Selasa, 30 November 2010

Anugerah Tuhan atau dimakan sumpah?

SALAH satu faktor yang membawa kejayaan kepada pertubuhan Al-Arqam sebelum ia diharamkan ialah penerapan doktrin bahawa pemimpin mereka, Asaari Mohamad adalah 'pilihan Tuhan' bagi memimpin negara ini.

Dengan memutar-belitkan pelbagai potongan hadis dan ayat suci al-Quran, Allahyarham Asaari digambarkan sebagai bakal Perdana Menteri kerana beliau didakwa pemimpin Bani Tamim yang akan menyelamatkan umat manusia daripada kehancuran.

Berikutan itu, maka wujud perasaan taksub kepada Asaari sehinggakan beliau yang meninggal dunia pada 13 Mei lalu dikatakan mampu berdialog secara langsung dengan Rasullullah SAW. Insan yang bertanggungjawab menanam perasaan taksub berkenaan kepada pengikut Arqam ialah isteri Asaari, Hatijah Aam atau nama panggilannya Ummu Jah.

Selain memainkan peranan sebagai penulis dan pemikir kepada ajaran Asaari, Ummu Jah juga bertanggungjawab menyebarkan propaganda bahawa Asaari dipilih Allah SWT untuk menjadi pemimpin dunia di akhir zaman.

Berikutan itu, apa sahaja yang berlaku ke atas Asaari dan Al-Arqam cuba diputar belitkan oleh Ummu Jah sebagai dugaan Tuhan kerana pengikut pertubuhan itu perlu yakin bahawa Asaari adalah anugerah Tuhan kepada umat manusia.

Semua itu dilakukan kerana dari semasa ke semasa kepincangan dan penyelewengan Al-Arqam semakin terdedah.

Namun kebenaran mengatasi kebatilan, Al-Arqam diharamkan, Asaari meninggal dunia pada 13 Mei lalu manakala pengikut-pengikut pertubuhan itu entah ke mana.

Oleh itu, apabila Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail menyatakan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah anugerah Tuhan bagi memimpin rakyat negara ini, adakah ia bermaksud beliau berhasrat mewujudkan ketaksuban kepada Anwar dalam usaha menutup segala kepincangan yang berlaku dalam PKR?

Hakikatnya, Wan Azizah tidaklah sehebat Ummu Jah kerana kalau Ummu Jah menjadi pemikir kepada Asaari, Wan Azizah pula hanyalah pengikut kepada suaminya.

Justeru apabila beliau menghamburkan segala puji-pujian untuk Anwar, ia sebenarnya bertujuan mengelakkan PKR terus ditinggalkan oleh pemimpin dan ahli parti tersebut yang rata-rata mulai sedar hakikat sebenar perjuangan Anwar.

Menggunakan istilah 'anugerah Tuhan' boleh dianggap 'peluru terakhir' Wan Azizah yang amat memahami bahawa PKR kini semakin terumbang-ambing.

Harapan Wan Azizah ialah dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian, ia akan menyakinkan penyokong-penyokong PKR bahawa apa yang berlaku bukan kerana kelemahan Anwar tetapi dugaan kepada suaminya.

Sebab itulah, Wan Azizah menggambarkan Anwar sebagai insan luar biasa yang mampu menempuh pelbagai cabaran.

Sebenarnya, Wan Azizah mungkin hanya mampu membohongi mereka yang masih setia dengan PKR tetapi tidak kepada rakyat secara keseluruhan terutamanya umat Islam yang amat memahami apa itu istilah 'anugerah Tuhan'.

Kita juga boleh bertanya, kalau begitulah kedudukan Anwar yang digambarkan oleh Wan Azizah sebagai 'anugerah Tuhan', bagaimana pula ulama-ulama Pas yang menjadi pemimpin utama parti itu, apakah mereka bukan 'anugerah Tuhan'? Tidakkah dari segi moral, pemimpin-pemimpin utama Pas dianggap jauh lebih baik berbanding Anwar?

Oleh itu, tidak perlulah Wan Azizah mengangkat martabat suaminya terlalu tinggi hanya semata-mata mahu mengabui mata rakyat terhadap segala kemelut yang berlaku di dalam PKR. Wan Azizah perlu berpijak di bumi nyata dan menerima hakikat bahawa PKR kini sudah kronik dan segalanya berpunca daripada impian suaminya mahu menjadi Perdana Menteri.

Bagaimana pula jika ada orang berkata, memang benar Anwar anugerah Tuhan tetapi bukan untuk memimpin, sebaliknya menguji hamba-hamba-Nya di bumi Malaysia untuk berhadapan dengan seorang insan yang sanggup melakukan apa sahaja dan menggadaikan segalanya demi meraih kuasa? Atau ada insan yang berfikir apakah Anwar sudah dimakan sumpah memandangkan satu demi satu bahana menimpanya.

Wan Azizah perlu ingat bahawa tiada hijab antara orang yang dianiaya dengan Allah SWT. Ertinya, doa orang teraniaya mudah dimakbulkan. Oleh itu, kalaulah Anwar dikategorikan dalam golongan tersebut berikutan apa yang dilaluinya, kenapakah sampai sekarang beliau terus ditimpa pelbagai masalah. Berikutan situasi inilah, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Ezam Mohd.Noor meminta Wan Azizah menilai sama ada Anwar adalah anugerah atau ujian kepadanya serta ahli PKR untuk memilih Allah atau pemimpin yang melampaui batas.

''Tun Dr.Mahathir Mohamad ambil masa sebelum bertegas pecat beliau (Anwar). Saya juga sudah beberapa lama, baru melepasi ujian Allah dan akhirnya saya bersyukur dapat memilih Allah berbanding bos sendiri,'' katanya.

Wan Azizah tidak perlu bermain dengan kata-kata, biarpun beliau mungkin membaca teks ucapan yang dibuat oleh orang lain. Sejarah politik dan segala tindakan Anwar tidak boleh dianggap satu anugerah kepada rakyat negara ini.

Sebaliknya kerana kerakusan politik suaminya, maka arena politik negara tidak pernah aman sejak tahun 1998. Anwar bertanggungjawab menghasut sebahagian penyokongnya melakukan demonstrasi ganas. Ia satu perbuatan yang cukup asing bagi rakyat negara ini. Apakah ini sikap pemimpin yang dikatakan 'anugerah Tuhan' tetapi enggan reda dengan ketentuan Ilahi terhadapnya?

Wan Azizah belajarlah untuk faham bahawa pemimpin 'anugerah Tuhan' adalah seseorang yang membawa rahmat kepada umat manusia, bukannya melakukan perbuatan yang boleh memudaratkan mereka. Pemimpin 'anugerah Tuhan' tidak akan membuat fitnah atau memperdayakan orang dengan silat lidahnya, apatah lagi menjadi 'sesumpah' seperti mana dilakukan oleh suaminya itu bagi meraih kuasa politik.

Justeru, janganlah kerakusan berpolitik dan kegelojohan untuk berkuasa menyebabkan Wan Azizah cuba menerapkan pula ketaksuban kepada pengikutnya.

Belajarlah daripada apa yang berlaku kepada Al-Arqam. Pertubuhan itu hancur kerana mereka terlupa bahawa mereka mungkin hanya boleh memperdayakan manusia tetapi bukan Allah SWT. Sesungguhnya apabila tiba masanya, Dia pasti akan memunculkan kebenaran bagi melenyapkan kebatilan. Ketika itu, kita boleh menilai apakah Anwar benar-benar satu anugerah Tuhan atau dimakan sumpah!

Oleh : Zulkifli Bakar

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor