Sabtu, 17 September 2011

Hoi..Khalid Gereja! Ada faham ka? - JAIS henti beri tauliah orang politik!

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak mengeluarkan lagi sebarang tauliah mengajar kepada mana-mana ahli politik.

Pengarahnya, Marzuki Hussin berkata, langkah itu selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak memperkenankan golongan tersebut memberikan ceramah atau mengajar tentang agama Islam di mana-mana masjid dan surau di negeri ini.

Serentak itu, kata beliau tauliah yang telah dikeluarkan kepada ahli-ahli politik sebelum ini tidak akan diperbaharui setelah tamat tempohnya.

Bagaimanapun katanya, bagi majlis-majlis rasmi membabitkan sesi ucapan ahli-ahli politik di masjid atau surau, penganjur perlu mematuhi peraturan yang telah dikeluarkan oleh JAIS iaitu program berkenaan hanya boleh dijalankan di kawasan pekarangan rumah ibadat tersebut.

''Ucapan juga tidak boleh bercakap tentang soal politik (kepartian) dan memastikan tiada sebarang lambang mana-mana parti, kain pemidang atau risalah berbaur politik diedarkan pada majlis berkenaan.

''Bagi menyampaikan ajaran Islam termasuk tazkirah, sesiapa sahaja yang mahu berbuat demikian perlu mempunyai tauliah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Laporan akhbar pada Jumaat lalu menyebut, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) secara rasmi mengeluarkan arahan kepada nazir-nazir masjid serta pengerusi surau supaya tidak membenarkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mengadakan ceramah, mengajar, memberikan tazkirah serta berkhutbah di masjid dan surau di seluruh negeri ini.

Arahan dikeluarkan oleh Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa yang menyatakan bahawa Khalid tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama di masjid-masjid dan surau-surau di Selangor.

Arahan itu dibuat berlandaskan Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, menyatakan mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 adalah melakukan suatu kesalahan.

Berdasarkan seksyen tersebut, apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh yang tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada masa ini, JAIS telah mengeluarkan sebanyak 2,601 tauliah mengajar agama Islam kepada para pendakwah dan guru agama melibatkan kira-kira 2,081 surau dan lebih 300 buah masjid di seluruh negeri ini.

Menurut Marzuki, JAIS tidak mempunyai halangan sekiranya terdapat golongan yang bukan menjadi pendakwah sepenuh masa atau profesional untuk menyampaikan ceramah tetapi mereka mesti dipastikan memiliki tauliah untuk mengajar.

''Mereka perlu membuat permohonan mendapatkan tauliah dan akan dipanggil untuk proses temuduga sebelum dibawa kepada jawatankuasa tauliah untuk dipertimbangkan.

''Jawatankuasa masjid atau surau yang ingin menjemput seseorang menyampaikan ceramah atau mengajar dan menjadi khatib perlu memaklumkan perkara tersebut kepada JAIS bagi membolehkan latar belakang individu terbabit diselidiki terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyedari masih ramai penceramah yang tidak memiliki tauliah namun tiada tindakan dilakukan memandangkan faktor kekangan jumlah pegawai penguat kuasa iaitu seramai kira-kira 100 orang berbanding terdapat ribuan masjid dan surau di negeri ini.

''Namun apabila terdapat aduan terhadap seseorang penceramah, pegawai penguat kuasa akan pergi membuat siasatan dan nazir akan dipanggil untuk memberikan penjelasan.

''Sekiranya terdapat aduan daripada mana-mana pihak berkaitan penceramah terbabit, JAIS akan bertindak memanggil nazir dan jawatankuasa masjid bagi memberikan penjelasan dan kalau kita tidak berpuas hati, nazir boleh digantung atau ditamatkan tugasnya," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor