Isnin, 8 November 2010

Pas wajib kaji balik 'tahaluf siyasi' - Nakhaie!

Masih belum terlambat bagi Pas untuk mengkaji semula 'tahaluf siyasi' atau kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana ia lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikan kepada parti itu.

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, pada masa ini Pas walaupun mempunyai organisasi kukuh, jentera mantap, ahli teramai dan pengaruh peringkat umbi kuat berbanding parti pembangkang lain tetapi ia hanya sekadar menjadi 'pak turut'.

Menurut beliau, sepatutnya berdasarkan kepada kelebihan Pas itu, ia wajib menjadi dominan dalam pakatan pembangkang, sekali gus sebagai wadah alternatif Melayu Islam selain daripada UMNO.

"Masalahnya keadaan itu tidak terjadi, sebaliknya dalam 'tahaluf siyasi' itu Pas tidak mendapat peranan jelas yang sepatutnya, seolah- olah menyerahkan lehernya untuk disembelih oleh rakan lain yang memperkudakan mereka.

"Saya yakin majoriti ahli dan pengundi atas pagar meneliti dengan mendalam perkara ini terutama sikap Pas sendiri yang sanggup menggadaikan maruah dan dasar seperti penubuhan negara Islam, hanya kerana matlamat untuk menumbangkan UMNO," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau yang juga bekas ahli Majlis Syura Pas dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengulas mengenai rakaman video 'pertemuan panas' yang tersebar luas antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan bekas pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya, Mohd. Nor Deris.

Rakaman video pertikaman lidah hampir empat minit itu berkisar mengenai rasa tidak puas hati Mohd. Nor terhadap tindakan Pas bekerjasama dengan DAP dan mengkafirkan UMNO.

Tambah Nakhaie, beliau yakin sentimen kemarahan Mohd. Nor itu turut dikongsi bersama kebanyakan ahli Pas yang semakin 'terasa' sikap pimpinan parti pembangkang lain yang berterusan memperlekehkan pemimpin Pas.

Dakwa beliau, walaupun perasaan 'menggelegak' itu bijak disembunyikan tetapi ia telah menjadi seperti rahsia yang diketahui umum, memang berlaku perpecahan dalaman kronik di kalangan ahli dan pimpinan Pas ekoran keputusan kurang bijak mengadakan kerjasama itu.

"Sebenarnya keadaan ini amat berbahaya kerana semuanya nampak seperti baik di luar tetapi apabila Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti dikhuatiri akan berlaku undi protes.

"Pas kena cepat bertindak, jika tidak mereka akan menyesal. Perasaan marah ahli kini sedang membuak- buak dan hanya menunggu masa sahaja untuk meletup," katanya.

Jelas Nakhaie, pimpinan Pas perlu berlapang dada apabila menerima teguran dan jangan bersikap dangkal terus menyalahkan pihak lain atas kekalahan yang diterima seperti di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Galas, Khamis lalu.

"Cukuplah dengan alasan retorik, apabila kalah kata Pas melawan sebuah kerajaan (Malaysia) dan wujudnya pengundi hantu tetapi semasa menang, terus dengan bangganya mengatakan Pas mendapat bantuan malaikat dari langit," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor