Rabu, 5 Jun 2013

Australia iktiraf PRU-13: Tamparan kepada pihak tidak terima keputusan pilihan raya?


Pengiktirafan Australia terhadap Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) merupakan tamparan hebat kepada pihak yang tidak menerima keputusan pilihan raya tersebut.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pengiktirafan tersebut juga secara tidak langsung membuktikan SPR telah berjaya melaksanakan proses demokrasi itu dengan telus dan adil.

Tegas beliau, sebagai sebuah negara Komanwel yang disegani, sudah pasti kenyataan itu dibuat berdasarkan laporan kakitangan mereka di negara ini.

"Sepatutnya, rakyat juga perlu membuka mata mereka tentang pelbagai dakwaan jahat yang dilemparkan kepada SPR selama ini adalah tidak benar.


"Saya berharap semua pihak dapat menerima keputusan pilihan raya lalu dan seterusnya berhenti daripada membuat tuduhan jahat kepada SPR," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar Australia, Senator Bob Carr yang menyifatkan PRU-13 pada 5 Mei lalu mempunyai kredibiliti dan boleh dipercayai.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad juga berpendapat bahawa tindakan pembangkang yang terus menyerang kredibiliti SPR dilihat sebagai perbuatan terdesak.

"Jika negara asing boleh melihat betapa proses pilihan raya di negara ini telus dan adil, saya yakin pihak yang tidak berpuas hati adalah kerana gagal mencapai agenda politik peribadi masing-masing," ujarnya.


Sementara itu, mengulas keputusan kerajaan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada Jawatankuasa Khas Parlimen, beliau melihat keputusan itu sebagai sangat baik dan bijak.

Katanya, langkah itu juga membuktikan keikhlasan kerajaan untuk terus menyuburkan proses demokrasi negara di bawah agenda transformasi politik negara.

"Dengan pembabitan pihak kerajaan dan pembangkang di dalam jawatankuasa itu, sudah pasti segala teguran dan maklumat dapat disampaikan dengan lebih baik.

"Namun jawatankuasa itu tidak mempunyai kuasa untuk mengarah SPR seperti yang termaktub dalam Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan iaitu kami adalah sebuah badan yang bebas yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong," jelasnya.

Warna-warni Politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor