Ahad, 5 Disember 2010

NGO serah memo kepada Sultan!

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu hari ini menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, meminta campur tangan baginda berhubung cubaan menggadai dan menghapuskan perkataan Melayu oleh pihak tertentu.

Memorandum itu diserahkan Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamizun Khairuddin kepada Pegawai Pengiring Sultan Selangor, Komander Ahmad Ramli Kardi kira-kira pukul 3.30 petang di Istana Kayangan di sini hari ini.

Turut mengiringi Hamizun kira-kira 1000 ahli NGO antaranya daripada Majlis Belia Selangor (MBS) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Memorandum lima muka surat itu turut mengandungi bantahan terhadap 30 penyelewengan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.

Hamizun ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya turut memohon pihak istana menasihati kerajaan negeri supaya memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Penasihat Ekonomi negeri.

Ini kerana kata beliau, Anwar dilihat menjadi 'batu api' dan punca timbulnya ketidakpuasan hati dalam masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

"Anwar terbukti banyak memecahbelahkan orang Melayu dan perpaduan rakyat negeri Selangor selain menjadi dalang hingga wujudnya kebencian dan cemburu sesetengah pihak terhadap kemajuan dan perpaduan orang Melayu.

"Ketuanan Melayu langsung tidak ada kena-mengena dengan isu kaum, malah ketuanan Melayu adalah melindungi hak raja-raja Melayu yang terbukti berjaya memelihara keharmonian kaum di negara ini sejak sekian lama," katanya.

Ujar Hamizun, 30 penyelewengan yang didakwa dilakukan kerajaan PKR Selangor termasuk isu pembaziran wang rakyat membeli hutang Talam Corporation, merampas tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), salah guna wang Yayasan Selangor dan kegagalan menguruskan bekalan air di negeri ini.

Sementara itu, Ketua Wira Perkasa, Arman Azha Abu Hanifah pula menyifatkan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali tidak memikirkan tentang keselamatan negara kerana mahu menghapuskan ketuanan Melayu.

"Lupakah mereka teras negara ini adalah Melayu dan kenyataan seperti itu hanya membangkitkan rasa marah orang Melayu itu sendiri. Orang Melayu sangat menghormati bangsa lain dan kita berharap bangsa lain pun turut menghormati kita," katanya.

Pada perhimpunan tersebut, kumpulan yang berarak mengangkat sepanduk yang antara lain tertera ayat 'Jangan Cabar Ketuanan Melayu', 'Wan Azizah Jangan Jejak Bumi Selangor', 'Selamatkan Selangor Selamatkan Putrajaya' dan 'Ketuanan Melayu atau Ketuanan Anwar'.

Perhimpunan secara aman tersebut berakhir pada pukul 3.40 petang tanpa insiden yang tidak diingini dengan kawalan kira-kira 50 anggota polis.

Warna-warni politik
Torashah..

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor