Ahad, 20 Januari 2013

Karpal Mahu Hadi Akur Keputusan PR Ketepikan Pendirian Majlis Syura?



Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh akan memujuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya mengkaji semula pendirian Majlis Syura Ulama Pas yang memutuskan kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam termasuk Bible versi Bahasa Melayu.

Beliau berharap Abdul Hadi akan menentukan semula pendirian Pas agar tidak bercanggah dengan keputusan yang dicapai Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) pada 8 Januari lalu.

"Adalah penting untuk Majlis Syura Ulama Pas mengambil satu pendirian yang sama dengan PR dan saya harap Abdul Hadi dapat menentukan pendirian Majlis Syura.

"Saya merayu kepada Abdul Hadi agar dapat menentukan semula pendirian Majlis Syura ini," kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Ahad lalu, Majlis Syura Ulama Pas yang dianggotai 15 anggota memutuskan kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu selepas isu berkenaan dibantah pelbagai pihak.

Mesyuarat yang dipengerusikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan bahawa menterjemah perkataan 'God' atau 'Lord' dari mana-mana kitab agama bukan Islam adalah salah dari segi makna, tidak menepati kehendak sebenar dan perlu dicegah kerana membawa kekeliruan yang nyata.

Isu penggunaan kalimah ALLAH timbul selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam perutusan sambutan Krismas lalu meminta kerajaan membenarkan kalimah ALLAH digunakan dalam Bible Bahasa Melayu.

Semalam, Nik Aziz secara tegasnya mahu semua pihak termasuk pemimpin PR menerima keputusan Majlis Syura Ulama iaitu kalimah ALLAH tidak boleh digunakan bukan Islam.

Nik Aziz berkata, perkara itu tidak perlu ditimbulkan semula setelah Majlis Syura Ulama menetapkan larangan penggunaan kalimah yang eksklusif bagi orang Islam itu diterjemahkan mana-mana kitab agama bukan Islam kerana salah dari segi maknanya.

Biarpun ada yang beranggapan wujudnya percanggahan pendapat selepas keputusan ditetapkan Majlis Syura Ulama, Nik Aziz berkata, itu terpulang kepada mereka untuk membuat dakwaan.

Khamis lalu, Timbalan Presiden PKR, Azmi Ali berkata, pihaknya berpegang kepada pendirian dibuat oleh Abdul Hadi pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan pada 8 Januari lalu.

Abdul Hadi dipetik berkata, Pas berpendirian bahawa kalimah ALLAH boleh digunakan oleh bukan Islam dengan syarat tidak disalahgunakan.

Diminta mengulas tindakan Guan Eng yang enggan mengulas mengenai isu itu, Karpal berkata:

"Bukan Guan Eng tidak mahu mengulas... dia tidak tukar pendirian dia. Itu maksudnya apabila dia tidak mahu mengulas."

Di Sabah dan Sarawak, katanya, ia diamalkan sejak sekian lama dan tidak pula timbul sebarang masalah atau tentangan.

"Jadi saya rasa ia juga boleh dilaksanakan di Semenanjung kerana tidak akan menjejaskan mana-mana kuasa dan pihak," katanya.

Hancur PAS di bawah telunjuk DAP!

Tiada ulasan:

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor