Khamis, 18 November 2010

Mimpi siang hari Pas!

Apabila Pas menyatakan kesediaan parti itu untuk mengetuai pakatan pembangkang, ramai yang melihatnya sebagai hasrat yang terlalu besar dan bercita-cita tinggi. Jika dilihat daripada kedudukan parti itu di Parlimen misalnya, Pas hanya memiliki 23 kerusi berbanding DAP (29 kerusi) dan PKR (24 kerusi).

Jumlah kerusi yang paling sedikit itu sudah cukup untuk menyedarkan Pas bahawa parti tersebut sememangnya tidak mempunyai harapan untuk mengetuai pakatan pembangkang.

Lebih daripada itu, jumlah kerusi Pas yang kecil itu juga menyebabkan parti tersebut tidak banyak mempengaruhi dasar-dasar dalam pakatan pembangkang. Maka di sini timbul persoalan sejauh mana perjuangan Pas dapat diterjemahkan sedangkan parti itu sendiri masih tercari-cari kedudukan dalam pakatan pembangkang.

Kerana itu cita-cita Pas untuk menerajui kepimpinan pakatan pembangkang sebenarnya tidak ubah seperti bermimpi di siang hari. Bukan mahu menafikan kemampuan Pas dalam impian itu kerana parti berkenaan sememangnya mempunyai barisan kepimpinan yang hebat dan berpengalaman.

Meskipun ada kepincangan di negeri-negeri yang diperintah oleh Pas ketika ini seperti di Kelantan dan Kedah, namun negeri itu lebih baik berbanding negeri yang diperintah oleh parti pembangkang lain. Malah jika penyokong parti pembangkang diasingkan, Pas sebenarnya mempunyai sokongan di peringkat akar umbi yang lebih besar dan teguh berbanding DAP dan PKR.

Lihat sahaja pada pilihan raya umum dan pilihan raya kecil yang berlangsung sebelum ini. Jentera kempen Pas yang paling ke hadapan berbanding jentera parti pembangkang lain. Mereka dilihat lebih bersungguh-sungguh dan bijak dalam menggerakkan strategi memancing undi.

Dari segi kepimpinan dalam pakatan pembangkang pula, tiada wakil rakyat Pas yang keluar atau melompat parti selepas pilihan raya umum 2008 kecuali Datuk Ibrahim Ali yang bertanding atas tiket Pas.

Ini menunjukkan Pas merupakan parti yang mempunyai pengalaman dan kepimpinan yang mantap sebagai sebuah organisasi politik. Malangnya, hakikat itu tidak kelihatan dalam pakatan pembangkang.

Pas seolah-olah tenggelam, dipinggirkan dan seperti tidak mempunyai peranan serta kepentingan langsung. Pas juga tidak boleh menafikan mengenai isu pakatan rahsia yang didakwa wujud antara PKR dan DAP sebelum ini.

Biar bagaimana sekali pun pakatan rahsia itu cuba dijernihkan, ia sudah cukup menjelaskan di mana kedudukan sebenar Pas dalam hal tersebut. Seharusnya perkara ini difikirkan secara mendalam oleh ahli Pas dan masih belum terlambat untuk mereka menilai semula keberadaan mereka dalam pakatan pembangkang.

Pas mungkin boleh melatah jika perkara ini dinilai oleh orang luar yang mungkin tidak arif dengan perjalanan parti itu. Tetapi apabila Datuk Nakhaei Ahmad sendiri menyebut parti itu hanya menjadi 'pak turut' kepada DAP dan PKR, ia adalah satu hakikat yang sukar untuk dinafikan.

Nakhaie bukanlah calang-calang pemimpin ketika berada di dalam Pas dahulu. Beliau merupakan bekas Naib Presiden Pas iaitu antara individu paling kanan dalam hierarki parti. Dengan kedudukan itu, beliau pastinya cukup arif dengan apa yang berlaku di dalam Pas termasuk sejauh mana parti itu mampu mempengaruhi PKR dan DAP.

Pas dalam cita-cita untuk menerajui pakatan pembangkang juga tidak mungkin akan mendapat laluan yang mudah daripada DAP. Kedua-dua parti itu memang boleh berada di dalam pakatan yang sama. Tetapi prinsip asas dan ideologi yang diperjuangkan kedua-dua parti itu terlalu jauh berbeza.

Perkara ini turut ditegaskan oleh pemerhati politik tempatan, iaitu pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu, Che Hamdan Che Mohd. Razali. Menurut beliau, DAP akan cepat melatah sekiranya sebarang idea berkaitan dengan cita-cita mendaulatkan agama Islam dilontarkan.

Lebih-lebih lagi mereka juga bersaing dengan Gerakan dan MCA untuk menentang sebarang proses Islamisasi di negara ini bagi meraih sokongan bukan Islam. Sedangkan prinsip utama perjuangan Pas pula ialah ke arah sebuah negara Islam.

Pas pastinya masih ingat bagaimana lantangnya DAP menentang agenda negara Islam parti itu dan mendesak supaya ia digugurkan. Malah, DAP juga melihat adalah sesuatu yang janggal bagi Pas meneruskan agenda negara Islamnya dan dalam masa yang sama tetap bekerjasama dengan pakatan pembangkang.

Seharusnya, mesej-mesej penolakan yang disampaikan oleh DAP itu sudah cukup untuk membuatkan Pas menilai semula keberadaan mereka dalam pakatan pembangkang.

''Perlu difahami juga, titik persefahaman yang dimiliki Pas dan DAP ialah peranan yang dimainkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Oleh itu, berani saya mengandaikan bahawa jangka hayat hubungan ini juga banyak bergantung kepada umur politik Anwar," kata Che Hamdan.

Dalam keadaan politik pakatan pembangkang yang tidak menentu ketika ini, Pas tidak seharusnya menggadai maruah parti itu untuk menjadi ketua pembangkang. Tindakan itu ibarat sengaja menempah nama buruk atau memikul biawak hidup.

Pas tentu sedar bagaimana kroniknya kepincangan yang berlaku dalam PKR serta isu-isu yang menunjukkan kelemahan DAP terutamanya di Pulau Pinang ketika ini. Pas tidak boleh menolak daripada dipersoalkan mengenai perkara ini sekiranya memilih untuk mengetuai pakatan pembangkang.

Dalam masa yang sama, nama baik dan maruah Pas juga akan terjejas dengan isu-isu yang berlaku di dalam DAP dan PKR. Apa yang seharusnya menjadi keutamaan Pas ketika ini ialah memberi penekanan dari aspek tarbiyah kepada ahli-ahlinya.

Ini meliputi proses pemikiran semula perjuangan parti tersebut. Sebagai parti politik yang membela agama Islam, perkara paling penting perlu diberi penekanan ialah setakat mana mereka bakal memberi sumbangan dalam mendaulatkan agama Islam dengan berada di dalam PR atau sebaliknya.

Che Hamdan menjelaskan, untuk Pas menyertai Barisan Nasional buat masa sekarang agak tipis kerana komitmen parti itu dalam pakatan pembangkang sangat kuat. Namun, ahli-ahli dan penyokong Pas perlu lebih berani dalam memberi tekanan kepada PKR dan DAP agar kedua-dua parti itu sentiasa menjaga sensitiviti umat Islam di negara ini.

''Mereka juga perlu sentiasa mengingatkan pemimpin Pas agar tidak hanyut dalam penawaran kuasa politik dalam pakatan pembangkang," tegas Che Hamdan.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor