Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperbodohkan pemimpin Pas apabila secara terbuka mengumumkan beliau akan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II untuk DAP.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menunjukkan beliau menggunakan kuasa diktator untuk berkuasa.
''Anwar secara terbuka memperlekeh dan tidak menghormati pemimpin Pas. Inilah sikap sebenar beliau yang sanggup melakukan apa sahaja untuk berkuasa,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini. Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang tidak mengetahui langsung mengenai jawatan yang disebut oleh Anwar itu.
Ketua Pembangkang itu ketika wawancara dengan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau yang disiarkan Rabu lalu berjanji akan mewujudkan jawatan baru tersebut yang bakal diisi di kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Syed Ali berkata, Anwar ternyata lebih menghormati pemimpin DAP berbanding Abdul Hadi dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. ''Anwar telah memperbodohkan pemimpin pakatan pembangkang lain dengan membuat keputusan tanpa persetujuan kolektif mereka.
"Dia membuat janji ini dengan tujuan mengekalkan sokongan pengundi Cina walaupun terpaksa membuat kenyataan yang melukai hati pemimpin Pas,'' ujarnya. Syed Ali menegaskan, rakyat perlu menolak pakatan pembangkang yang diterajui oleh Anwar kerana beliau dilihat sengaja memainkan sentimen perkauman terutama membabitkan orang Melayu dengan janjinya kepada pemimpin DAP.
''Saya percaya pemimpin Pas tidak akan menyokong Anwar yang menggunakan politik rasis untuk diberi laluan sebagai Perdana Menteri," katanya. Dalam pada itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pemilihan DAP dan bukannya Pas bagi mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri II jelas menunjukkan kepercayaan tinggi Anwar terhadap parti yang dianggotai majoriti kaum Cina itu.
Sambil menyifatkan janji itu sebagai angan-angan Mat Jenin, tegas Rosnah, Pas patut memandang serius janji yang dibuat Anwar itu kerana tawaran tersebut jelas menunjukkan Penasihat PKR berkenaan tidak yakin terhadap parti itu.
''Anwar membuat janji ini mungkin kerana DAP telah memberi peluang kepadanya untuk terus menjadi Ketua Pembangkang walaupun kerusi PKR di Parlimen kurang berbanding parti itu. ''Anwar tidak sedar bahawa dia sendiri hanya diperalatkan oleh DAP atau beliau memang sedar perkara ini asalkan dapat menjadi Perdana Menteri,'' ujarnya.-UM
Warna-warni politik
Torashah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan