Isnin, 10 Jun 2013

Kerajaan Selangor jangan main wayang, tunai manifesto segera - GPRS?


Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor didesak tidak lagi bermain wayang dalam menunaikan manifesto yang dijanjikan pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, kesemua manifesto itu harus dilaksanakan segera sebagai tanda menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan menghormati hak rakyat negeri tersebut.

"Sebagai permulaan, PKR Selangor perlu menunaikan janji pada 2008 dengan membantu setiap rakyat mendapatkan kediaman sendiri, memberi bantuan RM75 sebulan pada setiap anak yang dihantar ke nurseri, memberi bantuan RM50 sebulan untuk pendidikan prasekolah, memberikan bantuan kepada anak-anak muda untuk mendirikan rumah tangga dan sebagainya.

"Selepas itu, kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu menunaikan janji terbaharunya antaranya bantuan wang tunai RM500 kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan kali pertama," katanya di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Sohaimi berkata, rakyat Selangor juga akan menagih janji pengwujudan Biasiswa Menteri Besar untuk pelajar ijazah lanjutan dengan bon kerajaan negeri sebagai usaha membentuk sebuah Bank Pemikir Negeri Selangor.

Oleh itu, jelasnya, Abdul Khalid tidak boleh memandang sepi setiap manifesto yang dijanjikan sebelum ini kerana rakyat Selangor enggan mendengar alasan seperti 'manifesto bukan janji'.

Beliau berkata, tiada alasan lagi bagi PKR untuk 'mengelat' daripada menunaikan manifesto mereka yang kononnya mengandungi empat teras iaitu Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat, Rakyat Menerusi Aktiviti Keagamaan dan Kebudayaan serta Kerajaan Rakyat.

Katanya, rakyat Selangor ingin menyaksikan kerajaan negeri menunaikan janji untuk mempertingkat kecekapan memproses urusan pemilikan tanah serta meneruskan tawaran bagi pemilikan geran tanah persendirian kepada pemohon yang layak, termasuk mereka yang menghuni lebih 12 tahun.

Jelas beliau, selain itu, rakyat turut menanti Abdul Khalid memperluaskan 'Polis Komuniti' yang dibiayai kerajaan negeri, memberi pemeriksaan percuma kanser testis dan prostat untuk kaum lelaki.

"Rakyat kali ini akan serius dalam memastikan kerajaan negeri melunaskan janji-janji mereka, tiada lagi peluang akan diberikan kepada Abdul Khalid sekiranya gagal lagi menunaikan janji tersebut," tegasnya.

Warna-warni Politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor