Sabtu, 13 November 2010

Kemelut PKR dedahkan politik palsu Anwar!

Bermula dengan nama Parti Keadilan Rakyat (PKR), singkatan parti tersebut kini diberi pelbagai gelaran berikutan satu demi satu kemelut yang melandanya.

Apabila ramai wakil rakyat PKR keluar parti ia dipanggil ‘Parti Kian Rapuh.’ Apabila ahli-ahli bergaduh dalam mesyuarat ia dianggap ‘Parti Kian Rosak.’ Kini, apabila berlaku konflik melibatkan soal pemilihan, ia ditafsirkan sebagai ‘Parti Kian Reput.’

Tidak kisahlah apa pun panggilan kepada PKR, apa yang berlaku membongkar dan mendedahkan segala perjuangan politik kepalsuan yang dicetuskan oleh Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Satu demi satu pendedahan yang dibuat oleh bekas Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim dan disambut oleh ramai pemimpin parti itu sudah membuktikan bahawa PKR adalah parti penuh masalah.

Jika sebelum ini teori penguasaan 3A yang melibatkan Anwar, Azmin Ali dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam PKR cuba ditutupi namun kini semuanya sudah terdedah.

Kerakusan Anwar dalam berpolitik dengan mengamalkan apa juga pendekatan termasuk mengatur pemilihan parti agar menyebelahi orang-orang kesayangannya semakin terserlah.

Hubungan akrab Anwar-Azmin dengan direstui oleh Wan Azizah yang tidak mampu berbuat apa-apa, biarpun beliau seorang Presiden telah merosakkan segala struktur perjalanan politik PKR.

Kita tidak perlu bercakap soal impian Anwar ke Putrajaya kerana sejak awal lagi orang tahu PKR tidak ada keupayaan itu.

Sebaliknya Anwar hanya mahu membuka laluan kepada DAP untuk menguasai Putrajaya asalkan beliau menjadi Perdana Menteri.

Anwar tidak peduli apa pun protes pemimpin-pemimpin PKR lain terhadap tindakannya dalam soal pemilihan parti itu terutama bagi jawatan Timbalan Presiden.

Ramai yang percaya kalaulah mangsa tersebut bukan Zaid tetapi Azmin, sudah pasti Anwar akan menggunakan segala kuasa yang ada padanya bagi membolehkan pemilihan diadakan semula.

Malah ada andaian, kalau pun anaknya, Nurul Izzah sekalipun menjadi mangsa belum tentu Anwar akan bertindak tetapi jangan sesiapa pun menyentuh Azmin.

PKR menjadi parti kian rosak akibat percaturan politik Anwar yang sememangnya ketika dalam UMNO dulu pun memang suka mengamalkan politik nepotisme dan kronisme.

Tetapi orang seperti Anwar tidak peduli kepada parti. Bagi beliau, parti serta mereka yang berada di dalamnya hanyalah kuda tunggangan untuk beliau mencapai cita-cita politiknya.

Namun Anwar terlupa bahawa kepalsuan, pembohongan dan sandiwara tidak boleh bertahan selama-lamanya. Melalui tindakan Zaid yang lantang mahu Anwar dan Azmin berundur, bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu hakikatnya membangkitkan semangat pemimpin dan ahli PKR yang lain.

Selama ini, mereka sememangnya tidak berpuas hati dengan Anwar-Azmin tetapi tidak mampu melakukan apa-apa sehinggalah muncul Zaid bagi memperbetulkan keadaan. Apa yang menariknya, Zaid tidak keseorangan malahan beberapa pemimpin kanan PKR yang sebelum ini dikatakan begitu setia dengan Anwar turut menyokong beliau.

Keadaan tersebut sudah pasti merimaskan Anwar tetapi sebagai seorang yang sememangnya licik dalam manuver politik, Anwar berpura-pura menunjukkan ketenangan. Bagaimanapun ‘pertarungan’ kali ini mungkin akan mewujudkan senario yang berbeza kerana kalaupun Anwar berjaya mempertahankan Azmin tetapi beliau tidak akan mampu menahan arus penolakan terhadap mereka berdua secara keseluruhannya.

Ia kerana rakyat, malahan pemimpin dan ahli PKR sendiri sudah dapat menilai siapa Anwar sebenarnya. Parti itu hanya boleh diselamatkan jika Anwar dan Azmin, seperti mana kata Zaid – Berundur.

Gelombang penentangan terhadapnya secara terang-terangan perlu dijadikan isyarat bahawa beliau sudah tidak lagi digeruni sebagai pemimpin yang bakal membawa kegemilangan terhadap PKR. Sebaliknya PKR akan menjadi sebuah parti koyak rabak akibat kedegilan Anwar menerima hakikat tersebut. Anwar dan Azmin sudah tidak lagi berhak bercakap soal demokrasi apatah lagi hendak memperjuangkan nasib rakyat.

Segala kekalutan yang berlaku dalam PKR sudah menjadi bukti bahawa mereka tidaklah sehebat mana, oleh itu tidak payahlah Anwar dan Azmin bermimpi untuk menawan Putrajaya kerana PKR sendiri ibarat sebuah kapal yang hampir karam.

Terimalah hakikat bahawa sebuah parti yang ditubuhkan atas dasar kebencian dan semata-mata demi memperjuangkan nasib seorang individu tidak akan ke mana. Apatah lagi apabila ia disulami dengan pendekatan politik matlamat menghalalkan cara seperti mana dilakukan oleh Anwar.

Zulkifly Bakar

Warna-warni politik..

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor