Ketua Pembangkang negeri, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mendesak kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor memberi penjelasan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh pengurusan tertinggi Yayasan Selangor.
Beliau berkata, ia ekoran tindakan kerajaan negeri menerusi Menteri Besar, Tan Sri Abdul khalid Ibrahim yang didakwa memberi bonus kepada semua Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya sebanyak RM5,000.
Menurutnya, jika benar ia adalah satu tindakan yang bertentangan dengan perlembagaan pertubuhan yayasan itu yang diwujudkan sejak 40 tahun lalu.
Katanya, tindakan memberi bonus kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah tidak seharusnya dilakukan kerana Yayasan Selangor ditubuhkan sebagai sebuah organisasi untuk menjaga kebajikan pendidikan anak-anak negeri itu dan bukannya organisasi yang bermotifkan keuntungan.
"Jika benar dakwaan ini, ia jelas satu bentuk penyalahgunaan kuasa yang cuba diterapkan di dalam yayasan kebajikan negeri ini. Kita mahu kerajaan negeri hari ini berikan penjelasan mengenai dakwaan ini.
"Pemberian bonus kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah ini memang tidak boleh dilakukan kerana perlembagaan yayasan tidak membenarkan Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya menerima atau memindahkan apa juga bentuk bayaran sama ada melibatkan dividen, bonus atau sebagainya secara terus atau sebaliknya.
"Maka, apa kewajaran kerajaan negeri membuat pembayaran bonus kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah yayasan ini? Ia bukan organisasi yang bermotifkan keuntungan," soalnya ketika dihubungi oleh Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu laporan menerusi blog www.mykmu.net yang mendakwa wujud elemen penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan Yayasan Selangor apabila Ahli Lembaga Pengarahnya diberikan bonus dua bulan iaitu sebanyak RM5,000 termasuk Pengurus Besarnya, Ilham Marzuki yang menerima RM5,990.86.
Menurut laporan di dalam blog itu, pembayaran bonus berkenaan dibuat menerusi Resolusi No. 129/2010 yang menyatakan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor bersetuju memberi bonus dua bulan gaji kepada kakitangan yang telah berkhidmat lebih setahun di yayasan itu.
Ketika ini, selain Abdul Khalid, enam lagi individu dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor antaranya ialah Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman dan Ilham.
Dalam pada itu, Mohamad Khir memberitahu, ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, kerajaan negeri tidak pernah membayar apa-apa bonus kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor selaras perlembagaan yayasan itu.
Sebaliknya, beliau berkata, bayaran bonus hanya diberikan kepada kakitangan Yayasan Selangor selaras dengan pembayaran bonus kepada semua kakitangan awam negeri sebelum ini.
Dalam masa sama, Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, turut mempersoalkan perbelanjaan bayaran elaun mesyuarat Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) yang disifatkannya tidak munasabah.
Katanya, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2009, PNSB membayar elaun sekali mesyuarat kepada Abdul Khalid selaku Pengerusi PNSB sebanyak RM5,000 manakala Ahli Lembaga Pengarah sebanyak RM2,000.
Jelasnya, bayaran elaun mesyuarat itu jauh lebih tinggi berbanding sebelum tahun 2008 yang menetapkan elaun mesyuarat kepada Pengerusi PNSB sebanyak RM1,000 dan RM500 kepada Ahli Lembaga Pengarah anak syarikat kerajaan negeri itu.
"Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2009, pada tahun lalu, Lembaga Pengarah PNSB mengadakan tujuh kali mesyuarat dan Pengerusi PNSB menerima elaun mesyuarat keseluruhan sebanyak RM25,000 manakala Ahli Lembaga Pengarah menerima RM22,000.
"Bayaran itu tidak lagi termasuk manfaat pakej percutian RM60,000 bagi Pengerusi dan RM40,000 bagi Ahli Lembaga Pengarah. Jumlah ini terlalu besar dan mungkin mengundang salah tadbir urus," ujarnya.
Warna-warni politik
Torashah..
1 ulasan:
Salam Perjuangan,
Saya ingin mengucapkan SYABAS kepada Tuan yang berjaya menghasilkan sebuah blog yan begitu mantap dengan artikel2 yang bernas. Saya memang mengikuti perkembangan blog Tuan sepanjang masa.
Di harap dapat memberi tunjuk ajar mengenai cara penghasilan artikel yang mantap.
Saya akan turut sama membantu dalam mendedah dan membongkar strategi kotor pembangkang.
Saya tlhpun linkkan blog Tuan di dalam blog pilihan di blog saya..
Harap Tuan juga dapat linkkan blog saya bagi memperkenalkan kepada pengunjung di blog anda..
SEKIAN, SALAM KASIH IKHLAS DARI,
Melayu CinDia
Blogger GELOMBANG RAKYAT.
http://gelombang-rakyat.blogspot.com/
Catat Ulasan