Kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang dicabar supaya menyatakan pendirian berhubung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai larangan berpolitik di masjid dan surau.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, pendirian itu penting kerana rakyat negeri ini ingin mengetahui sejauh mana kerajaan negeri patuh kepada arahan Sultan Selangor.
“Sehingga sekarang kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang masih membisu. Apakah mereka menjadi begitu pengecut untuk mempertahankan arahan sultan termasuk mengenai kenyataan biadab terbaru oleh Datuk Zaid Ibrahim.
“Perkara seperti ini tidak pernah berlaku sepanjang Barisan Nasional (BN) memerintah Selangor tetapi nampaknya, atas alasan kepentingan politik kerajaan negeri tunduk dan tidak berani mengkritik pemimpin pembangkang yang mempersoalkan arahan tersebut,’’ katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pameran 1Usahawan dan Karnival Agro Hulu Langat di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini hari ini. Sultan Sharafuddin baru-baru ini mengulangi ketegasan agar masjid dan surau tidak dijadikan medan berpolitik dan titah baginda, sesiapa yang ingkar dan tidak setuju dengan arahan itu tidak perlu datang ke Selangor.
Bagaimanapun, Zaid dalam blognya dilihat seperti mempersendakan titah perintah Sultan Sharafuddin apabila mendakwa kenyataan titah Sultan Selangor itu bersifat peribadi dan bukan arahan rasmi kerana tidak merujuk kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Tambah Zaid, perlembagaan menetapkan sultan tidak boleh mengeluarkan perintah secara terus, sebaliknya disalurkan melalui majlis agama Islam negeri terlebih dahulu dan bermesyuarat sebelum mewartakan keputusan itu sebagai peraturan sah.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kesediaan Zaid untuk menemui Sultan Selangor bagi menjelaskan kenyataannya, Noh berkata, BN akan menasihatkan sultan supaya tidak melayan perkara itu kerana Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terlalu biadab.
“Zaid ini siapa? Dia bukan orang Selangor tetapi mengeluarkan kenyataan biadab terhadap arahan sultan dan sekarang nak menghadap Sultan Sharafuddin pula. Orang seperti Zaid tidak perlu dilayan,’’ katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Noh berkata, beliau mempunyai sepenuh keyakinan bahawa BN akan kembali memerintah Selangor berdasarkan sokongan dan kekuatan parti yang kini kembali pulih. Katanya, senario tersebut jauh berbeza berbanding pada tahun 2008 apabila ramai ahli parti sendiri yang menolak BN.
Warna-warni Politik
Torashah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan