikut akan menganggap ia perkara biasa hingga timbul ungkapan 'beri salah, tidak beri kalah'. Barangkali semua dalam dewan ini tahu apa itu SK dan SI, Salam Kosong dan Salam Isi ... "Ini bukan gurauan. Kita mesti hapuskan politik wang hingga akar umbi. Jika tidak, nanti kita sama-sama bertanggungjawab mengkafan dan menguburkan Umno," katanya. - BH

Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor