Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.
Ahad, 30 Jun 2013
Anwar malukan diri sendiri?
Umno menyifatkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa memperkatakan ketirisan berlaku dalam PRU13 lalu hanya tindakan memalukan diri sendiri.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, apa juga dakwaan Anwar dilihat tidak memberikan sebarang impak negatif terhadap pemimpin kerajaan BN.
Menurutnya, pemimpin luar negara sedia tahu perkara sebenar dan tidak mudah termakan tohmahan parti pembangkang.
“Saya tidak hairan tindakan sedemikian. Itulah sikap sebenar mereka (PR) yang tidak boleh menerima hakikat kekalahan mereka.
“Saya percaya, pemimpin luar negara juga sudah mengetahui agenda tersebut. Jika ada yang tidak puas hati, selesai cara profesional di mahkamah,” katanya.
Katanya, negara juga tidak terjejas dengan apa yang dilakukan Anwar kerana selama ini, kerajaan sudah melakukan tugas sebaik mungkin termasuk menjaga hubungan baik dengan pemimpin dari negara lain.
“Jelas, rakyat masih percaya pada BN. Ini menunjukkan PR yang suka membawa perkara ini hingga ke luar negara.
“Mungkin, mereka mahu menggambarkan Perdana Menteri Malaysia gagal dalam pentadbiran negara. Walau apa juga cara yang dilakukan, dia hanya berjaya memalukan dirinya sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tindakan Anwar tidak mencerminkan seorang pemimpin berjiwa besar.
“Beliau dilihat ‘kemaruk’ kuasa yang mana tidak kesampaian. Mengapa nak burukkan proses pilihan raya hingga ke luar negara tanpa asas bukti yang kukuh.
“Adalah lebih baik jika didapati wujud kelemahan tertentu, failkan petisyen pilihan raya dan selesaikan di mahkamah,” katanya.
Katanya, Anwar hanya memalukan diri dengan membawa cerita negara ke pengetahuan pemimpin luar.
Kelmarin, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berada di Bali dan mengakui bertemu Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.
Menurut sebuah portal Vivanews, Anwar bukan sahaja bincang perkara berkaitan Malaysia dan Indonesia, tetapi kepincangan semasa PRU13.
Warna-warni Politik
Torashah
Rabu, 26 Jun 2013
Akhirnya mereka akur - Zahid!
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil diperhatikan oleh timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Pandikar Amin Mulia atas pelantikannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam.
Tindakan kesemua 89 Ahli Parlimen pembangkang mengangkat sumpah di Dewan Rakyat membuktikan mereka akur kepada lunas Perlembagaan Persekutuan serta mengakui kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembangkang berjaya memanipulasi pemikiran penyokong mereka untuk berdemontrasi membantah keputusan pilihan raya umum lalu termasuk yang dilakukan kira-kira 200 orang di luar Parlimen pagi ini.
Tambah beliau, ketika kumpulan penyokong pembangkang itu berdemonstrasi dalam keadaan berjerebu dan panas, pemimpin-pemimpin mereka pula melalui perjalanan demokrasi dengan mengangkat sumpah.
Dengan muka tak malunya, Anwar mengangkat sumpah
"Apabila mereka datang (angkat sumpah), ia menunjukkan akhirnya mereka akur kepada Perlembagaan dan peraturan Dewan Rakyat.
"Namun, apa yang dilakukan beberapa NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dengan berdemonstrasi membuktikan mereka tidak memahami Perlembagaan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Terdahulu dalam sidang Dewan Rakyat, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri membentangkan usul memerintah Ketua Polis Negara memberi kemudahan laluan kepada semua Ahli Parlimen serta memastikan keselamatan dan keamanan di sekitar kawasan Parlimen.
Merujuk kepada usul itu, beliau berkata, mana-mana pihak diingatkan tidak cuba menghalang pintu masuk Parlimen memandangkan usul tersebut diterima sebulat suara oleh semua Ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang.
"Seharusnya itulah tindakan sebaiknya dan jangan mencari masalah, mereka harus terima apa jua akibat daripada masalah yang mereka lakukan," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal turut mengingatkan pemimpin pembangkang tidak berterusan mengancam keselamatan negara dengan mengadakan perhimpunan haram kerana mereka sendiri mengakui sistem demokrasi negara dengan hadir mengangkat sumpah.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menambah, ikrar taat setia dan janji mematuhi undang-undang yang dilafazkan setiap Ahli Parlimen itu diharap tidak lagi membawa kepada sebarang pertikaian berhubung sistem pilihan raya yang didakwa satu penipuan.
"Proses demokrasi sudah berjalan lancar, rakyat sudah membuat pilihan, jadi semua Ahli Parlimen jangan lagi membuang masa sebaliknya bertindak mengikut lunas Perlembagaan," katanya.
Warna-warni Politik
Torashah
Isnin, 17 Jun 2013
Kenapa lambat bertindak?
Ranjit Singh Dhillon
Tindakan biadap beberapa pengendali laman sosial seperti Facebook dan blog yang menghina Islam dan raja-raja Melayu ternyata amat keterlaluan.
Pengerusi Kerusi Undang-undang Jenayah, Jawatankuasa Peguam Negeri Pulau Pinang, Ranjit Singh Dhillon berkata, hukuman berat terhadap mereka yang mencabar Perlembagaan Persekutuan itu perlu dikenakan sebagai pengajaran supaya tiada lagi pihak yang menyalah guna kemudahan Internet pada masa depan.
Baginya, kelewatan mendakwa mereka hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap jentera keadilan di negara ini. Ranjit berpendapat, pendakwaan perlu disegerakan memandangkan peruntukan undang-undang sedia ada sudah mencukupi terutama Seksyen 114A Akta Keterangan 1950.
UTUSAN: Apa pendapat anda mengenai perbuatan tidak bertanggungjawab dalam Internet seperti menghina Yang di-Pertuan Agong dan Nabi Muhammad SAW sejak kebelakangan ini?
RANJIT: Apa yang saya perkatakan ini mungkin tidak akan disenangi oleh kaki Internet yang sering mendabik dada kononnya menjuarai hak kebebasan bersuara. Namun, setiap kebebasan mestilah ada hadnya. Jika tidak, boleh berlaku anarki di mana masyarakat boleh membuat apa sahaja yang mereka suka mengikut nadi serta cita rasa sendiri.
Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengenakan lesen portal tetapi berhasrat mewujudkan kawalan kendiri media sosial, bertujuan mengelak wujud kumpulan penulis tidak bernama dalam kalangan pengamal media sosial. Sebenarnya golongan ini tidak berani berdepan untuk mendedahkan identiti mereka kerana takut dikenakan tindakan undang-undang.
Adakah peruntukan undang-undang yang sedia ada memadai untuk situasi sebegini?
Sememangnya undang-undang sedia ada mencukupi. Bagaimanapun, apa yang mengecewakan adalah tiada pelaksanaan segera dan tegas, seolah-olah masih teragak-agak serta memilih bulu. Tindakan awal memanggil mereka yang terlibat ke balai polis untuk penyiasatan seterusnya memberi amaran keras jelas tidak berkesan. Mereka ini tidak lagi takut dengan layanan sedemikian kerana tiada pertuduhan akan dikemukakan di mahkamah.
Oleh itu, di balai polis mereka mengaku insaf, memohon maaf dan mungkin menitiskan air mata, namun sebaik-baik keluar dari situ mereka menggiatkan lagi serangan dalam Internet. Sepatutnya sudah boleh diambil tindakan tegas kerana serangan mereka jelas terarah kepada agama Islam, hak orang Melayu dan raja-raja Melayu yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Apakah peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk kes-kes sebegini?
Antaranya Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta beberapa seksyen di bawah Kanun Keseksaan termasuk yang paling serius, Seksyen 121 Perbuatan memerangi Raja-Raja Melayu yang jika sabit kesalahan, hukumannya gantung sampai mati.
Jika sudah ada peruntukan undang-undang, kenapa kerajaan seolah-olah melengah-lengahkan dakwaan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab ini? Adakah terdapat kesukaran dalam proses ini?
Perkataan-perkataan yang berbentuk penghinaan sebenarnya sudah mencukupi untuk membuat pertuduhan. Sabitan pula adalah di tangan mahkamah selepas mendengar segala keterangan termasuk penjelasan daripada orang kena tuduh (OKT). Terdapat dua eleman dalam setiap kesalahan, iaitu perbuatan yang salah (actus reus) dan niat yang salah (mens rea).
Perbuatan yang salah (actus reus) senang dibuktikan, adakah ini benar?
Perbuatan yang salah adalah lebih senang dibuktikan dengan penggunaan pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 yang baharu di mana nama, gambar, nama samaran, pendaftaran kawalan komputer boleh dianggap sudah melakukannya kecuali OKT dapat membuktikan sebaliknya (tidak berbuat demikian).
Bagaimana pula dengan niat (mens rea)?
Niat adalah sesuatu syarat tersirat tetapi kita boleh melihat contoh yang terdapat huraian mengenainya seperti dalam kes Mahkamah Rayuan, Pendakwa Raya lawan Karpal Singh.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta 15, selepas membuktikan bahawa OKT telah menyebut perkataan-perkataan yang didakwa menghasut, bagi elemen kedua - sama ada perkataan-perkataan tersebut menghasut, pihak pendakwaan hanya perlu membuktikan bahawa perkataan-perkataan tersebut mempunyai kecenderungan menghasut di bawah mana-mana satu atau lebih dari enam perenggan di bawah Seksyen 3(1) Akta 15."
Oleh itu, jika undang-undang sudah mencukupi, kenapa pihak berkuasa seolah-olah berlengah mendakwa mereka?
Mungkin proses pengumpulan bukti atau mungkin untuk mendirikan suatu water tight case melambatkan proses berkenaan. Namun, intipati-intipati tuduhan sudah jelas tertera dan sepatutnya boleh dikemukakan dakwaan segera. Tindakan melambatkan proses ini boleh memaparkan imej yang kurang meyakinkan dalam kalangan orang awam terhadap Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagaimana pula pandangan anda mengenai kritikan lantang Majlis Peguam terhadap pertuduhan ke atas pemimpin dan aktivis propembangkang seperti Tian Chua, Adam Adli Abdul Halim serta pemansuhan Akta Hasutan 1948?
Majlis Peguam kononnya mahu menjadi juara hak asasi manusia antarabangsa tetapi harus diingat bahawa penduduk di negara ini terdiri daripada masyarakat majmuk yang berlainan bangsa dan agama. Tiada tumpuan dan pandangan langsung diberikan dalam aspek ini, mereka hanya mengikut pandangan dari Barat.
Kini sudah wujud keadaan tegang di antara kaum-kaum berbeza tetapi pemimpin serta aktivis propembangkang ini terus mengeluarkan kenyataan provokatif tanpa batasan. Bagaimanapun, Majlis Peguam sebagai sebuah badan profesional guaman tidak bertindak untuk menghalang keadaan seumpama ini daripada berterusan.
Kritikan tanpa kompromi nampaknya dilakukan terhadap satu pihak (kerajaan) sahaja. Akta Hasutan belum dimansuhkan dan tiada tarikh pemansuhan ditetapkan. Ini adalah undang-undang, apatah lagi toleransi kaum serta sikap kesederhanaan semakin berkurangan dan hampir pupus daripada generasi sekarang.
Jadi, sepatutnya Majlis Peguam mendidik rakyat mengenai peruntukan ini dan syarat-syaratnya. Paling penting perlu diberi penerangan kepada rakyat, akibat perlanggaran undang-undang ini, seseorang boleh dikenakan hukuman penjara.
Warna-warni Politik
Belantan
Ahad, 16 Jun 2013
Kerajaan jangan lagi berlembut!
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyarankan kerajaan supaya tidak lagi berlembut dan memberi muka kepada pembangkang yang berterusan memperlekeh sistem demokrasi negara.
"Kita perlu keras sikit jangan bagi muka sangatlah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam sempena Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) 2013, di sini semalam.
Beliau berkata, sikap pembangkang yang pada mulanya bersungguh-sungguh mahu mengiktiraf pilihan rakyat bertukar sekelip mata apabila mereka gagal memperoleh sokongan majoriti rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu.
"Mereka hendak iktiraf pilihan rakyat tapi sekarang hendak jatuhkan kerajaan. Bila sistem demokrasi dilaksana mereka tolak sistem itu. Bagi mereka demonstrasi jalanan adalah demokrasi," katanya.
LID 2013, yang berlangsung selama enam hari sejak Ahad lepas, disertai enam negara iaitu Namibia, Uganda, Kenya, Nigeria, Lesotho and Botswana.
Sementara itu, dalam ucapannya bertajuk Transforming A Nation: The Malaysian Experience, Dr. Mahathir berkata, pelaksanaan dan penyelarasan yang betul oleh kerajaan Malaysia telah memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi negara.
Beliau berkata, inisiatif kerajaan menerusi Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) telah mempertingkatkan daya saing dan peluang ekonomi Malaysia.
"Ketika waktu saya, saya telah mengarahkan semua menteri turun ke akar umbi bagi memastikan semua perancangan dilakukan dengan sewajarnya," katanya.
Dr. Mahathir berkata, strategi kerajaan juga termasuk menyediakan insentif kepada syarikat tempatan dan percutian bebas cukai kepada pelabur untuk menggalakkan lebih banyak kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI).
"Apabila kita (Malaysia) mempunyai lebih banyak aliran masuk FDI dan kadar guna tenaga meningkat, FDI juga merangsang ekonomi kita," katanya. - BERNAMA
Warna-warni Politik
Torashah
Sabtu, 15 Jun 2013
Boikot Parlimen: U-Turn Azmin Bukti Perpecahan Dalam PKR?
Penulis secara peribadi tidak langsung terkejut dengan pusingan 360 darjah yang dibuat Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berhubung hasrat Anwar untuk memboikot sidang parlimen yang dijangka bermula 26 Jun ini.
Tak terkejut sebab 2 perkara, pertama Azmin memang dah nampak tak sebulu dengan Anwar sejak-sejak kempunan nak jadi Menteri Besar Selangor, dan soal boikot sidang parlimen ini memang kita dah tahu dari mula hanyalah cara Anwar untuk dapat publisiti murahan dari media.
Bukan dia betul-betul nak boikot pun.
Orang PKR yang bersungguh-sungguh mempertahankan Anwar dalam soal boikot setakat ini hanyalah orang macam Tian Chua, sementara yang menunjukkan bantahan selain Azmin sendiri ialah Zuraidah Kamarudin yang juga Ketua Wanita PKR. Ironinya, Tian Chua diketahui duduk dalam kem Wan Azizah yang pro Anwar, sementara Zuraidah duduk dalam kem Azmin.
Keadaan itu sahaja menunjukkan bahawa perpecahan dalam PKR yang berlaku sebelum dari hari penamaan calon dulu, masih berterusan dan semakin memburuk sehingga sekarang.
Lagipun, bukanlah satu rahsia, hanya ada beberapa orang sahaja dalam PKR yang berani menyanggah Anwar, dengan Azmin adalah salah seorang darinya. Dikatakan, Presiden PKR, Wan Azizah pun tak seberani Azmin. Maklum sajalah, siapa Azmin, siapa Wan Azizah!!
Ini tak payah cerita panjanglah, semua orang pun tahu sejarah antara mereka berdua.
Nak diikutkan, ini bukan kali pertama Anwar buat gempak macam ini, sebelum ini pun dah banyak kali. Dari kerajaan BN nak runtuh 16 September 2008, hinggalah kepada pengundi hantu 40,000, blackout dan sebagainya. Tapi dalam semua kes tersebut, pemimpin pembangkang, PKR terutamanya membiarkan rakyat percaya dengan semua tohmahan tersebut sebelum beri apa-apa kenyataan.
Sekarang ini, tak sempat Anwar nak gempak lama-lama, Azmin awal-awal dah tong sampahkan gimik terbaru Anwar. Paling tidak pun, ikut macam Tian Chua main ayat-ayat spin sikit atau lebih baik, berdiam diri. Tapi bukan itu kisahnya sekarang, Azmin sanggah Anwar secara terang-terang, tak bagi peluang langsung Anwar nak mengelirukan rakyat.
Tambah buruk keadaan, orang Azmin macam Zuraidah pun dah berani sanggah Anwar juga. Maklum sajalah, dari 30 ahli parlimen PKR sekarang (kurang satu berbanding 2008), lebih separuh daripada mereka adalah orang-orang Azmin, itu yang buat Azmin berani tunjuk belang tu.
UMNO patut ambil peluang dari ketegangan yang berlaku antara Anwar dengan Azmin ini untuk kepentingan parti tersebut. Macam mana nak buat tu, terpulanglaj, tapi penulis melihat ini adalah peluang untuk mengurangkan lagi pengaruh parti yang hanya berperanan menguatkan lagi DAP.
Sementara dia sendiri makin lemah dari hari ke hari.
Warna-warni Politik
Torashah
Jumaat, 14 Jun 2013
Taktik Jahat Red Bean Army Terbongkar, Hasut Masyarakat Cina Benci BN?
Fitnah dan hasutan berterusan yang disebarkan oleh Red Bean Army menerusi laman sosial seperti Facebook, Twitter dan blog boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan rakyat.
Presiden Gerakan Memartabat Pejuang Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria berkata, kegiatan tentera siber pembangkang itu mesti dikekang demi menjaga kestabilan negara dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Menurut beliau, aktivis Red Bean Army sengaja memainkan sentimen perkauman sempit semata-mata mahu mengapi-apikan kaum Cina bagi memburukkan- burukkan Barisan Nasional (BN) dan kerajaan.
“Kita bimbang perbuatan tidak bertanggungjawab mereka itu boleh mengundang keadaan huru-hara sehingga menghancurkan negara.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis perlu bertindak tegas terhadap dalang-dalang di sebalik Red Bean Army dengan segera mengheret mereka ke muka pengadilan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai Red Bean Army yang dibentuk bagi mencipta penipuan dan memanipulasi fakta bukan sahaja untuk menyerang BN, malah sesiapa sahaja yang menyokong parti itu.
Pasukan berkenaan yang berpangkalan di sebuah hotel di ibu negara dan juga di pejabat Komtar, Pulau Pinang akan menyerang serta menakut-nakutkan sesiapa sahaja yang bercakap buruk tentang DAP dan pakatan pembangkang.
Red Bean Army juga didakwa memainkan peranan memanipulasi sentimen kaum Cina untuk menolak calon-calon Melayu daripada BN yang bertanding dalam PRU-13 lalu.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang menafikan beliau mengetahui tentang kewujudan Red Bean Army walaupun pendedahan tentang tentera siber pembangkang itu dibuat oleh bekas Setiausaha Eksekutif Pemuda Kebangsaan DAP, Shen Yee Aun.
Tambah Razali, buat permulaan, kerajaan boleh mewajibkan permohonan lesen untuk pengendali blog bagi memudahkan tindakan diambil sekiranya mereka melanggar undang-undang negara.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kassim menyifatkan dakwaan Kit Siang kononnya tidak mengetahui tentang Red Bean Army sebagai strategi untuk melarikan diri daripada isu sebenar.
Menurut beliau, reaksi Kit Siang itu tidak menghairankan kerana pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang sering dilanda ‘sindrom penafian’.
“Berdasarkan pengalaman saya di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dahulu, pakatan pembangkang memanipulasi media sosial sebagai saluran utama bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap BN dalam kalangan rakyat,” katanya.
Ruslan turut menggesa pihak berkuasa membuktikan ketegasan dalam menangani ancaman Red Bean Army dan bukan sekadar memberikan amaran sahaja.
Dalam pada itu, Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi memberitahu, rakyat Malaysia yang cintakan keamanan amat berharap pihak berkuasa bertindak segera terhadap Red Bean Army.
“Kita hanya mampu mendesak tetapi pihak berkuasa sahaja yang boleh mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan,” jelasnya.
Beliau berpandangan, kegiatan Red Bean Army menyebarkan kenyataan berbaur perkauman menerusi media sosial tidak sepatutnya dibiarkan berpanjangan.
Presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM), Mohd. Ali Baharom berkata, pihak berkuasa hendaklah mengesan identiti sebenar anggota-anggota Red Bean Army supaya mereka boleh dipertanggungjawabkan atas fitnah dan hasutan yang disebarkan.
Warna-warni Politik
Torashah
Isnin, 10 Jun 2013
Kerajaan Selangor jangan main wayang, tunai manifesto segera - GPRS?
Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor didesak tidak lagi bermain wayang dalam menunaikan manifesto yang dijanjikan pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.
Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, kesemua manifesto itu harus dilaksanakan segera sebagai tanda menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan menghormati hak rakyat negeri tersebut.
"Sebagai permulaan, PKR Selangor perlu menunaikan janji pada 2008 dengan membantu setiap rakyat mendapatkan kediaman sendiri, memberi bantuan RM75 sebulan pada setiap anak yang dihantar ke nurseri, memberi bantuan RM50 sebulan untuk pendidikan prasekolah, memberikan bantuan kepada anak-anak muda untuk mendirikan rumah tangga dan sebagainya.
"Selepas itu, kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu menunaikan janji terbaharunya antaranya bantuan wang tunai RM500 kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan kali pertama," katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Sohaimi berkata, rakyat Selangor juga akan menagih janji pengwujudan Biasiswa Menteri Besar untuk pelajar ijazah lanjutan dengan bon kerajaan negeri sebagai usaha membentuk sebuah Bank Pemikir Negeri Selangor.
Oleh itu, jelasnya, Abdul Khalid tidak boleh memandang sepi setiap manifesto yang dijanjikan sebelum ini kerana rakyat Selangor enggan mendengar alasan seperti 'manifesto bukan janji'.
Beliau berkata, tiada alasan lagi bagi PKR untuk 'mengelat' daripada menunaikan manifesto mereka yang kononnya mengandungi empat teras iaitu Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat, Rakyat Menerusi Aktiviti Keagamaan dan Kebudayaan serta Kerajaan Rakyat.
Katanya, rakyat Selangor ingin menyaksikan kerajaan negeri menunaikan janji untuk mempertingkat kecekapan memproses urusan pemilikan tanah serta meneruskan tawaran bagi pemilikan geran tanah persendirian kepada pemohon yang layak, termasuk mereka yang menghuni lebih 12 tahun.
Jelas beliau, selain itu, rakyat turut menanti Abdul Khalid memperluaskan 'Polis Komuniti' yang dibiayai kerajaan negeri, memberi pemeriksaan percuma kanser testis dan prostat untuk kaum lelaki.
"Rakyat kali ini akan serius dalam memastikan kerajaan negeri melunaskan janji-janji mereka, tiada lagi peluang akan diberikan kepada Abdul Khalid sekiranya gagal lagi menunaikan janji tersebut," tegasnya.
Warna-warni Politik
Torashah
Sabtu, 8 Jun 2013
Tunku Aziz dakwa terima ugutan bunuh!
Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendakwa menerima ugutan bunuh melalui panggilan telefon di rumahnya pada pukul 10.10 malam tadi.
Menurutnya, panggilan tersebut dibuat oleh seorang lelaki tidak dikenali menerusi telefon bimbit yang mengeluarkan ugutan "I will kill you" (aku akan bunuh kau) sebelum meletakkan telefon.
Berikutan itu, Tunku Aziz membuat laporan polis pada pukul 9.50 pagi ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
"Perbualan itu hanya beberapa saat, saya cuba bertanya siapa dia, namun dia telah memutuskan talian. Saya percaya ugutan bunuh ini berunsurkan politik, " katanya kepada pemberita di luar pekarangan balai polis berkenaan.
Warna-warni Politik
Torashah
Jumaat, 7 Jun 2013
Syarikat Cina bagai kacang lupakan kulit - GMP?
Sikap rasis syarikat Cina yang menyisihkan graduan Melayu dalam permohonan pekerjaan dalam organisasi mereka disifatkan sebagai kacang lupakan kulit.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang dibentuk kerajaan untuk membantu orang Melayu secara tidak langsung membuka banyak peluang ekonomi kepada syarikat-syarikat Cina.
Kata beliau, usaha itu sepatutnya dibalas dengan menyediakan ruang pekerjaan kepada orang Melayu namun perkara sebaliknya berlaku selepas syarikat Cina menunjukkan sikap perkauman dalam organisasi syarikat mereka.
"Penyisihan ini bukan perkara baharu tetapi sudah lebih 20 tahun berlaku, perbuatan mereka terancang dan ini realiti, kita memang terasa dengan sikap sebegini.
"Dasar kerajaan telah banyak memberi manfaat kepada syarikat Cina, tidak salah jika mereka berlaku adil, panggilan kerja untuk graduan Melayu hanya dibuat bagi mencukupkan kuota bumiputera, jawatan pun sebagai kakitangan bawahan sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini mendedahkan kajian sekumpulan penyelidik sebuah universiti awam mengenai wujud diskriminasi terhadap graduan Melayu yang memohon pekerjaan di syarikat swasta yang majoriti dimiliki kaum Cina dan asing.
Menurut kajian itu, faktor kaum lebih diutamakan berbanding kualiti pendidikan dengan graduan Cina menjadi pilihan dipanggil temu duga berbanding kaum Melayu yang merupakan penduduk teramai di negara ini.
Sementara itu, Presiden Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Perak, Shamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, sikap tersebut menyerlahkan belang sebenar syarikat-syarikat Cina yang gagal mengamalkan semangat setia kawan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Tambahnya, diskriminasi itu secara tidak langsung menjarakkan hubungan kaum dan boleh memberi kesan buruk jika berlarutan.
"Perkara ini sudah berleluasa bukan sahaja dalam isu panggilan temu duga, malah turut membabitkan tangga gaji dan peluang kenaikan pangkat.
"Sehubungan itu, saya mohon kerajaan memantau keadaan ini sebab perkara sama wujud dalam syarikat Melayu," katanya.
Warna-warni Politik
Torashah
Khamis, 6 Jun 2013
Usah pedulikan Dong Zong, buang masa saja!
Penulis terdetik untuk mengulas rasa tidak puas hati Dong Zong kerana wakil Cina dalam Kabinet tidak pandai berbahasa Mandarin. Ini jelas menunjukkan betapa dangkalnya pemikiran anggota persatuan itu.
Apa hak Dong Zong mempersoal mahupun menuntut apa-apa lagi daripada kerajaan BN kini sedangkan mereka sendiri menolak calon BN daripada parti komponen Cina?
Sepatutnya mereka bersyukur kerana Perdana Menteri tetap mahu wakil Cina dalam Kabinet selepas parti Cina dalam BN sendiri menolak sebarang jawatan.
Persoalan keperluan anggota Kabinet berbahasa Mandarin juga satu penghinaan kepada rakyat Malaysia memandangkan bahasa kebangsaan adalah untuk semua rakyat Malaysia.
Jika mencari pekerja di sesetengah syarikat Cina mereka mahu kebolehan berbahasa Mandarin. Tetapi wajarkah jawatan Kabinet yang diberi atas keprihatinan Datuk Seri Najib juga diletakkan syarat bahasa tersebut? Adakah orang Cina di Malaysia hanya tahu berbahasa Mandarin atau bahasa Inggeris?
Cukuplah penghinaan Dong Zong kepada Perdana Menteri ketika Majlis Tahun Baru Cina sebelum ini. Walaupun Najib memberi pengiktirafan yang tidak pernah diberi mana-mana Perdana Menteri sebelumnya, Dong Zong tetap menuntut pelbagai perkara dan lebih mengalu- alukan Anwar Ibrahim.
Kepada Perdana Menteri, cukup- cukuplah melayan tuntutan kelompok ini. Tidak salah menjaga kebajikan orang Cina tetapi jangan digula-gula lagi mereka yang majoritinya jelas tidak akan kembali kepada BN.
BN perlu kembali mengutamakan hak dan keperluan orang Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak serta penyokong BN.
Biarkan sahaja jika ada yang mahu tuduh kita rasis kerana mempertahankan hak bangsa. Itu cuma perang psikologi songsang kumpulan politik jalanan yang tidak sepatutnya melemahkan semangat perjuangan bangsa dan agama dalam BN, khususnya UMNO.
Pastikan undi Melayu kekal kerana Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak yang banyak memenangkan BN pada PRU-13. Biarkan Dong Zong dengan 'labu-labunya'.
BN kini perlu mulakan kerja khususnya dalam menarik kembali undi Melayu pertengahan, khususnya di bandar, serta menyedarkan golongan muda serta yang belum mendaftar agar menjalankan tanggungjawab mereka.
Walaupun benar bukan semua Cina ultra kiasu, tetapi kesilapan mereka adalah memilih pemimpin dan parti politik yang ultra kiasu, termasuk Anwar dan pemimpin Melayu liberal lain yang digunakan demi mencapai agenda menjaga kepentingan kaum Cina.
Sama ada menyokong ultra kiasu atau tidak, orang Cina juga tidak boleh menyalahkan orang Melayu jika bangkit menentang dengan perjuangan bersifat 'ultra kiasu' seperti mana pemimpin pilihan mereka itu.
Warna-warni Politik
Torashah
Rabu, 5 Jun 2013
Australia iktiraf PRU-13: Tamparan kepada pihak tidak terima keputusan pilihan raya?
Pengiktirafan Australia terhadap Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) merupakan tamparan hebat kepada pihak yang tidak menerima keputusan pilihan raya tersebut.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pengiktirafan tersebut juga secara tidak langsung membuktikan SPR telah berjaya melaksanakan proses demokrasi itu dengan telus dan adil.
Tegas beliau, sebagai sebuah negara Komanwel yang disegani, sudah pasti kenyataan itu dibuat berdasarkan laporan kakitangan mereka di negara ini.
"Sepatutnya, rakyat juga perlu membuka mata mereka tentang pelbagai dakwaan jahat yang dilemparkan kepada SPR selama ini adalah tidak benar.
"Saya berharap semua pihak dapat menerima keputusan pilihan raya lalu dan seterusnya berhenti daripada membuat tuduhan jahat kepada SPR," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar Australia, Senator Bob Carr yang menyifatkan PRU-13 pada 5 Mei lalu mempunyai kredibiliti dan boleh dipercayai.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad juga berpendapat bahawa tindakan pembangkang yang terus menyerang kredibiliti SPR dilihat sebagai perbuatan terdesak.
"Jika negara asing boleh melihat betapa proses pilihan raya di negara ini telus dan adil, saya yakin pihak yang tidak berpuas hati adalah kerana gagal mencapai agenda politik peribadi masing-masing," ujarnya.
Sementara itu, mengulas keputusan kerajaan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada Jawatankuasa Khas Parlimen, beliau melihat keputusan itu sebagai sangat baik dan bijak.
Katanya, langkah itu juga membuktikan keikhlasan kerajaan untuk terus menyuburkan proses demokrasi negara di bawah agenda transformasi politik negara.
"Dengan pembabitan pihak kerajaan dan pembangkang di dalam jawatankuasa itu, sudah pasti segala teguran dan maklumat dapat disampaikan dengan lebih baik.
"Namun jawatankuasa itu tidak mempunyai kuasa untuk mengarah SPR seperti yang termaktub dalam Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan iaitu kami adalah sebuah badan yang bebas yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong," jelasnya.
Warna-warni Politik
Torashah
Isnin, 3 Jun 2013
3 perkara paling Anwar takuti?
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim didakwa menganjurkan siri perhimpunan haram di seluruh negara kerana mahu mengalih tumpuan rakyat daripada tiga perkara yang paling ditakutinya.
Ketiga-tiga perkara itu ialah rayuan kes liwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, isu pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah dan pendedahan bekas rakan karibnya, Datuk S. Nallakaruppan berhubung aktiviti seks beliau,
Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berkata, Anwar akan memastikan ketiga-tiga perkara tersebut 'dilenyapkan' daripada minda rakyat walaupun tindakannya itu akan mengundang kemudaratan terhadap agama, bangsa dan negara.
"Anwar sememangnya cenderung untuk melakukan pelbagai tindakan terdesak bagi memastikan 'pekung' di dadanya tersisip rapi dalam bajunya kerana beliau tahu ketiga-tiga perkara itu akan menyebabkan karier politiknya boleh terkubur.
"Jadi, dalam tindakan terdesak terbaharunya ini, beliau mengheret penyokongnya untuk turun ke jalan supaya perhatian rakyat teralih daripada isu sebenar yang menyelubungi Anwar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ezam berkata, politik yang dibawa Anwar bukan berlandaskan menyelesaikan masalah rakyat atau negara tetapi semata-mata untuk memuaskan nafsu peribadinya sahaja.
Bukti paling jelas, katanya, ialah pendedahan sahabat karib Anwar iaitu bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla yang memberitahu Ketua Pembangkang itu sanggup berbohong dan mengkhianati janji kerana mahu menjadi Perdana Menteri.
"Setiap rakyat yang waras seharusnya sudah nampak jelas jenis pemimpin apa Anwar ini, iaitu jenis pemimpin yang mempergunakan rakyat bagi menyelesaikan masalah peribadinya bukan pemimpin yang sanggup berkorban kepentingan peribadinya untuk rakyat.
"Negara ini sudah terlalu lama menjadi mangsa pemimpin songsang ini dan memang sampai masanya untuk riwayat politik songsang Anwar ditamatkan demi kepentingan rakyat dan negara," tegasnya.
Dalam pada itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, secara lazimnya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan bersungguh-sungguh mencipta suatu peristiwa besar bagi melindungi kegelisahannya maka sebab itu perhimpunan haram digerakkan.
"Anwar telah menggerakkan segala jentera PKR untuk menjayakan perhimpunan haram, biarpun gagal mendapat sokongan penuh daripada pemimpin tertinggi Pas dan DAP. Ternyata perhimpunan tersebut adalah agenda peribadi beliau, tetapi menipu penyokong pembangkang dan rakyat Malaysia kononnya untuk menyelamatkan negara,'' ujarnya.
Seorang lagi bekas Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, Muhamad Rahimi Osman berkata, Anwar kini benar-benar terdesak untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap segala isu yang dihadapinya.
Jelasnya, terlalu banyak dosa Anwar kepada negara, sehinggakan Ketua Pembangkang itu tidak lagi mampu menjawab satu persatu isu tersebut dan cara terbaik bagi melarikan diri adalah dengan menghasut rakyat turun ke jalanan atas sesuatu perkara yang remeh dan tidak benar.
"Anwar juga risau dengan tindakan undang-undang yang akan diterimanya jika disabitkan bersalah atas tiga isu tersebut, jadi, tindakan berhimpun ini juga adalah usaha menakut-nakutkan kerajaan agar menunjukkan dia masih popular dalam kalangan rakyat.
"Saya gesa rakyat agar tidak percaya kepada Anwar dan kerajaan tidak akan sekali-kali membiarkan beliau bebas bermaharajalela atas segala kesalahan yang telah dilakukan," tegasnya.
Warna-warni Politik
Torashah
Pembangkang 'wajib' taat titah Yang di-Pertuan Agong?
Dzulkarnain Taib, Hamidzun
Pembangkang digesa menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah yang mahu semua pihak di negara ini akur dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ahli Majlis Perundingan Melayu, Shahbudin Embun berkata, pembangkang yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menerima hakikat rakyat tidak memilih mereka untuk mentadbir negara.
Adat demokrasi, pasti ada yang menang dan kalah. Pilihan raya sudah berlalu, sekarang masa bekerja, bukannya meraih simpati seperti dilakukan pembangkang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tuanku Abdul Halim semalam sempena ulang tahun keputeraan baginda yang disambut hari ini bertitah supaya rakyat di negara ini akur dengan keputusan pilihan raya umum lalu yang ditentukan sendiri mereka.
Baginda bertitah, sebarang perubahan politik di negara ini perlu dilakukan secara aman dan menerusi peti undi berpandukan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.
Sementara itu, Presiden Kelab Muda Wartawan Malaysia, Dzulkarnain Taib memberitahu, pembangkang yang kononnya sebelum ini mendakwa menegakkan Perlembagaan negara wajar mentaati titah baginda tersebut.
Katanya, tindakan pembangkang untuk terus mengadakan perhimpunan membantah keputusan pilihan raya umum lalu bererti mereka `menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.
Pembangkang jangan hanya bercakap manis, konon mahu menjunjung Perlembagaan dan mempertahan undang-undang, jadi buktikanlah sekarang.
Kalau mereka tidak taat kepada raja, mereka adalah golongan penderhaka yang tidak layak digelar warganegara Malaysia dan melanggar Rukun Negara kedua iaitu Keluhuran Perlembagaan," katanya.
Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin pula berkata, titah berkenaan menunjukkan sultan mahu rakyat tidak lagi membangkitkan keputusan pilihan raya umum lalu dan bersama-sama berusaha membantu pembangunan negara.
Warna-warni politik
Belantan
Ahad, 2 Jun 2013
Red Bean Army - Penglibatan syarikat elektronik Taiwan disiasat?
Sebuah syarikat elektronik terbesar di Taiwan yang dimiliki seorang rakyat Malaysia sedang disiasat pihak berkuasa negara ini kerana dikenal pasti mempunyai hubungan dengan kegiatan tentera siber Red Bean Army.
Syarikat elektronik itu juga dipercayai mempunyai hubungan yang 'agak rapat' dengan kerajaan DAP Pulau Pinang kerana mempunyai cawangan kilang syarikat tersebut di negeri itu sejak beberapa tahun lalu.
Menurut sumber, siasatan pihak berkuasa akan turut menjurus kepada latar belakang Red Bean Army yang dipercayai menerima dana yang disalurkan oleh syarikat elektronik tersebut.
"Kita percaya pengasas syarikat tersebut terlibat secara langsung menyalurkan dana dan bantuan kewangan kepada kumpulan tersebut. Malah gambarnya bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pernah tersebar di portal propembangkang, Malaysiakini baru-baru ini.
"Gambar tersebut memperlihatkan individu yang dikaitkan dengan syarikat elektronik itu bersama Guan Eng di atas pentas memberi ceramah ketika kempen pilihan raya umum yang lalu," kata sumber itu lagi.
Menurut sumber, pemilik syarikat itu merupakan graduan di sebuah universiti di Taiwan mempunyai pengalaman bekerja di syarikat elektronik terbesar di negara itu sebelum memutuskan untuk membuka cawangan di Malaysia.
"Dia membuka cawangan syarikat tersebut di Pulau Pinang selepas mendapat bantuan dan kelulusan kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) kira-kira tiga tahun lalu tetapi akhirnya menyokong pergerakan Red Bean Army yang dipercayai diatur oleh pihak pembangkang," tambah sumber itu.
Warna-warni Politik
Torashah
Langgan:
Catatan (Atom)