Isnin, 5 September 2011

Noramfaizul wira negara – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor yang terkorban ketika menjalankan tugas dalam Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia akibat tembakan curi di Mogadishu, Jumaat lalu sebagai wira negara.

Sambil melahirkan rasa kagum terhadap keperibadian Allahyarham, Najib menegaskan, pemergian jurukamera BernamaTV itu harus dijadikan model, perangsang serta semangat untuk meneruskan peranan Malaysia dalam membantu negara-negara di seluruh dunia.

“Saya amat kagum dan diberitahu Allahyarham seorang yang kuat semangat, sukakan cabaran dan sering mengikuti misi kemanusiaan di luar negara walaupun menghadapi pelbagai risiko, selain cekal dan tabah mengharungi rintangan bagi memberikan laporan terbaik kepada Malaysia.

“Beliau menaikkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang ke hadapan membantu negara lain yang memerlukan akibat malapetaka, kecelakaan termasuk kebuluran yang berlaku di Somalia.

“Saya sifatkan beliau wira negara dan kita patut melihat pengorbanan Allahyarham sebagai model, kisah yang merangsang serta semangat untuk terus memainkan peranan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas bersama-sama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyambut ketibaan jenazah Allahyarham Noramfaizul di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini hari ini.

Turut sama menyambut jenazah Allahyarham ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Mengulas lanjut mengenai insiden yang menimpa Allahyarham, Najib turut menyatakan kejadian sedemikian tidak seharusnya mematahkan semangat seluruh rakyat negara ini untuk terus membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Dalam pada itu, Najib yang mewakili kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul dan turut memberi jaminan akan membantu keluarga termasuk kos persekolahan dua anak Allahyarham, Mohd. Irfan, 8, dan Mohd. Naufal, 3.

“Kita akan beri bantuan sebaik-baiknya, saya akan bincang. Insya-Allah, kos pelajaran anak-anak Allahyarham akan kita bantu, jumlah akan ditentukan nanti,” jelasnya.

Dalam pada itu : Ambil iktibar, bukan tuduh menuduh

Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, sekarang bukan masa untuk mana-mana pihak menuding jari atau menyalahkan pihak lain berhubung insiden kematian jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor akibat terkena tembakan peluru sesat di Mogadishu, Somalia kelmarin.

Perdana Menteri berkata, apa yang penting sekarang dan perlu dilakukan oleh semua pihak ialah mengambil iktibar selain cuba memastikan insiden sedemikian tidak berulang dalam mana-mana misi kemanusiaan yang disertai Malaysia pada masa depan.

“Langkah keselamatan boleh diambil tetapi tiada jaminan keselamatan sepenuhnya sebaik sahaja berada di kawasan konflik seperti di Libya, Mesir dan Gaza di mana banyak nyawa wartawan telah hilang kerana beroperasi di persekitaran yang ganas.

“Ini kerana terdapat had bagi apa yang telah dilakukan untuk menghadapi sebarang kemungkinan, jadi jangan saling tuduh menuduh. Perkara paling penting bagi kita adalah untuk mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku.

“Insya-Allah, kita akan cuba sebaik mungkin bagi mengelakkan kejadian seperti itu berulang pada masa depan. Tidak sesiapa boleh memberi jaminan keselamatan. Jika tidak bersedia untuk menanggung risiko, tinggal sahajalah di rumah,” katanya.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas beliau bersama-sama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman menyambut ketibaan jenazah Allahyarham Noramfaizul di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini hari ini.

Tambah Najib, dalam misi bantuan kemanusiaan di luar negara, isu keselamatan petugas misi bergantung kepada keupayaan anggota keselamatan tempatan di sesebuah kawasan tertentu.

“Jadi, kita tidak boleh mendesak apa yang mereka boleh dan sanggup bekalkan kepada kita. Tetapi kita akan cuba pastikan tahap keselamatan berada di tahap yang terbaik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Najib turut menyatakan bahawa kerajaan akan meneliti laporan lengkap daripada kerajaan peralihan Somalia berhubung insiden kematian Noramfaizul.

“Saya telah menerima panggilan telefon daripada Presiden Kerajaan Peralihan Somalia, Sheikh Sharif Sheikh Ahmed sebaik sahaja kejadian itu berlaku dan beliau menjanjikan laporan lengkap disampaikan kepada saya dalam masa sehari dua ini.

“Saya akan lihat laporan tersebut sebelum membuat rumusan kerana kejadian itu perlu disiasat dengan rapi sebelum kita boleh membuat apa-apa kesimpulan,” ujarnya.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor