Sabtu, 26 Januari 2013

Regim MB Khalid tidak serius tangani masalah air?



Tindakan membekukan perbelanjaan modal (Capex) terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) menunjukkan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak serius untuk menyelesaikan masalah air yang membelenggu rakyat.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, kerajaan negeri sepatutnya memandang serius masalah bekalan air dan bukan menjadikannya sebagai satu mainan politik bagi membolehkan mereka memanipulasikan keadaan pada masa akan datang.

"Sebelum ini kerajaan negeri menafikan membekukan Capex, namun semalam mereka mengaku berbuat demikian atas alasan Syabas gagal memenuhi tanggungjawab dalam perjanjian konsesi.

"Semua itu tidak masuk akal, cuba kita bayangkan bagaimana Syabas mahu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna sekiranya Capex dibekukan. Mereka juga memerlukan bantuan demi menjamin perkhidmatan yang bermutu," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Tanjong Karang 1434 Hijrah di sini hari ini.


Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Sulaiman Razak dan ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd. Shamsudin Lias.

Semalam dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco negeri, Abdul Khalid mengakui kerajaan negeri membekukan Capex kepada Syabas atas alasan syarikat itu gagal memenuhi tanggungjawab dalam perjanjian konsesi.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, kerajaan negeri perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap masalah gangguan bekalan air yang berlaku di 90 kawasan di ibu negara dan Selangor sehingga menjejaskan hampir setengah juta penduduk.

"Sewaktu BN memerintah Selangor, kita telah merancang pelbagai inisiatif demi memastikan keperluan asas rakyat terjamin, malah kita juga tidak menghalang sebarang peruntukan kepada Syabas.

"Langkah itu menjadi bukti perbezaan pentadbiran kerajaan PKR Selangor sekarang dengan BN. Mereka tidak melakukan sebarang perancangan serta tidak berfikiran jauh dalam membuat sesuatu keputusan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu penilaian dibuat terhadap kedudukan kerajaan negeri sekarang yang mahu mempolitikkan kesemua isu termasuk keperluan rakyat sedangkan perkara seumpama itu tidak akan berlaku sekiranya BN kembali memerintah negeri Selangor.

Noh turut mencabar Abdul Khalid supaya mendedahkan jumlah sebenar peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan kepada Selangor untuk membantu penyediaan air bersih kepada rakyat.

"Saya tahu jumlah peruntukan tersebut berapa, tetapi saya mahu Menteri Besar nyatakan sendiri jumlahnya dan ke mana wang itu disalurkan," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor